Ajaran Sufi Khoja Nasrudin
Saya paling tertarik sekali dengan ajaran falsafah sufi dan zen. Jika saya dilahirkan sekali lagi dan diberi pilihan, pasti saya akan memilih untuk mencari seorang zen master atau menjadi anak murid setia seorang mahaguru sufi untuk mengasak makna diri dalam mencari erti kehidupan ini.
Ada sesuatu yang menarik didalam ajaran sufi dan zen ini. Ada sesuatu yang halus dan transedental. Sesuatu yang tidak mungkin dapat dipegang, dihidu atau dihirup tetapi hanya dapat dirasakan oleh jiwa.
Saya mengetahui tentang sufi dan zen melalui bacaan kitab-kitab terjemahan. Siapa yang mengikuti/membaca ilmu sufi dan zen pasti mengenal Idries Shah, D.T. Suzuki dan Alan W. Watts.
Pasti juga akan bertemu dengan bait-bait shair/puisi sufi Maulana Jalaludin Rumi dari kitab Mathawi. Dari kitab-kitab Idries Shah saya mula berkenalan dengan watak Khoja Nasrudin/Mulla Nasrudin.
Siapa Khoja/Mulla Nasrudin tidak pula ada tromba yang sahih tentang asal-usul perutnya. Sama seperti watak Santa Klaus yang ingin dijadikan warga oleh Sweden, Finland, Denmark dan German; Khoja Nasrudin juga ingin dimiliki oleh banyak negara.
Saya paling tertarik sekali dengan ajaran falsafah sufi dan zen. Jika saya dilahirkan sekali lagi dan diberi pilihan, pasti saya akan memilih untuk mencari seorang zen master atau menjadi anak murid setia seorang mahaguru sufi untuk mengasak makna diri dalam mencari erti kehidupan ini.
Ada sesuatu yang menarik didalam ajaran sufi dan zen ini. Ada sesuatu yang halus dan transedental. Sesuatu yang tidak mungkin dapat dipegang, dihidu atau dihirup tetapi hanya dapat dirasakan oleh jiwa.
Saya mengetahui tentang sufi dan zen melalui bacaan kitab-kitab terjemahan. Siapa yang mengikuti/membaca ilmu sufi dan zen pasti mengenal Idries Shah, D.T. Suzuki dan Alan W. Watts.
Pasti juga akan bertemu dengan bait-bait shair/puisi sufi Maulana Jalaludin Rumi dari kitab Mathawi. Dari kitab-kitab Idries Shah saya mula berkenalan dengan watak Khoja Nasrudin/Mulla Nasrudin.
Siapa Khoja/Mulla Nasrudin tidak pula ada tromba yang sahih tentang asal-usul perutnya. Sama seperti watak Santa Klaus yang ingin dijadikan warga oleh Sweden, Finland, Denmark dan German; Khoja Nasrudin juga ingin dimiliki oleh banyak negara.
Di Turki, Nasrudin menjadi orang Turki. Di Iran beliau menjadi orang Parsi. Saya juga pernah menonton sebuah filem animasi dari Tiongkok yang mewatakkan Khoja Nasrudin sebagai warga Sinkiang. Pakistan/India/Afganistan semuanya mengakui yang si Khoja ini anak kelahiran tempatan.
Ditenggelami banjir
Dari mulut Khoja Nasrudin inilah keluarnya surah, 'parable' dan cerita-cerita yang memiliki berlapis-lapis tafsiran. Sufi memberikan ruang bebas untuk pengamal/penganutnya membuat tafsiran sendiri, berasaskan pengalaman hidup yang terkumpul.
Tidak wujud ritual yang menyempitkan atau menganggap yang itu ajaran sesat, yang ini yang betul atau cara sufi sahaja yang benar. Amalan mazhab sufi dan zen memberi pengikutnya mencari dan membuka pintu hati sendiri. Inilah yang menjadikan saya bagitu tertarik dengan sufi dan zen.
Salah satu surah yang pernah saya dengari bukan dari mulut Khoja Nasrudin, tetapi saya pungut dari kitab Idries Shah. Kisahnya begini: Sebuah kampung telah ditenggelami banjir yang maha hebat. Ramai penduduk kehilangan nyawa. Ramai juga yang berpindah ke kawasan lebih tinggi.
Seorang Pak Tani yang warak enggan berundur kerana dia ingin menjaga rumahnya. Hujan semakin lebat dan air semakin meninggi. Rumahnya sedikit demi sedikit ditenggelami air. Akhirnya dia naik ke atas bumbung dan terus bersembahyang dan berdoa meminta pertolongan dari Yang Maha Esa.
Sebuah perahu yang padat dengan penumpang melintas di hadapannya. Orang dalam perahu memintanya turun dari bumbung dan menaiki perahu itu untuk diselamatkan. Dia enggan kerana katanya, Yang Maha Esa akan datang menyelamatkannya.
Dia bersembahyang hajat dan meminta pertolongan lagi. Tiada seorang insan yang muncul, hanya sebatang kayu balak yang datang melanggar dinding rumahnya. Sekali lagi dia bersembahyang hajat dan minta pertolongan dari Yang Maha Esa.
