Setelah tewas dengan gol "sudden death " di Kelantan, kini Umno mendesak supaya diadakan "perlawanan ulangan" untuk mencari pemenang mutlak .

Dengan pelbagai cara, taktik dan umpan Umno cuba mengganggu dan menggugat ketahanan kerajaan PAS Kelantan yang hanya menang dengan majoriti rapuh pada pilihanraya umum 2004 lalu.

Keutuhan kerajaan PAS nampaknya benar-benar teruji hingga mnyebabkan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Nik Amar Nik Yusof melatah. Nik Amar berkata, kerajaan PAS tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Barisan Nasional (BN) Kelantan terus mengganggu pentadbirannya.

Beliau yang juga anggota Exco kerajaan negeri yakin BN atau lebih tepat Umno tidak mampu mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi dalam pilihanraya umum 21 Mac lalu.

Umno pula bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, amat mengalu-alukan kenyataan Nik Amar itu. Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Umno bersedia menghadapi pilihanraya negeri sekali lagi pada bila-bila masa.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein pula mencabar kerajaan PAS supaya segera membubarkan DUN. Beliau yakin rakyat Kelantan akan memilih BN sebagai kerajaan yang baru berdasarkan perkembangan semasa.

Pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad (Tok Pa) pula yakin kerajaan PAS Kelantan tidak akan bertahan lama kerana sedang tertekan dan sedang menghadapi krisis kepimpinan.

Kerajaan katak

Umno sebenarnya masih dihantui kekalahan tipis dalam pilihanraya berkenaan. Ia hanya memerlukan dua kerusi sahaja lagi untuk kembali berkuasa di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Kekurangan dua kerusi itu menyebabkan barisan kepimpinan Umno Kelantan tidak senang duduk.

Terkilan sangat!. Kekalahan di DUN Kemuning dengan dua undi sahaja menjadi igauan hingga ke saat ini.

Bagi mengubat kekecewaan itu dan untuk mencapai nafsu politiknya, Umno baru-baru ini cuba "memancing" wakil rakyat-wakil rakyat PAS supaya melompat menyertai Umno. Namun percubaan Umno untuk mewujudkan "kerajaan katak" itu setakat ini masih gagal.

Lantas pelbagai tekanan dikenakan oleh Umno Kelantan ke atas kerajaan pimpinan tuan guru Datuk Nik Aziz Nik Mat itu bagi mencapai cita-cita politiknya. Ini diakui oleh Tok Pa sendiri. Menurut beliau BN Kelantan akan terus menekan kerajaaan Pas dengan mendedahkan segala kelemahan pentadbiran mereka.

Beliau yakin segala pendedahan itu termasuk mengenai isu pengambilan tanah rakyat akan menyebabkan kerajaan PAS tunduk hingga memikirakan untuk membubarkan DUN Kelantan bagi mendapat mandat baru dari rakyat.

Tok Pa juga mendakwa kepimpinan PAS Kelantan sedang menghadapi krisis apabila orang nombor tiga dalam negeri itu, Husam Musa dilantik menjadi jurucakap kerajaan negeri dengan membelakangkan Timbalan Menteri Besar Ahmad Yaakob.

Husam yang merupakan Pengerusi Jjwatankuasa Perancang, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat baru-baru ini mengumumkan cadangan kerajaan negeri melantik dua orang wakil Umno sebagai ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Kelantan (MTEK).

Tok Pa merasakan tawaran itu sepatutnya dibuat sendiri oleh Menteri Besar atau Timbalannya, bukannya oleh Husam kerana ia suatu keputusan dan dasar kerajaan negeri Kelantan yang amat penting.

Para pemimpin Umno Kelantan juga cuba menggambarkan perbezaan kenyataan antara Nik Amar dan Husam mengenai cadangan pembubaran DUN sebagai perselisihan faham dalam saf kepimpinan Pas negeri itu.

