Bandar Taiping bukanlah satu kota yang asing untuk saya. Pada tahun 1970 dahulu setiap petang Selasa saya akan berada di kaki Bukit Maxwell, yang hari ini telah di Melayukan dengan nama Bukit Larut. Saya datang ke taman bunga Taiping ini untuk berenang di Burmese Pool. Ini kerana kolam renang sekolah kami di MCKK telah kekeringan air; dan pada tahun itu, entah kerana apa, saya telah mendaftar diri untuk menjadi ahli kelab renang.

Jadi, saya kenal betul dengan bandar Taiping ini. Biasanya sesudah dua jam berenang rombongan bas kami akan pergi ke pusat bandar untuk minum petang. Kami mengambil peluang menggunakan Taiping untuk membebaskan diri dari rutin harian kehidupan asrama. Tempat yang kami tuju ialah kawasan warong berhampiran dengan pasar dan panggung wayang. Di warong ini saya akan memesan air batu campur, mee goreng atau sate yang cuma 7 sen secucuk - harga termurah ketika itu.

Walau pun saya mengenali bandar Taiping, tidak pula saya mengetahui tentang kewujudan Kamunting ketika itu. Bila saya memasuki Universiti Malaya saya sempat bertemu dengan Ahmad Boestaman, Tajuddin Kahar, Karam Singh dan Hasnul Hadi - kesemua mereka adalah bekas tahanan ISA. Merekalah yang menjadi perawi saheh membawa surah tentang Kamunting dan Batu Gajah kepada saya.

Operasi Mayang Disember 1974 telah menangkap puluhan pemimpin dan aktivis pelajar di seluruh Semenanjung. Saya gagal ditahan pada tahun itu. Saya menghilangkan diri ke luar negara. Bila saya pulang 20 tahun kemudian, saya bertemu kembali dengan kawan-kawan lama - Kamaruzaman Yacob, Adi Sataria, Hamzah Kaseem - yang kini telah dinobatkan sebagai perawi-perawi Kamunting dari generasi terbaru. Melalui mereka sekali lagi saya mendengar surah-surah saheh tentang ISA dan Kamunting.

Bila Operasi Omega dilancarkan saya telah ditahan dan dibawa ke Kamunting pada 3hb Jun 2001. Perjalanan saya ke Kamunting dari 'Lubang Abu Gharib ' bukanlah satu perjalanan yang menyoronokkan. Mata kami ditutup dan tangan kami di gari. Bila tutup mata dibuka, kami telah berada di luar Kuala Lumpur. Lebuh raya yang kami ambil ini telah menafikan peluang saya untuk melihat kembali jalan lama saya yang sering saya lalui dari Kuala Kangsar ke Taiping.

Pada hari kelima di Kamunting saya telah dibawa ke hospital Taiping untuk uji kesihatan. Ketika saya dibawa ke Kamunting dahulu, warga Taiping sedang nyenyak tidur dalam pagi yang gelap gelita. Jadi keluar ke hospital ini adalah kali pertama saya dapat melihat pekan Kamunting diwaktu siang.

Penyakit Tennis Elbow

Setelah dua bulan terkurung di Lubang Abu Gharib , dipagi itu, saya dapat melihat kereta lalu lalang, Mat Rempit naik motor, orang ramai berkeliaran dan anak-anak muda berbasikal ke sekolah. Walau pun tangan saya digari tetapi mata saya liar memerhati dan menikmati dunia luar bebas yang telah saya tinggalkan.

Dari Kem Kamunting kami mengambil jalan lama melintasi kem tentera darat, menyisir kaki Bukit Larut, lalu di hadapan Penjara Taiping, melintasi museum, melintasi padang bola dan masuk ke jalan utama bandar menuju hospital Taiping. Inilah jalan yang akan diambil oleh semua banduan dan tahanan ISA di Kem Kamunting jika mereka memerlukan rawatan hospital.

Selama di Kamunting saya juga telah beberapa kali di bawa kembali pulang ke Lubang Abu Gharib. Ini kerana saya wajib dibawa ke mahkamah Kuala Lumpur untuk menghadapi tuduhan mengambil bahagian dalam beberapa berhimpunan yang tidak disembelih (baca perhimpunan haram ). Jadi kawasan pekan Kamunting Lama dengan kedai-kedai papan yang beratap zink amat kerap saya lintasi.

