Dari Algiers ke Fallujah
Pada musim gugur tahun 1978, sewaktu dalam perjalanan ke Utara Iraq, saya melintasi simpang jalan ke Fallujah. Bagi saya, bandar kecil yang tidak berapa jauh dari barat Baghdad ini tidak memiliki daya tarikan suci seperti Najaf atau Karbala. Van yang saya tumpangi melintasi persimpangan Fallujah untuk terus memasuki Takrit - wilayah perkampungan kaum kerabat suku sakat Saddam Hussein.
Sejarah berlalu dan ianya memastikan diri saya tidak akan dapat melupakan Baghdad, Najaf, Karbala dan Fallujah. Semenjak enam bulan ini, setiap kali saya membaca akhbar atau menonton TV, saya terus berhadapan dengan nama-nama ini.
Semuanya membawa saya kembali ke detik dan saat-saat saya di Iraq. Ingatan saya menjalar jauh. Resah, gelisah, sayu dan sedih semuanya datang membuka peta ingatan. Detik-detik ini juga telah membuka kembali azam muda kemarahan.
Dalam mencari jalan untuk mententeramkan keresahan ini, saya teringat kepada sebuah filem - The Battle of Algiers . Filem ini telah beberapa kali saya tonton di pawagam dan TV semasa saya menjadi pelajar di kota London. Ianya dijadikan filem wajib untuk sesiapa saja yang ingin mempelajari ilmu filem. Orang filem yang tidak mengetahui filem ini, samalah seperti orang Melayu yang tidak mengenal pantun Pulau Pandan Jauh ke Tengah.
Filem hitam putih ini adalah bikinan Gillo Pontecorvo, pengarah Itali berhaluan kiri pada tahun 1966. Naratif induk filem ini ialah mengenai semangat, perjuangan dan pengorbanan rakyat Algeria semasa berjuang mengangkat senjata menuntut kemerdekaan dari Peranchis. Kerana itu, jika ada 'orang kiri' yang tidak pernah menonton atau mendengar filem ini, saya cadangkan mereka wajib dihantar ke sekolah sekali lagi untuk diwaraskan politiknya.
Pada musim gugur tahun 1978, sewaktu dalam perjalanan ke Utara Iraq, saya melintasi simpang jalan ke Fallujah. Bagi saya, bandar kecil yang tidak berapa jauh dari barat Baghdad ini tidak memiliki daya tarikan suci seperti Najaf atau Karbala. Van yang saya tumpangi melintasi persimpangan Fallujah untuk terus memasuki Takrit - wilayah perkampungan kaum kerabat suku sakat Saddam Hussein.
Sejarah berlalu dan ianya memastikan diri saya tidak akan dapat melupakan Baghdad, Najaf, Karbala dan Fallujah. Semenjak enam bulan ini, setiap kali saya membaca akhbar atau menonton TV, saya terus berhadapan dengan nama-nama ini.
Semuanya membawa saya kembali ke detik dan saat-saat saya di Iraq. Ingatan saya menjalar jauh. Resah, gelisah, sayu dan sedih semuanya datang membuka peta ingatan. Detik-detik ini juga telah membuka kembali azam muda kemarahan.
Dalam mencari jalan untuk mententeramkan keresahan ini, saya teringat kepada sebuah filem - The Battle of Algiers . Filem ini telah beberapa kali saya tonton di pawagam dan TV semasa saya menjadi pelajar di kota London. Ianya dijadikan filem wajib untuk sesiapa saja yang ingin mempelajari ilmu filem. Orang filem yang tidak mengetahui filem ini, samalah seperti orang Melayu yang tidak mengenal pantun Pulau Pandan Jauh ke Tengah.
Filem hitam putih ini adalah bikinan Gillo Pontecorvo, pengarah Itali berhaluan kiri pada tahun 1966. Naratif induk filem ini ialah mengenai semangat, perjuangan dan pengorbanan rakyat Algeria semasa berjuang mengangkat senjata menuntut kemerdekaan dari Peranchis. Kerana itu, jika ada 'orang kiri' yang tidak pernah menonton atau mendengar filem ini, saya cadangkan mereka wajib dihantar ke sekolah sekali lagi untuk diwaraskan politiknya.
Di zaman 60-an dahulu, filem ini menjadi salah satu 'kitab suci' bahan rujukan untuk anak muda dan mahasiswa semasa mereka menggalang ampuh gerakan anti-imperialis dan anti-perang Vietnam. Ceramah politik, seminar dan forum yang diatur di dalam kampus untuk meningkatkan kesedaran anak muda dan mahasiswa, selalunya di akhiri dengan tayangan filem ini.
Propaganda
Lalu, Battle of Algiers dinobatkan untuk menjadi sebuah kerja seni klasik yang setaraf dengan filem Battle Ship of Potemkin - yang merakamkan permulaan sejarah perjuangan Revolusi Bolshevik 1917 di Russia. Battles of Algiers bukan genre seni propaganda berbentuk RTM atau NTV Skodeng. Suara dan tempo filem ini bukan satu khutubah.