Insan warak
Hari semakin gelap dan rumahnya semakin goyang. Kali ini yang melintas di hadapannya hanyalah sebuah tong kosong yang terapung-apung. Akhirnya rumahnya dipukul air dan Pak Tani ini mati tenggelam.
Apabila Pak Tani ini sampai ke hadapan Yang Maha Esa , dia pun marah. Dia menerangkan bahawa dia telah mengamalkan semua yang disuruh dan berusaha untuk menjadi insan yang warak tetapi mengapa Yang Maha Esa tidak menghantar bantuan semasa dia dalam kesusahan.
Lalu diterang oleh Yang Maha Esa , bahawa tiga kali pertolongan telah dihantarkan - pertama perahu, kedua kayu balak dan ketika tong kosong. Kebebalan saja yang menutup mata dari melihat semua ini adalah pertolongan dan bantuan dari Yang Maha Esa.
Saya cukup tertarik dengan surah ini. Surah atau 'parable' ini memiliki satu ajaran yang tepat dalam konteks masyarakat kita hari ini. Sejak 1998 penganut Islam, Kristian, Hindu dan Buddha telah melakukan sembahyang dan berdoa kepada Yang Maha Esa agar kezaliman di negara ini dihapuskan dan keadilan dapat ditegakkan.
Penganut agama Islam dari dalam dan luar negara telah melakukan banyak sembahyang hajat meminta kepada Yang Maha Esa agar Anwar Ibrahim yang teraniaya dibebaskan. Saya juga mendengar berita sahih bagaimana ramai umat Islam yang warak, semasa berumrah atau menunaikan Haji, berdoa dan bersembahyang hajat di depan Kaabah agar Anwar dibebaskan .
Tiga ribu tahun dahulu, warga Greek kuno juga telah berdoa dan melakukan sembahyang hajat. Jika ada warga Greek dalam kesusahan, mereka akan pergi ke Delphi (tempat suci) untuk meminta bantuan dari dewa Apollo. Melalui Oracles (orang perantaran) permintaan mereka akan dijawab oleh dewa Apollo.
Langit terbelah
Ini tiga ribu tahun dahulu, tamadun dunia telah jauh berkembang tetapi manusia masih lagi meminta dan berdoa kepada Yang Maha Esa. Hanya peranan Oracles tidak wujud lagi dalam konteks pascamoden umat manusia hari ini.
Lalu, timbul persoalan apakah Yang Maha Esa tidak mendengar doa dan permintaan ini. Atau apakah sembayang hajat dan pelbagai doa yang dilafazkan sejak 1998 telah lupus begitu sahaja. Untuk menengadah ke langit dan menunggu jawapan dari Yang Maha Esa adalah satu perbuatan yang sia-sia. Tidak mungkin langit akan terbelah dan Yang Maha Esa akan muncul untuk memberi jawapan.
Jawapan untuk persolan ini akan ditemui dalam ajaran sufi dan zen. Mengikut surah atau 'parable' sufi Yang Maha Esa telah memberi jawapan. Jawapannya ialah perlantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri Malaysia.
Untuk pengikut sufi dan zen, kami tidak akan merasa hairan atau menggelengkan kepala tidak percaya. Untuk saya di sinilah keindahan tafsiran surah pemahaman sufi dan zen - berlapik dan berlapis dengan keindahan yang mungkin melucukan tetapi transedental.
Ucapan pertama Abdullah di Parlimen cukup menarik. Beliau ingin membawa satu perubahan, meluaskan ruang demokrasi dan mengganyang rasuah. Tagline - (saya gagal untuk menterjemahkan sepadat mungkin perkataan 'tagline' ini - paling hampir ialah iklan jual ) - mari berkerja bersama saya dan bukan bekerja untuk saya.
Cukup lunak iklan jual ini seolah-olah bunyi suara Khoja Nasrudin yang sering saya baca dari kitab sufi dan zen. Pasti ada di keliling perdana menteri ini penasihat yang memberikan iklan jual ini. Atau mungkin ada si penasihat yang dipengaruhi ajaran sufi dan zen. Atau ini hanya satu retorik awalan sebelum kuku diasah dan taring digosok.
Kisah lucu
Dalam ajaran sufi dan zen, semuanya ada sebab-musabab dan ada muslihat/hikmah di sebalik apa yang terjadi. Tidak ada sesuatu yang akan berlaku hanya dengan kun fiyakun. Semuanya melalui garis besar yang diatur oleh karma seseorang. Apa yang berlaku/terjadi semuanya memiliki rahsia transedental yang hanya mata dan jiwa yang halus dapat melihatnya.
Perhatikan susuk yang dipanggil Abdullah Ahmad Badawi ini. Dengarkan desas-desus dengan telinga yang terang akan segala macam cerita, labon di warong dan di coffee house di sekitar ibu kota.
Atau cuba bersembang dengan pegawai/eksekutif syarikat tempatan atau asing atau pemegang dana pelaburan dari syarikat antarabangsa. Semua mereka akan tersenyum dan membawa beberapa anekdot lucu tentang perdana menteri baru kita ini.
