Pilihanraya akan sampai tidak lama lagi. Bulan berapa dan hari apa pilihanraya akan dijalankan bergantung kepada laporan sulit yang diterima Abdullah Ahmad Badawi. Laporan ini biasanya akan disampaikan kepada Perdana Menteri oleh ketua bahagian Umno/Kemas, Cawangan Risikan Politik Bukit Aman dan Badan Risikan Tentera.

Kalau di pilihanraya lalu, si Perdana Menteri, apabila ditanya media; selalu menjawab beliau sedang menunggu wahyu/ilham. Laporan risikan inilah yang sebenarnya wahyu/ilham yang dinanti-nantikan dalam usaha untuk memeranjatkan pihak lawan dan memastikan kemenangan besar.

Dari tiga laporan ini, hanya laporan dari Bukit Aman yang dianggap laporan Cicero - sahih dan berkualiti. Yang paling hampeh belako, datangnya dari ketua Umno bahagian. Secara mikro jelas untuk difahami umum siapa sebenarnya yang mengendalikan politik negara ini. Tanpa sokongan jentera daulah ini, pasti Umno/Barisan Nasional (BN) telah tujuh kali bungkus dan lima puluh tiga kali ditalkinkan.

Sebenarnya, pilihanraya di Malaysia ini bukan demokratik, telus, jujur dan adil. Pilihanraya di Malaysia hanya satu permainan dalam usaha mengolah persetujuan untuk mendapatkan kuasa pemerintahan. Lima atau empat tahun sekali, pesta-pestaan ini dibuat. Rakyat dapat berhari raya, terutama penduduk miskin kota, orang kampung dan makcik di Felda. Macam-macam bendera/poster/kain rentang dinaikkan - lebih hebat daripada Hari Raya Puasa.

Semua rakyat sedar bahawa pilihanraya di negara kita ini tidak demokratik dan telus walaupun Rajoo dan Dollah telah tiga kali ulang memanjat Gunung Everest. Tetapi yang paling menyedihkan ialah puak parti pembangkang - mereka selalu menelan air liur sesudah undi dikira.

Tidak dapat tidak, kita - orang ramai - wajib bersimpati kepada mereka. Paling pelik dalam proses pilihanraya di negara tercinta ini ialah tidak ada sesiapa pun yang tahu bila pilihanraya ini akan dijalankan. Suruhanjaya Pilihanraya - yang cekap, amanah dan bersih - pun tak akan tahu tentang tarikh ini. Pelik tetapi benar. Mungkin Endon sendiri pun tidak akan mengetahui bila tarikhnya.

Kerana keadaan sedaif ini, maka marilah kita sama-sama membantu pihak pembangkang dengan memberikan mereka ramalan-ramalan tentang tarikh pilihanraya ini. Kita sediakan tanda-tanda dan riak-riak feng shui agar mereka akan bersedia untuk mengeluarkan ucapan berapi-api mereka. Ramalan ini juga akan memberi masa persediaan kepada Parti Keadilan Rakyat agar mula mencetak poster gambar mata Anwar Ibrahim yang lebam itu.

Ramalan

Membaca tanda adalah disiplin ilmu semiotik yang berpunca dari Universiti Nasional Qatar. Ilmu semiotik ini juga sedang dikembangkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok. Tetapi tanda yang akan kita baca ini tidak perlu menggunakan apa-apa ilmu. Hanya mereka yang bebal, mereka yang membayar lapan ringgit untuk secawan kopi di Starbuck atau lulusan Oxford Street saja yang tidak akan menyedari makna tanda-tanda bila pilihanraya akan dijalankan:

1- Pilihanraya tahun 2004 tidak akan diadakan pada 30 Februari ini. Ini kenyataan sahih dan telah disokong dengan jelas oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sendiri. Mereka dengan cekap/amanah/bersih telah memberitahu pemegang mohor Raja-Raja Melayu bahawa anak bulan telah gagal dilihat di Teluk Kemang. Tanpa melihat anak bulan pada 30 Februari ini, maka SPR tidak dibenarkan menetapkan tarikh-tarikh lain. Inilah satu-satunya tarikh yang boleh dipilih oleh SPR sebagai tarikh pilihanraya - jika anak bulan dapat dilihat di Teluk Kemanag.

