Masih ramai yang menganggap kata-kata "agama candu masyarakat" membawa maksud bahawa agama ialah dadah menyebabkan rakyat lalai dan lemah.

Perkataan "candu" yang digunakan oleh Karl Marx pada tahun 1843 diilhamkan dari Perang Candu di antara Cina and Britain dari tahun 1839 hingga 1842.

Marx menggunakan istilah candu untuk menggambarkan bahawa golongan miskin dan tertindas yang tidak mengharapkan apa-apa dari hidup di dunia ini sering menenangkan hati mereka dengan mengharapkan balasan di hari kemudian (akhirat).

Biasalah begitu jika negara dan pemerintah tidak mempedulikan nasib mereka; mengapa tidak sahaja berdoa kepada kuasa yang lebih tinggi yang menjanjikan balasan baik kepada mereka?

Agama, bagi Marx, sememangnya pra-syarat untuk penindasan tetapi pada masa yang sama ia juga sebagai tempat yang selamat dari penindasan.

Sebagaimana yang dicatatkan oleh Marx:

"Penderitaan keagamaan melafazkan penderitaan yang sebenar dan pada masa yang sama merupakan satu protes terhadap penderitaan yang sebenar itu. Agama ialah keluhan makhluk yang tertindas, menjadi hati dalam dunia tanpa hati dan jiwa dalam keadaan tanpa jiwa. Ia candu rakyat." ( Religious suffering is at one and the same time the expression of real suffering and a protest against real suffering. Religion is the sigh of the oppressed creature, the heart of a heartless world and the soul of the soulless conditions. It is the opium of the people )  Contribution to the Critique of Hegel's Philosophy of Right , 1843

Di sini candu yang Marx maksudkan bukan sebagai dadah yang mengasyikkan dan melalaikan tetapi ubat yang mengurangkan sakit, seperti pain killer . Sesuatu yang buruk tetapi perlu kerana keadaan sekeliling terlalu teruk.

Tetapi apa yang penting ialah melihat realiti masa kini. Agama, walaupun dipenuhi berbagai masalah dan konflik, sudah wujud beribu-ribu tahun. Semakin berkembang sains, semakin berkembang minat kepada agama. Tetapi tidak semestinya yang diminati itu sentiasa baik.

Namun, agama yang menjadi pegangan rakyat bukannya ibadat dan ritual tetapi sebagai satu bentuk kepercayaan  sesuatu untuk menyakinkan diri dalam menghadapi masalah hidup.

Hak individu

Di Eropah dan Amerika Utara, walaupun minat terhadap agama tradisional seperti Kristian, Islam, Judaisme, Hinduisme dan Buddhisme tidak banyak tergugat, kepercayaan-kepercayaan baru (sebenarnya yang lama seperti animisme, paganisme, nenek-kebayanisme dan sebagainya yang dihidupkan semula) menjadi popular.

Agama menjadi sebagai sesuatu yang memenuhi keperluan jiwa, santapan rohani. Namun, walau apa pun agama yang dianuti, kehidupan rakyat di Eropah dan Amerika Utara tetap dipengaruhi budaya-budaya tempatan. Dalam soal politik, ekonomi, sosial dan hak-hak asasi, mereka sepakat dalam isu-isu sejagat.

Ini membuktikan agama dan kepercayaan adalah hak individu. Soal di antara manusia dan Tuhan; di antara yang dicipta dan penciptanya. Oleh itu, di benua-benua di sana sekularisme (pemisahan di antara politik/pentadbiran dan agama) bukan lagi soal besar kerana masing-masing faham dan jelas mengenai soal hidup di dunia dan anutan peribadi.

Tetapi bagi kebanyakan benua lain seperti Asia, Afrika dan Amerika Selatan, agama dan kepercayaan masih menjadi isu utama. Malah, agama juga menjadi masalah kepada masyarakat-masyarakat tertentu. Penyembelihan sesama manusia, berperang kerana agama masih berleluasa di negara-negara Selatan.

Di Asia ia sudah menjadi seperti lumrah, malah biasanya di kalangan penganut agama yang sama.

Namun untuk menyalahkan agama semata-mata belum cukup kukuh buktinya.

Misalnya di Amerika Selatan, majoriti rakyat masih kukuh berpegang kepada agama Kristian, khususnya dari mahzab Katolik. Malah, gerakan agama progresif Teologi Pembebasan sejak tahun-tahun 1950an menggerakkan rakyat berjuang bersama golongan kiri dan progresif untuk menentang diktator-diktator di Chile, Nicaragua dan El Salvador.

Jika di zaman Marx, gereja bersekongkol dengan pemerintah, keadaan terbalik di abad yang baru lalu ini apabila agama menjadi tonggak perjuangan rakyat.

Tetapi untuk memuji agama 100 peratus juga tidak tepat kerana rakyat tahu memilih mana yang baik atau buruk. Yang diterima adalah ajaran-ajaran positif dan membawa kebaikan individu dan masyarakat.

Begitu juga agama Islam yang menjadi benteng perjuangan rakyat untuk menjatuhkan pemerintahan diktator di Iran dan beberapa cubaan mengambil alih kuasa di Algeria, Turki dan lain-lain negara Asia Barat.