Sebenarnya tidak banyak filem yang begitu berjaya, yang dapat mengadunkan seni bayang bergerak dengan tema anti-imperialisma. Kerana itu, tidak menghairankan jika semua sekolah filem di seluruh dunia ( kecuali di Malaysia) telah mewajibkan pelajarnya menonton, mengkaji dan mentelaah filem ini.
Tetapi, apa yang menghairankan saya ialah awal tahun lepas saya terbaca satu berita dari London yang melaporkan tentang Battle of Algiers kini menjadi 'wajib tonton' kepada pegawai-pegawai di Pentagon. Bayangkan Donald Rumsfeld, Condolezza Rice, Brammer, General Sanchez, perisik dari CIA dan FBI semuanya duduk dalam sebuah panggung melihat kerja seni Pontecorvo.
Hanya George Bush sahaja yang tidak hadir. Dari laporan media terkini, telah dibuktikan si Mamat Bush ini bukan sahaja gagal membaca
'brief
' yang disediakan, dia juga tidak memiliki daya fikrah untuk menganalisa.
Battle of Algiers
pasti akan meledakkan apa saja saki-baki 'benda putih' yang masih tersimpan di antara dua telinga Bush. (Ini ditakdirkan jika 'benda' itu pernah wujud).
Menonton filem ini diwajibkan oleh Pentagon dalam usaha terdesak Amerika untuk memahami, mengkaji kenapa dan bagaimana rakyat Iraq yang 'ingin didemokrasikan' kini telah bangun mengangkat senjata melawan tuan yang membawa 'demokrasi'. Protoganis filem ini ialah Ali la Pointe seorang 'kaki busuk' yang hidup dengan mencuri dan meragut beg tangan di kota Algiers.
Ali seorang 'lumpen/kutu berahak' tetapi telah dapat dididik oleh FLN ( Barisan Pembebasan Algeria ) untuk menjadi seorang pejuang pembebasan. Pontecorvo memperlihatkan bagaimana para intelektual sekular telah dapat bekerjasama dengan penduduk miskin kota dan golongan agamawan dalam usaha mereka untuk membebaskan Algeria.
Keganasan
Dalam satu babak yang pasti mengerunkan Amerika ialah apabila Jamilah, seorang gadis Arab tradisional, telah menggantikan pakaian kampungnya dengan gown dan blouse . Rambut panjangnya telah dipotong pendek. Dia bergincu dan bercutex. Akhirnya Jamilah berubah bentuk. Dari gadis kampung kini Jamilah kelihatan 'chic', segak, bergaya dan elegan seperti gadis kota Paris.
Jamilah 'yang baru', tanpa halangan, telah diterima memasuki caf dan kelab-kelab tempat orang Peranchis bersantai. Gadis kampung ini memasuki caf bukan untuk berpoya tetapi dia ditugaskan oleh FLN untuk meletakkan bom jangka. Hasilnya, di sana sini bom meledak. Kota Algiers menjadi medan tempur. Polis Peranchis menjadi haru-biru.
Masyarakat pendatang (Peranchis) kini menjadi tidak tenteram. Mereka merasa keganasan berada di sekeliling mereka. Kehidupan lumayan sebagai kuasa menjajah kini terancam. Mereka dirasuk ketakutan kerana sang maut boleh datang pada bila-bila masa sahaja.
Ambiance
inilah yang sedang menghantui tentera Anglo-Amerika di Iraq. Sebenarnya, Kuasa Bersekutu yang digembargemburkan oleh media itu bohong belaka. Negara-negara kecil seperti Korea, Poland, Bulgaria dan sebagainya telah mendapat ugutuan ekonomi jika mereka gagal menghantar kontijen ke Iraq. Semua ini dilakukan oleh Amerika untuk memperbaiki kesilapan mereka di Vietnam dahulu.Jika banyak negara yang masuk campur 'membawa demokrasi' ke Iraq, ertinya negara-negara ini sedang melakukan sesuatu yang baik. Rakyat dunia patut menyokong mereka. Rakyat dunia patut bersyukur. Rakyat dunia patut berterima kasih kerana tanpa Amerika dan Kuasa Bersekutu, kehidupan kita semua tidak selamat. (Macam dah pernah dengar ni!)
Apa yang terjadi dua minggu lalu di Fallujah, telah terjadi di Algiers 40 tahun dahulu. Empat orang yang dipanggil 'civilian contractor' itu bukanlah orang biasa. Mereka itu tentera upahan - mercenary - yang bekerja sebagai pengawal untuk syarikat-syarikat baru yang sedang melanun Iraq.
