Sebuah cinta satu perjuangan
Bagaimana bermulanya Usman Awang berkarya menulis kisah percintaan Uda dan Dara. Apakah proses kreativti yang telah melanda jiwa Usman. Adakah Usman pernah bercinta dan gagal? Pernahkah Usman menaroh hati dengan anak gadis tuan tanah di kampungnya tapi peminangan ditolak? Menitiskah air mata melintasi pipinya semasa Uda meninggalkan Dara untuk mecari emas sebara?
Dalam perjalanan muda, saya pernah berkasih/bercinta dan gagal. Semua ini mengingatkan saya kepada Uda dan Dara yang gagal dalam percintaan. Lalu, saya mengaju/menyebarkan kegagalan sebagai noktah akhir keagungan percintaan. Ini dikukuhkan dengan kematian Juliet dan Romeo. Cleopatra menemui maut digigit ular. Majnun menjadi fasik dilamun cinta. Semua naratif percintaan agung ini telah merayakan kegagalan.
Tetapi minggu lalu lantai yang saya pijak ini telah bergoyang. Ini berlaku apabila saya dihadapkan dengan satu realiti percintaan yang telah melintasi noktah kegagalan. Percintaan yang telah melintasi pengalaman hidup saya. Saya bukan protoganis percintaan ini kerana cinta telah bagitu lama menjauhkan dirinya dari saya. Saya hanya seorang saksi ditepi tembok kasih yang sedang didirikan.
Kali ini saya hanya ingin menjadi perawi - seorang perawi saheh yang akan merakamkan sebuah kisah percintaan. Bagini riwayatnya:
Bagaimana bermulanya Usman Awang berkarya menulis kisah percintaan Uda dan Dara. Apakah proses kreativti yang telah melanda jiwa Usman. Adakah Usman pernah bercinta dan gagal? Pernahkah Usman menaroh hati dengan anak gadis tuan tanah di kampungnya tapi peminangan ditolak? Menitiskah air mata melintasi pipinya semasa Uda meninggalkan Dara untuk mecari emas sebara?
Dalam perjalanan muda, saya pernah berkasih/bercinta dan gagal. Semua ini mengingatkan saya kepada Uda dan Dara yang gagal dalam percintaan. Lalu, saya mengaju/menyebarkan kegagalan sebagai noktah akhir keagungan percintaan. Ini dikukuhkan dengan kematian Juliet dan Romeo. Cleopatra menemui maut digigit ular. Majnun menjadi fasik dilamun cinta. Semua naratif percintaan agung ini telah merayakan kegagalan.
Tetapi minggu lalu lantai yang saya pijak ini telah bergoyang. Ini berlaku apabila saya dihadapkan dengan satu realiti percintaan yang telah melintasi noktah kegagalan. Percintaan yang telah melintasi pengalaman hidup saya. Saya bukan protoganis percintaan ini kerana cinta telah bagitu lama menjauhkan dirinya dari saya. Saya hanya seorang saksi ditepi tembok kasih yang sedang didirikan.
Kali ini saya hanya ingin menjadi perawi - seorang perawi saheh yang akan merakamkan sebuah kisah percintaan. Bagini riwayatnya:
Kisah bermula pada pada malam 13 April 1999, sehari sebelum Black 14 tarikh yang menjadi detik sejarah hitam dalam lembaga kehakiman negara kita. Pada malam itu saya telah sama berkumpul untuk menyatakan rasa simpati terhadap Anwar Ibrahim. Satu vigil telah diadakan di tebing sungai Klang - betul-betul di belakang mahkamah yang akan menjatuhkan hukuman ke atas Anwar pada keesokan harinya. Perhimpunan ratusan penyokong gerakan Reformasi malam itu telah digagalkan dengan beberapa penangkapan.
Lalu kami berundur ke hadapan pekarangan Masjid Negara. Di ruang kosong di sebelah kolam pancutan air yang kering, secara 'impromptu' kami membaca sajak dan mementaskan teater jalanan. Kami cuba membunuh masa dan menunggu malam berlalu.
Penyeludup politik?
