(Bonsai ialah kayu-kayan di kawasan tanah yang berbatu-batu. Di tanah yang gersang, akar dan urat pokok ini terencat. Pokok mungkin tumbuh, tetapi terbantut menjadi kemetot. Pokok yang terbantut ini kelihatan indah dan menarik, lalu dijadikan perhiasan - di sinilah munculnya seni bonsai.)

(Socrates - ahli falsafah Yunani, pengasas tamadun dunia hari ini - di dalam salah satu labonan simposianya, telah berkata "penyeksaan ialah apabila kita membenarkan diri kita diperintah oleh orang yang lebih bodoh daripada kita". Pandangan yang dikeluarkan 3000 tahun lalu, masih lagi tepat dan ada kebenarannya. Pandangan Socrates ini masih sesuai dibaca untuk dihayati falsafahnya agar kita dapat memahami suasana kedudukan kita sebagai warga Malaysia.)

Kejayaan unggul numero uno amal makruf nahi mungkar yang telah diupayakan oleh Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun sebagai perdana menteri ialah kejayaan membonsaikan fikrah umat Melayu di Malaysia - (Melayu di Indonesia/Filipina/Thailand masih segar dayafikir mereka - Alhamdulliah).

Selama 22 tahun dengan pemerintahan kuku besi, Mahathir telah bersekongkol dengan Umno untuk menebar jala dan jaring agar tidak berkemungkinan manusia Melayu dapat memerdeka dan membebaskan fikrah mereka dari hegemoni Umno. Inilah yang dinamakan pembonsaian fikrah Melayu.

Kemorosotan wacana

Pembonsaian fikrah Melayu ini jelas dapat dilihat. Tetapi ianya agak berlainan daripada melihat sebatang pokok bonsai di atas meja perhiasaan yang dapat dilihat secara wujudiah. Bonsai fikrah hanya dalam dilihat melalui manifestasi dan fenomenanya.

Dalam suasana politik Malaysia hari ini ibu daripada segala ibu bonsai ini ialah kemorosotan wacana dan pandangan sosio/ekonomi/politik. Pandangan bonsai yang lagi membonsaikan ini, bukan hanya dihamburkan oleh aparachik yang memerintah tetapi terhambur juga dari mulut pembangkang.

Warga sering mendengar/melihat/membaca contoh kemerosotan wacana ilmu dan pandangan politik yang selalu terhambur dari mulut politikus yang berkuasa. Atau dari wartawan yang sekatil dengan pemerintah. Atau dari ahli akademik kangkong inspirasi kerajaan atau dari NGO yang diwujudkan oleh pemerintah.

Suara dan pandangan mereka sahaja yang pergi, tersepak pulang terlanggar, kerana mereka yang berkuasa sahaja yang mendapat mencetak dan mengeluarkan akhbar dan memiliki stesen radio dan TV. Jika sekiranya pihak pembangkang memiliki ruang media massa yang sama, pasti amat susah untuk warga menilai siapakah yang lebih bonsai di antara mereka.

Untuk masa kini warga telah bernasib baik kerana telah 'disiahkan' oleh malaikat empat puluh empat daripada mendengar pandangan bonsai daripada pihak pembangkang. Fenomena terbaik yang dijadikan rujukan dan bahan kajian untuk membuktikan teori bonsai ini ialah kes pemecatan Anwar Ibrahim.

Bila pemecatan ini dilakukan fikrah Melayu, sememangnya telah lama bonsai. Justeru, semua yang berlaku dalam wacana pemecatan Anwar ini bergolak di dalam pasu yang sama.

Goyangan daun

Mahathir yang mempenjarakan Anwar cukup sedar tentang kebonsaian fikrah Melayu. Apabila dilontarkan tuduhan rasuah dan salahlaku seksual terhadap Anwar, jawapan dari pokok yang bonsai hanyalah goyangan daun.

Maka bermula satu demi satu siri kebonsaian wacana dalam saga Anwar. Media massa yang sekatil dengan pemerintah, bertungkus-lumus mengeluarkan hujah-hujah bonsai tanpa putus-putus.

Kumpulan/puak/partai politik yang cuba menangkis tuduhan (baca membela) terhadap Anwar tidak pula dapat memecah keluar dari pasu yang sama. Lalu warga didengarkan dengan hujah awal yang membela; tentang kemustahilan Anwar melakukan rasuah/liwat kerana dia seorang Muslim/tak pernah tinggal sembahyang/pernah jadi imam...kazak, kazak, kazak.

Hujah ini dibantu pula oleh 'rejoinder' Qardawi dan beberapa guru moral yang membawa fatwa suntikan Tongkat Ali agar 'keimanan' Anwar dapat ditegakkan. Fikrah yang bonsai tidak memiliki keupayaan untuk memisahkan kulit daripada isi - untuk menganalisa secara sistematik seperti kerja seni program microsoft.