Keputusan rakyat

Bagaimanapun sumber-sumber dari Kota Bharu menolak sama sekali tanggapan Tok Pa itu. Seorang wakil rakyat PAS yang tidak mahu didedahkan identitinya berkata, tiada apa yang janggal dalam keputusan Menteri Besar melantik Husam sebagai jurucakapnya.

Katanya apa yang diumumkan oleh Husam itu adalah perkara yang tertakluk dalam bidang kuasanya sebagai exco perancang, kewangan dan pembangunan masyarakat.

"Tok Pa sebenarnya cuba memecahbelahkan para pemimpin PAS negeri dengan membuat kenyataan yang sedemikian. Beliau menjalankan perang saraf untuk melemahkan kami dan memberikan imej buruk kepada PAS," ujarnya.

Beliau sebaliknya membidas Tok Pa supaya menjaga hal ehwal Umno Kelantan yang masih berpuak-puak. Beliau juga menyifatkan tindak tanduk para pemimpin Umno negeri itu yang mahu kerajaan negeri dibubarkan sebagai orang kemaruk kuasa .

Tegasnya, Umno sepatutnya menerima dan menghormati keputusan rakyat walaupun kalah dengan undi tipis.

Menurut beliau lagi, sepatutnya Tok Pa dan Datuk Seri Abdullah mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri melantik wakil BN dalam MTEK.

Tambah beliau, kesanggupan kerajaan negeri untuk berbaik sangka, bermuzakarah dan berkerjasama dengan BN adalah untuk kebaikan rakyat, bukannya untuk kepentingan politik.

Menang di mahkamah

Namun begitu nampaknya BN/Umno bersikap sombong apabila menolak mentah-mentah pelawaan kerajaan PAS Kelantan itu. Umno percaya sebarang bentuk kerjasama tidak perlu buat masa ini kerana lambat laun kerajaan pimpinan Nik Aziz itu pasti tumbang.

Umno yakin 10 petisyen pilihanraya yang difailkannya akan memihak padanya. Memadai dengan kemenangan dalam dua petisyen sahaja, kerajaan Pas akan tumbang.

Ditolak rakyat dalam gelanggang pilihanraya, namun Umno yakin ia boleh menang dalam kamar mahkamah!

PAS juga tidak berdiam diri untuk mengukuhkan kedudukannya apabila ia menfail 11 petisyen, dua bagi kerusi parlimen dan 9 DUN.

Langkah merujuk keputusan pilihanraya ke mahkamah itu sebenarnya telah meletakkan lebih tertekan kepada PAS kerana kalau Umno menang di dalam petisyen-petisyennya itu, pilihanraya kecil perlu didakan di kawasan-kawasan berkenaan. Ini bermakna kerajaan PAS akan tergugat.

Manakala jika PAS menang dalam petisyennya pula, ia tidak akan mengubah apa-apa, kecuali menambah kerusi.

Jadi apakah alternatif atau strategi terbaik untuk PAS sekarang. Patutkah ia menungkat dagu menunggu keputusan petisyen akan bertindak lebih awal?

Keputusan petisyen mungkin memihak kepada PAS atau Umno, ini bererti kerajaan PAS Kelantan akan terus berada dalam keadan tidak stabil sehingga mahkamah membuat keputusannya.

Risiko yang ditanggung oleh kerajaan PAS Kelantan amat besar. Ibarat telur di hunjung tanduk.

Langkah terakhir

Kini penentu teraju negeri Kelantan bukan lagi rakyat sebaliknya mahkamah. Mahukah Nik Aziz membiarkan nasib kerajaan pimpinannya ditentukan oleh seorang majistret atau hakim? Kalau beliau tidak rela, tiada jalan lain baginya selain membubarkan DUN dan kembali kepada rakyat sekali lagi.

Namun pada ketika ini menurut Husam, membubarkan DUN adalah langkah terakhir.

Menurutnya kerajaan PAS tidak memikirkan langkah itu sekarang kerana mahu memberi tumpuan pada kerja mengurus dan memajukan negeri.

Malah menurutnya, kata-kata Nik Amar itu hanya perang saraf terhadap Umno.

