Hari minggu yang lalu Umno atau lebih tepat pemangku Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) menggempur negeri Kelantan. Pak Lah masuk gelanggang lawan, kubu kuat PAS sejak dua dekad yang lalu. Sebelum meninggalkan negeri Cik Siti Wan Kembang itu, dengan gah beliau mengumumkan harapan untuk Umno menang di Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang adalah cerah.

Dengan yakin beliau mendakwa Umno Kelantan semakin kuat dan arus perubahan sedang melanda negeri yang dipimpin oleh tuan guru Datuk Nik Aziz Nik Mat itu. Pak Lah yakin Umno akan menawan balik Kelantan setelah melihat ribuan rakyat Kelantan membanjiri majlis-majlisnya Bachok dan Kota Bharu.

Namun di celah-celah keyakinan Pak Lah dan Tok Pa (Datuk Mustapa Mohamed) itu, Tuan Guru Nik Aziz pula mengeluarkan komen; " Saya yakin PAS akan terus memerintah Kelantan. Rakyat Kelantan tahu membezakan yang mana kaca dan yang mana berlian".

Dengan rendah diri, menteri besar itu mengakui PAS mungkin kehilangan beberapa kerusi kerana mungkin ada orang Kelantan yang terpukau dengan janji manis Umno .

Tentunya kenyataan Nik Aziz itu merupakan satu tamparan kepada juak-juak Umno Kelantan yang begitu bernafsu untuk menawan negeri tersebut. Keyakinan Nik Aziz itu pastinya mengecewakan Pak Lah yang begitu bersemangat setelah melihat ribuan "penyokong" Umno berhimpun meraikannya.

Nik Aziz mempunyai alasannya sendiri untuk berasa yakin. Begitu juga Pak Lah dan Tok Pa, mereka juga mempunyai sebab musabab sendiri untuk berangan-angan memerintah Kelantan. Jangan persalahkan Pak Lah kalau beliau terpedaya atau terpukau dengan kehadiran hampir "50,000 penyokong" Umno di majlis bersama rakyatnya di negeri itu.

Angan-angan

Tok Pa juga tidak salah kalau beliau sentiasa berasa yakin akan diangkat menjadi Menteri Besar Kelantan tidak lama lagi setelah sekian lama melihat majlis-majlis penyerahan pinjaman perniagaan, biasiswa, basikal, baja subsidi, enjin bot dan benih ikan, mendapat sambutan hangat para petani, peneroka, nelayan dan peniaga kecil.

Bagaimanapun apabila satu majlis kecil, pelancaran gotong-royong membersihkan bandar Kota Bharu oleh Nik Aziz dihadiri lebih 3,000 orang daripada pelbagai kaum dan peringkat umur dilangsung dengan jayanya baru-baru ini, tentunya ia sedikit sebanyak menyentak angan-angan Tok Pa dan anak-anak buahnya.

Kerana apa? Sebab yang datang ke majlis Nik Aziz datang sendiri sama ada dengan bas, beca, berjalan kaki atau berkereta. Mereka datang sukarela, tidak disogok dengan wang ringgit. Keadaan itu berbeza dengan "50,000 penyokong" Umno yang datang dari seluruh Kelantan dan diimport dari Terengganu yang diberi makan minum percuma, wang saku dan pengangkutan untuk menghadiri majlis Pak Lah itu.

Sokongan yang diperolehi oleh Nik Aziz dan PAS adalah tulen. Walaupun akhbar arus perdana melaporkan jumlah yang kecil, namun ia tetap menggambarkan sokongan kuat rakyat kepada PAS.

Tepukan gemuruh dan sokongan yang digambarkan kepada Pak Lah pula mungkin palsu. Semuanya mungkin sekadar untuk menyedapkan mata dan telinga Perdana Menteri itu. Selagi sokongan dan ikrar rakyat Kelantan itu belum diterjemahkan menjadi undi menyokong Umno , Pak Lah dan Tok Pa belum boleh tidur lena.

Seorang rakan yang sudah lama menetap di Kota Bharu memberitahu penulis, Umno akan menang sorak tetapi kalah di peti undi. Katanya, rakyat Kelantan cukup selesa dengan keadaan sekarang. Apa tidaknya, mereka sekarang ibarat gadis cantik yang menjadi rebutan dua jejaka. Kedua-dua jejak mahu memikat cintanya, lalu ditabur pelbagai janji manis, hadiah dan habuan.

