Menyusuri jalan menuju ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Mukim Buluh Telur, Kuala Kubu Baru pada hujung minggu sejak dua tahun lalu adalah satu perjalanan yang sunyi dan menyegarkan. Tapak MRSM KKB yang baru dibuka itu terpencil, di kaki bukit, di pinggir hutan.

Tiada bangunan lain di sekitarnya kecuali Kem Bina Semangat Yayasan Selangor dan Darul Quran yang dibina di tepi jalan utama menghala ke bandar Kuala Kubu Baru. Namun arus pembangunan tidak boleh ditahan.

Kini bersebelahan sekolah berasrama penuh itu, telah siap premis Institut Kemahiran Belia Negara dan di hadapannya pula, tersergam Dataran Milenium yang di peringkat akhir pembinaannya.

Tidak cukup dengan itu, di sebelah Kem Bina Semangat Yayasan Selangor, didirikan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Berderetan bangunan konkrit dan khemah-khemah yang menempatkan para peserta lelaki dan perempuan. Kini mukim Buluh Telur bukan lagi padang jarak padang terkukur seperti dua tahun lalu.

Dengan beroperasinya kem PLKN sejak awal tahun ini, jalan menuju ke MRSM KKB pada hujung minggu tidak lagi sunyi. Anda akan berhadapan dengan suasana seperti karnival bila melalui jalan di tepi kem PLKN itu.

Penuh kereta diletakkan di tepi jalan, keluarga bersantai dan berkelah, melepas rindu pada anak masing-masing di bawah pokok. Kantin di kem tersebut sentiasa penuh. Para penjual aiskrim dan makanan ringan turut meraih rezeki di situ.

Berita negatif

Suasana pesta itu tidak menampakkan ciri-ciri disiplin yang sepatutnya ada pada sebuah kem khidmat negara atau kerahan tenaga. Dari jauh nampak kawalan keselamatannya begitu longgar. Para peserta bebas bergerak dan bergaul, terutamanya pada hari Ahad.

Suasana santai pada hujung minggu di kem PLKN Kuala Kubu Baru tidak menimbulkan apa-apa persoalan selama ini. Namun apabila pelbagai berita-berita negatif mengenai program ini terpapar di dada akhbar, hati saya berkata: "Apa nak dihairankan, kem PLKN tidak ubah seperti jambori pengakap. "

Tidaklah keterlalun untuk mengatakan kem PLKN mirip jambori pengakap atau sekadar sebuah aktiviti "outbound school (OBS)". Lihat sahajalah pada aktiviti-aktiviti yang dipaparkan oleh media massa tempatan mengenai program ini, tiada bezanya dengan program OBS dan jamboree pengakap - aktiviti lasak, kawad kaki dan motivasi.

Ini jelas menunjukkan adanya kelemahan an kepincangan pada program ini. Kini perlahan-lahan pekung atau ulat dalam program itu terdedah. Daripada kekalutan urusan pengangkutan pada hari pendaftarannya, hinggalah kepada kes pergaduhan sesama peserta. Yang terbaru dakwaan kejadian rogol ke atas seorang peserta wanita di Kem Merang di Terengganu.

Semua kelemahan dan kepincangan itu membuktikan agenda ini adalah satu program tangkap muat! Dibuat secara terburu-buru, tanpa perancangan rapi sama ada dari aspek infrastruktur atau modulnya. Akhirnya, segala-galanya menjadi kelam kabut.

Namun kerajaan tetap meneruskannya untuk mengelak daripada malu walaupun mereka sedar pihak perancang dan pengendalinya belum benar-benar bersedia. Kini seorang demi seorang pemimpin negara, perancang dan pengendali program itu mengakui banyak kelemahannya.

Pemilihan jurulatih

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai PLKN sendiri mengakui terdapat banyak kelemahan, terutamanya dari aspek keselamatannya. Beliau sedar tenaga jurulatih banyak kekurangannya, terutamanya terlalu sedikitnya jurulatih wanita.

