Sepuluh tahun yang lampau, pada setiap awal bulan Februari, saya akan menjadi resah dan gelisah. Saya merasakan diri dan jiwa saya ini mengecil dan menguncup. Kadang-kadang saya menjadi 'suicidal' - ingin meninggalkan dunia ini untuk selama-lamanya. Pernah satu ketika dahulu, saya telah dibawa bertemu seorang pakar jiwa di Halley Street di Kota London.

Saya nyatakan kepada si pakar jiwa ini yang saya tidak dapat menghadapi tarikh 14 Februari - Hari Valentine/Hari Kekasih. Apabila Februari tiba, jiwa saya merundum sayu...saya ditimpa kemurungan. Si pakar ini tidak memiliki apa-apa jawapan terhadap 'angst' atau keresahan yang saya alami itu.

Beliau hanya memberi nasihat agar saya meninggalkan kota London yang suram dan sejuk. Adalah lebih baik, menurut pakar ini, jika saya meleser di kawasan selatan Sepanyol atau di selatan Itali, di mana cuaca lebih panas dan menggembirakan.

Atas nasihat itu, saya menempah percutiaan dua minggu ke selatan Sepanyol. Saya memilih kota kecil yang paling selatan sekali - Al-jaciras- yang terletak berhampiran Gilbaltar. Pesisir pantai yang indah dan cuaca yang panas diharapkan akan melalaikan ingatan saya kepada Hari Valentine. Memang benar, pada malam pertama di kota kecil ini keresahan saya telah reda.

Keesokannya, selepas minum pagi, saya turun ke pantai. Ke mana sahaja saya pandang, yang terlihat ialah pasangan insan sedang bercumbu mesra memadu kasih. Kegelisahan jiwa datang kembali. Diri dan perasaan saya semakin menguncup.

Saya cuba melupakan apa yang ada di depan mata dengan membaca buku 'Amalan Untuk Menjauh Diri Dari Api Neraka' . Akhirnya, saya tidak tahu apakah buku ini yang menambahkan lagi 'angst' atau kerana saya masih sebatang kara tanpa seorang kekasih.

Kawan baru

Lalu saya batalkan percutian dan terus meninggalkan Sepanyol. Buku Melayu yang dikirim oleh adik saya dari Kuala Lumpur itu saya hadiahkan kepada si Gipsi yang duduk menjual rokok di tepi pintu hotel. Apa yang akan dilakukan oleh si Gipsi ini kepada buku itu, tidaklah saya mengetahui.

Pulang dari Sepanyol, saya berjanji dan berazam untuk memperbaiki diri. Saya bertekad untuk mengisi Hari Valentine yang akan datang dengan kejayaan. Harapan saya ini mula dilihat termakbul apabila saya diterima masuk ke sekolah filem.

Jiwa saya mengembang subur dan ranggi. Pasti saya akan menemui kawan-kawan baru - yang ganteng/cun/bergetah. Mengapa tidak - yang saya masuki bukan fakulti kejuteraan atau fakulti sains - di mana pelajarnya agak skema, belia dan tidak menarik. Sekolah saya ialah sekolah perfileman yang terunggul di tengah-tengah kota London.

Tetapi, semua harapan dan angan-angan itu meleset. Kelas tahun pertama yang saya masuki hanya menerima 12 pelajar - lima siswi dan tujuh siswa. Tiga siswi ini langsung tidak meminati lelaki. Mereka adalah aktivis veteran dari Greenham Common (1). Penyanyi rock yang mereka meminati hanyalah K.D.Lang dari Canada (2).

Manakala empat dari tujuh siswa ini pula tidak menunjukkan apa-apa minat terhadap wanita - besar kemungkinan mereka ini semuanya ' lelaki dalam almari'. Selebihnya telah menjadi 'celibate' (tidak minat pada seks terutama kerana pegangan agama) dan pengamal bramacharya (3) yang telah menjadi begitu 'trendy' di kota London berikutan merebaknya penyakit Aids.

