Dalam hidup ini, rasa saya ada beberapa persoalan yang tidak mungkin dapat saya jawab sepenuhnya. Betapa rasional pun seseorang insan itu, betapa tinggi daya fikrahnya, pasti ada soalan yang tidak dapat dipecahkan. Soalan ini juga tidak dapat diselesaikan oleh ilmu sains. Tidak ada bilik makmal yang akan berjaya membuat kaji selidik untuk mencari jawapan terhadap soalan ini.

Saya sering berhadapan dengan persoalan sedemikian. Contohnya, tiba-tiba ditanya "kenapa tidak bawa isteri sama?" Fikirkan, dalam masa beberapa saat, saya wajib menjawab soalan ini. Saya buntu dan tidak tahu di mana hendak saya memulakan jawapan saya.

Semasa saya baru pulang dari luar negeri dahulu, ada seorang wartawan mingguan tabloid yang menemubual dan mengambil sudut 'human interests ', telah bertanya" "Isteri saudara orang mana?" Mata si wartawan ini memandang tepat ke wajah saya manakala pita rakamannnya berputar menunggu jawapan.

Saya teperanjat kerana dalam budaya Eropah yang pernah saya lalui, pertanyaan seperti ini tidak mungkin timbul. Berapa anak, berapa isteri, berapa umur atau bila hendak kahwin, adalah soalan yang telah lama dibatal dan dimansuhkan daripada perbualan harian, kecuali dengan kawan paling intim.

Kanak-kanak sering kali menjadi 'musuh utama', yang akan mengajukan persoalan yang 'jujur' ini. Bila soalan ini muncul dari mulut anak-anak, si dewasa akan menjadi lebih gelabah dalam usaha mencari jawapannya.

Pernah di satu soiree makan malam di Utara Kota London, kawan saya, tuan pengarah Museum British, telah dihadapkan dengan soalan seperti ini dari anak-anak kecil Indonesia. Anak-anak ini dibawa bersama ke soiree oleh ibu bapa mereka yang bekerja sebagai wartawan di BBC London.

"Nigel, di mana isteri mu?" Nigel, tuan rumah yang fasih berbahasa Melayu itu, tersenyum dan dengan selamba menjawab: "Telah dijual". Jawapan itu membuat kumpulan anak-anak kecil ini ketawa berdekah-dekah. Sayangnya, jawapan yang sama tidak mungkin saya berikan kepada si wartawan tabloid yang matanya terbuka luas menunggu jawapan.

Fenomena Solo

Sebenarnya, pada hari ini, semakin ramai lelaki dan perempuan yang mengambil keputusan untuk hidup sendirian - tanpa berumahtangga. Fenomena 'solo' sebagai gaya hidup bukan sesuatu yang baru dan tidak seharusnya dilihat sebagai satu keanehan. Di Malaysia, fenomena ini semakin meluas, terutama di kalangan individu berpendidikan tingggi. Saya tidak memiliki jawapan ilmiah kenapa fenomena ini terjadi.

Tetapi, secara empirikal, saya memiliki beberapa jawapan. Mungkin pengalaman saya ini bukan satu jawapan yang menyeluruh tetapi boleh digunapakai untuk diri saya sendiri. Acuan pengalaman saya ini mungkin tidak akan sesuai dengan susuk yang lain.

Sebagai seorang lelaki, amat susah sekali untuk saya berkongsi kehidupan dengan seorang wanita. Saya dibesar dan dididik dalam suasana kelelakian, justeru mana mungkin, apabila membesar, tiba-tiba saya diminta untuk mengubah cara hidup ini.

Saya memiliki ikatan kejantanan (male bonding) yang termeterai kukuh. Budaya 'male bonding ' ini tidak wujud dalam budaya perempuan. Jadi mustahil untuk saya meninggalkan ikatan kejantanan ini yang amat selesa dan sesuai dengan gaya hidup saya.

Pengalaman saya disokong oleh kawan baik saya, seorang Professor Sosiologi yang mengatakan "macam mana lelaki boleh hidup bersama dengan perempuan kerana dari kecil lagi cara didikan mereka amat berbeza". Ini hujah dari prefossor feminist yang telah berumahtangga dan mengalami kehidupan menjadi isteri dan ibu kepada dua anak.

Harus kita sama-sama akui bahawa tidak semua lelaki/perempuan memiliki cita-cita untuk memainkan peranan jadi menantu, jadi suami/isteri atau jadi ayah/ibu. Satu ketika dahulu mungkin ramai lelaki/perempuan tidak memiliki pilihan ini.

