Ini kisah pelepah kelapa dan pelepah pisang. Apa bezanya antara kedua-duanya? Nampak seperti sama sahaja sebab kedua-duanya adalah pelepah. Kalau sama sahaja, apa pula keistimewaannya hingga ia patut diperkatakan dalam kolum kita minggu ini?
Sebenarnya ada perbezaan besar antara pelepah kedua-dua pokok itu. Pelepah kelapa apabila sudah tua, dengan sendirinya ia akan jatuh ke bumi. Atau dalam bahasa orang politik, apabila sudah sampai masanya, dengan sukarela seseorang pemimpin itu akan berundur.
Pelepah pisang pula lain sifatnya, makin tua makin susah atau liat untuk luruh atau gugur ke pangkalnya. Sampai reputpun, pelepah pisang tetap berpaut pada batang pisang. Pelepah pisang tidak sanggup turun dari tempat yang didudukinya walaupun di atasnya sudah penuh dengan pelepah-pelepah yang lebih segar dan muda.