Saya masih terkontang-kanting keseorangan tanpa kekasih. Saya enggan mengamalkan bramacharya yang dipopularkan oleh Gandhi ini. Saya juga tidak akan mengangkat bendera putih. Setelah gagal dengan kawan sedarjah, saya mengalihkan harapan cinta saya kepada sesiapa saja.

Kisah berahi

Apabila kuliah fotografi bermula, kelas kami telah diperkenalkan dengan Ms Janina Struck - guru pratikal kami. Apabila saya terlihat Janina untuk pertama kalinya hati saya telah mula berdebar-debar. Inilah gadis/wanita/perempuan yang selama ini saya cari dan tunggu-tunggu.

Kini - saya dan Janina - telah dipertemukan. Di kuliah pertama, saya masih ingat lagi, Janina berpakaian hitam, langsing, berambut pendek dan bergincu merah. Hati lelaki mana yang tidak tercabar. Jantan mana yang tidak terusik.

Sayangnya, saya kini telah menjadi anak murid - apakah mungkin anak murid jatuh cinta dengan gurunya. Apakah si guru akan membalas cinta murid. Persoalan-persoalan ini terus menghantui saya. Kisah berahi saya terhadap guru fotografi ini telah tersebar luas dikalangan kawan-kawan sedarjah. Hanya Janina, tuan empunya badan sahaja yang tidak mengetahuinya.

Pernah satu hari saya datang agak awal ke bilik makmal untuk mencuci gambar hitam putih. Tidak ramai pelajar yang datang seawal saya pada pagi itu. Bilik makmal kelihatan kosong. Hanya pembantu makmal yang bertugas di pintu masuk. Seperti telah tertulis dalam 'Luh Mahfuz', tiba-tiba Janina tegak berdiri di hadapan saya untuk melihat apa yang sedang saya buat.

Saya yang sedang membancuh kimia menjadi gugup dan tercegat kaku. Bilik makmal fotografi yang agak gelap ini telah berjaya menyurukkan kepucatan muka saya. Kini kami berdua di dalam bilik yang kekurangan cahaya. Inilah saat dan ketikanya di mana saya wajib menyatakan berahi cinta saya kepada Janina.

Tetapi semuanya gagal. Tanyalah kepada sesiapa saja yang pernah jatuh cinta dan bandingkan dengan pengalaman yang saya hadapi ini. Apakah babak ini benar-benar berlaku atau hanya satu khayalan. Sebelum detik ini tiba, saya telah menghafal banyak ayat-ayat lunak yang ingin saya lafazkan kepada si Janina.

Gadis genit

Rangkaian ayat yang indah-indah, yang telah banyak saya kumpulkan; semua hilang bertaburan dari ingatan. Hanya paluan jantung yang memeritkan telinga. Tangan saya terketar-ketar memegang cangkir kimia. Tetapi lidah saya terus mogok dan enggan bergerak. Kisah kegagalan saya di bilik makmal ini akhirnya diketahui semua rakan sekelas.

Mereka amat bersimpati, lalu memberi cadangan. Pada Hari Valentine yang akan tiba dua minggu lagi, saya perlu melakukan sesuatu sebagai bukti cinta saya kepada Janina. Sokongan kawan-kawan ini telah memperkuatkan iman saya.

Ketika ini saya berkongsi rumah dengan Christopher Kelly - anak muda punk dari Plymouth. Chris telah mula ingin keluar dari 'almarinya' dan cuba memulakan cinta baru dengan Emma Lemmon, siswi genit dari kelas senibina. Chris dan saya berbincang panjang tentang apakah yang perlu dilakukan agar Hari Valentine pada tahun 1987 itu menjadi saat yang tidak akan dilupakan.

Tiga hari kami berbincang. Yang kami temui hanyalah jalan buntu dan idea-idea klise - menghantar telegram, menghantar bunga, menghantar kad ucap selamat dan menulis puisi cinta. Semuanya kami tolak dengan alasan semua ini tidak menggambarkan kesiswaan kami sebagai pendukung budaya filem di kota London - kami bukan siswa skima dari fakulti sains atau dari jabatan Usuluddin.

