Dunia terkejut dan gempar sekejap dengan kezaliman tentera Amerika di penjara Abu Ghraib di Iran. Warga global mengutuk keras kekejaman tentera-tentera pimpinan Presiden George W Bush itu. Akhirnya Bush secara terbuka meminta maaf pada oraang tahanan yang dizalimi dan keluarga mereka.

Bush berjanji mengambil tindakan tegas terhadap para tenteranya yang bersifat binatang itu. Beberapa orang telah mula didakwa di mahkamah tentera. Isu itu sudah semakin reda tetapi tidak semena-mena kita dikejutkan pula oleh kekejaman dan kezaliman di depan mata sendiri.

Seluruh Malaysia marah dan sedih melihat ada majikan bersifat binatang mendera pembantu rumahnya. Tragedi Nirmala Bonet membuatkan kita lupa sebentar pada kekejaman yang berlaku di Abu Ghraib. Malaysia diaibkan oleh kezaliman yang berlaku di sebuah kondominium mewah, bukannya di kem tahanan atau penjara bawah tanah.

Pengasuh rumah warga Indonesia berusia 19 tahun itu diperlaku lebih daripada seekor binatang. Dia dibelasah dengan apa sahaja termasuk sterika panas. Kini kes Nirmala sudah dibawa ke muka pengadilan. Kita tunggu apa akan terjadi pada majikannya.

Sebenarnya tragedi Nirmala ini bukan satu kes terpencil dan bukan perkara baru. Semalam seorang lagi majikan ditahan polis di Ipoh kerana mendera pembantu rumahnya. Malah sebelum ini sudah terdapat beberapa kes seperti ini. Sudah banyak aduan dibuat pada pihak berkuasa dan ada yang telah dikenakan hukuman oleh mahkamah.

Tidak kurang juga adanya kes yang diselesaikan di luar mahkamah apabila mangsa bersetuju menerima pampasan dari majikan.

Semoga tindakan cepat tegas yang diambil dalam menangani kes Nirmala ini akan menjadi pengajaran kepada kita semua.

Ketatkan undang undang

Diharapkan para majikan sedar bahawa pembantu rumah juga seorang manusia yang perlu dilayan seperti manusia. Dan lebih penting ialah kerajaan mengambil langkah-langkah pro-akrif untuk mencegahnya.

Ini bererti undang-undang perlu diperketatkan yakni melibatkan semua pihak yang terbabit dalam proses pengambil pembantu rumah dan pekerja-pekerja asing lain. Undang-undang negara mesti memastikan kebajikan pembantu rumah dititikberatkan.

Bukan sahaja dari segi gaji dan persekitaran pekerjaannya malah hak dan kedudukannya dalam beragama. Dalam perkataan lain, pastikan pembantu rumah beragama Islam berkerja dengan majikan beragama Islam.

Kes Nirmala yang lengkap dengan segala bukti telah menyedarkan kita bahawa kekejaman dan penderaan berlaku di mana-mana. Bukan sahaja di Abu Ghraib atau di Guatanamo di Cuba.

Malah ketika kes Abu Ghraib meletus, ada badan badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa mendakwa orang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di sini juga menerima nasib yang sama seperti orang-orang tahanan Iraq itu.

NGO berkenaan mendakwa tahanan politik diseksa dan didera semasa disoalsiasat dan semasa ditempatkan di dalam kem tahanan.

Para pemimpin kita termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) melenting mendengar dakwaan itu. Menurut Pak Lah ia tidak berasas. Beliau meminta NGO berkenaan mengemukakan bukti bagi membolehkan tindakan diambil terhadap mereka yang mendera orang tahanan berkenaan.

Namun isu orang tahanan ISA dan Abu Ghraib itu tidak berpanjangan. Ia mati dengan pantas apabila muncul tragedi Nirmala Bonet itu. Namun ini tidak bererti apa yang didakwa oleh NGO tersebut perlu diketepikan begitu sahaja.

Mungkin mereka tidak secanggih media di Amerika dan Braitain yang mendedahkan gambar-gambar sensasi dan menyayat hati yang membongkar sifat binatang Amerika .

Bukti kezaliman

Yang membezakan dakwaan NGO berkenaan dengan laporan Daily Mirror atau majalah New Yorker ialah gambar-gambar yang menjadi barang bukti.

Sebenarnya apa yang didakwa oleh NGO itu bukanlah perkara baru. Sebelum ini ramai orang tahanan ISA mendakwa mereka telah didera semasa disoalsiasat.Kononnya mereka dipukul, dibogelkan, dikerah memanjat tangga di tengah malam, dikejutkan pada dinihari ketika sedang nyenyak tidur dan sebagainya. Kononnya mereka didera fizikal dan mental untuk dikorek maklumat dan membuat pengakuan tertentu.

Namun tiada bukti dikemukakan untuk menyokong segala dakwaan mereka itu. Lalu ia berlalu begitu sahaja sebagai dakwaan yang tidak berasas! Oleh kerana itu kita percaya dakwaan NGO berkenaan baru-baru ini hanya satu tuduhan kosong. Kita masih yakin pihak berkuasa negara ini masih ada sifat-sifat kemanusiaannya!

Namun ini tidak bererti pihak polis, jabatan penjara dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri boleh menutup mata terhadap gejala penderaan itu. Kalau betul ia tidak pernah berlaku di dalam proses soalsiasat atau di kem tahanan kita, wajarlah pihak berkenaan mengambil langkah pro-aktif bagi mengelakkannya terjadi pada masa depan.

Orang kena tuduh atau orang tahanan terutamanya tahanan politik wajar dilayan dengan peri kemanusiaan. Kita percaya pada jaminan Pak Lah bahawa kekejaman di Abu Ghraib tidak pernah dan tidak mungkin berlaku di Malaysia.

Warga Malaysia bersyukur kerana kerajaan dan masyarakat negara ini masih kaya dengan sifat luruh, penyayang, pemurah dan beradap walaupun dicelah-celah keluhuran dan kebaikan itu ada Abu Ghraib di kondominium mewah kita.