'Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta pertubuhan atau kumpulan yang ditubuh secara ad-hoc, jangan membabitkan diri dalam kegiatan berkaitan tugas suruhanjaya itu kerana ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat dan imej badan itu.

Setiausahanya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata pihak berkenaan perlu menghormati SPR sebagai sebuah badan yang ditubuh mengikut Perkara 114 Perlembagaan dan ahlinya dilantik Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, tindakan organisasi yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa mengeluarkan laporan berhubung bidang tugas SPR tanpa mendapat maklum balas daripada pihaknya terlebih dulu, akan mengelirukan masyarakat.

"Janganlah disebabkan sebuah pihak (pertubuhan) yang tidak diiktiraf oleh sesiapa, terus mencemarkan imej SPR.

"Saya nasihatkan semua orang, sama ada kesatuan atau pertubuhan ad-hoc, pertama sekali menghormati SPR, jangan terbabit dalam aktiviti yang mencemarkan imej badan ini. Rakyat mesti yakin kepada SPR," katanya kepada pemberita di pejabatnya.(1)

Ha! Ha!. Ha!. Si Mamat dari SPR itu pun berkata-katalah. Lalu ikan di air mati kelemasan. Kelapa muda mula bertombong. Kapal selam naik ke darat. Ikan keli mengayoh basikal. Air sungai mudek ke hulu. Rakyat seantero negeri mula ketawa.

Poyo

Di Utara Si Mamat ini akan dipanggil bengong. Di Negeri Sembilan dipanggil pentengong. Di Pulau Pinang dipanggil ngok. Di Peranchis dipanggil 'con'. Komuniti bekulit hitam di London akan memanggil Mamat ini 'blaad kloth'. Di Pakistan dipanggil 'chutia'. Di Arab dipanggil baral. Untuk anak-anak muda kita yang kool dan sedang santai/melepak di KLCC Mamat ini akan dipanggil poyo.

Penghormataan adalah satu nilai. Nilai yang akan mengikat/mengadun silatulrahim dikalangan unit anggota-anggota satu-satu komuniti. Nilai hormat ini wajib dikongsi bersama didalam satu kelompok/sebuah masyarakat. Nilai penghormatan ini akan diberikan kepada sesiapa saja. Penghormatan bukan diberikan kerana diminta-minta atau dituntut-tuntut.

Penghormatan lahir dari keselesaan pengkongsian nilai. Menjerit-jerit. 'Hormatkan aku! Hormatkan aku!' tidak akan melahirkan penghormataan itu. Penghormatan bukan diminta-minta tetapi diperolihi berasaskan nilai yang dikongsi bersama.

Maka disini jelaslah betapa ngoknya si Mamat dari SPR ini. Memiliki gelaran Datuk, berijazah, punya kereta besar, sudah pergi HajI atau berulang alik ke Umrah - mungkin dihormati oleh beberapa kelompok. Pasti akan ada individu yang akan memberikan penghormatan kepada nilai ini. Ini hanyalah nilai penghormatan kelompok peribadi. Yang kita bincangkan disini ialah penghormataan kepada satu lembaga daulah. Ini memerlukan lebih dari jeritan/tuntutan.

Untuk menghormati sesebuah lembaga daulah pertamanya lembaga ini wajib diyakini. Asas penghormatan ini ialah keyakinan orang ramai terhadap badan/lembaga daulah itu. Tanpa keyakinan tidak mungkin penghormatan akan muncul.

Keyakinan lahir dari perbuatan/perangai/prestasi. Mengeluarkan kenyataan bahawa badan ini wujud kerana berlandaskan akta ini atau akta itu tidak memberi apa-apa makna - zilch, sifar, kosong dan zero. Malah ini mungkin dibacakan/dilihat sebagai ugutan. Dalam filem-filem Mafia dari Holywood kita sering terdengar dailok ' tunjuk hormat/show respect ' sambil si Mafia mengajukan senjata. Ini bukan hormat namanya. Si Mamat tu tunduk kerana takut mati kena bedil.

Monolog Hamlet

Penghormatan kepada apa/sesiapa pun memerlukan keyakinan yang luhur. Ayatollah Sistani di Karbala di hormati bukan kerana beliau memiliki watikah dari Harun Aminulrasheed. Atau beliau memiliki bala tentera. Atau memiliki undang-undang ISA yang akan menangkap sesiapa sahaja yang tidak 'hormat ' kepada beliau. Ayatollah ini dihormati oleh masyarakat Arab walaupun beliau bukan Arab tetapi Parsi. Ayatollah Sistani dihormati kerana ada perkongsian nilai dikalangan rakyat Iraq terhadap apa yang beliau nyata/laku/sarankan.