Sebenarnya saya belum pernah menghantar atau menerima kad Valentine. Kali pertama saya mendengar tentang Valentine Day ini ialah pada tahun 1969 - terlalu lama dahulu. Ini kerana budaya menghantar dan menerima kad Valentine telah lama wujud di Kolej Melayu. Selama dua puluh tahun 'merayau-rayau' di pelbagai negara, saya masih gagal untuk menghantar satu kad Valentine. Menerima kad Valentine pastilah satu kemustahilan.

Sehari sebelum 14 Febuari, saya menjadi gelabah, resah dan tertekan. Tidak tahu apa yang harus saya lakukan untuk menyatakan perasaan cinta suci saya kepada Janina Struck. Tamat saja kuliah, Chris dan saya berbincang lagi, lalu kami menuju ke Jalan Oxford yang tidak jauh dari sekolah kami, dengan harapan akan bertemu dengan sesuatu yang ganjil dan menarik untuk dibeli sebagai hadiah.

Buaya putih

Di Jalan Oxford, kami gagal, lalu mengelencong masuk ke Jalan Picadally. Tidak ada sebuahpun kedai yang dapat menawan hati kami. Akhirnya, Chris mencadangkan kami ke Harrods. Saya telah sepuluh tahun tinggal di kota London, tetapi belum pernah ke gedung membeli-belah itu.

Budaya 'cool' kota London tidak 'membenar' kami masuk ke Harrods - tarafnya sama seperti makan di Pizza Hut atau di MacDonald. Tempat seperti ini hanya sesuai untuk siswa-siswa skema, Mat Rakan Muda dan pelancong dari Dunia Ketiga. Tetapi di petang itu, kami tidak memiliki banyak pilihan.

Secara senyap-senyap kami ke Kings Road dan menyelinap masuk ke Harrods. Gedung ini agak sibuk kerana esok adalah Hari Valentine. Beberapa lantai dan pelantar khas disediakan untuk memperagakan pelbagai jenis bunga segar untuk dijadikan hadiah. Di tingkat empat pula, satu ruang khas disediakan dengan bermacam jenis cokelat. Kami rambang mata sebenarnya. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk membeli cokelat.

Kini saya berhadapan dengan persoalan cokelat yang macam mana, buatan negara mana dan rekabentuk yang mana. Jiwa saya merasa tertekan untuk membuat pilihan yang tepat. Chris telah membungkus cokelat untuk Emma-nya tanpa memperagakan terlebih dahulu kepada saya. Kini saya wajib memilih satu cokelat untuk Janina.

Di satu sudut saya ternampak cokelat dalam ukiran seekor buaya. Cokelat buaya ini dibuat dalam dua warna - hitam dan putih. Tanpa banyak perhitungan, saya memilih buaya putih. Gadis Harrods datang dan terus membungkus buaya putih ini untuk dijadikan hadiah. Saya merasa begitu lega sekali.

Setibanya di rumah, kami berbincang sekali lagi. Bersama hadiah ini wajib diselitkan satu nota kecil sebagai tanda ingatan. Saya menjadi begitu takut untuk menulis sesuatu kepada cik gu saya - walaupun berahi saya telah diancam. Saya cuba menulis sajak-sajak cinta. Gagal.

Tukang sapu

Akhirnya saya mengambil jalan pintas menulis dalam satu bahasa yang mungkin Janina sendiri tidak memahaminya. Ini yang saya tuliskan kepada Janina : mais il ya....Inilah sajak cinta pendek dari seorang Majnoon kepada Lailanya.

Keesokannya, dalam kegelapan dan kesejukan musim runtuk, Chris dan saya tiba awal ke fakulti. Saya tidak mahu apa yang saya lakukan ini dapat dilihat oleh sesiapa pun. Saya wajib meletakkan hadiah Valentine saya ini betul-betul di depan pintu bilik Janina.

