Estetik, politik dan perut boroi
Di India, China, negara Arab atau di Pakistan lelaki yang memiliki perut boroi atau perempuan yang gedebab akan dilihat sebagai mereka yang berjaya dalam hidup. Perut boroi ini diasosiasikan dengan watak zamindar atau tuan tanah atau ahli perniagaan yang melimpah ruah rezekinya.
Pada satu ketika dahulu Eropah juga memiliki estetika yang sama. Contoh terbaik ialah kerja seni Ruben yang tersimpan dipelbagai muzium; kita dapat melihat badan-badan gadis montok yang dijadikan ilham lukisn Ruben. Estetika - menilai keindahan- telah mengalami evolusi dan terus berubah.
Perubahan ini berlaku kerana munculnya imej yang semakin senang dibingkaikan. Seawal permulaan sejarah lagi manusia telah membingkaikan imej. Penemuan imej raja-raja Mesir kuno dari galian arkeoloji, membuktikan betapa manusia di zaman kuno lagi telah sedar tentang makna dan tanda imej.
Di India, China, negara Arab atau di Pakistan lelaki yang memiliki perut boroi atau perempuan yang gedebab akan dilihat sebagai mereka yang berjaya dalam hidup. Perut boroi ini diasosiasikan dengan watak zamindar atau tuan tanah atau ahli perniagaan yang melimpah ruah rezekinya.
Pada satu ketika dahulu Eropah juga memiliki estetika yang sama. Contoh terbaik ialah kerja seni Ruben yang tersimpan dipelbagai muzium; kita dapat melihat badan-badan gadis montok yang dijadikan ilham lukisn Ruben. Estetika - menilai keindahan- telah mengalami evolusi dan terus berubah.
Perubahan ini berlaku kerana munculnya imej yang semakin senang dibingkaikan. Seawal permulaan sejarah lagi manusia telah membingkaikan imej. Penemuan imej raja-raja Mesir kuno dari galian arkeoloji, membuktikan betapa manusia di zaman kuno lagi telah sedar tentang makna dan tanda imej.
Di zaman Pencerahan (Renaissance) imej telah dibingkaikan melalui lukisan. Di zaman ini pembingkaian imej telah dipecahkan, ianya tidak lagi dimonopoli oleh para padri atau ahli-ahli gereja sahaja tetapi untuk sesiapa saja yang memiliki dana dan berupaya mengupah si pelukis. Satu pola zaman Pencerahan ialah terpisahnya imej kuno dengan kemunculan era imej moden yang rasional.
Hari ini, pembingkaian imej semakin demokratik - semakin murah dan boleh dilakukan oleh sesiapa saja. Semua ini berlaku kerana penemuan celluloid dan konsep teknologi kamera. Ini disambut pula oleh teknologi video dan imej elektronik yang membolehkan imej diampohkan seluaskan mungkin.
Ahli politik zaman moden ini, sama seperti di zaman Mesir kuno, telah memiliki kesedaran tentang peranan mitos imej dan kuasa. Semua imej memiliki nahu dan susunan tatabahasa. Imej dibentuk, disusun dan dikonstruk untuk melahirkan pengucapan. Hari ini, alat penyampaian imej ialah media cetak dan media elektronik.
Peralihan dari satu era ke satu era, memerlukan satu babak sejarah atau satu kejadian yang dianggap sebagai garis pemisah. Pada 1956, Roger Vadim di Paris telah membuat
And The God Created Woman
dengan Briggite Bardot.
Pereka imej
Filem ini telah mengubah imej bentuk badan perempuan, bukan sahaja di dalam filem, tetapi keseluruhan konsep imej dan seksualiti di Eropah. Untuk imej politik, era pemisah imej politik lama dengan imej politik baru ialah perdebatan di hadapan kamera TV secara langsung antara Senator John F Kennedy dengan Vice President Richard Milhouse Nixon pada 1960.
Perdebatan di hadapan kamera ini telah menonjolkan imej JFK dan dibaca sebagai ahli politik yang lebih diyakini untuk memimpin Amerika berbanding imej Richard Nixon. Semenjak saat itu, pembingkaian imej untuk orang politik, telah menjadi satu seni dan satu displin ilmu. Hari ini, si pembuat dan si pereka imej telah diterima untuk menjadi sebahagian daripada juak dan balachi orang politik.
Pereka dan pembuat imej yang terulung berpusat di Hollywood. Di sinilah gudang yang melahirkan sefer, bahasa dan nahu estetika imej - apa yang dilihat cantik dan apa yang tidak dilihat cantik. Walaupun televisyen bermula di United Kingdom dan teknik bayang bergerak ditemui di Peranchis, tetapi kerana kuasa modal dan kuasa imperial Amerika, maka Hollywoodlah yang dapat membentuk nahu imej dunia hari ini.
