Antara gesaan para perwakilan di Muktamar PAS di Kelantan minggu lalu ialah supaya imej parti itu diberi status 'nasional' supaya pengaruhnya tidak dilihat seolah-olah terhad di Kelantan dan Terengganu sahaja.

Walaupun, parti itu berjaya memenangi lapan kerusi Parlimen dan 12 kerusi negeri di Kedah, namun keupayaan parti itu untuk mempertahankannya masih menjadi tandatanya.

Mungkin Presiden parti, Datuk Fadzil Noor mampu mempertahankan kerusi Parlimen Pendang. Begitu juga dengan Ustaz Taib Azzamudden di Baling dan ketua dewan pemuda Mahfuz Omar di Pokok Sena.

Ini berdasarkan kejayaan mereka memenangi kerusi masing-masing dengan majoriti yang selesa. Fadzil menang dengan majoriti 2,939 undi, Mahfuz (3,637) dan Taib (1, 394). Manakala seorang lagi wakil rakyat PAS, Prof Madya Zawawi Ahmad memenangi kerusi Parlimen Padang Terap dengan majoriti 1,053 undi.

Manakala Umno begitu berkeyakinan untuk merampas semula kerusi Parlimen yang dimenangi PAS dengan majoriti kecil seperti Jerlun (380), Yan (182), Sik (336) dan Kuala Kedah (991 undi). Dan semua kawasan Parlimen terbabit mempunyai pengundi sejumlah 44,000 undi hingga 68,125 undi, yang 90 peratus daripadanya adalah pengundi Melayu.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, enam atau separuh daripadanya dimenangi PAS dengan majoriti kecil, iaitu Ayer Hitam (144), Kuala Nerang (821), Pengkalan Kundur (6750), Pedu (446), Bukit Lada (852), Belatek (492) dan Jenari (393).

Manakala enam kerusi lagi dimenangi parti dengan majoriti yang agak selesa, iaitu Langgar (2,799), Anak Bukit (1,840),, Bukit Raya (5,184), Sala (2,621), Kupang (3,043).

Ada yang berpendapat kemenangan wakil rakyat PAS di enam kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen berkenaan dalam pilihanraya umum lalu adalah kerana undi protes ahli Umno berikutan penyingkiran bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Umno dan kerajaan.

Faktor kekuatan PAS

Begitu jugalah anggapan mereka dengan prestasi PAS di Perlis dalam pilihanraya umum yang lalu di mana parti itu memenangi tiga kerusi DUN, iaitu Guar Sanji dengan majoriti 123, Sanglang (333) dan Santan (269).

Namun begitu, prestasi PAS di beberapa DUN lagi juga memberangsangkan kerana calonnya tewas kepada BN dengan majoriti kecil, umpamanya di Beseri (819), Mata Air (664), Bintong (306), Sena (544), Kayang (331), Tambun Tulang (877) dan Simpang Empat (248).

Oleh itu, mereka juga berpendapat bahawa dalam pilihanraya umum akan datang, Umno dan BN akan berjaya merampas semula kerusi-kerusi berkenaan untuk mengembalikan kekuatan parti itu di Kedah, terutama untuk mengembalikan penguasaan dua pertiga kerusi DUN.

Sekali pandang, memang terserlah lojiknya. Malah, perwakilan PAS sendiripun ada yang berpandangan bahawa parti itu dianggap kuat di Kedah kerana beberapa pemimpin utama PAS menjadi wakil rakyat di negeri ini, seperti Fadzil (presiden parti), Mahfuz (ketua dewan pemuda), Mohamad Sabu (ahli jawatankuasa pusat) dan Ustaz Taib Azamudden (Parlimen Baling).

Manakala di Perlis pula, PAS mula dikenali ramai dengan pembabitan pemimpin agama dalam PAS seperti Datuk Harun Din. Bagaimanapun, kini timbul persoalan mengapa beliau tidak kelihatan sewaktu berlangsungnya muktamar PAS di Kelantan baru-baru ini!