Dalam perjalanan pulang saya melayan diri dengan secawan kopi kosong di warong Pasar Seni. Di kaki warong saya ditegur oleh seorang anak muda. Saya tidak pernah mengenali anak muda ini. Dan saya tidak tahu dari mana asal usulnya. Dari sembang rambang kami tentang itu dan ini , saya diberitahu yang dia bersaudara dengan si anu dan si anu. Nama yang dijualkan adalah nama kenalan rapat saya. Ini ditambah pula dengan surahnya yang mengakui bahawa ayahnya pernah dalam satu sekolah dengan saya. Menurutnya lagi, ayahnyalah yang menyuruh dia datang ke Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpuanan 14 April. Surah-surah ini melapangkan sedikit hati kecil saya.
(Tapi saya terus menanya diri sendiri apakah anak muda ini seorang 'penyeludup politik' dalam gerakan Reformasi. Persoalan ini sering muncul dalam kepala kerana pengalaman yang terkumpul telah mendidik saya untuk terus berwaspada.)
Tanpa rumah tumpangan, anak muda ini ingin 'tidur liar' di Pasar Seni - kawasan yang paling hampir dengan bangunan Mahkamah. Lalu saya pelawa anak muda ini bermalam di rumah. Dari sinilah bermulanya perkenalan saya dengan Hasnul anak muda dari Kuantan.
Esoknya awal lagi kami telah bersedia untuk manapak ke perhentian LRT Bangsar. Hasnul kelihatan agak skema. Dia memakai satu tali leher yang paling 'special' kepunyaan ayahnya. Tali leher ini hanya dianugerahkan kepada pelajar yang paling jempul dalam bidang sukan dan pelajaran dari MCKK. Tidak ramai pelajar yang memiliki tali leher ini. Malah, saya sendiri tidak pernah tercium tali leher ini. Menurut Hasnul, tali leher ini mewakili ayahnya yang gagal datang ke perhimpunan 14 April.
(Dengan tali leher ini saya kini melihat anak muda dari Kuantan ini lebih saheh dan 'kosher'. Saya tidak lagi menganggap dia sebagai penyuludup politik. Kedatangannya ke perhimpunan 14 April saya lihat sebagaia tugas.)
Bila hukuman dijatuhkan ke atas Anwar Ibrahim, bentrokan pun bermula. Tembakan gas pemedih mata telah memutihkan daerah Pasar Seni. Orang ramai diinjak/diserang ganas oleh FRU. Air Sungai Klang menjadi kuning dan hijau kerana meminum air asid dari panjutan 'water cannon'. Dalam kelam kabut ini Hasnul dan saya terpisah. Apa yang telah terjadi pada 14 April 1999 itu kini telah menjadi satu naratif dalam ingatan kolektif rakyat Malaysia.
Mahasiswa Lantang
Saya tidak tahu ke mana Hasnul menghilang. Sebulan kemudian dia muncul di Bangsar sekali lagi. Dia datang ke Bangsar dari kampusnya di Johor Bahru. Kali ini dia datang dengan semangat muda yang ingin meneruskan perjuangan. Saya hanya tersenyum dan memerhatikan berahi dan kemarahan anak muda. Dimasa yang sama saya telah terbaca tentang kemunculan beberapa kumpulan-kumpulan pelajar yang ingin meneruskan gerakan Reformasi. Saya langsung tidak mengenali siapa mereka itu.
Tetapi, secara tidak sengaja semasa saya dijemput berceramah di sebuah Kolej di UPM saya telah bertemu dengan kumpulan Mahasiswa Lantang. Saya berkenal dan berbual dengan pemimpin kumpulan mahasiswa ini. Saya dapati mereka agak agak progresif garis dan arus tujunya. Lalu saya perkenalkan Hasnul dengan kumpulan ini.
Sesekali Hasnul naik ke Bangsar dari Johor Bahru. Biasanya dia akan menginap di rumah saya. Tapi pada kali ketiga dia datang ke Bangsar, dia hanya singgah sebentar dan terus ke kampus UPM. Untuk saya ini adalah satu petanda yang baik kerana dalam firasat saya para pelajar kini sedang berbincang dan menyusun sesuatu.
Manifestasi dan ombak gerakan Reformasi kini tidak segempaq tahun 1998 dahulu. Kini manifestasinya telah beralih dari jalan raya ke pentas-pentas ceramah. Dari apa yang saya rasakan semangat juang para reformis masih kukuh terutama dikalangan pelajar dan anak-anak muda. Ini satu lagi petanda yang positif. Laungan Reformasi yang telah disahut oleh pelajar dan anak muda pasti tidak akan terkubur.
