Wajah Sebuah Parti, satu propaganda lapuk RTM kembali ke udara. Sasarannya ialah PAS dan para pemimpinnya, terutama sekali Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Hadi Awang. Agendanya untuk membongkar segala "pembohongan" yang dilakukan oleh mereka serta segala kelemahan parti itu.

Sekali lagi, yang menjadi dalang atau pengarah "mini series" ini tidak lain dan tidak bukan, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin atau Zam. Sebenarnya "Wajah Sebuah Parti " ini adalah ulangan kepada apa yang pernah disiarkan oleh RTM tidak lama dulu.

Tentu kita masih ingat tidak lama dulu bagaimana para penonton disogok dengan klip video ucapan Nik Aziz dan Hadi Awang yang antara lain mengandungi persoalan "tuhan mencarut, barua, konsep negara Islam serta amanat kafir mengkafir".

Boleh dijangkakan, program kali ini akan mengulang tayang kata-kata atau ucapan yang sama. Mungkin isi terbarunya ialah kata-kata Nik Aziz mengenai persamaan antara orang Melayu dengan Yahudi.

Zam dalam "promonya" yang berkali-kali disiarkan dalam akhbar arus perdana menegaskan beliau mahu memecahkan tembelang sebenar para pemimpin berkenaan. Beliau mahu rakyat sedar betapa hipokritnya mereka. Matlamat terakhirnya beliau mahu orang Melayu menolak Nik Aziz dan Hadi Awang serta PAS. Zam mahu orang Melayu kembali kepada Umno.

Tidak kurang juga terdapat pemerhati yang mengatakan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan itu mahu meninggalkan impak atau "buah tangan" terakhir sebelum mengucapkan "sayonara" kepada RTM. Beliau dijangka menamatkan perkhidmatannya Februari ini dengan berakhirnya tempohnya sebagai senator.

Penasihat media

Zam sudah dua penggal menjadi senator dan ini bermakna beliau tidak boleh dilantik semula ke jawatan itu. Tanpa menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara, Zam tidak boleh dilantik dalam kabinet.

Selepas Februari nanti, timbalan menteri penerangan itu akan kehilangan pentas dan jawatan yang membolehkannya "menyalak". Kecualilah kalau Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) mewujudkan jawatan khas seperti "Penasihat Media kepada PM" sebagaimana Datuk Seri Abdul Hamid Othman yang kini menjadi "Penasihat Agama kepada kerajaan".

Atau mungkin Zam akan dilantik sebagai Pengerusi Bernama yang kosong sekarang, satu jawatan yang dirasakan agak "junior"?

Paling ketara, Zam kini sedang melobi untuk bertanding kerusi Parlimen pada pilihanraya umum akan datang. Beliau telah beberapa kali menyatakan kesediannya untuk bertanding di Merbok jika diarahkan oleh parti. Sedangkan sebelum ini Zam pernah menyatakan beliau tidak berminat menjadi wakil rakyat. Cukuplah setakat menjadi seorang senator!

Oleh kerana itu, ada kalangan ahli Umno berseloroh bahawa "Wajah Sebuah Parti " adalah "Wajah Seorang Pemimpin" yang sedang mencari "platform" baru untuk terus bersuara dalam arus perdana negara.

Rendah diri

Slot propaganda di celah-celah berita perdana RTM ini juga dilihat sebagai langkah-langkah yang akan membawa Umno ke alam gerhana, terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Sebagaimana slot "Gerhana di Kelantan" yang telah menyemarakkan kebencian dan kemarahan rakyat di negeri itu, propaganda RTM kali ini dijangka mendatangkan kesan negatif yang serupa.

"Ia akan memakan diri sendiri. " Demikian komen seorang penganalisa politik. Penyiaran slot itu akan menyebabkan lebih ramai penonton bertukar ke saluran lain, terutamanya NTV7. Menurut penganalisa itu, penonton sudah dapat menjangka apa yang akan diwar-warkan dalam slot itu. Penonton katanya, sudah muak dan akan bertambah meluat dengan RTM. Ini katanya, akan menaikkan lagi "rating" Edisi Siasat (di NTV7).

Beliau juga berpendapat Pak Lah melakukan kesilapan apabila membenarkan slot yang diilhamkan oleh Zam itu disiarkan. Dalam pada Pak Lah sedang mendekati rakyat, terutamanya orang Melayu dengan caranya yang tersendiri, langkah menghentam PAS dan para ulama itu adalah suatu yang tidak bijaksana.

Katanya, pendekatan Pak Lah yang menunjukkan sikap mesra terhadap Islam dengan program-program pendidikan Islam di sekolah-sekolah dan etika kerja yang bersih serta anti-rasuah, tidak patut dicemar dengan sikap anti-Islam beberapa kerat pemimpin Umno.

"Wajah Sebuah Parti" pastinya akan mencalar prestasi baik Pak Lah sejak dua bulan ini. Sebelum terlambat, eloklah Pak Lah menghentikan slot tersebut. Pak Lah dan Zam perlu ingat, hati orang Melayu lebih mudah dimenangi dengan sikap rendah diri, mesra rakyat, berlemah lembut dan ikhlas.

Konfrantasi dan provokasi ala-Mahathir dan ala-Zam ini hanya akan mengerhanakan lagi peluang Umno di Kelantan dan Terengganu. Umno pada era Pak Lah tidak perlukan "pak lawak" atau "tukang karut" yang bercakap mengikut selera dan nafsu. Rakyat di alaf globalisasi ini juga tidak suka dan tidak mudah diperbodohkan!