Gedung budaya

Tetapi asas budaya kita telah berubah. Seperti kesampaian gedung Tecso yang memaparkan banyak pilihan - hari ini juga lelaki/perempuan berhadapan dengan pelbagai gaya hidup sebagai pilihan. Dunia pasca moden hari ini telah menjadikan dunia kita ini sebuah gedung pelbagai budaya yang amat meriah.

Saya amat gerun sekali untuk mengubah peranan yang saya main dalam kehidupan ini. Tidak ada keupayaan saya untuk menjadi menantu si polan atau suami si anu. Tidak mungkin. Saya begitu kedekut sekali untuk mengubah peranan yang saya rasa bagitu sesuai/serasi untuk diri saya.

Saya bukan Marlon Brando atau Robert de Niro yang belajar 'method acting ' di mana mereka berkemungkinan berubah peranan dalam sekelip mata dan melakukannya dengan penuh keyakinan.

Dari pengamatan/pengalaman, saya bertambah yakin bahwa banyak lelaki/jantan, setidak-tidaknya yang saya kenali, telah mengambil salah peranan. Semasa mereka menerima peralihan peranan daripada anak muda kepada kekasih, kepada suami, kepada ayah mereka tidak merenung dan menilai untuk melihat kekuatan diri.

Mereka terperusuk ke lorong nilai yang dimiliki orang terdahulu dari mereka. Nilai-nilai yang telah lama dikonstruk ini tidak pula mereka persoalkan. Mereka berbondong-bodong menerbus masuk ke satu alam dengan harapan mereka akan menemui sesuatu.

Hati mereka, ketika itu, tidak pernah bertanya apakah lorong ini pilihan yang terbaik dan yang paling sesuai. Mungkin di zaman ayah dan arwah ibu saya berumahtangga, budaya kehidupan masih dalam suasana kedai runcit. Tidak banyak pilihan. Tetapi hari ini, kita berhadapan dengan Jaya Jusco/Carrefour atau sekurang-kurangnya memiliki pilihan dari gedung Maidin.

Tiada berahi

Satu ketika dahulu, semasa saya masih kecil, jika ada perempuan/lelaki yang hidup bersendirian, maka si polan ini dianggap tidak memiliki berahi. Atau mereka tidak laku. Atau mereka telah kena buatan orang yang dengki. Tidak pernah terlintas dalam fikiran kita bahawa mereka ini mengambil jalan lain untuk menguruskan kehidupan.

Ini pernah terjadi kepada saya sendiri. Satu masa dahulu, saya ingin mengalami cara pengurutan tradisional Melayu. Saya yang mengakui diri saya sebagai Melayu merasa tidak lengkap kemelayuan saya selagi susuk saya tidak dipilin-pilin dengan teknik urutan Melayu. Lalu saya pergi menziarah sebuah kampung di Meru, yang tidak berapa jauh dari bandar Klang. Tukang urut ini agak 'pro' dan saya telah diberitahu ramai pelanggan datang berurut dengan beliau.

Saya amat selesa dengan tukang urut yang ramah ini. Sambil diurut sambil kami berlabon. Akhirnya keluarlah soalan ' anak encik ini berapa orang?' Saya ketawa senyum kerana dia memanggil saya encik - begitu hormat sekali bunyinya. Soalan spontan yang diajukan semasa saya terbaring, telah mematikan kudrat fikrah saya untuk menjawab dengan lawak. Sambil dia memicit-micit tapak kaki saya, saya mengeluarkan jawapan '...masih solo belum kahwin lagi.'

Tukang urut ini terperanjat dan dia menyelak kain sarong saya sambil berlakon seolah-olah meninjau anu saya dan terus berkata ' kesian 'dia ni' sunyi macam pekan tinggal' Saya bingkas bangun dan terus berdiri sambil ketawa terbahak-bahak. Inilah satu metafora yang paling original yang pernah diluahkan kepada saya untuk menggambarkan seorang jantan yang tidak memiliki perempuan.

Si tukang urut hairan kenapa saya ketawa. Beliau gagal untuk melihat begitu humor sekali metafora seksual yang baru saja dilafazkannya. Dengan penuh budi bahasa dan keseriusan si tukang urut ini telah menawarkan diri untuk membantu saya mengadakan ritual mandi bunga agar susuk saya akan dapat dimiliki perempuan. Saya terus ketawa.