Bila September 1999 sampai, saya difahamkan bahawa Gerakan Mahasiswa Lantang telah merancang/menyusun para anak muda dan mahasiswa untuk keluar ke Jalan Tunku Abdul Rahman sekali lagi. Hasnul telah menjadi salah seorang protoganis dalam penyusunan ini.
Saya ingat lagi pada petang itu 4 September 1999, kami turun ke Sogo secara bersepah-sepah. Kemudian kami melintas masuk ke Jalan Masjid India untuk menuju ke Pasar Seni. Di Pasar Seni kami berhimpun. Himpuan kami tidak sebesar gelombang 14 April yang lalu tetapi cukup berani/mencabar dan bersejarah. Inilah perhimpunan ulang tahun pertama Reformasi yang telah diatur oleh pelajar dan anak muda. Hanya akhbar Cina dan media antarabangsa sahaja yang membuat laporan meluas.
Pertemuan romantik
Diantara ratusan anak muda yang berkumpul di Pasar Seni pada petang itu ialah Iela - mahasiswi tahun pertama dari UPM. Iela telah terpanggil untuk mencebur diri dalam arus gerakan reformasi. Demonstrasi hari itu mendengarkan kembali laungan R-E-R-O-M-A-S-I dan alunan panas pidato anak muda. Ini bukan satu yang baru untuk Iela. Dalam kesibukan berdemonstrasi ini, tanpa disedari oleh kawan-kawan, rupa-rupanya Hasnul dan Iela telah dipertemukan. (Bayangkan betapa romantik pertemuan mereka di jalanraya).
Pada bulan November saya ditangkap semasa berhimpun untuk menyatakan simpati kepada Anwar Ibarahim yang jatuh sakit kerana keracunan arsenik. Satelah seminggu dalam lokap saya dibebaskan dengan jaminan. Pada hari saya dibebaskan Hasnul telah datang dari Johor Bahru. Mungkin kerana ingin menyatakan sokongan kepada saya atau mungkin kerana ada satu tarikan yang lebih menarik, wallah wa laam bisawab.
Pada malam saya dibebaskan itu, kami telah bertandang ke sebuah warong di belakang Jalan Masjid India. Di warong ini kesah Hasnul jatuh hati dengan Iela telah didengar riak-riaknya. Kawan-kawan kini telah berani bergurau dan mengusik Hasnul yang mereka padankan dengan Iela. Rupa-rupanya satu minggu didalam lokap saya telah tercicir dari mendengar perkembangan terbaru ini. Saya hanya mendengar nama Iela pada malam itu tapi gagal untuk meletakkan muka pada nama ini.
Satu minggu sebelum pilihanraya 1999 diistiharkan kumpulan pelajar UPM telah bertandang ke Port Dickson untuk beriadah. Hasnul menjadi salah seorang penganjur program ini. Saya telah dijemput untuk sama berkelah/berpesta di tepi laut ini. Maka disinilah kali pertama saya melihat Iela - langsing, cun dan petite. Dari jauh saya hanya tersenyum memerhatikan bibit-bibit cinta Hasnul yang bermula dari jalan raya kini menjalar dan merayau-rayau ke tepi pantai.
Di pilihanraya 1999 saya perhatikan para aktivis pelajar menjadi bagitu sibuk sekali. Para pelajar secara terbuka telah melanggar Auku dan naik ke pentas ceramah Barisan Alternatif. Setiap malam kumpulan teater jalanan anak muda dari Bangsar telah dijemput ke sana ke sini. Anak muda bagitu sibuk sekali, mungkin tidak ada masa untuk mengalamun atau bercinta.
Keputusan pilihanraya 1999 dirasakan sebagai satu kemenangan permulaan oleh pelajar. Pada hakikatnya gerakan pelajar sama seperti air di sungai ada pasang surutnya. Tetapi bukan untuk Hasnul. Sesurut mana pun 'mood' pelajar si Hasnul semakin kerap dilihat datang ke Bangsar, malah sesekali Hasnul dan Iela kelihatan berkampong di Bangsar yang kini telah menjadi 'port' anak muda dan pelajar.
Lawatan ke Kamunting
Satu ketika saya mendengar tentang Hasnul yang telah pergi berhujung minggu ke rumah keluarga Iela di Kluang. Manakala Iela juga telah dijemput bertandang untuk melihat matahari terbit di pantai Teluk Cempedak, yang tidak berapa jauh dari rumah keluarga Hasnul. Nampaknya percintaan mereka semakin intim.
