Margianah dan Kisah Seribu Satu Malam
Malam telahpun berlabuh semasa pesawat MEA (Middle East Airline) yang saya naiki dari Beirut tiba di Kota Baghdad. Perang saudara di Lebanon yang bermula pada 1974, telah saya tinggalkan. Telinga saya tidak lagi dibingari rentetan kalashnikov . Saya telah selamat dari jet pengebom Phantom Isreal yang meligari ruang udara Lebanon.
Ketika dalam teksi menuju ke hotel, khayalan saya berligar jauh melintasi masa, ruang dan umur. Kembali saya mengingati watak-watak yang telah saya kenali dalam Alf Layla wa Layla - kitab Seribu Satu Malam - kisah Raja Shahriza yang ingin memancung kepala isterinya, Puteri Sharazad.
Saya tidak sabar-sabar untuk meligari lorong-lorong kecil di Baghdad, Samara, Basra atau Mosul. Saya ingin mengikut jejak-jejak Aladin, Sindbad, Haroon al-Rasheed, Khalifah al-Mansoor, Abu Nawas atau Ali Baba. Bukan saya tidak menemui semua ini. Semuanya saya temui di Iraq.
Tapi sayangnya mereka telah lama wafat. Mereka telah meninggalkan kota Baghdad 500 tahun dahulu. Kitab klasik naratif Arab yang memperkenalkan kepada dunia watak-watak ini telah ditulis pada kurun ke-13 atau ke-14. Saya telah begitu terlambat.
Khalifah al-Rasheed hanya diingati oleh Jalan al-Rasheed, jalan tertua di tengah-tengah kota Baghdad. Al-Mansoor kini satu daerah perumahan di tepi Baghdad di mana para aparacik parti Baath dan mereka yang kaya bersangkar dan bersarang di sana. Shahrazad pula menjadi satu jenama bir yang punca airnya dari sungai Dajlah. Ali Baba terus menjadi nama restoran.
Malam telahpun berlabuh semasa pesawat MEA (Middle East Airline) yang saya naiki dari Beirut tiba di Kota Baghdad. Perang saudara di Lebanon yang bermula pada 1974, telah saya tinggalkan. Telinga saya tidak lagi dibingari rentetan kalashnikov . Saya telah selamat dari jet pengebom Phantom Isreal yang meligari ruang udara Lebanon.
Ketika dalam teksi menuju ke hotel, khayalan saya berligar jauh melintasi masa, ruang dan umur. Kembali saya mengingati watak-watak yang telah saya kenali dalam Alf Layla wa Layla - kitab Seribu Satu Malam - kisah Raja Shahriza yang ingin memancung kepala isterinya, Puteri Sharazad.
Saya tidak sabar-sabar untuk meligari lorong-lorong kecil di Baghdad, Samara, Basra atau Mosul. Saya ingin mengikut jejak-jejak Aladin, Sindbad, Haroon al-Rasheed, Khalifah al-Mansoor, Abu Nawas atau Ali Baba. Bukan saya tidak menemui semua ini. Semuanya saya temui di Iraq.
Tapi sayangnya mereka telah lama wafat. Mereka telah meninggalkan kota Baghdad 500 tahun dahulu. Kitab klasik naratif Arab yang memperkenalkan kepada dunia watak-watak ini telah ditulis pada kurun ke-13 atau ke-14. Saya telah begitu terlambat.
Khalifah al-Rasheed hanya diingati oleh Jalan al-Rasheed, jalan tertua di tengah-tengah kota Baghdad. Al-Mansoor kini satu daerah perumahan di tepi Baghdad di mana para aparacik parti Baath dan mereka yang kaya bersangkar dan bersarang di sana. Shahrazad pula menjadi satu jenama bir yang punca airnya dari sungai Dajlah. Ali Baba terus menjadi nama restoran.
Abu Nawas - seorang homoseksual, penyair, ahli falsafah dan penasihat Khalifah al-Rasheed; yang masa lapangnya digunakan untuk meligari kota Baghdad sambil mencari anak muda untuk menjadi teman tidurnya - kini diingati dengan sebatang lebuh di tepi sungai Dajlah. Di hujung lebuh ini tersergam patung Abu Nawas sedang tersenyum dengan secangkir arak.
Melawat muzium
Sindbad dan Aladin mungkin telah dimasukkan dikembali ke dalam botol oleh jin alfrit yang terus berkeliaran di gurun padang pandang pasir. Selain watak-watak ini, ada seorang lagi yang sedang saya cari.
Bila tiba musim sejuk, cuaca semakin renyai dan agak sejuk dan pencarian saya berterusan. Ketika itu, saya telah mengenali setiap lorong, setiap saouk, setiap kafe di Baghdad. Saya telah melawati semua muzium/sekolah gambar yang perlu dilawati. Untuk keselamatan, saya juga telah berpindah dari hotel di tengah pusat kota, ke Wisma Belia berhampiran hotel Sahara.
