Menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima adalah suatu yang sangat sukar dan paling mencabar. Perdana menteri yang keempat telah meninggalkan piawaian yang sangat tinggi, standard yang susah untuk dicapai oleh mana-mana pemimpin selepasnya.

Ini menjadikan tugas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi amat sukar. Segala gerak-geri beliau akan dibayangi imej Tun Dr Mahathir Mohmad. Pak Lah akan sentiasa dibandingkan dengan Che Det. Ramai yang kurang yakin Pak Lah dapat memikul tugas dan tanggungjawabnya, apa lagi untuk menyaingi atau menyamai pencapaian dan prestasi Che Det selama 22 tahun itu.

Kini sudah sebulan anak ulama dari Pulau Pinang itu menerajui negara. Beliau cuba memperlihat sesuatu yang berbeza dari Dr Mahathir. Paling ketara ialah'stail' kepimpinan dan pendekatannya. Perwatakan Pak Lah amat berbeza dari Che Det. Beliau terkenal dengan lebah lembut, sopan santun dan diplomasinya. Perbezaan ini sedang digarap oleh agen propaganda Pak Lah.

Kalau kita perhatikan, media massa arus perdana sedang mengeksploitasi perbezaan latar belakang akademik Pak Lah dengan Che Det. Latar belakang keagamaannya yang kuat dan sifat lemah-lembutnya ditonjolkan bagi menjulang beliau sebagai pemimpin serba boleh. Beliau bukan sahaja boleh memimpin negara dan bercakap soal dunia, malah boleh menjadi imam.

Ini satu kelebihan bagi Pak Lah dan kerapkali sepanjang bulan puasa, dilaporkan mengimamkan sembahyang maghrib, isyak dan tarawih. Ini bukannya riak tetapi satu keistimewaan dan kebolehan yang memang ada pada Pak Lah. Tidak ramai pemimpin Umno mempunyai kebolehan ini. Ini suatu perkara yang tidak pernah ditonjolkan pada era Dr Mahathir.

Selama sebulan ini juga Pak Lah menjalani ujian yang mendebarkan. Nampaknya beliau lulus ujian itu. Sebahagian besar rakyat dan ahli Umno menerima cara kepimpinannya. Rakyat dapat merasa sifat keperihatinan dan kesederhanaannya. Sepanjang sebulan ini, Pak Lah membuktikan, di dalam kelembutanya itu, beliau sebenarnya sangat tegas. Di dalam sopan-santun dan senyum manisnya, Pak Lah telah mula menunjukkan taring.

Tidak terburu-buru

Ini dapat dilihat dari beberapa tindakan besar yang telah dilakukannya. Sama ada disedari atau tidak oleh rakyat, beliau perlahan-lahan menunjukkan "I am the boss." . Pertama sekali, beliau tidak terburu-buru dalam isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM). Walaupun didesak pelbagai pihak dan telah ditunjukkan oleh Dr Mahathir bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak adalah calon yang paling sesuai, namun beliau tetap "cool ".

"Tunggulah masa yang sesuai, saya akan umumkan timbalan saya" Demikian jawapannya setiapkali ditanya oleh para wartawan. Beliau tidak tunduk pada tekanan dan desakan sesiapapun. Pak Lah benar-benar menggunakan hak dan budi bicaranya sebagai perdana menteri dalam menangani isu TPM ini.

Begitu juga dalam isu penyenaraian Felda di bursa saham. Pak Lah juga tidak terburu-buru walaupun Dr Mahathir mengumumkan dalam Bajet 2004 bahawa ia akan dilaksanakan secepat mungkin. Sebaliknya beliau mahu kajian terperinci dilakukan supaya kepentingan peneroka tidak terabai. Pak Lah meletakkan kepentingan rakyat seiring dengan kepentingan korporat.

Perdana menteri baru kita ini juga menunjukkan taringnya apabila mengumumkan kerajaan belum menandatangni apa-apa perjanjian dengan konsortium MMC-Gamuda bagi pembinaan landasan keretapi berkembar bernilai RM14 bilion. Menurutnya, hanya surat tawaran diberikan kepada konsortium yang diterajui Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhari itu.

Pak Lah telah membayangkan pemberian tender secara anugerah kepada konsortium itu mungkin ditarik balik jika pihak syarikat dan kerajaan tidak mencapai kata sepakat berhubung syarat-syarat perjanjian yang bakal ditandatangani. Pengumuman pemberian tender itu kepada MMC-Gamuda dibuat sehari sebelum Dr Mahathir bersara.

Ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kerajaan India dan China kerana sebelum ini satu persetujuan antara kerajaan telah dicapai untuk membina landasan keretapi itu secara usahasama antara tiga negara.

Cengkaman kuasa

Kesediaan Pak Lah mengkaji semula pemberian tender itu telah dilihat oleh pemerhati politik sebagai tindakan untuk menunjukkan kepada semua pihak, terutamanya jutawan segera bumiputera, bahawa perubahan sedang berlaku dalam pengendalian hal-ehwal perniagaan dan kewangan negara ini.

Isyarat telah dihantar bahawa perubahan regim bererti etika dan urus tadbir korporat dan perniagaan, juga akan berubah. Malah Pak Lah telah mengumumkan tiada lagi pemberian tender secara anugerah selepas ini. Zaman para usahawan yang menjadi kroni pemimpin tertentu mengemukakan kertas kerja untuk membolot sesuatu projek mega tanpa tender terbuka, sudah berakhir. Kini semuanya mesti mengikut prosidur!

Pak Lah juga mengukuhkan cengkaman kuasa dan pengaruhnya apabila mula meletakkan orang-orangnya di syarikat akhbar, agensi berita dan badan penyiaran. Beliau meletak orang kuatnya, Datuk Kalimullah Hassan di Bernama selepas tamatnya kontrak Datuk A Kadir Jasin.

Setiausaha Politiknya, Datuk Kamaruzaman Zainal pula dilantik mengetuai bahagian Hal-Ehwal Semasa dan Berita TV3. Dan yang terbaru, beliau menamatkan khidmat Datuk Abdullah Ahmad sebagai ketua pengarang kumpulan NSTP.

Dengan menggunakan alasan penyiaran rencana mengkritik keluarga diraja Arab Saudi, Abdullah yang pro-Najib itu diberhentikan. Kini rakyat dan ahli Umno menunggu perkembangan selanjut. Adakah beliau akan turut merombak Utusan Melayu , Berita Harian dan RTM ?

Pak Lah juga menunjukkan ketegasannya apabila pada minggu pertama perlantikannya, beliau mencanangkan keazamannya untuk membanteras gejala rasuah Memerangi gejala ini bukanlah keutamaan pada era sebelum Pak Lah. Beliau tidak mahu gejala buruk itu diwarisi pentadbirannya.

Permulaan langkah

Perdana menteri juga menunjukkan keperihatinannya kepada masalah rakyat apabila beliau turun padang melawat kaunter kerajaan yang berurusan dengan orang ramai. Lawatan mengejutnya ke ibu pejabat Imigresen adalah permulaan kepada langkahnya membaiki perkhidmatan jabatan kerajaan kepada rakyat.

Bukan setakat melawat, malah beliau mengarahkan sistem borang penilaian kepuasan pelanggan diperkenalkan untuk menilai mutu perkhidmatan kaunter. Yang terkini ialah pada musim sambutan Hari Raya Aidil Fitri ini di mana Pak Lah melahirkan kebimbangannya terhadap peningkatan kemalangan jalanraya pada musim perayaan.

Beliau telah mengarahkan media massa berkempen untuk menyedarkan para pemandu supaya sentiasa berhati-hati. Sifat keperihatinan pada perkara "kecil yang sebenarnya besar" ini tidak ketara pada pentadbiran sebelum ini. Kecederungan Pak Lah menitikberatkan "perkara-perkara kecil" seperti kemalangan jalan raya, perkhidmatan kaunter dan banjir ditafsir sebagai pendekatan baru untuk memenangi hati rakyat.

Pak Lah dikatakan memilih perkara-perkara yang selama ini diabaikan oleh Dr Mahathir dalam usaha menonjolkan kelainan dan keberkesanan kepimpinannya. Namun ada pihak mengatakan Pak Lah sebenarnya tidak mempunyai pilihan lain kerana segala yang "terbesar, terpanjang, tertinggi, tercanggih dan yang mega" telah dilaksanakan oleh Dr Mahathir. Benarkah begitu?

Tugas dan tanggungjawab Pak Lah sebenarnya penuh dilema. Bayang-bayang Che Det sentiasa mengekorinya.Dan rakyat nampaknya memerlukan masa yang lama untuk melupakan Dr Mahathir.