Wang ehsan, hakmilik tanah kuatkan genggaman PAS di Tgganu
Sepanjang muktamar PAS di Kota Bharu, Kelantan, minggu lalu, jelasnya tumpuan sebahagian besar perwakilan dan pucuk pimpinan parti itu ialah mengenai keadaan semasa di Kelantan dan Terengganu yang dikuasai oleh PAS.
Ianya boleh ditafsirkan sebagai manifestasi kebimbangan mereka terhadap kemampuan parti itu untuk mempertahankan kedua-dua buah negeri dalam pilihanraya umum akan datang. Buat masa ini, PAS bukan sahaja parti pembangkang semata-mata, tetapi juga parti memerintah di Kelantan dan Terengganu.
Sepanjang muktamar PAS di Kota Bharu, Kelantan, minggu lalu, jelasnya tumpuan sebahagian besar perwakilan dan pucuk pimpinan parti itu ialah mengenai keadaan semasa di Kelantan dan Terengganu yang dikuasai oleh PAS.
Ianya boleh ditafsirkan sebagai manifestasi kebimbangan mereka terhadap kemampuan parti itu untuk mempertahankan kedua-dua buah negeri dalam pilihanraya umum akan datang. Buat masa ini, PAS bukan sahaja parti pembangkang semata-mata, tetapi juga parti memerintah di Kelantan dan Terengganu.
Lantaran itu, pucuk pimpinan parti itu juga sudah merasai bebanan sebagaimana yang pernah dialami oleh pucuk pimpinan Umno di kedua-dua negeri tersebut sewaktu diperintah oleh Barisan Nasional (BN).
Mungkin kebimbangan itu tidak begitu ketara di kalangan ahli PAS Kelantan, yang pada pendapat penulis sendiri, agak sukar untuk dimenangi semula oleh Umno dan BN. Malah, kepimpinan Umno sendiri mengakui hakikat ini. Keyakinan mereka hanya setakat menambah satu dua kerusi sahaja di samping mengurangkan majoriti undi yang bakal dimenangi calon PAS.
Tetapi keadaan di Terengganu cukup berbeza. Kesan selepas tindakan Kerajaan Pusat menarik balik pemberian wang royalti minyak kepada kerajaan negeri — dan kemudiannya menyalurkannya dalam bentuk 'Wang Ehsan' kepada rakyat menerusi Umno negeri — tidak dapat diketepikan oleh kerajaan negeri begitu sahaja.
Ini kerana, wang royalti minyak itu merupakan 70 peratus daripada sumber pendapat kerajaan negeri. Manakala bakinya sepatutnya diperolehi melalui kutipan cukai yang lain. Malangnya, sebagai memenuhi janjinya sewaktu pilihanraya umum 1999, kerajaan PAS telah terlebih dahulu, memansuhkan kutipan tol dan bayaran cukai tafsiran.
Wang ehsan ganti royalti
Sewaktu masih menerima wang royalti itu, kerajaan PAS telah menggunakannya untuk membantu rakyat miskin dengan menyalurkan bantuan kewangan terus kepada mereka. Malah masyarakat bukan Islam sendiripun terperanjat apabila mereka juga turut menerima bantuan itu, sesuatu yang tidak pernah mereka impikan selama ini.
Apabila kerajaan negeri terpaksa menghentikan bantuan itu selepas Kerajaan Pusat menghentikan bayaran royalti, sudah tentu mereka yang sebelum ini menikmatinya, akan marah terhadap Kerajaan Pusat.
Namun apabila wang itu disalurkan sebagai 'Wang Ehsan' melalui agensi kerajaan pusat dan Umno negeri, maka jumlah mereka yang sebelum ini 'amat marah' kepada terhadap Pusat, semakin berkurangan kerana mereka masih boleh mendapat bantuan tersebut. Cuma kali ini, ianya disalurkan melalui saluran seperti Umno Negeri.
Bantuan itu disalurkan dalam pelbagai cara. Ada yang disalurkan dalam bentuk bantuan pendidikan, di mana pelajar yang kurang berada, sama ada daripada keluarga Umno atau PAS, diberi bantuan basikal baru, wang biasiswa dan bantuan menjelaskan yuran peperiksaan.
Walaupun pemimpin PAS mengeluarkan fatwa bahawa wang ehsan itu haram, namun ia tidak dapat menyekat ramai penduduk Terengganu berebut-rebut untuk menerimanya.
Keadaan itu telah diterjemahkan oleh pemimpin Umno Terengganu sebagai tanda rakyat sudah kembali menyokong BN.