Apabila pesta Hari Valentine ini sampai, sebenarnya insan-insan solo tidak perlu mengelabah atau merasa cemburu. Budaya Valentine ini walaupun belum meluas tetapi semakin dirasakan pengaruhnya. Inilah contoh keterbukaan gedung budaya yang baru. Mungkin Hari Valentine ini ada unsur sindiran terhadap insan jantan/perempuan yang masih bersendirian tetapi iman kami tidak begitu senang untuk digoyahkan.

Gaya hidup

Masyarakat kita juga dengan hati terbuka telah menerima dan merayakan kesampaian budaya baru - Hari Ibu, Hari Ayah, Hari Setiausaha - tetapi masih belum ada pesta sambutan Hari Solo. Masih belum diwujudkan satu tarikh yang khusus untuk jantan/perempuan solo merayakan gaya hidup mereka. Budaya hidup sendirian telah lama wujud tetapi masih belum diarus perdana untuk dirayakan.

Pada hemat saya, pesta Hari Solo ini belum dirayakan kerana kaum pemodal masih belum melihat potensi ekonomi daripada jantan/perempuan solo. Jika sekiranya ada kajian ilmiah yang dibuat, pasti akan ditemui bahawa kebanyakan mereka yang mengambil jalan solo ini telah mendapat pendidikan yang 'above average ', memiliki lebih daripada satu ijazah, terdiri daripada golongan professional dan berkeupayaan untuk bercuti di luar negara. Ertinya, jantan/perempuan solo memilki keupayaan ekonomi yang tinggi.

Justeru, Hari Solo ini tidak dapat tidak akan muncul tidak lama lagi. Asakan ekonomi akan melahirkan satu anjakan baru. Sama seperti kenduri nikah kahwin, satu ketika dahulu, kenduri ini dilakukan secara gotong-royong. Tetapi hari ini, semuanya telah diswastakan. Tidak ada sesiapa yang mencadangkan secara rasmi anjakan ini.

Si pembawa budaya baru ini ialah asakan keperluan ekonomi di dalam sesebuah masyarakat kapitalis yang telah berkembang. Masa telah menjadi komoditi untuk dijual beli. Tenaga tidak mugkin lagi dapat diagih-agihkan secara percuma.

Selagi budaya solo ini belum dirayakan, para pengamalnya akan terus dihadapkan dengan soalan lama dalam olahan baru. Jika kita memberi jawapan ini. akan muncul pula soalan itu. Apakah kamu tidak sunyi? Apakah kamu tidak takut bersendirian?

Sebenarnya apa yang mereka ingin tanyakan ialah apakah saya tidak memiliki berahi seksual. Apakah saya ada pengalaman bersenggama. Orang yang bertanya ini cuba ingin dilihat sopan, seolah-olah mereka mereka ingin mengambil tahu hal-ehwal kebajikan saya.

Perangai isteri

Tetapi saya tahu, mereka sebenarnya ingin menjerut jantan/perempuan solo yang sedang gembira dalam cara hidup mereka untuk cuba memainkan peranan yang baru. Mereka mengajak kami melupakan zaman solo kami dan cuba memainkan peranan menjadi menantu, menjadi ayah, menerima sakit kepala dengan perangai anak dan perangai isteri.

Mereka ingin mengajak kami menamatkan kebebasan solo kami dengan hukum-hukum rutin harian yang berkemungkinan memerangkap jiwa bebas kami.

Untuk mereka yang merayakan Hari Valentine, saya ingatkan supaya berwaspada dalam berpesta. Bunga-bunga dan sajak-sajak dan kata-kata indah yang ditaburkan pada malam itu adalah 'pill Prozac' yang akan melalikan ingatan. Zaman percintaan adalah adalah zaman mimpi yang paling indah. Perkahwinan adalah bunyi deringan jam untuk bangun dan mengemaskan tempat tidur dan mula membasuh kain lapin anak.

Jika pada malam ini ada kawan-kawan yang tidak memiliki kekasih, bersendirian atau tidur berseorangan, jangan merasa gentar. Hadapi dengan satu senyuman yang puas. Bersendirian itu adalah wujudiah susuk. Kesunyian itu ialah keadaaan fikrah. Dalam merayakan budaya solo kita memang bersendirian, tetapi tidak pernah dalam kesunyian.

Dalam budaya solo tidak ada pekan yang tinggal, malah kita sentiasa beralih dari satu pekan ke suatu bandar baru untuk diterokai tanpa meninggalkan apa-apa alamat. Tidak perlu kita mandi bunga kerana susuk kita ini adalah bunga yang akan diciumi setiap masa.