Hampir satu kurun, bentuk imej telah diberi nahu, dihidupkan tatabahasanya dan dibingkaikan melalui bayang bergerak dari Hollywood. Imej-imej klise , sterotaip atau hampir stereotaip, terus lahir dari gudang ini. Nahu dan bahasa imej ini telah boleh difahami oleh awam dari Riyadh ke Rejevik, dari Boston ke Broga.
Lihatlah bagaimana orang gemuk dibaca bebal melalui watak komik Laural dan Hardy atau melalui watak Three Stooges. Arab dibaca sebagai ganas, gadis kota Paris dibaca chic dan bergetah, lelaki Italy boleh dicurigai perangainya atau jantan dari Amerika Latin berpotensi sebagai pengedar dadah.
Memang ada perlawanan terhadap bentuk-bentuk imej klise ini tetapi kerana kekuataan dana modal perlawanan ini jarang mendapat kejayaan. Tuan yang empunya modal terus memiliki saluran penyebar imej (baca: tv dan wayang gambar). Maka nahu dan bahasa imej-imej ini terus berkembang dari tangan mereka. Hollywood terus menjadi gedung perpustakaan untuk rujukan imej.
Di Malaysia kesedaran di kalangan ahli politik tentang imej telah datang agak awal. Pada tahun 197-'an semasa Ibrahim Ali (
kiri
) menjadi pemimpin mahasiswa, giginya agak jongang. Gigi ala- Tompel ini membentuk imej beliau sebagai seorang pelawak dan bukan seorang pemimpin pelajar yang serius pemikirannya. Ibrahim Ali, yang kemudianya menjadi seorang menteri telah mengubah imej mukanya dan melupuskan gigi Tompelnya (
kanan
).
Ubah imej
Bagitu juga dengan Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Semasa menjadi anak mahasiswa tahun 70-an di Universiti Malaya, Rosmah dikenali sebagai Dotty untuk kawan-kawan baiknya. Paggilan Dotty ini mengambil sempurna satu 'dot' - tompok hitam - yang tumbuh hidup d sebelah kanan bibir bawahnya.
Tompok tahi lalat yang membesar ini telah mencoreng keindahan imej mukanya. Dengan penuh kesedaran untuk membantu kerja dan imej politik suaminya, Datin Rosmah telah melalui proses pembedahan untuk melupuskan 'dot' nya. Hari ini nahu imej Datin Rosmah boleh dibaca sebagai isteri menteri yang paling elegan, bergaya, berwibawa dan ranggi, walaupun tidak selangsing aktress Ziana Zain.
Perkara mengubah imej untuk membawa satu nahu yang baru bukan hanya dilakukan di Malaysia. Anak perempuan seorang pekedai runcit yang yang agak comot bernama Margaret Thatcher telah memasuki politik Britain pada tahun 1959.
Thatcher yang dilihat berimej comot telah menjadi perdana menteri pada tahun 1979. Dengan cepat para pereka imej telah mengubah dandanan rambut Thatcher dan menggayakan perdana menteri baru ini dengan pakaian yang dipotong dari kota Paris.
'Thatcher Baru' muncul untuk dibaca sebagai PM yang lebih elegan dan segak. Hasilnya partai Conservative telah memerintah Britain selama empat penggal dan Thatcher menjadi perdana menteri selama 13 tahun, yang paling lama dalam sejarah parlimen United Kingdom.
Di kalangan partai pembangkang di Malaysia, amat jelas kelihatan bahawa mereka kurang sedar akan peranan imej dan semiotik. Contoh yang terbaik tentang fikiran mundur ini dapat dibaca dalam satu klip berita RTM semasa menyambut hari Merdeka tahun ini.
Klip ini memperlihatkan Menteri Besar Terengganu sedang menerima tabik hormat dari rakyat. Di atas pentas si menteri besar ini tegak berdiri solo dengan memakai jubah putih yang sendat dengan vest Ali Baba tenunan Kabuli. Amat jelas sekali dilihat perutnya yang boroi.
Imej sosialis
Ini bukan mempertikaikan kewibawaan pimpinan menteri besar Terengganu. Tetapi dari segi ilmu semiotik, kewujudan menteri besar ini di atas pentas tidak menimbulkan 'rasa yakin' rakyat Malaysia yang berbilang bangsa terhadap pimpinan dari sesiapa saja yang berperut boroi.
Bagitu juga dengan baju sempit lengan pendek dan capal kulit Syed Husin Ali. Ada yang membaca sebagai pakaian 'sempoi' orang yang bersimpati kepada gulungan tertindas. Atau ini satu imej sosialis. Sebenarnya ini bukan imej sosialis. Ini adalah imej hasil dari salah takrifan tentang falsafah dan pandangan dunia sosialisma.
Gerakan sosialisme membawa pandangan dunia yang merayakan kehidupan - bergembira dengan semua yang indah, cantik dan elegan. Jika gerakan sosialisme tidak membuka ruang untuk menari, menyanyi dan merayakan kehidupan itu bukan sosialisme namanya, ini dipanggil kenduri tahlil.
