Naib-Presiden PAS, Datuk Mustapha Ali meramalkan pilihanraya umum akan diadakan pada Mac ini. Beliau mempunyai asas dan rasionalnya sendiri untuk menujumkan tarik pilihanraya itu. Memang logik, boleh diterima akal alasan-alasan pemimpin PAS itu.

Nampaknya hampir seluruh pak nujum politik bersetuju dengan Mustapha. Malahan para pemimpin tertinggi Umno tidak menolak kemungkinan itu. Mereka bersetuju senario semasa menunjukkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berada di "gear" tiga dalam perjalanannya untuk membubarkan Parlimen.

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan kerajaan dan Umno, semua jentera kerajaan dan parti, terutamanya Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan media arus perdana telah diarah bersiap sedia. Khabarnya SPR telah memberi taklimat kepada para pengarang di media cetak dan eletronik berhubung tatacara pilihanraya.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) pula dikatakan telah meminta media arus perdana, terutamanya lidah propagandanya, RTM, supaya memberi keutamaan kepada berita-berita pembangunan, kejayaan program dan projek kerajaan serta melaporkan secara meluas acara-acara pemimpin bersama rakyat.

Malahan kononnya, pihak pengurusan di RTM juga telah diarahkan supaya berhenti melaporkan berita-berita yang menghentam parti-parti pembangkang, terutamanya yang bersifat peribadi. Oleh itu, jangan terkejut melihat slot "Wajah Sebuah Parti" yang menghentam PAS dan para pemimpinya, tiba-tiba sahaja dihentikan.

Slot itu digantikan dengan propaganda mengenai pembangunan dan kemajuan di negeri-negeri pula. Perhatikan slot " Kedah La ni" yang akan mula ke udara di RTM. Itu adalah permulaan kepada satu siri doktrin pembangunan yang panjang, lagi membosankan. Bersedialah kita untuk menatapnya!

Bersatu padu

Di samping itu, media massa juga diingatkan supaya jangan melaporkan berita-berita berunsur negatif mengenai BN dan kerajaan. Sebarang perbalahan antara parti-parti komponen, sama ada mengenai pembahagian kerusi atau krisis dalaman parti-parti berkenaan tidak digalak disiarkan.

Media telah diarahkan menonjolkan sikap mesra rakyat Pak Lah dan kerajaan. Parti-parti komponen hendaklah digambarkan sebagai sentiasa bersatu padu dan akur kepada pucuk pimpinan. Pendek kata, segala-galanya mesti positif dan lancar walaupun hakikat sebenarnya adalah sebaliknya.

Sumber berkenaan menambah, kerajaan dan parti terutamanya Pak Lah sedar perbuatan memburuk-burukkan parti lawan dan para pemimpin mereka menerusi media, terutamanya RTM mendatangkan kesan negatif kepada kerajaan BN. Strategi itu gagal memujuk rakyat, sebaliknya menanam pula rasa simpati kepada Datuk Seri Hadi Awang dan Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Di peringkat parti pula, khabarnya semua pengerusi perhubungan dan ketua-ketua bahagian telah diarahkan turun padang untuk bertemu rakyat. Pemimpin dan ahli Umno diminta bersikap perihatin dan murah hati. Malah gerak gempur Pemuda Umno diingatkan jangan bersifat aggresif.

Seorang pemimpin di peringkat bahagian memberitahu, ahli-ahli Umno diingatkan jangan melakukan sebarang provokasi atau konfrantasi.

"Kami diminta menumpukan perhatian pada kerja-kerja parti sahaja dan jangan mempedulikan tindak-tanduk parti lawan. Kalaupun parti lawan menaikan bendera di mana-mana sahaja, kami

dilarang menurunkannya. Kalaupun masih mahu bertindak, kami hanya dibenarkan melaporkan perbuatan itu kepada pihak berkuasa tempatan," jelas beliau.

Acara korban

Menurutnya lagi, strategi BN dan Umno sekarang ialah berdiplomasi dan bermesra dengan para pengundi, bukannya berkonfrantasi dengan mereka sebagaimana yang ditunjukklan dalam kempen pilihanraya 1999.

"Ini era Pak Lah, semua kena lemah lembut, mesra dan bijaksana. Kalau dengan Singapura kita sanggup bertolak ansur, dengan para pengundi pula kami kena lembut gigi dari lidah untuk tempoh sebulan dua ini," kata seorang ahli jawatankuasa Umno bahagian.

Itulah hipokrasi politik. Apabila tiba musim pilihanraya, segal-gala menjadi mesra. Jalan-jalan berlubang akan diturap. Gerai-gerai yang didirikan di tepi jalan atau tempat-tempat yang tidak sepatutnya, dibiarkan begitu sahaja dan majlis-majlis kenduri yang menghabiskan wang rakyat galak diadakan di sana sini.

Sempena sambutan hari raya Aidil Adha ini kita akan saksikan sana-sini acara "korban" dilakukan oleh parti-parti politik. Rakyat akan berpesta sekali lagi, musim makan percuma muncul semula dan ribuan malahan jutaan RM akan diitabur di sana-sini.

Semua kempen secara tidak langsung ini tidak dapat dielakkan kerana kalau menunggu tempoh berkempen yang rasmi, masanya sudah terlalu suntuk. Tempoh seminggu selepas penaman calon yang diberikan oleh SPR terlalu singkat. Usahkan hendak berbahas atau berceramah, hendak menampal poster sepanjang tempoh itu pun tidak sempat.

Pastinya pilihanraya umum ke-11 semakin hampir. Pada bulan Mac? Tidak mustahil kerana ketika itu cuti sekolah dan jemaah haji sudah kembali. Tambahan pula persekitaran ekonomi dan politik semasa amat memihak kepada BN.

Jadi apa lagi Pak Lahjangan tunggu lama-lama...