Tetapi apakah punca kemenangan PAS itu kerana undi protes ahli Umno. Bagaimana pula dengan kemenangan PAS dengan majoriti besar seperti di Langgar (2,799), Anak Bukit (1,840), Bukit Raya (5,184), Sala (2,621), Kupang (3,043).

Tidak mungkinkah kemenangan tipis calon BN di Tanjung Seri dengan hanya 440 undi dan Pantai Merdeka dengan 504 undi, turut membuka peluang kepada PAS merampasnya dalam pilihanraya umum akan datang?

Sebenarnya, PAS mencatatkan kemenangan besar di kawasan pilihanraya yang mempunyai banyak sekolah agama yang dikendalikan oleh ahli atau pemimpin parti berkenaan. Walaupun jumlah sebenarnya tidak diketahui, tetapi ianya dianggap faktor kemenangan Ustaz Taib Azamudden di Parlimen Baling, kerana ia meliputi kawasan Kupang, yang terkenal dengan sekolah agamanya.

Begitu juga dengan DUN di Langgar dan Pokok Sena, tempat terletakkanya dua sekolah agama Kolej Darul Ulum (milik PAS), dan Sekolah Agama Depang, yang ditadbirkan pemimpin PAS, termasuk Ustaz Niamat Yusof, calon PAS bagi DUN Tanjung Seri, yang tewas dengan hanya 440 undi.

Kebangkitan mendadak

Mungkin kepimpinan Umno negeri akan kecewa sekali lagi dalam pilihanraya umum akan datang sekiranya mereka beranggapan kemenangan PAS sebelum ini adalah kerana faktor Anwar Ibrahim semata-mata.

Sebenarnya apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kemunculan PAS secara mendadak, terutamanya di Perlis dan Kedah, adalah berikutan bercambahnya sekolah agama rakyat pimpinan penyokong PAS. Ianya merupakan strategi jangka panjang parti itu untuk menambah penyokongnya yang kini sudah menampakkan hasilnya.

Umpamanya, di Sekolah Agama Depang, pelajarnya 'sengaja' diajar mengikut kurikulum yang memang tidak diiktirafkan oleh kerajaan negeri dan Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun, ianya tidak menjadi penghalang kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Malah pelajar berkenaan berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti di Yaman, India dan Pakistan, dengan biasiswanya disediakan untuk mereka.

Sekembalinya mereka ke tanahair, masing-masing digalakkan membuka sekolah agama kerana mereka tidak dapat bekerja dengan kerajaan berikutan ijazah mereka tidak diiktiraf di sini. Apabila sekolah mereka semakin membesar, dan sebagai seorang ahli agama, mereka dihormati masyarakat tempatan, yang sekaligus terpengaruh dengan pegangan politik mereka yang menyokong PAS.

Hari demi hari, kekuatan mereka bertambah, dan pada masa yang sama, sokongan untuk PAS semakin meningkat. Inilah yang tidak disedari oleh Umno negeri selama ini. Akibatnya, sudah terlambat untuk Umno bagi menggugatkan pengaruh guru-guru agama ini di kalangan masyarakat tempatan.

Berikutan itu, penulis sendiri berpendapat bahawa kekuatan PAS Kedah bukan kerana faktor Fadzil Noor, Mahfuz ataupun Mohamad Sabu, tetapi sebenarnya rangkaian sokongan akar umbi yang semakin mantap di Kedah dan Perlis.

Seandainya pun PAS tidak berjaya menawan Kedah dan Perlis dalam pilihanraya umum akan datang, tetapi dalam tempoh lima tahun lalu, tidak mungkin, Kedah dan Perlis akan bersama-sama Terengganu dan Kelantan di perintah oleh PAS.

Analisis ini merupakan bahagian terakhir dari empat siri yang menyentuh kekuatan, kelemahan, dan strategi PAS untuk menghadapi pilihanraya umum, termasuk usahanya untuk menjelaskan konsep negara Islam yang diperjuangkannya.


Nash Rahman adalah editor malaysiakini .