Angkat senjata
Lebih 15,000 pengawal bersenjata ini sedang bertugas di pelbagai sektor swasta di Iraq. Kesemua mereka ini bekas tentera dan memiliki pengalaman dalam bidang ketenteraan. Ini sebenarnya satu strategi untuk membawa lebih ramai 'soldadu' ke Iraq secara gelap. Di Algeria dahulu, orang Peranchis tuanpunya ladang dan kilang menubuhkan kumpulan soldadu swasta untuk menjaga kepentingan ekonomi mereka. Jadi konsep 'civilian contractor' bukan sesuatu yang baru.
Saya tersenyum apabila mendengar kenyataan General Sanchez berlabon di hadapan media tentang bagaimana Mamat 'civilian' (baca : askar upahan) empat orang ini diculik dan dibunuh secara ganas. Keluarlah perkataan 'barbaric' dan 'uncivilised'. Ya habibi ! Ya Maulana ! Ini perang namanya. Bukan masuk kelab dangdut di Batu Road. Mestilah ganas. Mana ada peperangan dan perjuangan mengangkat senjata yang tidak ganas.
Apa yang dilakukan oleh anak-anak muda di Fallujah itu memang untuk mengganasi dan menakut-nakutkan si penceroboh. Sama seperti yang dilakukan oleh Ali la Pointe dan Jamilah di Algiers dahulu. Tidak mungkin penduduk Fallujah akan berkata 'please may I kill you' atau '.... May I put a bullet in your head please' Antara yang menceroboh dengan yang diceroboh tidak ada titik pertemuan. Siapa dahulu dia akan memetik picu senapang.
Dalam Battle of Algiers , watak Colonel Mathieu yang menguasai Algiers telah dilakonkan oleh Jean Martin. Kolonel ini telah menggunakan pelbagai cara - kepongan/perintah kurung/penutupan jalan/catuan makanan. Apabila semua ini gagal, kuasa kuasa 'colonial' ini telah menangkap sesiapa sahaja yang disyaki bersubahat dengan FLN. Mereka yang ditangkap dibawa ke penjara untuk disoalsiasat.
Babak-babak bilik soalsiasat inilah yang menjadi 'opening sequence' filem Pontecorvo. Di bilik ini para mujahiden FLN diseksa dengan pelbagai cara. Penyeksaan ini menguji keteguhan iman para pejuang kemerdekaan itu. Ada yang menemui ajal dan ada yang menjadi gila.
Jika menonton berita di TV, sila perhatikan imej anak-anak muda dan lelaki dewasa Iraqi yang ditutup mata dan tangan mereka diikat kebelakang. Mereka ini akan dibawa ke bilik-bilik kecil, ke ruang-ruang penjara untuk di soalsiasat. Mereka akan diancam, dinafikan hak dan akhirnya diseksa. Semua ini dilakukan dengan harapan ada di antara mereka patah imannya dan menjadi pembelot.
Perangkap
Babak akhir dalam Battles of Algiers ialah apabila seorang kader FLN ditangkap dan diseksa. Kerana tidak tahan dengan penyeksaan, si kader ini menjadi pembelot dan memberitahu pihak tentera tentang struktur dan organisasi FLN dan di mana Ali la Pointe boleh ditemui.
Ali la Pointe dari seorang kutu berahak, kini menjadi seorang pejuang yang gigih. Ali menjadi orang kepercayaan FLN dan sering bersama sorang pemimpin kanan FLN. Sayang sekali tempat rahsia mereka diketahui tentera. Kawasan perumahan mereka di kepong dan bom-bom dipasang untuk memerangkap mereka.
Para Mujahid ini tidak memiliki jalan keluar. Soldadu Peranchis terus mara dan merapati bilik rahsia mereka. Menyerah, diseksa, belot atau bertempur hingga syahid inilah persoalan yang ditimbulkan di saat-saaat akhir filem ini.
Saya tidak ingin memberitahu apa yang akhirnya terjadi kepada Ali la Pointe. Tetapi apa yang sahih ialah di babak akhir ini, kita akan mendengar jeritan suara rakyat di kota Algiers sahut menyahut dan akhirnya menjadi laungan yang bergegak gempita. Suara ini diikuti oleh panggilan azan.
Semua ini berulang sekali lagi di Iraq. Saya menonton Battle of Algiers dalam bentuk hitam putih. Hari ini, imej-imej Battle of Fallujah yang saya lihat dari CNN atau BBC berwarna. Ini sahaja perbezaaanya. Yang lainnya ada persamaan. Inilah hukum kanun kuasa imperialis. Mereka tidak pernah faham kenapa mereka dilawan dan ditentang.
Walaupun seratus kali kerja seni Pontecorvo ini diputarkan di Pantagon, para penyelidik dan pembuat strategi CIA tidak akan dapat mengalahkan perang gerila dan perang rakyat yang sedang membakar Iraq. Mereka pasti akan bertemu dengan pembelot tetapi Ali la Pointe dan Jamilah akan muncul dari setiap sudut di Iraq.

