Alahai, bertuahnya jadi Khairy Jamaluddin
Ahli Umno yang paling bertuah dan popular ketika ini mungkin Khairy Jamaluddin. Sama ada beliau suka atau tidak, dirinya adalah individu paling panas diperkatakan oleh ahli-ahli Umno menjelang perhimpunan agung parti itu September depan.
Sebelum ini, memang tiada siapa mengenalinya walaupun beliau adalah antara 27 exco Pemuda Umno. Penulis percaya sebelum Oktober 2003, 99 peratus ahli Umno tidak kenal siapa Khairy.
Bagaimanapun selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) diangkat menjadi Perdana Menteri, nama Khairy mula meniti di bibir ahli-ahli dan pemimpin Umno. Beliau menjadi perhatian bukan kerana kredibiliti atau keajaiban minda atau bakat kepimpinannya, tetapi kerana menjadi suami Nori Abdullah.
Nori adalah anak gadis tunggal Perdana Menteri. Khairy menjadi perhatian dan mula didekati oleh kalangan para pemimpin Pemuda Umno kerana beliau menjadi menantu Pak Lah.
Nama beliau semakin diperkatakan dan menjadi " figure" yang kontroversi sejak sebulan kebelakangan ini apabila media asing melaporkan kemungkinan Khairy akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Khazanah Holdings, agensi pelaburan kerajaan.
Ahli Umno yang paling bertuah dan popular ketika ini mungkin Khairy Jamaluddin. Sama ada beliau suka atau tidak, dirinya adalah individu paling panas diperkatakan oleh ahli-ahli Umno menjelang perhimpunan agung parti itu September depan.
Sebelum ini, memang tiada siapa mengenalinya walaupun beliau adalah antara 27 exco Pemuda Umno. Penulis percaya sebelum Oktober 2003, 99 peratus ahli Umno tidak kenal siapa Khairy.
Bagaimanapun selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) diangkat menjadi Perdana Menteri, nama Khairy mula meniti di bibir ahli-ahli dan pemimpin Umno. Beliau menjadi perhatian bukan kerana kredibiliti atau keajaiban minda atau bakat kepimpinannya, tetapi kerana menjadi suami Nori Abdullah.
Nori adalah anak gadis tunggal Perdana Menteri. Khairy menjadi perhatian dan mula didekati oleh kalangan para pemimpin Pemuda Umno kerana beliau menjadi menantu Pak Lah.
Nama beliau semakin diperkatakan dan menjadi " figure" yang kontroversi sejak sebulan kebelakangan ini apabila media asing melaporkan kemungkinan Khairy akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Khazanah Holdings, agensi pelaburan kerajaan.
Setakat ini, laporan media asing itu masih kekal sebagai satu spekulasi. Khazanah belum lagi melantik ketua pegawai operasinya. Namun kontroversi yang melingkari menantu Pak Lah itu tidak berakhir di situ. Kini beliau disebut-sebut sebagai calon terbaik untuk mengisi kekosongan jawatan naib ketua Pemuda Umno.
Walaupun sebelum ini Khairy telah meletakkan jawatannya di pejabat Perdana Menteri dan menolak bertanding jawatan nombor dua dalam sayap Umno itu bagi menamatkan segala fitnah dan spekulasi yang melingkari dirinya dan Pak Lah.
Beri laluan
Namun, kebelakangan ini, ada desakan kuat dari kalangan Pemuda Umno yang mahukan beliau mengambilalih jawatan yang dikosongkan oleh Datuk Aziz Sheikh Fadzir itu.
Pemuda Umno Perak dan Terengganu telah meregukan Khairy dengan Datuk Hishammuddin Tun Hussein. Malah beberapa tokoh pemuda seperti Datuk Norza Zakaria dan Datuk Azimi Daim yang sebelum ini berhajat merebut jawatan itu, telah menyatakan kesediaan memberi laluan kepada Khairy.
Tidak kurang juga ada bekas pemimpin Pemuda yang kini berada dalam kabinet Pak Lah secara terang-terangan, menyatakan sokongan mereka kepada Khairy untuk bertanding jawatan bekenaan. Khabarnya, isu Khairy itu telah dibawa dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno!
Tidak cukup dengan itu, di tengah-tengah gembar-gembur tersebut, Umno bahagian Rembau telahpun melantik Khairy sebagai Ketua Pemudanya. Kalau begitulah keadaannya, alangkah bertuah dan beruntungnya Khairy. Pada usia muda 28 tahun, jika beliau sudi, kemungkinan besar beliau akan menjadi naib ketua Pemuda Umno yang paling muda. Bukan sahaja paling muda tetapi berjaya mendapat jawatan itu dengan cara paling mudah.
