Orang nombor satu dan nombor dua dalam Umno ketika ini berbeza pendapat mengenai kewajaran Umno bahagian Kepala Batas dan Pekan membuat pencalonan bagi jawatan naib presiden dalam pemilihan pucuk pimpinan parti September ini.

Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) bersikap terbuka dalam soal pencalonan. Bagi beliau, tiada salahnya kedua-dua bahagian itu mengemukakan calon masing-masing. Namun Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berpendapat lebih baik kedua-dua bahagian Umno Kepala Batas dan Pekan berkecuali.

Tumbulnya isu kewajaran pencalonan dari kedua-dua bahagian Umno itu kerana dibimbangi ia akan mempengaruhi keputusan pertandingan bagi jawatan tersebut. Ramai ahli Umno berpendapat, senarai calon dari Kepala Batas dan Pekan kelak adalah tokoh-tokoh yang mendapat "restu" dari kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu.

Ia akan dianggap sebagai harapan atau isyarat tersembunyi Pak Lah mengenai siapa yang disukainya dan difikirkan layak menduduki jawatan tersebut.

Walaupun Pak Lah dan Najib akan membuat kenyataan terbuka bahawa mereka berkecuali dan menolak andaian calon-calon yang dikemukan oleh bahagian Kepala Batas dan Pekan mendapat "restu" mereka, namun cara berfikir dan bertindak perwakilan Umno lazimnya cenderung untuk menerima calon-calon berkenaan sebagai "orang Presiden dan orang Timbalan Presiden".

Lebih parah lagi apabila ada tukang kipas atau kaki kempen calon-calon berkenaan mendakwa mereka pilihan Pak Lah semata-mata kerana berjaya meraih pencalonan dari Kepala Batas.

Matang

Apabila begini senarionya, dikhuatiri ia akan mempengeruhi suasana pengundian dan seterusnya menjejaskan calon-calon naib presiden lain yang tidak termasuk dalam senarai pencalonan dari Kepala Batas dan Pekan. Keadaan seperti ini sukar untuk dielakkan walaupun ramai orang mendakwa ahli-ahli dan perwakilan Umno sudah matang.

Sejarah membuktikan mereka yang dicalonkan oleh bahagian yang diketuai presiden parti, berjaya menduduki kerusi naib presiden. Dalam pemilihan Umno tahun 2000 dulu, Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang dicalonkan oleh Umno Kubang Pasu memenangi jawatan berkenaan.

Walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau bersikap berkecuali, namun ketiga-tiga calon berkenaan dilihat sebagai mendapat "restu" beliau. Oleh itu, keadaannya dijangka tidak akan berbeza kali ini. Siapa sahaja yang dicalonkan oleh bahagian Kepala Batas terutamanya akan dilihat sebagai "The Presiden's Man".

Oleh itu, jika difikirkan kesan dari pencalonan di kedua-dua bahagian itu terhadap peluang semua calon naib presiden, mungkin saranan Najib wajar dipertimbangkan. Untuk berlaku adil kepada semua calon jawatan nombor tiga dalam Umno itu, sewajarnya bahagian Kepala Batas dan Pekan tidak mencalonkan sesiapa.

Kita bukan mahu menafikan hak demokrasi ahli-ahli Umno di Kepala Batas dan Pekan untuk menamakan calon-calon mereka, cuma sekadar mahu menyaksikan satu pertandingan yang saksma. Kita mahu para perwakilan pergi memilih dengan fikiran dan hati yng lapang, tanpa dipengaruhi oleh isyarat dari Kepala Batas dan Pekan.

Umno Kepala Batas dijangka mengadakan mesyuaratnya pada 17 Julai dan Pekan belum ditetapkan, sama ada pada 11 atau 18 Julai. Keputusan mesyuarat di Kepala Batas dijangka menentukan corak pencalonan di bahagian-bahagian selepas itu.

Jika para perwakilan Umno di mesyuarat bahagian bersikap mengikut corak pencalonan di Kepala Batas, dikhuatiri calon-calon yang tidak berada dalam senarai Kepala Batas akan tercicir dan akhirnya tidak mendapat pencalonan yang secukupnya untuk melayakkan diri bertanding.

Sikap berkecuali

Begitu juga dibimbangi kalaulah Umno Pekan mengadakan mesyuaratnya pada 11 Julai (mendahului Kepala Batas) dan senarai calonnya berbeza dengan apa yang dikemukakan oleh bahagian Pak Lah, apa akan jadi? Apa pula tanggapan ahli-ahli Umno terhadap senario itu.

Namun diyakini Umno Pekan yang sedang berkira-kira memilih tarikh 11 atau 18 Julai, akan memutuskan untuk bermesyuarat pada 18 Julai. Ini adalah jalan selamat, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau perbezaan pandangan berhubung calon-calon yang "direstui" oleh Pak Lah dan Najib.

Atau mungkinkah Umno Pekan akan bermesyuarat pada 11 Julai dan memilih jalan paling baik, adil dan selamat, iaitu tidak mencalonkan sesiapa untuk jawatan naib presiden. Kalau Najib mahu benar-benar menunjukkan sikap berkecualinya, sewajarnya bahagian Umno yang diterajuinya itu tidak membuat sebarang pencalonan.

Najib nampaknya cenderung untuk berkecuali kerana ini akan memberi kelebihan kepada masa depan politiknya. Dengan tidak memihak pada sesiapa, beliau tidak akan menyinggung hati mana-mana pihak. Walaupun memilih sikap berkecuali akan dilihat sebagai melanggar "arahan" pucuk pimpinan yang mahukan semua bahagian membuat pencalonan, Umno Pekan perlu berani dan menunjukkan teladan yang baik dan adil.

Namun begitu, terdapat juga kalangan ahli-ahli Umno berpendapat tiada salah bagi Umno Kepala Batas membuat pencalonan kerana selaku pemangku Presiden parti, Pak Lah tentunya mahukan barisan pemimpin yang disenanaginya dipilih sebagai naib presiden. Kehadiran tokoh-tokoh yang disenanginya akan memudahkan beliau memimpin parti dan melaksanakan agendanya.

Nampaknya Umno kini diselubungi debaran, lebih-lebih lagi bagi tokoh-tokoh yang bercita-cita untuk bertanding kerusi naib presiden. Mereka berdebar mengira kuota pencalonan, cukup atau tidak. Mereka tidak berdiam diri lagi, ke hulu ke hilir berkempen. Semakin ramai tampil menawarkan diri secara terus terang.

Dan mereka akan jadi lebih cemas menjelang tibanya 17 Julai. Adakah nama mereka akan masuk senarai bahagian Kepala Batas? Masing -masing mahu menjadi calon yang "direstui" presiden!