Ini kemudiannya mendorong kepimpinan PAS untuk memperjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan oleh fatwa tersebut ialah "tindakan Kerajaan Pusat merampas wang royalti itu adalah haram".
Bagi menyekat 'keghairahan' Umno Negeri berbelanja besar dengan wang ehsan itu, maka pentadbiran PAS negeri pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengambil keputusan untuk menggunakan 'khazanah negeri yang masih ada' untuk memenangi hati rakyat.
Ini dilakukan dengan menyelesaikan masalah pemberian hakmilik tanah kepada peneroka tanah rancangan yang ada di Terengganu. Masalah itu yang telah tertunggak sejak zaman pemerintahan BN lagi, dapat diselesaikan oleh kerajaan PAS dalam masa yang singkat.
Selain itu, kerajaan Negeri juga memberi hak milik kepada mereka yang sebelum ini menduduki tanah kerajaan secara haram. Strategi kerajaan negeri itu juga mendapat sambutan hebat daripada rakyat terbabit.
Khabar angin
Namun, sejurus kemudian, tersebar khabar angin yang menyatakan bahawa hakmilik yang diberikan oleh kerajaan negeri adalah palsu, dan ianya adalah untuk tujuan menipu peneroka terbabit.
Berikutan itu, hampir separuh daripada 500 peneroka di tanah rancangan kerajaan di Dungun, enggan menerima hakmilik yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri itu. Bagaimanapun, separuh daripada mereka datang mengambil hakmilik masing-masing, walaupun hati masing-masing masih merasa was-was mengenai ketulenannya.
Berikutan itu ada di antara mereka yang membawa kertas hakmilik itu ke bank, atas alasan hendak mencagarkan tanah milik mereka itu. Apabila pihak bank mengesahkan bahawa ianya adalah tulen, bagi peneroka yang enggan menerimanya sebelum ini menjadi kelam-kabut.
Maka sebahagian besarnya telah berhimpun beramai-ramai, atas anjuran pihak tertentu, dengan mendakwa kerajaan negeri bersikap pilih kasih, kerana hanya memberi hakmilik kepada penyokong PAS sahaja.
Abdul Hadi sebelum ini mengumpamakan tindakan Umno mengedarkan wang ehsan kepada rakyat seperti memberi "ikan kepada mereka untuk dimakan pada hari itu sahaja".
Sebaliknya, kata beliau, keputusan kerajaan negeri untuk memberi hakmilik tanah kepada rakyat lebih merupakan tindakan "memberi pancing untuk mereka terus memancing sepanjang masa."
Strategi manakah yang lebih berkesan — wang ehsan ataupun hakmilik tanah? Sudah tentulah jawapannya akan kita ketahui selepas pilihanraya umum akan datang.
Strategi berjaya
Walaupun Abdul Hadi mendakwa strategi kerajaan negeri memberi hakmilik tanah kepada rakyat telah berjaya memperkuatkan lagi genggaman PAS di Terengganu, namun ada di kalangan perwakilan muktamar PAS minggu lalu, yang mempertikaikannya.
Beberapa perwakilan terbabit mendakwa selepas menerima hakmilik tanah itu, penerimanya 'bebas' untuk menyokong parti pembangkang (Umno) di Terengganu. Lantaran itu, mereka menggesa kerajaan negeri pimpinan Abdul Haji supaya lebih berhati-hati dalam melaksanakan polisi memberi tanah kepada rakyat supaya ia tidak 'merugikan' PAS sendiri.
Dengan lebih tumpuan diberikan kepada usaha untuk mengekalkan kerajaan PAS Terengganu, bagaimana pula peluang parti itu untuk mengekal atau memenangi lebih banyak kerusi di negeri-negeri lain?
Bagaimanakah dengan keyakinan Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Kuala Kedah Muhammad Sabu — kedua-duanya di Kedah — bahawa Kedah dan Perlis akan jatuh ke dalam genggaman PAS dalam pilihanraya umum akan datang? Apakah ianya satu hakikat atau sekadar retorik politik PAS semata-mata?
Penulis akan menghuraikan fakta dan kemungkinan mengenai peluang PAS untuk meluaskan pengaruhnya di negeri-negeri lain, terutama Kedah, Perlis dan Pahang dalam bahagian terakhir esok.
Analisis ini merupakan bahagian ketiga daripada empat siri yang menyentuh kekuatan, kelemahan, dan strategi PAS untuk menghadapi pilihanraya umum, termasuk usahanya untuk menjelaskan konsep negara Islam yang diperjuangkannya.
Nash Rahman adalah editor malaysiakini .