2- Pilihanaraya akan sampai apabila semua TV kita mengeluarkan gambar/imej/klip tentang kelaparan di Ethiopia, Sudan dan Barundi. Perhatikan dengan rapi, klip berita tentang kebuluran ini diambil di Ethiopia pada 1987. Klip anak orang hitam yang dihurung lalat itu diambil di Barundi pada 1996. Gambar kebuluran di Sudan diambil pada 1916 , satu tahun sebelum berlakunya Revolusi Belshevik di Russia.

3- Pilihanraya akan sampai apabila semua saluran TV di Malaysia menyiarkan berita tanah runtuh di Colombia, Peru, Chile dan Brazil. Selalunya berita ini akan dimasukkan dalam slot berita luar negara. Perhatikan betul-betul klip tanah runtuh ini. Kadang-kadang TV tempatan, terutama RTM, dengan tidak sengaja, akan mengulangsiar gambar tanah runtuh di Genting.

Cara untuk memastikannya cukup senang - kalau tanah ini runtuh di Colombia, akan jelas terlihat taburan debu putih, ini hakisan daripada kokain. Kalau RTM tersalah tayang, dan tertayang klip runtuh di Genting maka akan ternampak kereta yang betanda: Orang Islam Tidak Dibenarkan Masuk atau nampak dengan jelas papan tanda dalam bahasa Cina: Lim, Goh dan Tong.

4- Pilihanraya akan sampai apabila banyak klip perang saudara di Uganda akan dimainkan di TV, walaupun ianya telah lama berakhir. Perhatikan dengan betul kerana ada beberapa klip perang yang akan dimasukkan dalam Berita Perdana, sebenarnya diambil daripada potongan filem Full Metal Jacket arahan Stanley Kubrick. ( Ini secara berani dilakukan oleh TV3 kerana Stanley Kubrick telah menjadi arwah).

5- Pilihanraya akan sampai apabila TV kita mula bercerita tetang betapa susahnya untuk mendapat kerja di Bangkok, Saigon dan Tokyo. Akan ada satu klip khas temubual dengan seorang graduan dari Universiti Thamasart, yang bapanya juga menjadi Naib Canselor universiti berkenaan.

Graduan ini telah lima tahun menganggur dan masih belum mendapat pekerjaan. (Sayang sekali kalau ayahanda graduan ini naib canselor di UUM, pasti anak muda yang tidak berapa bijak ini, akan mendapat jawatan tinggi di universiti berkenaan).

Kain tudung

6- Pilihanraya akan sampai apabila kita melihat di TV gambar bangunan-bangunan kita yang tersergam tinggi. Perhatikan betul-betul di belakang klip ini kadang-kadang ternampak juga imej bangunan runtuh di Bukit Antarabangsa. Jika jurukamera dan jurusunting klip berita ini lalai, kita akan ternampak setinggan di Kampung Baru dan Kampung Abdullah Hukum.

7- Pilihanraya akan sampai apabila kita melihat gambar Endon dan Rosmah Dotti bersalaman gembira seperti kakak dan adik Tetapi perhatikan dengan rapi apa yang ada tersimpan di dalam beg Luis Vuitton Dotti - sebilah Keris Sempena Riau sebagai alat pertahanan diri.

8- Pilihanraya akan sampai apabila Tok Imam di Pasir Salak terkejut melihat makmum masjidnya bertambah-tambah dan melimpah ruah hingga ke laman masjid. Tiba-tiba ramai orang muda bepantalon hitam dan berbaju lengan pendek putih, datang menjadi makmum. Paling mengejutkan ialah apabila Sudin Ali Ibrahim, Ketua Umno Bahagian Pasir Salak telah menawarkan diri untuk menjadi Tok Siak.

9- Pilihanraya akan sampai apabila Rosmah Dotti pergi membeli kain tudung di Jalan Masjid India. Rosmah akan cuba menggunakan Gold Cardnya untuk membeli kain tudung merah yang berharga tujuh ringgit sembilan pulun sen.

