Menunggu Pak Lah mendapat ilham
Pilihanraya sudah berada di sebalik selekoh. Sangat hampir! Tarikhnya tidak perlu dinujumkan lagi. Pendek kata, bila-bila masa sahaja dari sekarang Dewan Rakyat akan dibubarkan oleh Perdana Menteri. Bersedialah!
Membaca rentak para pemimpin Barisan Nasional (BN), terutamanya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dan timbalannya, Datuk Najib Abdul Razak yang saban hari turun ke negeri-negeri bertemu penyokong parti dan rakyat, maka ketara sekali, waktu untuk mengadakan pesta demokrasi itu sudah boleh dihitung dengan jari.
Kempen tidak rasmi oleh BN dan parti-parti komponennya begitu galak sekali. Semua menteri, menteri besar dan pemimpin bahagian dan cawangan, mempunyai agenda yang sarat. Di setiap negeri, menteri besar menghulurkan bantuan kewangan "one off" RM120 kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Skim Baucer Tuisyen digembar-gembur, di samping pelbagai tawaran dan insentif menarik diberikan kepada para peneroka di tanah rancangan Felda, Felcra dan Risda. Peruntukan untuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga ditambah. Bagi para peniaga kecil pula, kerajaan akan menyediakan pinjaman tanpa cagaran.
Pelbagai "gula-gula politik" atau umpan dihulurkan menjelang pilihanraya umum ini. Itu perkara biasa, tiada yang pelik dan memeranjatkan, yang dilakukan oleh mana-mana kerajaaan dan parti di seluruh global ini. Kalau di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dulu, kakitangan kerajaan dan tentera diumpan dengan bonus, kenaikan gaji, tambahan elaun dan potongan cukai, di era Pak Lah berbeza sedikit pendekatannya.
Beliau menjurus kepada kelemahan Umno pada pilihanraya 1999 dulu. Beliau nampak, ketika itu, Umno menang bukan kerana undi orang Melayu. Umno menang atas belas ehsan pengundi bukan Melayu. Majoriti orang Melayu ketika itu memihak kepada Barisan Alternatif (BA).

Konflik dalaman
Kebencian orang Melayu kepada Dr Mahathir pada waktu itu meluap-luap. Isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim memadam segala rekod cemerlang Dr Mahathir. Begitu besar pengaruh Anwar. Lalu Umno dibenci dan ditinggalkan. PAS meraih untung besar, sedangkan Parti Keadilan Nasional sekadar hidup segan mati tak mahu.
Pak Lah turun kepada masyarakat peneroka, peladang, nelayan, kakitangan awam dan para peniaga kecil. Beliau kembali kepada masalah sebenar rakyat, meninggalkan sebentar mimpi indah projek-projek mega.
Pemangku Presiden Umno ini juga menyelesaikan konflik dalaman Umno menerusi pemilihan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri. Perlantikan itu menamatkan segala spekulasi dan melenyapkan sebarang kemungkinan akan berlakunya pergolakan dalam parti sebelum pilihanraya umum.
Bagaimanapun, beliau menghadapi satu masalah serius yang jika tidak ditangani dengan baik, boleh menjejaskan peluang Umno untuk menang besar dalam pilihanraya umum nanti. Masalah itu ialah rasa tidak puas hati ahli dan pemimpin Umno yang tidak dilantik mengetuai jawatankuasa penaja bahagian.
Walaupun para pemimpin Umno cuba menutup masalah ini dengan menganggpnya satu perkara kecil, namun ia sebenarnya amat merbahaya dan membimbangkan. Jika tidak, masakan Pak Lah, Najib dan Tan Sri Khalil Yaakob memberi amaran akan bertindak tegas terhadap ahli-ahli yang belot.
Pak Lah meminta semua pemimpin yang tersingkir supaya akur dengan keputusan pucuk pimpinan. Beliau tidak mahu angkara rasa tidak puas hati itu akan berlakunya pembelotan atau "cah keting".
Tambah kerusi
Gejala inilah sebenarnya yang menyebabkan Umno kalah di Terengganu dan Kelantan. PAS tidak menang kerana kekuatannya, tetapi menang kerana kelemahan dalam Umno sendiri! Dengki khianat, dendam, cemburu dan mementingkan tembolok sendiri, telah dan masih menghantui ahli-ahli Umno.
Pak Lah tidak mahu gejala ini berleluasa dan berulang. Beliau mengidam satu kemenangan besar sebagai bukti penerimaan dan sokongan rakyat terhadap segala dasar dan tindakannya. Paling penting beliau mahu membuktikan kepada Dr Mahathir bahawa dia mampu melakukan apa yang selama ini tidak mampu dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu.
Beliau mahu memenangi kembali Kelantan yang telah sekian lama jatuh ke tangan PAS. Dr Mahathir sudah beberapa kali mencuba tetapi gagal. Usahkan menambah kerusi di negeri itu, sebaliknya Terengganu juga turut terlepas kepada pembangkang. Malah Kedah, negeri kelahiran Dr Mahathir juga hampir dikuasai PAS.
Pak Lah mahu membuktikan beliau mampu mengubah sejarah. Itu sebabnya program "Selamat Tinggal PAS" galak dijalankan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Barisan kepimpinan Umno Kelantan juga diganti dengan muka-muka baru. Di atas kertas, persiapan Umno Kelantan nampaknya begitu rapi dan menyakinkan.
Begitu juga di Terengganu, "Gelombang Biru" khabarnya membawa angin perubahan yang telah menyesakkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Datuk Idris Jusoh begitu yakin akan menang. Umno yakin rakyat Terengganu sudah sudi untuk rujuk kembali kepadanya,.
Keyakinan BN untuk menang besar kali ini begitu ketara. Sebenarnya keputusan pilihanraya umum 2004 sudah boleh dicongak. Pertembungan sebenar hanya akan berlaku di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Berdasarkan sentimen semasa, negeri-negeri lain sudah berada dalam tangan BN.
Kubu kuat
Walaupun parti-parti pembangkang berjaya bersatu di saat-saat akhir, menganjurkan perlawanan "satu lawan satu", namun ia tidak mampu menggugat peluang Pak Lah untuk dijulang dengan satu kejayaan besar. Kali ini kekalahan sudah hampir pasti berada dalam poket PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat. Peluang terbaik BA ialah pada tahun 1999. Peluang itu tidak akan berulang lagi dalam tempoh 10 tahun ini.
Oleh itu, tumpuan dan debaran pilihanraya umum kali ini ialah di Kelantan dan Terengganu. Di sinilah cabaraan dan dugaan sebenarnya, Buku akan bertemu ruasnya di kedua-dua negeri itu. Seandainya PAS mampu mempertahankan kedua-dua kubu kuatnya itu dalam pilihanraya umum kali ini, BN khususnya Umno akan menerima tamparan hebat.
Maruah Umno Umno akan tercampak ke dalam tong sampah kalau masih gagal menang di kedua-dua negeri itu. Dengan segala jentera propaganda, wang ehsan dan projek pembangunan Umno tidak sepatutnya kecundang lagi kali ini.
Oleh itu, tidak dapat tidak, Umno mesti menang. Cuma diharapkan pertarungan dalam pilihanraya kali ini dilakukan dengan adil dan saksama. Biarlah pilihanraya ini benar-benar demokratik dan bersih!
Dan sama-samalah kita tunggu bila Pak Lah akan mendapat ilham untuk menetapkan tarikh pilihanraya. Harap-harap Pak Lah tidak menunggu hingga bendera reput di pucuk pokok kelapa.