Muhammad, Marx dan Siddhartha
(Bumi topikal tempat saya dilahirkan ini amat indah. Bumi yang saya pijak dan alam sekeliling inilah yang mengkonstruk pandangan dunia diri saya. Daerah ini belum pernah saya temui saingannya. Kerana itu, kali ini saya hendak mempelawa sesiapa saja yang berkeupayaan membebaskan diri - berdiri di luar simpang siur jalur-jalur mee politik yang cekai lagi mengcekaikan. Membebaskan diri untuk melintasi tembok-tembok selamat dan melihat hidup dengan mata hati yang baru. Sesiapa yang tidak memiliki kudrat fikrah yang ampuh maka saya cadangkan agar jangan datang melayari pesta yang akan saya langsungkan ini.)
Dalam perjalanan hidup ini saya telah memilih tiga manusia - Karl Marx, Muhammad dan Siddhartha Gautama - yang telah mengkonstruk jalur-jalur pandangan dunia saya. Saya tidak pernah menemui susuk-susuk ini. Tetapi kesemua jumlah pengumpulan perjalanan hidup saya dapat saya susunkan di atas landasan pemikiran insan-iansan ini.
Saya yang membesar/menyedar dalam zaman kolonial dan pasca Merdeka. Di zaman ini saya telah menemui Muhamad dalam konteks yang lebih indah dan suci dari apa yang saya rasakan hari ini. Sosial konstruk kemelayuan Melayu saya ketika itu adalah seni yang telah kukuh semasa penyerapan ajaran Muhamad sampai.
Serapan pembudayaan baru ini tidak pula mempertidakkan jalur-jalur awal yang berakar umbi dalam ke Orang Aslian kami. Bingkai-bingkai sosial konstruk Orang Asli yang telah sedia wujud tidak pula menolak pembudayaan Hindu yang telah pernah sampai satu ketika dahulu. Jadi, bila sosial konstruk Muhamad sampai, sekali lagi keMelayuan kami telah menyambut dan merayakannya. KeMelayuan ini tidak pula melupuskan apa yang telah ada dan tidak pernah menolak apa yang sedang datang. Di sinilah seninya keMelayuan kami.
(Bumi topikal tempat saya dilahirkan ini amat indah. Bumi yang saya pijak dan alam sekeliling inilah yang mengkonstruk pandangan dunia diri saya. Daerah ini belum pernah saya temui saingannya. Kerana itu, kali ini saya hendak mempelawa sesiapa saja yang berkeupayaan membebaskan diri - berdiri di luar simpang siur jalur-jalur mee politik yang cekai lagi mengcekaikan. Membebaskan diri untuk melintasi tembok-tembok selamat dan melihat hidup dengan mata hati yang baru. Sesiapa yang tidak memiliki kudrat fikrah yang ampuh maka saya cadangkan agar jangan datang melayari pesta yang akan saya langsungkan ini.)
Dalam perjalanan hidup ini saya telah memilih tiga manusia - Karl Marx, Muhammad dan Siddhartha Gautama - yang telah mengkonstruk jalur-jalur pandangan dunia saya. Saya tidak pernah menemui susuk-susuk ini. Tetapi kesemua jumlah pengumpulan perjalanan hidup saya dapat saya susunkan di atas landasan pemikiran insan-iansan ini.
Saya yang membesar/menyedar dalam zaman kolonial dan pasca Merdeka. Di zaman ini saya telah menemui Muhamad dalam konteks yang lebih indah dan suci dari apa yang saya rasakan hari ini. Sosial konstruk kemelayuan Melayu saya ketika itu adalah seni yang telah kukuh semasa penyerapan ajaran Muhamad sampai.
Serapan pembudayaan baru ini tidak pula mempertidakkan jalur-jalur awal yang berakar umbi dalam ke Orang Aslian kami. Bingkai-bingkai sosial konstruk Orang Asli yang telah sedia wujud tidak pula menolak pembudayaan Hindu yang telah pernah sampai satu ketika dahulu. Jadi, bila sosial konstruk Muhamad sampai, sekali lagi keMelayuan kami telah menyambut dan merayakannya. KeMelayuan ini tidak pula melupuskan apa yang telah ada dan tidak pernah menolak apa yang sedang datang. Di sinilah seninya keMelayuan kami.
