Hari ini penggal pertama Dewan Rakyat ke-11 dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Bukan main segak lagi para Yang Berhormat (YB) kita dengan baju rasmi masing-masing. Dengan ini bemulalah secara rasminya tugas 219 ahli Parlimen itu.

Kepada semua YB diucapkan selamat bekerja, selamat menunaikan janji-janji pilihanraya dan selamat berjuang. Setelah mengangkat sumpah ingatlah bahawa adanya anda di Dewan Rakyat adalah kerana pengundi yang menangkan anda.

Para YB kini memikul tanggungjawab yang sangat besar. Pertama sekali tugas para YB di dewan yang mulia itu adalah untuk memartabatkan rakyat, memperjuangkan hak dan suara rakyat, bukannya untuk mempertahankan kerajaan atau parti secara membabi buta.

Jangan jadikan Dewan Rakyat tempat membodek menteri atau "boss". Jauh sekali untuk pergi tidur di kerusi empuk dewan yang berhawa dingin itu atau untuk bersantai di kantin atau di lobi Parlimen.

Para YB juga sama ada dari parti pemerintah atau pembangkang juga jangan sekali-kali menjadi Parlimen tempat untuk melawak atau hentam menghentam antara satu sama lain, semata-mata kerana segala kata-kata di dalam dewan itu kebal dari saman.

Kali ini 198 wakil rakyat Barisan Nasional, 12 DAP, tujuh Pas dan masiang-masing satu dari Parti Keadilan Rakyat dan bebas, akan berentap di dewan tersebut. Kira-kira 30 peratus adalah muka baru.

Jadikanlah perbahasan di Dewan Rakyat kali ini lebih bernas, berfakta, rasional dan berfaedah untuk rakyat dan kerajaan. Selaras dengan slogan Perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah), "Bekerjalah bersama-sama saya, bukan bekerja untuk saya", diharapkan sidang Dewan Rakyat kali ini benar-benar memainkan peranannya sebagai "watchdog" rakyat dan kerajaan.

Ubah imej

Para YB perlu membuktikan mereka memahami sepenuhnya hasrat Pak Lah itu. Untuk itu mereka perlu mengubah imej buruk wakil rakyat-wakil rakyat yang lalu. Sikap suka ponteng sidang parlimen perlu dibuang terus. Rakyat tidak mahu lagi melihat Dewan Rakyat hanya penuh ketika Perdana Menteri menghadirinya.

Para YB pada era Pak Lah, terutamanya dari Barisan Nasional bukan sahaja perlu memeunuhi kerusi masing-masing dan menyertai perbahasan tetapi perlu membuat kerja rumah. Jangan sekali-kali datang dengan otak yang kosong. Kalau sekadar hadir unutk menepuk meja, mengeboo wakil pembangkang atau membuat lawak lucah, lebih baik berikan kerusi itu kepada orang lain yang lebih layak.

Pastikan sebelum berbahas, bertanya soalan atau mencelah, ilmu di dada sudah diisi. Malu-malulah pada Lim Kit Siang, Karpal Singh, Datuk Kamaruddin Jaafar atau "si budak kecil" Fong Poh Kuan kalau hadir di Parlimen sekadar untuk memenuhkan kuota sahaja!

Para YB kena ingat, rakyat khusus pengundi anda semakin bijak. Mereka akan memantau prestasi wakil rakyat masing-masing. Mereka sudah bersedia untuk menulis laporan dalam buku prestasi anda jika anda gagal berperanan di Parlimen.

Dalam era teknologi maklumat ini para YB kena berkerja keras, membuat "homework" untuk berhujah mengenai sesuatu isu. Retorik atau kata-kata bersemangat semata-mata tidak boleh lagi dijadikan modal di Dewan Rakyat. Fakta, hujah, kritikan dan cadangan bernas anda yang akan dinilai oleh pucuk pimpinan kerajaan dan parti serta rakyat.

Perbuatan bekas-bekas wakil rakyat dalam sidang parlimen ke-10 yang gemar bertikam lidah dan melawak semata-mata kerana mahu menarik perhatian media atau ketika Perdana Menteri hadir, hendaklah dilakukan secara bijaksana dan kena pada tempatnya.

Para YB harus ingat, jika mereka berkerja sambil lewa dan menghadiri persidangan dewan sekadar untuk memenuhi buku kedatangan, yang akan rugi ialah rakyat. Kalau mereka tidak berbahas atau berhujah berdasarkan fakta dan kajian ketika membahas sesuatu rang undang-undang, kesannya kelak sangat besar.

Bersikap terbuka

Apabila para YB yang ada malas dan lebih suka membodek, perbahasan yang terperinci tidak akan dapat diadakan. Sebaliknya rang undang-undang yang sepatutnya dibahaskan selama beberapa hari, akan diluluskan dalam masa sehari sahaja. Dan jika ada peruntukan yang kurang sesuai diluluskan, tentulah rakyat yang akan menanggung beban dan kesannya.

Wakil rakyat Barisan Nasional juga jangan mengambil mudah kehadiran wakil-wakil pembangkang kali ini walaupun jumlah mereka semakin kecil. Walaupun kuantiti mereka sedikit namun dari segi kualiti, tiada siapa berani mempertikaikannya.

Sebahagian besar mereka adalah veteran di Parlimen.Walaupun Mahfuz Omar, Dr Hassan Ali, dan Mohamad Sabu sudah tiada namum Lim Kit Siang, Karpal Singh, Dr Tan Seng Giaw dan S Kulasegaran sudah cukup untuk memanaskan dewan. Para penyokong kerajaan tidak boleh lena lagi di kerusi empuk mereka.

Ahli-ahli Parlimen kita juga perlu peka, berani dan bersikap terbuka khususnya mereka yang dari parti pemerintah. Mereka harus berani menegur sebarang kelemahan atau kesilapan kerajaan.

Dalam era Pak Lah ini tiada siapa yang perlu takut untuk berkata benar. Perdana Menteri sendiri telah menegaskan "beritahu perkara sebenar". Sikap terbuka wakil rakyat di Amerika Syarikat dan Britain harus dicontohi. Sama ada mewakili Republikan atau Demokrat, Konservertif atau Buruh, mereka sentiasa berani menegur.

Teguran Pak Lah baru-baru ini yang menempelak para YB yang meminta kenaikan elaun seharusnya disemat di hati. Sepatutnya merasa malu untuk membangkitkan soal elaun itu sebelum memulakan tugas.

Kalau sayangkan pengundi serta sayangkan kerusi YB itu dan mahu terus dicalonkan sekali lagi dalam pilihanraya umum akan datang, ke-12 pada tahun 2009, maka berkhidmatlah untuk rakyat dan berkerjalah bersama-sama Pak Lah.

Sudah sampai masanya bagi wakil rakyat kita menjadi seorang "Yang Berkhidmat" bukannya seorang "Yang Berhormat". Bukan senang jadi YB di zaman Pak Lah ...

Akhir kata, Selamat bersidang Yang Berkhidmat!