Kerajaan JPP

Menurut rakan penulis itu, rakyat Kelantan dan Terengganu adalah yang paling bertuah di Malaysia. Barisan Nasional atau Umno sanggup berhabis apa sahaja demi undi manakala kerajaan PAS juga mencuba memberikan khidmat yang terbaik.

"Kami dibelai dan dimanja bagai gadis cantik. Rakyat negeri lain tidak mendapat keistimewaan ini," tegas beliau.

Apa yang dinyatakan oleh rakan penulis itu benar belaka. Di Kelantan dan Terengganu seperti wujud "dua kerajaan". Satu kerajaan yang sah pilihan rakyat iaitu kerajaan PAS manakala satu lagi "kerajaan hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong" yang menggunakan nama Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

JPP ini mempunyai peruntukan "wang ehsan" beratus juta ringgit untuk menabur projek pembangunan di Kelantan dan Terengganu. Menjelang pilihanraya ini ia makin galak membina atau menaik taraf jalan baru, membina sekolah dan Tadika, menghulur bantuan kewangan "one off" kepada pelajar sekolah, selain memberikan bantuan pinjaman kecil kepada pelbagai golongan peniaga kecil.

"Kerajaan JPP" ini mempunyai programnya sendiri. Kalau di Kelantan, Tok Palah "Menteri Besarnya" manakala di Terengganu, tentulah Idris Jusoh. Kesibukan aktiviti kedua-dua "Menteri Besar " ini mengalahkan tuan guru Nik Aziz dan Hadi Awang.

Bumi nyata

Mereka inilah yang ke sana ke mari berkempen dan menabur pelbagai janji untuk menagih undi rakyat. Dan berdasarkan laporan mereka dan kuncu-kuncu merekalah, segala laporan positif mengenai peluang untuk merampas kedua-dua negeri itu dibuat dan dihantar ke Kuala Lumpur.

Diharapkan mereka menghantar laporan yang sebenarnya, yang berpijak di bumi nyata, bukannya sekadar cakap-cakap untuk menyedapkan hati bos sebagimana yang berlaku dalam pilihanraya 1999 dulu. Lima tahun dulu laporan positif telah dihantar kepada Perdana Menteri ketika itu. Namun akhirnya bukan sahaja Kelantan terus ditadbir oleh PAS malahan Terengganu turut terlepas.

Komen rakan penulis mengenai "keselesaan" rakyat Kelantan dan Terengganu diperintah oleh "dua kerajaan" itu perlu diberikan perhatian oleh Pak Lah. Ini kerana situasi "dua kerajaan" ini tidak merugikan rakyat di kedua-dua negeri itu. Malah mereka tetap beruntung dan diberikan perhatian walaupun duduk di bawah naungan PAS.

Projek dan wang ehsan dari kerajaan Pusat tetap mengalir ke negeri mereka, malahan mungkin lebih banyak daripada yang dinikmati oleh rakyat di Kedah, Pahang, Selangor atau Perlis.

Logiknya, kalau terus selesa, masih mendapat pembangunan dan perhatian dari kerajaan Pusat walaupun duduk di bawah pemerintahan pembangkang, maka tidak perlulah bertukar kerajaan.

Lebih baik kekal "berumahtangga" dengan kerajaan PAS sambil menekmati belaian manja dari BN dan Umno. Sebab dibimbangi apabila diberi peluang berkuasa kelak, cinta akan beralih arah, janji akan tinggal janji sahaja. Dikhuatiri nanti Umno akan lupa diri sebagaimana yang berlaku 20 tahun dulu.

Berdasarkan logik itu, rakan penulis yang sudah 15 tahun berkhidmat sebagai guru di Pengkalan Chepa itu, telah membuat keputusan untuk terus mengundi PAS dalam pilihanraya umum nanti.

Beliau mengakhiri perbulan dengan ikrar; Kerajaan Persekutuan bagi naik gaji, kita ambik, orang Umno bagi duit kita belanjakan, Tok Pa bagi kain batik, kita pakai tetapi bila mengundi, kami pangkah bulan purnama!

"Kami paling bertuah dan beruntung, tiada alasan untuk tukar kerajaan. Sepatutnya rakyat Malaysia yang lain belajar cara orang Kelantan main politik, " tegasnya.