Sosial konstruk yang dibawa oleh ajaran Muhammad bersama dengan ritual-ritualnya telah memperindahkan lagi erti hidup saya. Saya juga menyedari bahawa konsep-konsep besar seperti baik/jahat, betul/salah , budi dan bahasa telah lama wujud sebelum kedatangan ajaran Muhamad.
Ajaran dan ritual Muhammad yang saya terima pada zaman membesar tidak ada kaitan dengan kepentingan modal dan kuasa. Muhamad mengajar kami, penganutnya untuk merayakan kehidupan di dunia yang sementara. Dunia yang wajib dilihat sebagai sebuah 'transit lounge/ruang menunggu' di perhentian bas yang amat besar.
Ajaran Muhammad juga membawa meta naratif - dari mana saya datang, kenapa saya di sini dan ke mana saya akan pergi sesudah ini. Naratif-naratif ini bila bergaul dengan naratif anamisma Melayu, ianya telah melahirka sebuah satu sosial konstruk yang amat senang/indah untuk diterima .
Mengecap nikmat
Naratif ini juga membawa janji-janji indah lagi menarik. Anak muda mana yang tidak akan tertarik dengan gadis-gadis bermata jeli dengan buah-buah anggur yang bertaburan didalam sebuah taman yang nyaman lagi permai. Sambil berbaring di tilam pandak berhadapan dengan aliran air sungai yang putih bersih. Di zaman membesar saya tidak dapat memahami apakah naratif ini satu metapora atau ini sesuatu yang benar. Apakah susuk kejantanan saya ini akan dapat mengecap semua nikmat ini di satu ruang yang bukan lagi transit lounge.
Persoalan-persoalan ini hilang dalam haru biru dan kesibukan membesar sehinggalah saya bertemu dengan Karl Marx. Manusia yang bernama Karl Marx ini bukan seorang lelaki kacak seperti Brad Pitt atau Hussein Abu Hassan. Malah tidak ada apa yang menarik dari segi susuknya. Dia manusia biasa, yang beranak pinak, berpindah randah, berkerja dan tidak pernah menerima wahyu. Apa yang menarik ialah hamburan buah fikirannya yang dapat meleraikan kecelaruan pandangan dunia saya.
Kitab-kitab yang ditulisnya disambut pula oleh ulasan-ulasan ilmiah yang pada congak saya pasti akan dapat mencerahkan pemandangan tamadun manusia. Ajaran dan analisa sosial yang diajukan oleh Karl Marx memberikan saya pemahaman kenapa saya di transit lounge ini, bagaimana saya menjadi bagini dan siapa yang menjadikan saya seperti ini.
Setelah mengenal diri, ajaran Karl Marx memberi saya peluang untuk merubah transit lounge ini jika saya anggap ruang ini tidak membawa keselesaan untuk ummah. Usrah inilah yang amat indah dan menarik. Tidak ada janji-janji untuk bersantai dengan gadis-gadis bermata jeli. Tidak ada janji-janji buah anggur yang ranum dari pemikiran Yahudi yang berjanggut lebat ini. Analisanya hanya menunjukkan apa yang sedang berada di hadapan saya. Yang terbang di awang-awang itu adalah untuk para pemadat.
Penemuan saya ini mengoncangkan lapisan sosial konstruk yang tersedia wujud. Saya semakin dapat mengenal diri. Malah saya juga dapat melihat dan memahami dunia ini dengan lebih jelas, tersusun dan teratur. Susunan masyarakat, percaturan ekonomi dan politik antarabangsa dapat saya baca tanpa lensa bangsa atau sempadan kulit kemelayuan saya. Saya berdiri tegak dengan fikrah sebagai seorang manusia tanpa memerlukan tupang-tupang plastik.
Anjuran untuk mendakwah kebaikan kerana apa yang dilakukan itu baik adalah satu pandangan hidup yang paling menarik dan serasi untuk fikrah saya. Kebaikan dan kebajikan yang ingin dilakukan bukan untuk satu kaum atau satu bangsa atau satu agama atau satu negara, adalah falsafah kemanusiaan yang saya anggap paling tinggi.
Pandangan dunia anjuran Karl Marx ini dilakuan tanpa ritual. Rujukan yang diwajibkan hanyalah rujukan keilmiahan fikrah. Hukum-hukum sosial yang wujud di sekeliling kita, yang tidak mungkin dapat dilihat dengan lensa bangsa/agama/negara kini dapat saya amati dengan lensa dialektika meterialisma Marx. Di sini tidak ada sesiapa pun yang akan memiliki hak yang lebih istimewa atau konsep bangsa yang terpilih atau ada yang akan menjadi tuan dan yang lainnya menjadi orang suruhan.