Bila saya membuat Tok Ampoo, Hasnul dan Iela turut sama terlibat. Teater agitprop ini sering bertukar pelakun, jadi saya tidak teringat di pentas mana kedua mereka ini telah bersama. Dan bila saya ditahan dibawah ISA pada 10 April 2001, kisah-kisah cinta Hasnul dan Iela, teater Tok Ampoo - semuanya menjadi ingatan saya semasa terbaring keseorang didalam sel. Otak saya merayau jauh melintasi bilik yang terkunci. Sesekali saya tersenyum bila teringatkanan lawak-lawak bodoh si Hasnul dalam usahanya untuk memikat si Iela.
Bila saya dipindahkan dari 'bilik rashia' ke Kamunting, pihak kem telah membenarkan Hasnul datang melawat saya. Sayangnya Iela tidak mendapat kebenaran walau pun namanya telah saya ajukan kepada pihak kem. Tahun pertama saya di Kamunting Hasnul telah selesai belajar dan dia melamar pekerjaan di pejabat Keadilan di Kuala Lumpur. Iela masih lagi di UPM.
Pada tahun kedua di Kamunting saya telah sempat bertemu Iela dengan Hasnul semasa saya dibicarakan di Mahkamah di Kuala Lumpur. Mereka telah datang ke bilik tahanan di belakang mahkamah. Pasangan ini kelihatan kacak/segak/bergaya. Bila saya dibebaskan dari ISA Hasnul telah berpindah kerja ke Kuantan dan Iela telah menjadi seorang guru di Kluang. Saya telah diberitahu bahawa mereka telah bertunang dan akan akan berkahwin pada tahun 2004.
Pada awal bulan March yang lalu Hasnul telah datang ke Bangsar membawa kad jemputan.Tarikh ijab kabul majlis perkahwinan di rumah Iela telah ditetapkan pada 21 March 2004. Saya telah menolak tarikh ini kerana dari perhitungan politik inilah tarikh yang akan dijadikan hari pembuangan undi. Apa yang saya jangkan betul-betul berlaku. Majlis perkahwinan terpaksa ditangguhkan satu minggu. Kami, sebagai kawan baik kedua bakal pengantin telah ketawa terbahak-bahak kerana Cinta Jalanraya Hasnul dan Iela telah dihalang oleh pilihanraya.
Cinta berbentuk baru
Tiga minggu kemudian satu lagi majlis perkahwinan akan diadakan di Kuantan, kali ini diatas undangan keluarga Hasnul. Tarikh yang dipilih ialah 17 April. Kawan-kawan reformis Hasnul di Kuala Lumpur telah cukup selesa untuk bertandang ke Kuantan, kerana tarikh ini selepas tarikh Black 14. Tetapi kami wajib juga ketawa sekali lagi kerana kali ni Cinta Jalanraya telah terganggu sekali lagi. Tarikh 17 April kini telah dipilih untuk dijadikan hari perhimpunan membantah penyelewengan pilihanraya 2004.
(Nampaknya percintaan Jalanraya Hasnul dan Iela ini tidak dapat membebaskan diri dari tarikh-tarikh yang telah menjadi latarbelakang percintaan mereka.)
Saya jarang ingin pergi ke majlis perkahwinan. Saya lebih selesa untuk datang melawat kematian. Tetapi untuk Hasnul dan Iela saya keralih 'kiblat' dan pergi bertandang kedua-dua majlis - di Kluang dan di Kuantan. Saya lakukan ini diatas niat untuk merayakan Cinta Jalanraya yang berakhir ditangga pelamin.
Saya melihat perkahwinan Hasnul dan Iela yang dipertemukan di jalanraya adalah cinta anak muda berbentuk baru. Cinta ini saya rasakan lebih romantik dari cinta Uda dan Dara yang bertemu di malam mengemping. Cinta jalanraya lebih indah dari pertemuan sulit Romeo dan Juliet di balkoni. Cinta jalanraya raya lebih kukuh dan bermakna.
Kini lantai penglihatan saya telah membuka satu papan yang baru. Percintaan yang agung bukan hanya yang percintaan yang gagal. Percintaan yang agung wajib memberi erti yang baru terhadap perjuangan dan keadilan. Cinta baru wajib bersalut dengan kesedaran untuk menumpas kezaliman dalam merayakan kehidupan.