Hasilnya ialah jawapan dan hujah yang 'tergantung' - yang sampa larau - tidak ketentuan di mana hujung di mana pangkalnya. Tidak diurutkan secara jelas sebab dan musabab; penyebab dan akibat; neuomena dan fenomena; wujudiah dan manifestasi.

Media sekatil terus mendodoikan umum dengan kulitan-kulitan agar warga tidak berkemungkinan melihat isi. Wacana bonsai ini dibantu pula oleh pihak yang dikatakan membela, tetapi pada hakikatnya (kerana sama bonsai), maka hamburan yang keluar dari si pembela adalah karut lagi mengkarutkan.

Kuasa bomoh

Contohan awal yang didendangkan kepada umum ialah saga kes Anwar hanyalah perbalahan di antara ayah dan anak- di antara mentor dengan murid. Lawak ini bertambah menggelikan apabila ada yang mengeluarkan pendapat bahawa 'kemarahan Mamak Bendahara muncul bila si Kitul membaling sekeping fail ke mukanya'.

'Punch line' lawak ini menyebut kan sekiranya Si Kitul 'meminta maaf' maka semuanya akan 'khalas' selesai dan ahlan wasahlan - tabuh dipukul gendang dipalu rebab digesek - marilah kita berpesta bersama-sama merebut harta sekali lagi.

Lawak seram yang menyeramkan ini semakin menaikkan bulu roma apabila umum (baca orang ramai) mendengar 'rashia' bahawa saga ini terjadi kerana wujudnya usaha gigih para bomoh yang sedang melindungi Mamak Bendahara daripada 'jatuh cinta' sekali lagi pada Si Kitul. Maka ramailah pahlawan muda yang ingin menjadi Hang Tuah untuk mencari sirih pengasih agar hati Mamak Bendahara dapat dilembutkan dan mereka dapat ditunangkan sekali lagi.

Tidak cukup dengan ilmu batin Adi Putra maka pahlawan muda ini telah belayar ke seberang untuk menemui si Guru yang mendidik Taming Sari, dengan harapan akan dipelajari petua-petui jampi serapah sireh pengasih pelembut hati. Maka ada yang bertapa dan ada pula yang masuk ke pesanteran sambil berzikir agar si Mamak Bendahara akan mengubah pendirian.

Fikrah yang bonsai pasti tidak dapat memisah yang mana khurafat dan yang mana sakral. Justeru ada pula pahlawan yang membeli tiket untuk berumrah. Di hadapan Kaabah si pahlawan berdoa dan meminta. Kali ini Tuhan pula ingin dilamar agar membuat pilihan. Lawak seram bertambah seram lagi menyeramkan.

Apa yang jelas dalam saga ini ialah hujah si penuduh dan si pembela terus bertakung dalam pasu fenomena dan pasu manifestasi. Akhirnya umum terdengar/terbaca/terlihat beberapa pembela awalan bertukar hati ( mungkin terkena jampi), lalu menjadi si penuduh.

Soalan Pak Pandir

Bila ini berlaku, bertukarlah lawak seram menjadi lawak bodoh. Apabila sang-sang badut itu berpaling tadah maka terbukti tahap pemahaman sang badut ini terhadap perjuangan rakyat amat terbantut - kemetot seperti akar pokok bonsai dalam takungan tembikar di meja hiasan.

Semua penganalisaan ini dikupas tanpa apa-apa asas yang kukuh. Asas ekonomi, asas kelas dan asas kuasa daulah, tidak disentuh untuk memahami dan menganalisa secara mendalam kenapa dan apa yang terjadi kepada Anwar.

Perebutan kuasa untuk memiliki punca-punca pengeluaran ekonomi bagitu jelas terpampang di mata tetapi gagal difahami. Kulitan yang dikikir melalui ceramah dan tohmah, bukan satu metodologi untuk sampai ke isi. Tempias dan renyai-renyai yang menyebut-yebut tentang kroni tanpa huraian kelas, hanya akan membonsaikan lagi fikrah yang sedia bonsai.

Tanpa pengunaan teori dan metodologi yang berasaskan ekonomi, kelas dan kuasa daulah tidak mungkin pasu yang memasung fikrah, dapat dipecahkan.

Akhirnya, kita kembali kepada kata-kata Socrates ( gambar ) tentang seksa dan kehinaan. Amatlah seksa dan hinanya kita sebagai umat apabila kehidupan harian kita dikendalikan oleh sang badut-sang badut yang bonsai.

Di sinilah timbul persoalan Pak Pandir Meminta Pisang Bakar - (Persoalan Catch 22). Apakah berkemungkinan si bonsai mengenali dirinya bonsai. Soalan ini amat seram lagi menyeramkan.