Wajib disedari bahawa dua puluh dua juta rakyat Malaysia tidak mungkin semuanya dapat mengenali hati, budi, pemikiran dan kewarakan Haji Hadi atau mengenali falsafah perjuangan Syed Husin Ali. Apa yang difahami oleh orang ramai hanyalah melalui pembacaan nahu dan tatabahasa imej dari kaca TV.
Dan imej-imej ini sedang dikonstruk dan sedang dibingkai dalam ingatan mereka. Semua manusia membuat hitungan awal dengan membaca melalui mata dahulu sebelum mengambil apa-apa keputusan didalam minda mereka..
Cuba kita perhatikan imej muka Muhyiddinn Yassin. Jika yang berhormat ini pindah ke Hollywood pasti dia akan diberikan peranan sebagai kaki pukul. Dengan badan yang sembab dan leher yang berlapis, bekas menteri besar Johor ini akan terjerumus kepada watak klise penyuludup dadah dari Colombia.
Ini ditambah pula dengan gerak matanya yang liar ketika menghadap kamera semasa ditanya oleh wartawan. Dari kajian ilmu semiotik dan teknik 'method acting' mata yang liar dimiliki oleh watak yang tidak boleh dipercayai.
Perut boroi
Imej yang disalurkan melalui kaca TV begitu penting dan ini disedari oleh juak-juak pembuat dan pembingkai imej bakal perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi. Di hari Amerika menyerang Iraq , tujuh bulan dahulu, TPM ini telah muncul diwaktu pagi dengan kenyataan dasar rasmi kerajaan Malaysia terhadap pencerobohan Amerika. Sayangnya pembingkaian imej ini dilakukan dengan tergesa-gesa.
Cermin matanya terlondeh diatas hidung seperti watak Bapak Beruang yang telah dibingkaikan oleh Hollywood. Yang jelas menonjol ialah lipatan kain sampingnya yang cuba menutup perutnya yang boroi. Hasilnya menampakkan nahu bahawa kewibawaan bakal perdana menteri ini tidak menyerlah.
Tapi, kerana negara ini dipanggil Malaysia dan media tidak bebas bersuara maka dibolehkan ucapan ini diulang rakam tanpa apa-apa komen dari media itu sendiri. Klip ucapan yang isinya sama tapi pembingkaian yang berlainan telah ditayangkan untuk berita perdana di sebelah malam. Dirakaman kedua, si pereka imej telah mengenakan baju dan mendandankan Pak Lah untuk dibaca segak, pintar dan berilmu. Untuk pengkaji ilmu media, dua imej TPM yang berbeza-beza ini wajib dijadikan bahan kajian ilmu semiotik.
Jika rakyat membaca imej politikus di negara kita hari ini melalui kaca TV dan mereka secara bebas diberi peluang memilih, maka tiga imej ahli politik kerajaan yang dibaca berwibawa akan muncul - imej Rafidah Aziz, Rais Yatim dan Mohamad Taib. Ketinggian susuk badan Muhamad Taib amat menyakinkan untuk dijadikan pemimpin.
Mukanya yang manis boleh menawan seorang lagi puteri raja. Kata-kata mulut dan nahu pengucapan termasuk bahasa badan Rais Yatim amat tersusun dan boleh mempersona mak cik dari Felda. Gaya, gerak, dandan rambut, hiasan mutiara di leher dan bahasa badan yang dimiliki oleh Rafidah Aziz dibaca urbane dan kosmopolitan - setaraf dengan ahli-ahli politik antarabangsa.
Dalam era media elektronik dan sound bit, imejlah yang menjadi jurumudi untuk memperkasa kewibawaan dan kejempolan ahli politik. Imej adalah satu mitos sama seperti mitos-mitos yang lain, ianya diperlukan untuk menupang kehidupan manusia moden. Imej bukan hakiki atau kebenaran - samalah seperti politik. Politik juga bukan kebenaran tapi persepsi orang ramai tentang kebenaran yang diolah.
Jadi jangan menjadi hairan jika terus melihat poster-poster imej Mahathir Mohamad (B) yang dilihat muda seperti posternya di kempen pilihanraya yang lepas-lepas atau imej mudanya di kaca RTM, walaupun kulit lehernya telah berlipat-lipat.
Semua imej dikonstruk untuk dibaca, hanya mereka yang tidak ingin memahami ilmu semiotik saja akan terus memboroikan perut untuk dilihat sebagai zamindar, tuan tanah atau seorang tauke yang rasuahnya telah berjaya membawa rezeki melimpah ruah. Imej samalah seperti mitos Ibrahim Ali yang telah mengubah mukanya untuk dibaca secara serius tetapi di belakang imej ini masih wujud lagi seorang Tompel.