Setelah satu tahun di Kamunting saya disahkan menghadapai penyakit Tennis Elbow - penyakit salah urat hasil dari bermain ping pong tanpa menggunakan teknik yang betul. Justeru, saya memerlukan rawatan psioterapi dari hospital Taiping. Jadi setiap pagi Selasa selama dua puluh minggu saya telah dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan. Perjalanan ke hospital ini, untuk kami para tahanan adalah satu nikmat kerana kami dapat membebaskan mata kami dari terpaksa melihat tembok, dinding dan kawat berduri.

Kekerapan keluar kem ini menjadikan saya cukup arif dan dapat mengenali setiap bangunan dan setiap lorong yang dilalui dari kem ke hospital. Saya memerhatikan setiap kedai - kedai motor, kedai kasut, kedai bunga plastik, kedai runcit, kedai jual pakaian perkahwinan dan gedung membeli belah. Saya memerhatikan bangunan-bangunan sekolah, bangunan masjid, kuil dan gereja.

Setiap pokok di tepi jalan juga saya perhatikan dengan rapi. Kerana ada sekali saya ternampak tempelan poster-poster kecil tentang program ceramah parti Pas Kamunting. Saya juga memberi perhatian rapi semasa di persimpangan lampu merah di sebelah Masjid Kamunting. Ini kerana setiap kali saya melintasi persimpangan ini ada saja kain rentang yang sedang mengiklankan sesuatu.

Ada kain rentang yang mengiklankan kerja kosong, kolej swasta mengiklan diri, jualan murah bermula dan sebagainya. Ada dua kali saya ternampak kain rentang yang mengiklankan program ceramah dengan nama Mat Sabu, Wan Azizah dan beberapa nama pemimpin Barisan Alternatif. Maklumat ini akan menjadi bahan bualan sepulang dari hospital nanti.

Kampung Melayu Kamunting

Dari semua tempat yang saya lalui ada satu kawasan yang paling menarik hati saya. Ini ialah kawasan perkampungan Melayu yang betul-betul berhadapan dengan pintu besar Kem Kamunting. Apabila van penjara membawa keluar, pandangan mata saya betul-betul menghadapi kampung ini. Malah pintu besar Kem Kamunting ini berhadapan dengan sebuah kedai runcit kamuong ini.

Warder yang membawa saya ke hospital memberitahu yang nama kampung ini ialah Kampung Pasir. Dari pemandangan saya, kampung ini pasti telah diteroka puluhan tahun dahulu. Ini kerana ada pokok durian yang kelihatan saka. Kampung ini subur kehijauan dengan pokok durian, rambutan, mangga, pokok-pokok pisang dan pohon-pohon kelapa yang tinggi menjulang. Atau mungkin juga kampung ini kawasan bekas tanah lombong kerana namanya Kampung Pasir. Saya tidak memiliki jawapan tentang asal usul kampung ini.

Di satu lorong kecil menuju ke dalam kampung ini saya selalu ternampak kibaran bendera hijau putih lambang parti Pas. Lalu saya beranggapan pastilah kawasan ini sebuah kampung yang ramai penghuninya menyokong perjuangan Pas. Setiap kali saya melintasi kampung ini semangat saya membeku keras kerana saya yakin bahawa perjuangan kami menentang kezaliaman ini bukan satu perjuangan yang terpencil.

Seperti kesampaian saya di Kamunting dahulu, saya juga dibebaskan diwaktu malam. Saya hanya sempat melihat cahaya-cahaya lampu di Kampung Pasir dan kedai-kedai pekan Kamunting yang telah ditutup. Dari Kem Kamunting saya dibawa terus ke penjara Taiping. Nah, bangunan yang sering saya lihat temboknya akhirnya dapat juga saya tembusi. Selama tiga hari saya ditahan dalam penjara Taiping sebelum dibawa terus ke Kuala Lumpur. Saya agak kecewa juga kerana masih gagal untuk meligari bandar Taiping yang telah hampir 30 tahun saya tinggalkan. Bandar Taiping telah bagitu dekat tapi amat susah untuk dihampiri.

Berceramah di Kamunting

Pada pertengahan bulan Mei lalu saya mendapat panggilan talipon dari Taiping. Saya dipelawa ke sana untuk menyertai satu program Parti Keadilan Rakyat. Biasanya saya akan berdulak dalik mencari alasan untuk mengelak diri dari menyertai program ceramah ini. Ini kerana saya tidak bagitu arif dalam hal ceramah menceramah. Dalam masa yang sama saya tidak memiliki banyak perkara yang dapat saya ceramahkan.