Dan ternyata perang saraf Nik Amar itu berkesan. Beliau telah menegangkan "urat-urat" para pemimpin Umno dan PAS hingga saling cabar mencabar. Dan akhirnya yang tewas dalam perang saraf ini ialah PAS.

Terbukti parti itu tidak bersedia untuk menghadapi pilihanraya DUN sekali lagi kerana ia sedar risikonya terlalu besar.

Kemampuan mempertahankan hanya 24 kerusi sahaja daripada 45 kerusi DUN dan 6 daripada 14 kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum lalu jelas menunjukkan populariti PAS di negeri itu telah terhakis. Malah peratusan undi popular memihak kepada Umno dengan meraih 262,377 unid berbanding PAS meperoleh 261,125 undi.

Malah di 10 kawasan DUN majoriti yang dimenangi PAS amat kecil antara 2 hingga 400 undi sahaja. Ini bukan sahaja meletakkan PAS dalam dilema tetapi dalam ketakutan Umno berpeluang besar memenangi kerusi-kerusi tersebut.

Kerajaan baru?

Suasana politik sekarang tidak begitu memihak kepada PAS. Perkembangan di Terengganu sejak diambilalih oleh Umno pastinya membuka mata ramai pengundi di Kelantan untuk beralih angin kepada Umno.

Dalam tempoh tidak sampai 100 hari memerintah Terengganu, pelbagai kemajuan dan perubahan telah dibawa oleh kerajaan Umno Projek-projek yang dulunya terbengkalai sedang dan akan disambung semula.

Lebuhraya Pantai Timur akan dipanjangkan hingga ke Kuala Terengganu. Ia dijangka dimulakan pada akhir tahun ini. Projek pembesaran lapangan terbang, pembesaran bekalan air bersih dan pelbagai lagi telah digerakkan semula.

Pastinya apa yang berlaku di Terengganu akan memberi kesan kepada pengaruh PAS di Kelantan. Selain itu segala jentera dan kekutan Umno akan ditumpukan di Kelantan jika pilihanraya semula diadakan.

Pastinya Datuk Seri Abdullah akan menjadi nakhodanya. Dengan imej bersih beliau dan langkah-langkahnya membersihkan kerajaan daripada rasuah dan penyelewengan serta konsep Islam progresifnya, dirasakan sukar bagi PAS menahan gelombang kemenangan Unno.

Strategi PAS untuk memanjangkan usia pemerintahannya sekarang ialah dengan cara mengajak Umno berkerjasama. Tidak mengejutkan jika Nik Aziz menghulurkan tangan untuk mewujudkan kerajaan campuran.

Namun rasanya terlalu sukar bagi Umno untuk menerimanya kerana ia yakin petisyen-petisyen pilihanraya yang dikemukkannya mampu menumbangkan kerajaan PAS.

Tiada pilihan

Ini bererti usia kerajaan PAS Kelantan sudah tidak lama. Mungkin dalam tempoh enam bulan hingga setahun lagi kita akan menyaksikan beberapa pilihanraya kecil yang akan mengubah tampuk pemerintahan negeri itu.

Atau sebagai langkah terakhir, mungkin kita akan menyaksikan pembubaran DUN dalam tempoh tiga bulan dari sekarang, sebelum bulan Ogos.

Mungkin strategis-strategis PAS merasakan tempoh pemilihan peringkat cawangan dan bahagian Umno merupakan masa terbaik untuk mengadakan semula pilihanraya di negeri itu.

Pemilihan di cawangan dan bahagian biasanya menyebabkan ahli-ahli Umno berpecah belah. PAS boleh mengeksploitasi keadaan itu untuk mengurangkan risikonya.

Sebenarnya kerajaan PAS Kelantan tidak mempunyai banyak pilihan. Kehilangan tampuk kerajaan negeri akibat keputusan mahkamah lebih memeritkan. Oleh itu mungkin memberi peluang sekali lagi kepada rakyat untuk membuat keputusan adalah langkah yang lebih baik dan bermaruah.