Kemungkinan besar beliau akan menang percuma kerana ramai bakal calon sudah angkat bendera putih apabila mendengar nama beliau dicalonkan. Tidak ramai pemimpin Umno yang bernasib baik seperti ini, naik mendadak tanpa dicabar.
Alasan sebahagian besar pemimpin Umno yang mahukan beliau menjadi naib ketua Pemuda ialah kononnya pemuda yang berasal dari Rembau ini mempunyai bakat kepimpinan yang besar. Menurut mereka, ijazah dari Universiti Oxford yang ada pada Khairy adalah bukti kepintaran dan keberkesanan kepimpinannya.
Di sini penulis tidak mahu mempertikaikan kelulusan akademik beliau. Penulis juga tidak mempertikai hak beliau untuk bertanding kerana sesiapa sahaja berhak untuk bertanding tanpa mengira sama ada si polan anak Perdana Menteri, menantu Perdana Menteri atau anak Pak Abu si penoreh getah di Lembah Bilut, Pahang.
Berkarisma
Namun untuk mengaitkan bakat kepimpinan seseorang dengan ijazah Oxford atau Havard adalah suatu yang kurang cerdik. Tidak semestinya apabila seseorang pergi ke Oxford atau Cambridge, secara automatik dia berkarisma dan berkebolehan menjadi pemimpin. Lebih-lebih lagi untuk memimpin parti atau kerajaan.
Kalau benar Khairy mempunyai karisma dan kebolehan seperti yang digembar-gemburkan oleh beberapa kerat pemimpin Umno itu, kita amat besyukur. Ahli-ahli Umno akan berasa amat beruntung kerana mendapat pemimpin pelapis yang cukup resepinya berbakat, berkarisma dan berotak pintar.
Tetapi hakikatnya sekarang tidak begitu. Memang benar kepintaran Khairy telah teruji. Kita maklum bukannya mudah untuk masuk Universiti Oxford tetapi setakat ini bakat kepimpinan belum menyerlah. Daya kepimpinannya belum diuji. Selama beliau menjadi exco Pemuda, kita jarang mendengar namanya. Kita tidak nampak " track record " beliau.
Oleh kerana itu, penulis merasakan gembar-gembur mengenai keajaiban bakat kepimpinan anak muda berusia 28 tahun ini tidak lebih daripada usaha pemimpin tertentu untuk membodek Pak Lah. Malah penulis berpendapat, ada orang mahu menjadikan Khairy "jambatan" ke Seri Perdana.
Kerana beliau menantu Pak Lah, maka mungkin mereka merasakan beliau perlu diberi jawatan penting dalam Pemuda bagi memudahkan dan merapatkan hubungan dengan pemimpin tertinggi Umno.
Penulis percaya , kalau Khairy hanya anak seorang pemanjat petai di kampung Gunung Datuk atau anak penjaja di Bongek, para pemimpin berkenaan tidak akan terbuka mata dan hati untuk mengangkatkan beliau menjadi naib ketua Pemuda.
Rekod kepimpinan
Kalau beliau bukan suami Nori Abdullah, sekalipun memiliki berjela-jela ijazah dari Oxford dan mempunyai rekod kepimpinan yang cemerlang, tidak ramai yang akan terhegeh-hegeh mahu mendampingi dan menyokongnya.
Sebaliknya mungkin akan ada percubaan-percubaan untuk mencantasnya kerana dalam Umno, perbuatan membunuh bakat-bakat baru yang berpotensi sering dilakukan oleh para penyandang jawatan.
Apa yang jelas sekarang, isyarat sudah dihantar ke seluruh negara untuk memastikan Khairy memenangi jawatan naib ketua Pemuda. Walaupun mesyuarat exco Jumaat lalu tidak menghalang pertandingan bagi jawatan berkenaan, namun isyarat yang dipancarkan jelas memihak kepada Khairy.
Sekarang "bola" di kaki Khairy. Kata putus untuk bertanding atau tidak berada di tangannya. Jika beliau bersetuju dicalonkan, calon-calon lain akan memberi laluan. Kalau beliau menolak, Datuk Norza, Datuk Azimi dan beberapa tokoh lain akan menawarkan diri .
Begitu sekali mereka menghargai dan menghormati Khairy. Begitu sekali besarnya pengorbanan mereka. Kerana apa? Kerana Khairy adalah menantu bakal Presiden Umno. Kerana kemungkinan besar beliau dalam tempoh tiga tahun lagi, beliau akan diangkat pula menjadi Ketua Pemuda Umno.
Beginilah senarionya sekarang dan kalau ia berterusan hingga ke penggal-penggal akan datang, pergerakan Pemuda khususnya dan Umno amnya, sedang merintis satu tradisi yang membahayakan masa depan orang Melayu.
Alahai, alangkah untungnya menjadi Khairy Jamaluddin.