Anekdot paling akhir ialah pengakuan beliau yang telah menggigil dan menangis apabila mendapat kerja baru. Disiahkan oleh malaikat empat puluh empat, janganlah Uncle George datang sekali ke Bursa Saham Kuala Lumpur. Saya sendiri merasa kecut, dapat kerja baru pun menggigil, kalau Uncle George datang mungkin pemimpin kita ini akan jatuh demam kepialu.
Cerita dan anekdot yang seperahu banyaknya ini bukan dari mulut orang PAS, atau dari penyokong Parti Keadilan Rakyat, atau dari penyokong Tengku Razaleigh Hamzah atau dari Mat-Gian-Kontrek-Penyokong-Anwar.
Ini cerita-cerita yang banyak tersebar sebelum Abdullah berpindah ke Putrajaya lagi. Labun-labun ini mengingatkan saya kepada bekas pemimpin negara jiran kita, Tuan Estrada. Banyak anekdot yang melucukan terhambur dari mulut Tuan Estrada, sehinggakan dapat dicetak beberapa buah kitab untuk merakamkannya.
Kisah dukalara
Ini diikuti pula oleh watak kedua, Balak Sang Najib yang pasti akan muncul tidak lama lagi. Walaupun beliau memiliki tanda-nama-keluarga yang anggun lagi jempul, tetapi surah ayahandanya kurang diminati ramai.
Labun-labun di warong yang terus menarik perhatian ialah tentang pertarungan Balak Sang Najib di tepi pantai melawan enam Tok Mudim yang ingin menyambar seorang penyanyi. Kisah dukalara pengembaran Sang Najib ini cukup menarik dan pasti akan memeriahkan lagi suasana istana di Putrajaya.
Pengembaraan Sang Najib menjadi 'technicolour' apabila muncul Datin Rosmah aka Dotty - sang isteri yang amat ambisious yang pernah dilawakkan sebagai menteri pertahanan kedua Malaysia. Anekdot ini akan hanya tinggal anekdot jika tidak diikuti pula oleh kemunclan Datin Hendon.
Di warong-warong, lawak-lawak telah mula kedengaran tentang bagaimana dua perempuan Melayu terakhir ini akan mengadakan pertempuran sengit. Ini adalah ibu dan ayah dari semua pertempuran, lebih gah dari Desert Storm.
Kini dua perempuan Melayu terakhir ini sedang berlatih dan menguja telinga dan leher siapakah yang lebih kukuh untuk memikul intan dan berlian. Siapa di antara mereka yang akan menjadi perempuan Melayu Pertama.
Akhir sekali akan terapung-apung di Putrajaya tong kosong seorang tauke anti-VCD-haram. Tauke ini pernah dilihat di suatu pagi menangis bersendirian di kawasan tanah perkuburan di Johor Bahru.
Barisan Alternatif
Apabila rakyat gempar dan bertanya kenapa Tok Menteri menangis, beliau menjawab - semua tanah di Johor Bahru telah dapat dijualkan kepada rakyat Singapura, sedih sekali tanah perkuburan ini sahaja yang belum dapat dijual.
Tauke anti-vcd-haram ini disurahkan amat susah untuk tersenyum walau pun telah melanggan beberapa penasihat dan jurusolek profesional dari negara atas angin. Hanya susuk sahaja yang belum dipakai untuk memaniskan mukanya.
Di warong, desas-desus juga telah didengar bagaimana kempen mencari vcd haram baru-baru ini sebenarnya bertujuan juga untuk mencari satu VCD yang pelakon utamanya ialah Balak Sang Najib. Beginilah lekehnya wacana politik di Malaysia - dari warong hingga ke universiti - semuanya telah merosot. Ini dibantu pula oleh media Melayu arus perdana yang bersama-sama menjana kemerosotan fikrah pembacanya.
Untuk pengamal sufi dan zen, semua ini adalah rintik buih dan tanda-tanda yang disampaikan oleh Yang Maha Esa kepada rakyat Malaysia. Hanya mereka yang bebal saja, seperti Pak Tani yang gagal membaca tanda-tanda bantuan yang didatangkan oleh Yang Maha Esa untuk menyelamatkannya.
Para pemimpin Barisan Alternatif dan aktivis gerakan reformasi yang sedang tersangkut di atas bumbung perjuangan wajib melihat tanda-tanda ini sebagai perahu, kayu balak dan tong kosong yang datang membantu untuk mendirikan Malaysia yang lebih demokratik.
Dalam masa lima atau sepuluh tahun ini, jika tanda-tanda dan rintik-rintik ini gagal dibaca oleh Barisan Alternatif untuk dimanfaatkan sebagai satu gerakan massa, saya mencadangkan kita lupakan sementara cita-cita untuk mendirikan Malaysia yang lebih adil, telus dan terbuka luas ruang demokrasinya.
Lebih baik kita ke Kashmir atau ke Kathmandu, sambil menghisap charas kita sama-sama mendalami ajaran Khoja Nasrudin atau mencari seorang zen master. Atau mengambil pilihan yang satu lagi: Kita terus membebalkan diri seperti Pak Tani yang warak itu dan menunggu untuk ditengelami banjir.

