Jenaka yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah membuat masyarakat politik Malaysia pecah perut. Nampaknya hasrat SPR untuk melihat rapat umum diadakan ketika kempen pilihanraya umum sudah berkecai.

Namun kita harus angkat topi kepada agensi ini kerana berani cuba menongkah arus. Para pegawai SPR tahu rapat umum adalah suatu yang sangat sensitif bagi pucuk pimpinan kerajaan. Sebenarnya mereka menghadapi risiko besar bila membangkitkan isu ini.

Lihat sajalah reaksi kaki-kaki bodek Umno dan Barisan Nasional (BN) terhadap cadangan itu. Apabila Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad membuka mulutnya menolak cadangan SPR itu, maka para pemimpin dan pelbagai pertubuhan pro-kerajaan tumpang mengkritik hasrat SPR itu.

Pemuda Umno yang pada mulanya enggan mengulas lanjut, tiba-tiba menjadi lantang menolak cadangan rapat umum itu. Malah ia pergi lebih jauh lagi, dengan mengingatkan SPR supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan sebarang kontroversi.

Apabila Dr.Mahathir menolaknya, disokong pula oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kemudian disambut oleh Datuk Seri Rafidah Aziz dan yang lainnya, itu bermakna hasrat SPR sudah berkubur.

Walaupun Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai memberi jaminan akan memberi pertimbangan yang adil kepada semua permohonan untuk berhimpun pada waktu berkempen, namun ia dilihat sebagai tidak lebih daripada janji-janji kosong.

Kebebasan berhimpun

Walau apapun reaksi parti pemerintah dan pembangkang terhadap cadangan SPR itu, suatu yang jelas telah ditonjolkan ialah "phobia " Dr Mahathir terhadap kuasa rakyat. Ramai diktator atau kerajaan yang tumbang oleh kuasa rakyat. Dan rapat umum adalah medan terkumpul dan bersatunya kuasa dan suara rakyat itu.

Rapat umum menjadi simbol kebebasan bersuara dan berhimpun. Inilah ciri-ciri demokrasi yang paling penting, namun ia tiada di Malaysia. Ia dijangka terus lenyap daripada kamus politik negara walaupun setelah Wira Dunia Ketiga bersara hujung Oktober ini.

Dr Mahathir telah menyaksikan bagaimana lebih 50,000 orang rakyat turun ke Masjid Negara untuk bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998. Beliau juga telah melihat bagaimana puluhan ribu berkumpul saban malam menghadiri ceramah Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Beliau belajar daripada pengalaman tahun 1998 dan 1999. Oleh sebab itulah, secara mentah-mentah, cadangan SPR itu ditolak.

Jadi apakah harapan kita sekarang. Pintu rundingan langsung tidak disediakan untuk isu rapat umum ini. Kita terus dinafikan hak untuk berhimpun di atas alasan mengawal keselamatan dan ketenteraman awam.

Sampai bila kita mesti dianggap seperti budak kecil atau orang yang tidak bertamadun? Begitu mudah mereka menuduh penyokong parti pembangkang tidak terkawal dan suka mencetuskan huru hara.

Di mana buktinya? Perhimpunan-perhimpunan besar pada 1998 dan 1999 tidak mencetuskan rusuhan, kecuali insiden-insiden kecil yang diragui siapa pencetusnya. Perhimpunan aman hanya menjadi hiruk-pikuk atau huru-hara apabila FRU mula menyembur air gatalnya dan menghayun baton ke arah orang ramai yang sedang bersurai.

Mengecewakan

Alasan-alasan yang diberikan untuk menolak cadangan SPR itu amat mengecewakan. Sepatutnya masyarakat umum, termasuk ahli-ahli politik dan para pemimpin negara semakin matang dan terbuka.

Tetapi setelah 46 tahun merdeka, ketakutan yang tidak berasas itu semakin menebal. Mereka makin berminda sempit walaupun mulut mereka bercakap soal globalisasi. Masih ramai yang takut dengan bayang-bayang sendiri!

Kerajaan yang berkuasa sekarang dan pucuk pimpinannya sebenarnya bukannya bimbangkan ketenteraman awam terganggu apabila rapat umum dibenarkan. Sebenarnya mereka bimbang akan kehilangan pengaruh dan kuasa kerana dalam rapat umumlah segala maklumat, isu dan rahsia-rahsia akan dibongkar.

Dengan menutup satu saluran komunikasi yang berkesan seperti rapat umum ini, ia akan lebih memudahlah maklumat dan fakta-fakta disekat dan disembunyikan. Ceramah tertutup di rumah atau dewan kecil, akhbar lidah rasmi parti dan Internet tidak mampu menjana kesan dan pengaruh seperti yang boleh dihasilkan oleh sebuah rapat umum.

Apa boleh buat, bukan salah ibu mengandung, tidak wajar menyalahkan Dr Mahathir 100 peratus apabila para pemimpin pembangkang sendiri sekadar berpeluk tubuh menerima keputusan kerajaan menolak hasrat SPR itu.

Sepatutnya hasrat SPR itu dijadikan satu titik tolak ke arah satu gerakan yang besar bagi memperjuangkan kebebasan bersuara dan berhimpun di negara ini.

Kalau parti-parti pembangkang sendiri kurang berminat untuk memperjuangkannya, kepada siapa lagi kita mahu mengadu dan mengharap? Pasrah sahajalah, sudah nasib kita! Seperti bunyi pepatah 'anjing menyalak bukit - bukit tidak akan runtuh jika disalak oleh seekor dua sahaja.