Karpal Singh sebagai tokoh veteran DAP memang boleh dilihat sebagai berniat baik apabila berani memuji bekas rakan komponennya dalam Barisan Alternatif, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyokong pertemuan di antara Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Pope John Paul II pada awal bulan depan.

Namun, pujiannya agak terlalu awal kerana pendirian Menteri Besar Kelantan itu yang juga Mursyidul Am PAS telah disanggah oleh Presiden parti Datuk Fadzil Noor yang menganggap kunjungani Dr Mahathir ke Vatican tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada umat Islam di Palestin.

Umum mengetahui, walaupun Karpal sebagai seorang ahli politik, suaranya juga hampir sama dengan Nik Aziz, iaitu kadang-kala menyatakan pandangan mereka secara terus-menerus dari hati. Sama ada salah atau betul pandangan mereka, ia kadang-kalanya tidak terlalu bermotifkan politik.

Dengan itu, tidak mengejutkan jika Nik Aziz sendiri tidak menentang lawatan Mahathir menemui pemimpin agama Kristian itu yang tersebar luas umatnya di merata dunia. Sehingga Karpal pula dipetik dalam kenyataannya sebagai berkata, "Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat membuat tindakan betul apabila menyambut baik kunjungan Perdana Menteri dengan Paus John Paul II. DAP juga mempunyai pandangan yang sama terhadap kunjungan terhadap pertemuan dengan Ketua agama Roman Katolik itu".

Pengaruh politik

Bagaimanapun, sehari sahaja selepas itu, Harakahdaily.net telah menyiarkan laporan bahawa Fadzil menyatakan Paus John Paul tidak mudah terpengaruh dengan apa yang bakal dibincangkan dengan Dr Mahathir Mohamad.

"Saya tidak fikir hasil pertemuan itu boleh menyelesaikan segala masalah yang berlaku di Palestin sekarang," katanya, sambil menyifatkan pertemuan itu sebagai usaha Mahathir untuk mencari pengaruh politik.

Memang tidak mustahil dakwaan itu dibuat kerana kesemua pihak yang terbabit ialah ahli politik. Namun, suara Fadzil menggambarkan seolah-olah belum hilang geramnya berikutan acara Syarahan Perdana Palestin di ibu kota baru-baru ini.

Dalam bicara dua tokoh Melayu itu yang kali pertama disiarkan secara langsung oleh RTM1, banyak pihak melihat persembahan tesis sejarah Palestin oleh Fadzil tenggelam dengan hujah ringkas Mahathir dalam membincangkan usaha membantu rakyat Palestin.

Malah menurut beberapa pemerhati politik, nada keras Fadzil yang menyatakan sokongan kepada kumpulan-kumpulan radikal dan militan di Palestin dan Lubnan telah dicairkan dengan suara sederhana Mahathir yang mahu pendekatan jangka panjang dengan mengurangkan bilangan musuh Islam, termasuk di Eropah, melalui diplomasi dan tekanan politik.

Memusaskan pendokong radikal

Pendekatan Fadzil lebih kepada usaha memuaskan hati kalangan pendokong radikal dalam partinya sendiri, sehingga sanggup mengetepikan suara Mursyidul Am yang juga Ketua Dewan Syura Ulamak PAS, badan tertinggi dalam parti itu.

Tambahan pula, hujung minggu ini (31 Mei-2 Jun) muktamar agung PAS diadakan di Kota Baru, Kelantan. Pasti segala kemarahan terhadap pemerintah Barisan Nasional akan diluahkan dalam sesi-sesi perbahasan, terutama menggambarkan Umno sebagai kurang keIslamannya.

Walaupun beberapa kali Fadzil sudah menyatakan beliau tidak perlu menjelaskan apa-apa berhubung isu Syarahan Perdana, tidak mengejutkan jika dalam ucapan dasarnya atau suara Ketua Pemudanya, atau setidak-tidaknya melalui suara-suara perwakilan negeri akan timbul soal Palestin dengan nada yang keras dan radikal.

Memang kekerasan suara menentang Israel, atau lebih tepat lagi apa-apa sahaja yang dikaitkan dengan kaum Yahudi, sudah menjadi agenda besar dalam perjuangan PAS. Tidak mungkin kepimpinannya melembutkan suara sekadar jika mahu memenuhi hasrat 'kawan-kawan' seperti DAP, yang sudah pun meninggalkan pakatan pembangkang berikutan keengganan PAS mengubah hasratnya untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Islam 'tulen'.

Oleh itu, walaupun Nik Aziz menganggap pertemuan Mahathir dengan Paus John Paul, yang dilihat dunia sebagai suara Kristian konservatif yang berpengaruh, sebagai mengikut sunnah Nabi Muhammad yang pernah menemui orang Kristian dan Yahudi untuk tujuan keamanan, Fadzil terpaksa mengekalkan imej garangnya.

Tidak memberi manfaat

Tanpa merujuk kepada kenyataan Nik Aziz, presiden PAS itu sebaliknya memperlekehkan pemimpin Gereja Katolik itu yang sedang menghadapi penderaan seks di kalangan paderi-paderinya, dengan menuduhnya tidak mengambil tindakan tegas.