Ketika itu, hotel Palestin yang hari ini menjadi pusat dan kubu 'pendatang haram' di Baghdad, belum didirikan lagi. Hotel bertaraf antrabangsa hanyalah hotel Baghdad di Jalan al-Saadoon, tidak berapa jauh dari tebing sungai Dajlah dan selari dengan lebuh Abu Nawas. Setelah puas dan letih membaca saya akan mencari lagi. Saya akan melawati semua muzium yang berselerak di dalam kota Baghdad.
Ada muzium kedai teh, ada muzium pakaian, ada muzium rumah lama. Malah, kota Baghdad sendiri adalah sebuah muzium besar. Semua bangunan kedai dan rumah di sekitar kota semuanya telah berumur melintasi ratusan tahun. Di tengah-tengah Jalan al-Rasheed ada sebuah kafe yang umurnya telah melebihi dua ratus tahun. Di surahkan, di kafe inilah ramai intelektual dan intiligensia Baghdad datang bertandang minum cai dan kahwa sambil menghisap hukah.
Di sinilah juga mereka duduk berlabun dan berfikir. Barulah saya sedar bahawa asal usul 'caf society dan left bank chic ' kota Paris bermula dari jalan al-Rasheed. Caf-caf di Paris hanya ditokok tambah dengan adanya bersama anak gadis dan wanita yang elegan. Budaya Arab tidak berkemampuan membebaskan gadis dan perempuan untuk duduk bersantai di caf . Kafe di Paris, Jean Paul Satre dan Simon de Beauvoir hanya meniru dan meneruskan budaya kafe Arab.
Kota Baghdad mempunyai tradisi budaya dan intelektual yang lama dan kukuh. Telah menjadi satu diktum klise yang selalu kedengaran - buku ditulis di Baghdad, dicetak di Beirut dan dibincangkan di Damshik. Justeru sering ada pameran buku, lukisan dan pertunjukan seni tampak.
Tamadun Iraq
Di sekitar kota Baghdad - selain makam suci, masjid bersejarah - terdapat puluhan patung yang mengingati para penyair, seniman dan individu yang memberikan sumbangan kepada tamadun Iraq. Bila ada pameran lukisan, sama ada di balai seni lukis, dalam kampus atau di mana saja, saya akan pergi merayakannya sambil mencari-cari.
Malah ada satu pameran seni lukis yang paling demokratik yang pernah saya lihat; pameran lukisan di satu medan terbuka di kawasan perhentian bas. Dalam pencarian ini, saya kagum pula dengan usaha pendemokrasian seni. Tapi tidak ditemui apa yang saya cari. Di setiap pameran lukisan, saya akan mengamati dari dekat setiap bingkai lukisan untuk mencari Margianah - gadis yang telah menghantui berahi jantan saya semenjak saya sampai ke Baghdad.
Di manakah akan dapat saya temui Margianah. Bila nama Margianah melintasi ingatan saya terkenang kepada seniwati Sarimah yang diperkenalkan oleh P Ramlee untuk pertama kalinya dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Sarimah membawa watak Margianah, gadis hamba abdi yang dimilki Ali Baba. Sarimah adalah Margianah yang dikonstruk oleh Shaw Brothers. Margianah yang saya cari tidak pula saya ketahui rupa bentuknya.
Lalu musim bunga pun sampailah. Bunga-bunga di tepian sungai Dajlah berkembang segar. Cuaca di Baghdad menjadi nyaman. Di takdirkan pada satu petang di musim bunga ini, dalam perjalanan untuk membeli roti, saya ternampak seorang anak gadis di tepi tingkap sebuah banglo. Dia tersenyum. Apakah dia tersenyum kerana melihat anak muda asing melintas di depan rumahnya. Atau tersenyum kerana hatinya tertarik dengan anak muda ini.
Tidak ada debaran seberat ini yang pernah saya rasakan. Kali terakhir saya berdebar seperti ini apabila saya melihat Tok Mudim mengeluarkan pisaunya. Atau debaran seperti ini terjadi apabila kali pertama saya mendapat kucupan dari kekasih saya di kampung yang telah lama saya tinggalkan.
Esoknya, saya melintasi lagi di hadapan bunglo yang sama. Gadis itu masih lagi berdiri dan tersenyum di tepi tingkap. Kali ini saya bertandang membeli roti bersama dengan dua teman - Stan dan Ameer. Stan anak muda dari Poland yang sedang menunggu visa untuk ke Iran. Ameer pula anak muda keturunan Algeria yang menetap di Paris. Kedua mereka sedang bercuti dari Eropah.
Percintaan sulit
Saya telah bersurah kepada mereka tentang anak gadis di banglo ini. Ameer menerangkan bahawa gadis Arab bukan seperti gadis Eropah yang akan bercinta secara terbuka. Budaya padang pasir tidak membenarkan mereka meluahkan berahi mereka secara terbuka.