10- Pilihanraya akan sampai kerana dengan tak semena-mena, suami Sharizat yang telah lama menghilangkan diri, akan muncul di Bangsar Utama sekali lagi. Sharizat akan membatalkan laporan kehilangan yang telah dibuat empat tahun dahulu di Balai Polis Brickfields. Satu potret keluarga bahagia akan disiarkan dalam Utusan Malaysia .

11- Pilihanraya akan datang apabila Shahidan Kassim menukar Havana Cigarnya dengan rokok nipah yang dibelinya di kedai Mat Babu di simpang Kuala Perlis. Mat Babu pula untuk pertama kalinya, akan menghisap cerut Havana, hadiah dari Shahidan.

12- Pilihanraya akan sampai apabila dengan tiba-tiba Abeng Tapa Muhamad akan membuat laporan polis kerana kain sarung dan kopiah putihnya telah dicuri oleh Mat Gian semasa dia berhenti rehat di Kemaman.

Negara Islam

13- Pilihanraya akan sampai apabila isteri Nazree Aziz akan menjelajah Kuala Kangsar dan Lenggong sambil menaburkan gambar-gambar terbaik suami beliau yang selama ini tersimpan di Selatan Siam. Isteri Nazree ini juga akan mengeluar sebuah VCD bertajuk 'Tok Batin Terlampau'.

14- Pilihanraya akan sampai apabila ramai YB akan menukar Mercedes mereka dengan Wira dan Proton. Hanya Affendi Nawawee akan cuba menukar Tiaranya dengan Kancil apabila melawat kawasan pedalaman di Sarawak.

15- Pilihanraya akan tiba apabila kita membaca/melihat di media tentang 700 penduduk Kampung Siong Ulu Kelantan meninggalkan PAS. Penduduk kampung ini kebingungan kerana di kampung mereka hanya ada 27 rumah. Pok Yeh, adik kepada arwah Tok Penggawa Beliko, telah ditemuramah wartwan RTM. Orang kampung bertambah hairan kerana tidak ada seorangpun yang tahu di mana rumah Pok Yeh ini. Maka timbulah cerita-cerita dongeng tentang hantu-hantu telah bangun untuk mengundi.

16- Pilihanraya akan sampai apabila Pak Esaa Samad kelihatan selalu berhenti di Pekan Lukut untuk membeli mancis api dan dia kini telah mula memakai kasut platform setinggi empat inci.

17- Pilihanraya akan tiba apabila Lim Kit Siang, Chan Mah Hen dan Karpal Singh akan diberi liputan media seluas mungkin apabila mereka membuka mulut terutama tentang Negara Islam.

18- Pilihanraya akan sampai apabila akhbar Utusan Malaysia membuat laporan tentang Zahid Mat Arieff, Lokman Badam dan Hamdan Yahya meninggalkan Parti Keadilan. Mereka telah lama mencuba masuk pintu belakang untuk menjadi ahli Umno dengan syarat mereka diwajibkan terlebih dahulu diterima untuk menjadi ahli parti MIC.

19 - Pilihanraya akan sampai apabila sebuah jambatan kayu di Ulu Senaling yang telah siap tiga puluh tahun dahulu, tiba-tiba akan dirasmikan oleh Rais Yatim. Perasmian ini juga disertakan dengan kemasukan kenduri bersunat tujuh orang Asal, lima saudara baru Cina dari Titi dan empat orang Bangla yang tak perlu bersunat lagi tetapi diwajibkan setia kepada Umno.

Turap semula

20- Pilihanraya akan sampai apabila jalan-jalan yang telah diturap bulan lepas, akan diturap sekali lagi. Jalan-jalan kecil ke kubur juga akan diturap sama. Sebelum penurapan ini berlaku, lori-lori JKR akan ke hulu ke hilir melonggok-longgokkan batu di sepanjang jalan sehingga membukit. Batu-batu ini akan ditinggalkan membukit dan akhirnya dijadikan prop dalam filem Semburu 7 - di mana Awie akan terlanggar longgokan batu-batu semasa cuba menyelamat Erra dari diserang oleh Geruda.

21- Pilihanraya akan sampai apabila semua ketua cawangan dan ketua Umno bahagian telah menempah tiket kapalterbang untuk 'berumrah' ke Yala, Golok dan Haadyai.