Bagi Fadzil, pertemuan di antara Mahathir dan Paus John Paul tidak akan dapat memberi manfaat yang sepatutnya berhasil, iaitu menyebarkan dakwah Islam sebagaimana yang dilakukan apabila mana-mana orang Islam bertemu dengan orang bukan Islam.

Dengan itu, ketegasan suara Fadzil dalam menjelaskan isu lawatan itu mungkin tidak akan memberi maklum-balas positif di kalangan pembangkang bukan Islam di negara ini. Sama ada Mahathir berniat lain daripada membawa pandangan Islam sederhana berhubung soal Palestin, kecaman presiden PAS terhadap pemimpin Katolik itu mungkin membuahkan hasil negatif pula di kalangan umat Kristian di Malaysia.

Namun, suasana semasa ini juga mencerminkan betapa terlangkupnya pemikiran di kalangan kepimpinan Melayu Islam kerana terlalu menyempitkan pandangan kepada soal politik kepartian.

Agenda politik negara

Mahathir sendiri, apabila berbicara soal Palestin kepada pendengar tempatan, lebih menjurus kepada parokial Islamnya sedangkan beliau sendiri sedar pemimpin Palestin Yasser Arafat memimpin badan majoriti yang merangkumi umat Islam dan Kristian, demokrat dan sekular yang berfikiran bebas. Sentimen anti-Yahudi juga terlalu keras sedangkan ramai intelek dan orang awam Yahudi di dalam dan luar Israel yang bersikap kritikal terhadap keganasan yang dilakukan oleh tentera negara itu.

Tetapi Perdana Menteri juga sedar bahawa resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan majoriti suara dunia semakin menerima ketetapan supaya wujud negara merdeka untuk rakyat Palestin di sebelah jirannya Israel. Untuk mencapai matlamat itu, ia memerlukan pelbagai ruang, sama ada diplomasi, tekanan politik, atau (menurut pandangan Mahathir) kekerasan apabila cukup kekuatan dan dirasakan benar-benar perlu.

Sememangnya Mahathir akan menjadikan semua tindakan dan usahanya yang kini disanjungi dunia sebagai agenda politik negara. Semua pemimpin politik, termasuk pembangkang, sedar nilai aset yang amat berharga itu. Cumanya Mahathir ialah Perdana Menteri yang berkuasa manakala pemimpin-pemimpin pembangkang terpaksa menunggu peluang untuk merampas kuasa melalui proses demokrasi yang ada.

Kesannya, apabila Mahathir memperagakan diri sebagai tokoh Islam sederhana, PAS pula terjerat dengan perangkap sendiri untuk memperlihatkan diri sebagai saingan utama pemerintah. Untuk membezakan diri daripada pendirian sederhana yang dianggap PAS sebagai "takut" dan "tunduk kepada kuasa Barat", pemimpin-pemimpin parti agama itu menonjolkan imej gagah perkasa dengan mendewa-dewakan individu pengebom bunuh diri yang sudah sekian banyak meragut nyawa orang awam Israel.

Fundamentalis Islam

Jika kerajaan Islam di Sudan menganggap pemberontak di selatan negara itu sebagai pengganas; jika kerajaan Islam di Iran mentafsirkan pemberontak Mujahidin Khalq dan kaum Kurd sebagai pengganas; ke arah manakah perjuangan menuju kedamaian yang berteraskan Islam dapat dibawa untuk mendapat sokongan dunia?

Tanpa perlu jauh menjelajah ke seluruh dunia, apakah PAS yang hanya beberapa tahun lalu dilihat sudah merubah imej kerasnya kini terpaksa kembali memenuhi definisi fundamentalis Islam kerana mahu menyokong semua gerakan yang dinamakan Islam, walaupun ada di antaranya lebih terkenal dengan penyembelihan sesama ummah semata-mata kerana berbeza fahaman dan strategi?

Memang tidak semestinya pendapat Nik Aziz atau Karpal mendapat pujian umum tetapi dalam soal kunjungan Perdana Menteri ke Vatican, ia menggambarkan kematangan sesetengah ahli politik veteran dalam menangani isu semasa.

Fadzil faham keadaan semasa tetapi beliau juga harus memimpin golongan radikal dalam partinya kerana biasanya walaupun sesuatu pertubuhan diwakili ramai kalangan sederhana, suara keras minoriti yang sering didengar.

Walau apa pun yang bakal dibincangkan oleh Mahathir dan Paus John Paul, ramai berharap ia dapat dijadikan asas untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama mengatur langkah sendiri untuk mengadakan perbincangan sesama mereka tanpa menunggu seruan kerajaan atau pembangkang.

Banyak lagi yang perlu umat Islam di Malaysia belajar mengenai agama dan budaya umat lain, dan begitu juga sebaliknya. Ini bagi memastikan harmoni dan kedamaian wujud secara semulajadi, dan bukannya dibuat-buat di mana kesumat membara di sebalik senyuman tawar antara kaum dan agama.


WAN HAMIDI HAMID ialah seorang wartawan bebas yang mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan menjangkau 15 tahun. Beliau pernah berkhidmat di Berita Harian, The Star, The Sun dan Straits Times (Singapura).