Lima ratus tahun dahulu, dalam teater Shakespear , Putera Hamlet watak utamanya, telah diberikan ruang untuk bermonolog. Ruang untuk bermonolog panjang ini 'diperolehi/earned' oleh watak Hamlet. Babak-babak awal telah menyediakan ruang untuk watak ini agar dapat diyakini/dipercayai untuk menyampaikan monolog ini. Kelakuan/perangai/perbuatan Hamlet telah menyediakan watak ini untuk memperoleh ruang monolog ini. Tanpa semua ini monolog Hamlet ini akan didengar sebagai khutubah hampeh yang tidak mungkin bertahan lebih dari lima hari.

Sekarang mari kita lihat perangai dan kelakuan SPR. Apakah SPR boleh diberikan satu keyakinan. Untuk ini mari kita lihat perangai dan kerenah SPR pada pilihanraya tahun 1999. Rakyat telah membuat Tiga Tuntutan. Pertama: hapuskan undi pos. Kedua: mecalitkan dakwat hitam kepada yang telah mengundi. Ketiga: masuk dan senaraikan 600,000 pengundi baru. SPR telah gagal melakukan semua ini.

Justeru, saya tidak hairan jika hari ini diceramah-ceramah BA akan ada penceramah yang merasmikan dan mencanangkan bahawa SPR ini sebenarnya adalah salah satu komponen Barisan Nasional yang terbaru. Tuduhan ini lahir kerana perangai dan kerenah SPR sendiri yang dilihat oleh orang ramai sebagai 'barua' BN.

Kes Ezam, Azmin dan Irene dari Parti Keadilan Rakyat(PKR) membuktikan sekali lagi bagaimana SPR ini dilihat sebagai jentera pembersih musuh Umno. Mungkin ramai yang belum sedar bahawa pada tahun lepas lagi YB Azmin Ali telah menulis surat meminta penjelasan terhadap kedudukan mereka yang telah dijatuhkan hukuman tetapi masih dalam proses rayuan. SPR telah menulis surat jawapan menyatakan secara hitam putih bahawa mereka memiliki hak untuk bertanding sebagai calon. Ini berlaku tahun lepas.

Untuk memastikan semua berjalan dengan lancar, PKR telah menulis sekali lagi sebagai kalis untuk menghadapai pilihanraya ini. Top. Topbila parlimen dibubarkan semuanya terbalik kot. Hak mereka telah dilupuskan.

Nasihat peguam

Mengikut YB Azmin yang menerima jawapan dari SPR, pelupusan hak mereka untuk bertanding adalah atas nasihat peguam SPR. Surat jawapan pertama dahulu itu ditulis tanpa nasihat peguam. (2) Kali ini ditulis dengan peguam ada disebelah komputer.

Weh hoi ! Kalau ini dan bukan jawapan dari si bebal/si bengong, jawapan dari siapa ini. Mungkin jawapan ini datang nya dari botol kicap. Botol kicap pun berkata: ' I dulu tak check laaaah. Ni loyer I dah cakap tak leh. Sorry lah ya! Lagi pun I dengar you nak lawan Najib. Mana leh nanti isteri I marah I lak..'

Kes terakhir ialah apabila Pemantau Pilihanraya Bebas Malaysia (PIBEBAS)) mengeluarkan kaji selidik mereka. Apa yang ditemui oleh PIBEBAS cukup mengejutkan. Saya tidak tahu sama ada hendak menangis atau hendak ketawa bila membaca laporan kajian awal PIBEBAS ini. Cukup lawak dan amat menyedihkan - lawak sedih.

Cuba bayangkan telah ditemui di Lembah Pantai tiga alamat yang diduduki oleh lebih dari 100 orang bakal pengundi. Di satu alamat diduduki oleh 156 bakal pengundi. Tidak menghairankan orang jika ini alamat sebuah blok apartmen atau satu blok rumah pangsa. Tetapi ini sebutir kedai runcit dan tempat bomba. Yang 156 orang itu rupa-rupa nya tinggal di bilik memungut tol lebuh raya.