Bahan rujukan
Projek sosial yang dianjurkan oleh Karl Marx ini telah mengaut ribuan pendokong dari kaum tani, kaum buruh, anak muda dan para intelektual. Kaum kerabat Marx muncul di serata pelusuk dunia. Projek sosial ini cukup menjanjikan sebuah dunia yang bagitu ampuh dengan keselesaan dan pelupusan kezaliman.
Apa yang terus menarik di dalam projek sosial ini ialah pecahan dan serpihan pemikiran yang semakin bertimbun tambah di dalam sebuah gedung ilmu yang akan terus menjadi bahan rujukan tamadun manusia.
Ajaran Karl Marx ini tidak pernah menutup iktihad. Pandangan yang dianjurkan oleh Marx tidak ingin memonopoli kebenaran. Kebenaran itu dimiliki oleh sesiapa yang befikir dan memikir. Di sinilah kekuatan dan kebenaran yang dianjurkan oleh Karl Marx. Tidak ada satu tanda noktah yang akan memati dan melesukan nadi fikrah ini.
Bila saya ditahan di Kamunting, saya bertemu pula dengan Siddhartha Gautama. Ini bukan pertemuan kali pertama kami. Saya telah diperkenalkan dengan Buddha oleh Utusan Melayu yang ditulis dengan huruf jawi, puluhan tahun dahulu. Ini semasa saya di sekolah rendah. Akhbar ini telah menjadi langganan keluarga kami.
Pada satu hari saya terbaca berita tentang seorang sarjan dari Askar Melayu yang telah berhasrat untuk menjadi seorang sami Buddha. Langkah lelaki Melayu ini cukup mengasyikkan anak kecil seperti saya. Naluri ingin tahu yang berterusan telah mendobrak fikrah muda saya. Kenapa, apa dan bagaimana lelaki dari Kedah ini tetarik dengan ajaran Siddhartha Gautama. Di mana dia bertemu dengan ajaran ini dan siapakah dia manusia Melayu yang ingin menjadi seorang sami.
Walau pun berhari-hari berita ini dilaporkan oleh Utusan Melayu , semua soalan ini gagal saya temui jawapannya. Saya hanya berpeluang membaca temuramah dengan Aishah tunangan Sarjan ini yang telah patah hati kerana gagal melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya yang akan menjadi seorang sami.
Islam ketika itu bukan seperti Islam yang wujud hari ini. Islam yang mengkonstruk pandangan dunia saya ketika itu tidak disalut oleh kuasa dan dana modal. Islam masih lagi satu agama ikutan untuk penganutnya yang bebas dari kuasa-kuasa kepartian politik. Malah tidak ada pula suara-suara sumbang yang ingin mengkafirkan si Sarjan ini. ISA juga tidak digunakan untuk mengembalikan pencarian jalan hidup yang ingin diterokai oleh manusia Melayu ini. Di zaman itu amat jelas keterserlah seni keMelayuan Melayu.
Tarikan
Berita terakhir yang saya baca ialah tentang si Sarjan ini dilawati oleh seorang sami Buddha dari sebuah kuil dari Siam. Impak berita ini cukup besar untuk saya ketika itu. Saya menjadi lebih 'curious' ingin tahu tentang ajaran Siddhartha Gautama. Peluang ini akhirnya saya temui di perpustakaan di Kamunting.
Kitab-kitab Buddha yang saya baca di perpustakkan penjara Kamunting menjadikan saya tertarik dengan projek mengenal diri yang diajukan oleh Siddhartha. Tarikan ini tidak ada sangkutan dengan Richard Gare atau Cindy Crawford yang telah menjadi sami dan menjadi Buddha. Apa yang menarik hati saya ialah keterbukaan jalan hidup yang duanjurkan oleh Gautama.
Baru saya sedar bahawa Buddha ini sebenarnya bukan satu agama tapi satu pendekatan atau method untuk mengenal diri. Satu falsafah hidup yang tidak menganggap falsafah/agama yang lain salah. Di dalam ajaran Sidhharta Gautama, manusia tidak perlu berubah atau bertukar agama untuk mencari kebenaran dan membebaskan diri dari kesangsaraan. Malah atheist yang tidak mempercayai kuasa Tuhan juga boleh menggunakan method Buddha untuk mengenal diri.