Chris memerhatikan agar tidak ada sesiapa yang akan lalulalang. Dengan debaran yang maha sangat, saya meletakan buaya putih ini di depan pintu Janina. Terletak saja hadiah itu saya pun mengundur diri. Chris dan saya sama-sama tersenyum puas.

Selesainya kuliah petang, saya melintasi sekali lagi bilik Janina. Saya perhatikan yang lampu biliknya terpasang. Pastilah hadiah saya telah sampai ke tangannya. Saya tersenyum puas. Di pintu besar, saya terserempak dengan Mak Cik tukang sapu yang juga dalam perjalanan pulang.

Lalu saya terfikir apakah hadiah saya yang terletak di depan pintu bilik Janina telah dibakul sampahkan oleh Mak Cik ini. Semasa saya meletakkan hadiah ini Mak Cik tukang sapu masih belum sampai. Saya mengetuk kepala sendiri untuk tidak ingin melayani fikiran dengan andaian yang bukan-bukan.

Apabila sampai ke rumah, saya terperanjat kerana di bawah pintu saya terletak satu kad Valentine - Untuk Hishamuddin Rais. Kad ini tidak ada tandatangan. Ianya diposkan sehari sebelumnya. Tanda pos tidak begitu jelas. Saya termenung. Siapakah gerangan insan yang menghantar kad ini. Adakah ini satu lawak yang diatur oleh kawan sekelas. Atau memang ada seorang insan di kota ini yang telah jatuh cinta pada saya.

Keresahan

Saya menerima semua ini sebagai karma. Apa yang telah saya lakukan kepada Janina pada pagi tadi kini telah pulang kepada saya di petang harinya. Pagi tadi pasti Janina juga cuba memikirkan insan mana pula yang menghadiahkan saekor buaya putih sebagai tanda cinta. Dan di petangnya, saya pula dipaksa memikirkan siapakah gerangan yang menghantar kad cinta ini kepada saya.

Kisah cinta saya ini berlaku lebih dari sepuluh tahun dahulu. Hari ini, pada setiap kali Hari Valentine, saya akan terus teringat kepada Janina guru fotografi saya. Kisah cinta ini terus berligar segar dalam ingatan. Kini saya tidak lagi merasa kecil atau dipukul 'angst' apabila Februari tiba.

Hati saya telah dewasa. Apa yang saya lakukan pada Hari Valentine pada tahun 1987, telah memadamkan semua keresahan. Kad yang saya terima pada petang itu telah membebaskan diri saya kerana saya menyedari bahawa di dalam kota 'sesunyi' London ini, masih ada insan yang berani jatuh cinta pada saya.

Janina tidak akan mengetahui sehingga ke akhir hayatnya bahawa ada seorang insan dari bumi tropikal ini yang telah mencintai padanya. Samalah seperti saya yang tidak mungkin akan mengetahui siapkah yang telah menghantar kad Valentine pada tahun 1987 itu.

Minggu depan, Hari Kekasih akan tiba lagi. Sebelum ianya tiba, saya ingin pergi ke Jalan Masjid India untuk mencari buku Amalan Suami Isteri Dari Pandangan Agama. Ini bukan untuk saya hadiahkan kepada mana-mana Gipsi tetapi untuk persediaan jika sekira tahun ini saya menerima satu lagi kad Valentine yang jelas si penghantarnya. Maka saya akan terus menyerah diri ke rumah Tuan Kadi dengan membawa seekor buaya putih sebagai hantaran mas kahwin.

NOTA:

1- Greenham Common - Pangkalan Tentera Amerika yang dipercayai menyimpan bom nuklear. Bantahan dibuat oleh sekumpulan wanita yang kebanyakan anti-lelaki.

2 - K.D Lang - Penyanyi rock wanita dari Canada - seorang lesbian.

3 - Bramacharya - falsafah Hindu yang cuba melupuskan syahwat dan berahi seksual.