Hah ! Dulu kita hanya mendengar dongeng dan labun pengundi hantu berkeliaran semasa membuang undi. Kali ini kita telah dapat menemui alamat kubur-kubur mereka. PIBEBAS yang telah berbulan-bulan menjalan kan kaji selidik telah dapat membuktikan secara saheh tentang betapa kelam kabutnya senarai pengundi yang disusun oleh SPR. Hantu-hantu masih berkeliaran dan kubur mereka telah ditemui !

Tetapi apa jawapan SPR. Bukan ianya ingin menilai kembali prestasi kerja mereka tetapi cuba memperkecilkan PIBEBAS. Inilah perangai ngok yang sedang menghantui negara kita. Mengikut lojik ngok SPR kerana badan ini tidak berdaftar/kerana badan ini badan bebas maka kajian mereka tidak sepatutnya diambil kira.

Malah SPR melarang pula badan-badan bebas dari membuat kajian dan meminta sesiapa yang ingin membuat kajian datang bertemu dahulu dengan SPR. Dan SPR cuba melarang hasil selidikan ini dari dipaparkan kepada orang ramai.

Apa ke jadah nya nak buat macam ni ! Apakah SPR ini 'clearing house' untuk kajian ilmiah. Jika ini juga tugas baru SPR maka saya angkat topi kerana SPR telah mula menjadi badan akademik. Tidak lama lagi mungkin SPR juga akan menapis filem, mengawal harga getah dan memastikan Mat-Mat Rempit memakai topi keledar yang betul.

Lima sen setangguk

Macam ni lah Wak SPR hoi ! .. setiap pagi telah ditemui selonggok najis di kerusi Pengerusi SPR. Tidak diketahui siapa yang telah bertanggung jawab 'melepaskannya'. Tapi baunya telah meloyakan seluruh pejabat. Tiba-tiba satu pagi telah ditemui orang yang 'memerut' ini. Seharusnya SPR mengangkat kepala dan bertanya bagimana caranya dapat dikesan si Buntal ini. Tetapi SPR sebagai SPR yang tulen lagi bersendawa (maaf, lagi berwibawa ) telah mengeluarkan ugutan pula. Ini tindakan ngok namanya.

Sama ada PIBEBAS ini berdaftar atau tidak bukan persoalan. Sama sama ada yang 'memerut' itu lelaki atau perempuan bukan persoalan. Persoalan hakiki ialah telah ditemui dan dibuktikan alamat-lamat pengundi hantu. Tempat-tempat ini terlah dipotret/divideo dan dirakamkan. Berselindung di kopek Jabatan Pendaftar Pertubuhan bukan satu jawapan. Ini cuma langkah bodoh SPR dalam usaha untuk mengabui mata orang ramai dari merlihat kebenaran.

Kerenah dan perangai-perangai seperti inilah yang membuatkan orang ramai tidak yakin kepada SPR. Jika SPR dilihat telus, jujur dan adil tidak akan muncul lawak-lawak memperlekehkan SPR didalam ceramah-ceramah politik. Orang ramai juga akan marah jika SPR yang telus/jujur/adil diperlekehkan. Tidak akan berani sesiapa pun ketawa bila mendengar nama SPR di sebut. Kalau zip seluar SPR terkancing pasti tak ada orang yang akan melihat anunya.

Dalam negara seperti Malaysia ini pegawai-pegawai dalam badan-badan seperti SPR ini hanya lima sen setangguk. Jadi tidak perlulah SPR nak gempaq-gempaq dengan undang-undang dan hukum hakam. Shah Reza Pahlavi dan Haji Muhamad Suharto lebih banyak lembaga-lembaga yang menjaga kepentinagan suku sakat dan kroni beliau. Semuanya kaput bila ombak rakyat melanda. Barua-barua Suharto dan barua Shah Iran lagi hebat ketrampilan fikrah mereka. Tetapi hari ini kentut mereka pun tidak kedengaran lagi.

Peghormatan akan sampai tanpa diminta atau jerit-jerit. Undang-undang adalah sosial konstruk buatan manusia. Semua yang dibuat oleh manusia boleh dilupuskan oleh manusia. Sama ada SPR kita hari ini betul-betul telus/jujur/adil terpulang pada persepsi rakyat. Rakyat lah yang menilai untuk meluluskan sama ada lembaga ini betul-betul lembaga Suruhanjaya Pilihanrya untuk rakyat Malaysia atau hanya balachi poyo lulusan SRP.

Nota:

1 - Bernama

2 - Ceramah Azmin Ali di Gombak 8 March 2004