Hanya 15 peratus daripada 1,000 jurulatih PLKN adalah wanita. Sebahagian besar jurulatih program ini adalah anggota tentera atau bekas tentera. Pemilihan jurulatih juga dibuat secara tangkap muat, siapa yang difikirkan layak dan sudi menyumbang tenaga diterima. Ini diakui sendiri oleh Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Datuk Dr Ahmad Fawzi Mohd Basri.

Menurut beliau, jurulatih PLKN tidak melalui proses saringan sebelum dipilih kerana kesuntukan masa. Beliau mengakui ia dibuat secara tergesa-gesa tanpa menapisnya dengan mengandaikan semua anggota tentera atau bekas tentera berdisiplin tinggi.

Apa hendak dikatakan, nasi sudah menjadi bubur. Seorang peserta wanita berusia 17 tahun telah membuat laporan polis mendakwa dia dirogol oleh jurulatihnya. Jurulatih berkenaan, seorang anggota tentera berpangkat koperal telahpun ditahan reman.

Sebelum itu pernah dilaporkan seorang pesrta wanita di sebuah kem PLKN di Pulau Pinang dicabul kehormatannya oleh seorang kakitangan perubatan. Kemudian kita dikejutkan dengan cerita peserta histeria di kem Port Dickson.

Kononnya ada hantu tidak berkepala menganggu. Paling menyedihkan berlaku masalah disiplin di kalangan para peserta lelaki apabila berlaku bebeberapa pergaduhan antara kumpulan di beberapa buah kem latihan.

Pada awalnya, gejala bergaduh itu dianggap perkara biasa. Datuk Seri Najib sendiri memandang sepi kejadian-kejadian itu dengan menganggapnya hanya satu fenomena darah muda. Namun kini pelbagai berita negatif tentang PLKN tidak dapat disembunyikan lagi. Kerajaan sendiri nampaknya terpaksa akur dengan keadaan ini.

Negara jiran

Lantas Menteri Pertahanan kita mengadakan pertemuan dengan 41 komander kem PLKN pada malam 19 April, bermesyuarat membincangkan soal disiplin peserta dan aspek keselamatan di kem, terutama bagi peserta wanita.

Kini kerajaan sedar, sikap terburu-buru menjalankan program ini telah membawa padah. Lalu dicadangkan supaya pendekatan tentera digunakan untuk mendisiplinkan para peserta. Ada juga yang mencadangkan program ini dijadikan program khidmat nasional seperti di Thailand dan Singapura. Kalangan tertentu mahu supaya pendekatan agama digunakan bagi membaiki modul yang sedia ada.

Masih belum terlambat untuk menyelamatkan dan membaiki program ini. Pokok pangkalnya, kerajaan harus lebih serius dalam mewujudkan dan mengendalikannya, bukan sekadar ada sahaja. Program ini harus dirancang dan diatur dengan teliti. Kita tidak mahu selepas tiga bulan di kem latihan dan di kampus, para peserta pulang tanpa apa-apa perubahan.

Sanggupkah kita melihat para "graduan" PLKN kembali menjadi Mat Rempit atau Mat Lepak selepas pulang ke kampung masing-masing? Kalau ini berlaku, itu bererti kita membuang ke dalam longkang RM500 juta setahun.

Mungkin kita perlu belajar dari Singapura dan Thailand cara-cara mereka membentuk generasi pelapis mereka. Kalau program PLKN yang ada sekarang perlu dirombak, sila bertindak. Jika ia perlu ditangguhkan untuk dikemaskini, jangan malu untuk melakukannya. Kalau para jurulatih perlu dihantar berkursus di kedua-dua buah negara jiran itu, hantarlah mereka.

Sebenarnya tidak seluruh program ini gagal dan bukan semua peserta serta jurulatihnya tidak berdisiplin.

Oleh itu, jangan biarkan nila setitik merosakkan nila sebelanga. Bentuklah PLKN menjadi program jatidiri dan kenegaraan yang berkesan, bukannya sebuah jamboree pengakap!