Kebenaran itu telah sedia wujud di hadapan mata. Begitu demokratik sekali amalan dan ajaran ini. Inilah yang menarik hati dan naluri saya. Mungkin falsafah ini jugalah yang menarik hari Sarjan yang telah menjadi sami puluhan tahun dahulu.
Minggu lepas kita rakyat Malaysia telah merayakan ketiga-tiga jalur pemikiran dan ajaran dari tiga manusia ini. Ketibaan tanggal 1, 2 dan 3 Mei tahun 2004 telah memberikan satu makna yang begitu besar untuk saya. Saya memiliki ilmu kaji bintang, tetapi saya hanya bertanya pada diri sendiri apakah tiga hari ini akan datang lagi sama seperti minggu lepas. Bilakah ianya akan sampai sekali lagi dalam hidup saya ini. Saya ini berpesta.
Pada tanggal 1 Mei, kita telah bersama-sama merayakan Hari Buruh untuk memperingati perjuangan kaum Marxis, kaum Komunis, kaum Anarkis yang telah bermula di New York pada tahun 1872. Hari Buruh adalah ritual untuk menobatkan kemenangan kaum Marxis yang telah berjuang bermandi darah untuk mendapatkan hak berkerja 8 jam sehari. Inilah sosial konstruk dari ajaran Karl Marx yang kini menjadi anutan manusia di seluruh dunia.
Bukan kita di Malaysia sahaja yang berpesta merayakan dan menunjukkan setiakawan tetapi seluruh dunia ikut sama memperingati perjuangan kaum Marxis dan pengorbanan mereka yang terawal dari kita. Tanpa perjuangan kaum Marxis kita tidak tahu sebanyak mana darah kita akan diperah oleh kaum pemodal. Tanpa ajaran Karl Marx, kaum pemodal yang masih lagi angkuh hari ini, mungkin akan lebih berani berlagak seperti seorang Firaun - beraja di hati bersultan di mata.
Gaya hidup
Tanggal 2 Mei 2004 pula ialah hari kelahiran Muhammad bin Abdullah, Nabi dan Rasul untuk penganut agama Islam. Insan dari padang pasir ini telah membawa ajaran/seruan suci yang memperingatkan kita bahawa dunia ini hanyalah sebuah transit lounge. Maka tidak perlu kita membawa beg dan keranjang yang besar-besar yang akan hanya memberati perjalanan hidup kita.
Manakala tanggal 3 Mei tahun 2004 pula adalah malam purnama di mana Siddhartha Gautama telah mendapat pencerahan untuk menjadi seorang Buddha. Menjadi seorang Buddha adalah menjadi seorang insan yang sedar, cerah pemikiran, indah tingkah laku dan insaf gaya hidupnya.
Tahun ini saya begitu berbangga, bukan kerana berada di luar penjara tetapi kerana berada di Malaysia. Hanya di Malaysia sahaja tiga hari suci daripada tiga jalur pemikiran ini, disambut dan dirayakan. Bukankah ini sesuatu yang indah. Bukankah ini satu kesucian hati kerana kita telah berani bersama-sama sebagai warga dunia untuk melintasi bingkai-bingkai selamat yang selama ini memenjarakan dan menyesakkan nafas hidup kita.
Tanggal 1, 2 dan 3 Mei minggu lalu adalah tiga agenda sosial konstruk yang lengkap dan memperlengkapi satu sama lain. Pada hemat saya sosial konstruk ini adalah satu divan atau satu payong untuk menemani kita semasa berlabuh di transit lounge ini. Saya pula masih lagi cuba mencari dan mengenal diri sendiri. Saya masih ingin menjadi seorang Buddha, seorang Muslim dan seorang Marxis.
Jalan yang saya rentas ini adalah jalan saya. Saya tidak pernah menjanjikan yang inilah siratul mustakim. Saya hanya sanggup berjanji ketika di transit lounge ini saya tidak akan membawa keranjang yang besar dan berat-berat yang akan menyempitkan ruang orang lain. Atau menafikan keselesaan tetangga saya untuk mencari keselesaan jalan hidupnya. Saya hanya membawa bekal sebatang kalam dan sekeping kertas untuk bersama merayakan kehidupan ini.