Dalam budaya Arab Badwi, mengikut Ameer, ada satu tradisi yang dipanggil 'aib'. Aib membenarkan kaum keluarga terutama saudara lelaki untuk membunuh adik/kakak perempuan mereka jika diketahui yang si gadis telah menjalin percintaan secara sulit.
Bila saya mendengar ini, maka saya teringat dengan percintaaan dan berahi sulit dalam Alf Layla wa Layla . Untuk saya, semua ini bukan menakutkan tetapi lebih memberahikan. Seperti seorang anak kecil yang melihat keranuman dusun rambutan di belakang pagar berduri, saya tidak dapat dinasihati lagi.
Lalu kami namakan gadis di tepi tinggap ini Margianah. Hanya saya tidak menjadi Ali Baba tetapi hampir menjadi seorang 'majnoon'. Inilah rupa-rupanya Margianah yang selama ini saya cari diseluruh kota Baghdad. Akhirnya saya bertemu juga. Tapi siapa namanya. Apakah dia boleh bertutur dalam bahasa asing selain bahasa Arab. Apakah dia anak kepada tuan banglo atau gadis pembantu.
Kini setiap petang, tanpa gagal, saya akan melintasi banglo Margianah. Mula-mulanya Margianah hanya berdiri di tepi tingkap dan tersenyum. Setelah hampir sebulan saya berulang alik, Margianah telah beralih dari tepi tingkap. Kini, di waktu saya melintasi banglonya, Margianah telah turun ke halaman rumah untuk menyapu atau menyiram bunga.
Stan dan Ameer telah menggalakkan saya untuk melakukan sesuatu. Lalu pada suatu petang, saya memberanikan diri, seperti dalam kitab Alaf Layla wa Layla - saya mencuri memasuki perkarangan rumah. Dengan hati yang berdebar saya menghampiri Margianah. Dia tegak berdiri dan tersenyum.
Penyerang berani mati
Kami berhadapan dan bertentang mata, tetapi .tidak ada satu sabdu yang muncul dari mulut saya. Ayat-ayat Arab yang diajarkan oleh Ameer semuanya hilang dari ingatan. Kami hanya tersenyum dan akhirnya ketawa. Tidak sampai tiga minit saya berhadapan dengan Margianah yang selama ini saya cari-cari.
Akhirnya saya mengundur diri. Esoknya saya lintasi banglo itu - tetapi Margianah tidak ada lagi berdiri di tepi tinggkap atau menyapu di halaman. Lusa dan seterusnya saya ulangi lagi - Margianah tidak muncul-muncul.
Musim panas berakhir, Stan pulang ke Krakow dan Ameer pulang ke Paris. Dan saya meninggalkan Baghdad. Apakah yang terjadi kepada Margianah hingga ke hari ini saya tidak ketahui. Kenapa dia tidak muncul-muncul. Apakah ritual aib telah berlaku. Tidak mungkin kerana tidak ada sesiapa yang melihat saya memasuki perkarangan rumah Margianah.
Beberapa tahun kemudian saya sampai ke Eropah. Di kaca TV saya berkesempatan melihat sebuah filem dokumentari tentang Baghdad. Dalam filem ini, saya ada terlihat Margianah sedang mencurahkan cecair ke dalam 40 tempayan. Margianah kini telah menjadi tugu dalam satu bulatan jalan raya dalam kota Baghdad. Pasti ini dalam kawasan kota Baghdad yang baru kerana saya tidak lagi mengenali kawasan ini.
Bila tentera Anglo-Amerika masuk menyerang kota Baghdad pada bulan March 2002, saya telah dua tahun ditahan di Kamunting . Ingatan saya kepada Margianah dan kota Baghdad datang kembali. Apakah Margianah, gadis yang saya cintai itu, selamat. Apakah dia telah bersuami dan berkeluarga. Apakah dia masih mengingati musim bunga ' itu' di mana saya telah memasuki pekarangan rumahnya.
Bila saya terbaca berita bahawa hotel Sahara telah terkena ledakan bom dari udara, saya terkejut. Debaran itu datang kembali. Kali ini bukan debaran berahi tapi debaran kemarahan. Mengapa tidak, kawasan hotel ini tidak jauh dari Wisma Belia, tempat saya pernah menginap. Hotel ini juga tidak jauh dari banglo Margianah. Tempat bercinta lagi dikenang, inikan pula tempat ditahan.
Bila pengebom berani mati yang pertama di Baghdad meledakkan tentera Anglo-Amerika, dunia terkejut. Ini kerana ianya dilakukan oleh seorang anak gadis. Inilah Margianah baru yang tugunya pasti ditegakkan walaupun seratus tahun lagi. Seperti Margianah dalam Ali Baba, pasti penyamun-penyamun Anglo-Amerika ini akan di 'aib' kan dengan curahan minyak panas.
(Sebahagian daripada buku Nota Dan Surat-Surat Cinta Dari Penjara - yang sedang diusahakan)


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.