Malah di Malaysia juga medan pertempuran politik sudah terpalit dengan hujah, bahas dan maki-hamun yang berkisar soal agama. Daripada "shit", kepada "mencarut", dan hingga menuju ke "barua"  semuanya menjadi intipati politik Islam di Malaysia

Namun, suara waras masih menjadi penentu majoriti di Malaysia. Tetapi sekali lagi, walaupun rakyat sedar ajaran-ajaran yang dipilih adalah positif, mereka juga sering terperangkap dengan sesetengah pemimpin agama yang bersifat diktator (kerana menganggap diri sebagai pentafsir hukum-hukum Tuhan dan tidak boleh dikritik atau ditentang).

Ertinya agama, walaupun melalui pelbagai ranjau and proses pembaikan, masih dalam definisi yang digambarkan oleh Marx lebih 150 tahun lalu. Walaupun mempunyai nilai sebagai tempat teduhan untuk menenangkan diri dari penindasan sehari-harian, agama juga dijadikan alat penindas oleh kelompok yang sudah lama mengidam kuasa.

Apa yang boleh diterima dari agama ialah sifat-sifat positif. Kerana struktur agama itu juga lahir dari budaya-budaya tempatan sejak beribu tahun lalu. Agama lebih sesuai pada zaman dan tempatnya, dan perlu penyesuaian untuk masa kini dan masa-masa depan.

Sifat-sifat positif itu pula banyak diperolehi dari pendirian moral yang berkisar mengenai berbuat baik, gotong-royong, tolong-menolong, muhibah, sifat cinta kasih sayang dan tidak menyakitkan hati, jiwa dan badan orang lain.

Sejak zaman-berzaman, sifat-sifat ini yang menjadi pegangan manusia  sama ada dari sudut hati seorang hamba, pekerja, majikan atau sesiapa sahaja  kerana ia menyejukkan hati mereka bahawa kebaikan itu satu kemuliaan dan harga diri.

Mungkin jika sifat-sifat ini menjadi teras kepada kerohanian seorang pejuang gerakan progresif  sama ada sosialis, feminis atau sekularis  ia bukan sahaja tidak menimbulkan pertentangan di antara agama dan ideologi malah amat sesuai diamalkan.

Elakan pemaksaan

Yang perlu dielakkan ialah pemaksaan ciri, nilai dan unsur agama (dari apa agama sekali pun) sebagai hukum dan undang-undang masyarakat dan negara secara rigid kerana ia boleh menimbulkan kacau-bilau.

Ini adalah kerana ia tidak sentiasa sesuai pada zaman, keadaan dan masa tertentu. Jika dipaksakan secara rambang, ia seperti mahu dilaksanakan sistem kereta kuda atau unta menggantikan kereta, bas dan LRT kerana "suruhan Tuhan".

Pemerintahan Taliban di Afghanistan mewajibkan lelaki menyimpan janggut, wanita tidak dibenarkan ke sekolah dan tidak ada sebarang permainan dibenarkan, sama ada bolasepak, kriket, hoki atau apa saja jenis sukan. Semuanya diharamkan kerana bukan dari "suruhan Tuhan".

Bayangkan jika undang-undang pemerintahan gereja Kristian zaman pertengahan yang membakar hidup-hidup sesiapa sahaja didapati bersalah kerana menjadi ahli sihir, diamalkan semula.

Begitu juga hukum agama dan adat Yahudi dan Arab Islam yang merejam dengan batu sampai mati untuk orang yang melakukan zina. Begitu juga amalan pancung kepala, sula, rejam dalam air dan siksa sampai mati yang menjadi kebiasaan kuno orang Cina, Melayu, India dan kaum lain  apakah ini semua perlu dijadikan hukum zaman ini?

Apabila berlaku percanggahan di antara nilai cinta dan kasih sayang yang terkandung dalam banyak agama dengan ajaran hukum dan undang-undang, maka pembawa versi agama sedemikian terpaksa ditolak kerana ia akan terus-menerus menjadikan agama sebagai candu untuk menindas rakyat.

Dalam hal ini, bukan soal menerima atau menolak agama yang menjadi isu utama tetapi semua pihak harus terus mempelajari sejarah-sejarah sebelumnya termasuk agama dan keagamaan.

Menolak agama bulat-bulat apabila majoriti rakyat dunia menerimanya akan mengasingkan diri dari dunia yang nyata. Menerimanya bulat-bulat tanpa sikap kritikal juga menjadikan diri sekadar oportunis politik.

Dalam soal politik, pentadbiran dan pendidikan di Malaysia, agama sering digunakan secara serong dan songsang.

Yang menjadi tumpuan adalah kuasa, dan bukannya kesucian agama. Tetapi agama tetap menjadi agenda utama bagi ahli-ahli politik dalam kerakusan mereka merebut kuasa.


WAN HAMIDI HAMID ialah seorang wartawan bebas yang mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan menjangkau 15 tahun. Beliau pernah berkhidmat di Berita Harian , The Star , The Sun dan Straits Times (Singapura).