Tetapi jumputan berceramah di Taiping saya jadikan satu pengecualian. Saya mewajibkan diri saya untuk hadir. Saya berjanji dengan penyusun program yang saya akan melupuskan apa saja program yang sedia ada untuk memastikan agar saya akan sampai ke Taiping. Ini niat besar saya, mengapa tidak, tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat di kurung.

Seperti yang telah dijanjikan pada petang Sabtu minggu lepas saya telah sampai ke Taiping sekali lagi. Saya terus mencari hotel untuk menyewa sebuah bilik. Saya memang tidak berkenan untuk menginap di hotel-hotel yang cuba berlagak moden. Estetika saya akan merasa mual apabila melihat bunga-bunga plastik di ruang tamu di hotel-hotel yang dianggap moden ini.

Hotel pertama yang saya masuki ialah Hotel Paris yang agak kolonial bentuknya. Saya tersenyum bila melihat penyambut tamunya seorang Apek tua yang diapit oleh seorang gadis Tionghua muda yang agak gempal. Saya menolak untuk bermalam di hotel ini kerana dari pengalaman saya hotel seperti ini ialah tempat membeli 'ayam'. Saya tidak ingin tersalah langkah pada malam berkenalan semula dengan Taiping.

Tidak jauh dari hotel ini ialah Hotel Peking - sebuah banglo kolonial yang didirikan pada tahun 1929. Beratap genting, berlantai mamar klasik dengan lukisan dinding yang dilihat tidak mengada-ngada. Inilah pilihan tepat saya sebagai tanda berkenal kembali dengan Taiping yang telah bagitu lama saya tinggalkan.

Sebenarnya saya tidak diberi penjelasan dimana saya wajib berceramah di malam itu. Sesampai saya di hotel saya diberitahu untuk berada di hadapan sekolah Teknik Kamunting pada pukul 8.30 malam. Hati saya berdebar-debar kerana saya tahu benar tempat ini. Sekolah Teknik ini tidak berapa jauh dari Kem Kamunting, malah letaknya betul-betul di sebelah Kampung Pasir.

Aduh ! Apa yang saya jangkakan betul-betul terjadi. Saya akan berceramah di Markas Pas Kampung Pasir. Seperti mimpi menjadi realiti, saya dibawa masuk ke lorong yang telah berpuluh kali saya lihat. Bendera hijau putih itu masih berkibar cuma kali ini ada bersama kibaran bendera biru merah - lambang Parti Keadilan Rakyat.

Manusia bebas

Satu tahun sesudah dibebaskan kini saya betul-betul berada tidak lebih dari 200 meter dari tempat yang pernah mengurung saya. Susah juga untuk saya besuara pada malam itu. Saya menyedari di dalam kem kurungan itu masih ramai lagi kawan-kawan yang telah saya tinggalkan. Saya juga tahu pada malam itu kesemua mereka sedang dikunci terkurung didalam blok masing-masing.

Saya hanya menyampaikan terima kasih kepada penduduk Kampung Pasir kerana selama dua tahun bendera yang mereka kibarkan telah menguatkan semangat saya semasa di kurung. Saya juga menyampaikan salam ingatan saya kepada kawan-kawan saya yang masih lagi ditahan di dalam kem, walau pun saya sedar tidak mungkin salam ingatan saya ini akan disampikan oleh sesiapa pun.

Sepulang dari berceramah saya meligari bandar Taiping. Saya merapati kedai-kedai yang setahun dahulu cuma saya lihat dengan mata terbuka tetapi tangan digari. Pada malam itu saya bebas berjalan ke setiap arah yang saya minati. Tidak ada sesiapa yang dapat melarang. Saya mencari kembali warong sate dan air batu campur saya yang telah saya tinggalkan 30 tahun dahulu.

Ianya tidak wujud lagi. Yang tersergam kini ialah sebuah gedung membeli belah.

Kembali ke bilik hotel saya termenung sebentar. Kali ini saya tidur di Taiping sebagai manusia bebas. Untuk membuktikanya saya telah tidak mengunci pintu bilik malam itu. Sebagai manusia kita bebas untuk memasuki mana-mana lorong yang berkenan dihati. Kita tidak perlu di kunci atau di kurung. Manusia wajib bebas seperti air terjun di Bukit Larut.

Nota:

Lubang Abu Gharib ialah nama yang saya beri untuk PRC tempat tahanan yang di rashiakan oleh Akta Rashia Rasmi kerajaan.