22- Pilihanraya akan sampai apabila kain pelikat, kopiah putih, tasbih dan surat Yassin akan habis terjual di Jalan Masjid India. Ini kerana barang-barang ini telah diborong oleh Ketua-ketua Umno Bahagian.

23- Pilihanraya akan sampai apabila Mawar Merah, Sri Dangdut, Lenggok Awek di Medan Mara akan kosong. Ini berlaku kerana pelanggan kelab dangdut ini sedang berkursus menerima taklimat dan mengikuti kelas politik anjuran Gerak Gempur Pemuda Umno.

24- Pilihanraya akan sampai apabila Sangkaran Pilllay mengeluarkan surat 20 muka yang ditulisnya kepada Anwar Ibrahiam semasa dia dilucutkan dari pucuk pimpinan Keadilan. Mingguan Malaysia akan menemuramah Sangkaran Pilllay mengenai cadangan yang beliau seharusnya dilantik menggantikan Teng Ten Peng, anak kepada Den Tsiopeng yang akan mengundurkan diri sebagai Presiden Olympik Handicappe.

25 - Pilihanraya akan sampai apabila dengan tiba-tiba, semua pekerja mendapat bonus, murid sekolah dapat basikal, makcik Felda dapat cermin mata Rayban, dan pekerja MAS, untuk pertama kali dalam masa lima tahun, mendapat MAS. Hanya seorang pramagura akan dinafikan bonus ini kerana dia telah menjadi kaya sebagai pembuat filem.

26- Pilihanraya akan sampai apabila orang ramai gagal melihat isteri YB-YB yang muda bergetah dan cun. Kini orang ramai melihat YB-YB ini berpegang tangan dengan isteri-isteri pertama yang montok, berbaju kurung dan berkain tudung.

Tugas baru

27- Pilihanraya akan sampai apabila semua tauke Cina menghilangkan tanpa memberitahu di mana mereka berada. Panggilan telefon dari pihak-pihak tertentu telah tidak dijawab. Semua telefon bimbit tauke-tauke Cina ini mengeluarkan pesanan suara 'nombor ini sedang berada di luar kawasan'.

28- Pilihanraya akan sampai apabila mahasiswa dengan tiba-tiba dijadikan anak angkat. Anak-anak muda yang sedang menjalankan khidmat negara tiba-tiba diberi cuti untuk pulang ke kampung dengan tugas baru : membawa dacing.

29- Pilihanraya akan sampai apabila semua kaki busuk, gedebe dan samseng tempatan yang dulunya diburu polis, kini dilihat menjadi pengawal beberapa menteri dan YB. Kaki-kaki busuk ini menggunakan ayat seperti : Pak Long, Pak Ngah, Kekanda, Ayahanda dan Tuan Guru. Mereka mula merokok dengan tiga jari.

30- Pilihanraya akan sampai apabila Datuk Seri Abdullah Badawi dan Datin Endon akan dihidangkan Royale Couscous yang dimasak oleh Datin Rosmah Mansuur. Soiree yang ekslusif ini akan dihiburkan dengan penyanyi jemputan Diana Zain.

Jika semua tanda-tanda ini masih tidak dapat dibaca oleh pihak pembangkang, maka wajiblah mereka kaput dan terbungkus dalam pilihanraya tahun 2004 ini. Orang ramai hanya membantu memasang bendera dan menampal poster tanpa bayaran. Selainnya terpulanglah kepada pihak pembangkang. Kita hanya memberi satu saranan: Wahai Parti Pembangkang bantulah diri kamu dahulu sebelum kamu cuba membantu rakyat. Amin.

Nota Kaki : Pilihanraya betul-betul akan dijalankan seminggu lagi apabila semua duit kertas lima puluh ringgit, beras kampit dan kain pelikat tiba-tiba dilihat bertaburan di kawasan Felda. Pilihanraya akan sampai bila penari/penyanyi bogel dari Holywood di jemput datang ke Bukit Jalil. Dan PAS akan membantah. Berita bantahan ini hanya akan disiarkan dalam akhbar berbahasa Inggeris. Akhbar Melayu tidak tahu tentang ketibaan penari/penyanyi ini.