Keputusan pilihanraya kecil Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri Anak Bukit (DUN) semalam banyak memberi pengajaran kepada dua parti terbesar Melayu yang bertanding Umno dan PAS.

Pertama, keputusan tersebut memperkuatkan ramalan bahawa Umno masih belum kuat di DUN Anak Bukit untuk mengembalikan semula penguasaan dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.

Alasan parti itu bahawa kekalahannya dalam pilihanraya umum lalu kerana faktor silap memilih calon, nampaknya tidak begitu betul, kerana calon yang dikatakan paling sesuai, Datuk Zakaria Said, juga gagal merampas semula DUN Anak Bukit, daripada PAS.

Manakala keputusan di Parlimen Pendang pula menunjukkan penguasaan PAS di situ masih belum mantap bagi mengekalkan kedudukan calonnya di situ dalam pilihanraya kecil kali ini.

Di Pendang, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Othman Abdul mendapat 22,825 undi manakala calon PAS, Dr Mohd Hayati Osman memperolehi 22,542 undi.

Di Anak Bukit, calon PAS Amiruddin Hamzah memperolehi 8,298 undi manakala Datuk Zakaria Said dari BN mendapat 7,790 undi.

Keputusan pilihanraya kecil itu juga menarik kerana sejak pilihanraya umum lalu, inilah kali pertama pilihanraya kecil diadakan di kawasan Parlimen dan Negeri yang dikuasai oleh PAS, yang majoriti pengundi Melayu melebih 80 peratus.

Pengundi hantu

Berdasarkan keputusan itu juga, ternyata bahawa faktor menang/kalah Umno dan PAS dalam pilihanraya umum atau kecil, turut dipengaruhi faktor lain, selain daripada kekuatan parti itu semata-mata.

Dan yang terpenting sekali ialah keputusan semalam jelas mencerminkan kehendak sebahagian besar rakyat di Pendang dan Anak Bukit mengenai citarasa rakyat akar-umbi terhadap Umno dan PAS.

Ia juga merupakan satu ujian penting kepada kepimpinan PAS untuk bersedia menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka.

Tindakan untuk menuding jari, seperti dakwaan PAS mengenai pengundi hantu dan juga dakwaan Umno bahawa petugas PAS bertindak menghalang mereka memasuki kawasan tertentu untuk berceramah, juga tidak perlu dijadikan isu.

Calon PAS, Amiruddin Hamzah memenangi kerusi Anak Bukit dengan 508 undi. Keupayaan Umno untuk mengurangkan majoriti calon PAS di Anak Bukit sebanyak 1,332, berbanding 1,840 undi yang diperolehi parti itu pada 1999, juga menarik diteliti.

Ianya boleh dilihat sebagai satu petanda, sama ada pengaruh Umno di Anak Bukit semakin meningkat, ataupun sokongan kepada PAS di kawasan yang sama, sudah merosot.

Begitu juga keadaannya di Pendang. Apakah kemenangan Datuk Fadzil Noor di Pendang dalam pilihanraya umum lalu kerana isu-isu yang timbul ketika itu, umpamanya isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Umno dan Kerajaan? Ataupun adakah kerana personaliti Fadzil sendiri selaku presiden PAS? Ataupun ada faktor lain yang menjejaskan pengaruh PAS di Anak Bukit dan Pendang?

Puteri Umno

Satu senario menarik dalam kedua-dua pilihanraya kecil Anak dan Pendang ialah kehadiran gadis bertudung merah jambu Puteri Umno yang cukup agresif untuk berkempen melalui projek anak angkat.

Berdasarkan reaksi orang PAS terhadap usaha mereka itu,termasuk tindakan seorang lelaki yang dipercayai ahli PAS yang menyelak kain dan menunjukkan kemaluannya kepada ahli Puteri Umno, maka diandaikan bahawa kehadiran mereka "turut mencemaskan" PAS di kedua-dua kawasan berkenaan.

Apa yang memusykilkan kita ialah tindak-tanduk di kalangan Puteri Umno yang boleh dikatakan kadangkalanya "keterlaluan" dan melampaui sikap sopan-santun gadis Melayu.

Keghairan mereka berkempen, adakalanya seolah-olah memperlihatkan mereka bukannya mahu berkempen untuk membantu kemenangan Umno tetapi membuktikan sesuatu, yang bukannya matlamat sebenar parti.

Sikap agresif Puteri Umno adalah merupakan satu aset kepada Umno, tetapi agresif secara keterlaluan juga boleh merugikan Umno.

Adalah lebih molek jika Puteri Umno lebih dikenali sebagai pergerakan baru dalam Umno yang bertenaga, dan bukannya agresif semata-mata, supaya imejnya akan menjadi lebih baik di mata masyarakat.

Dan ini sudah tentunya memerlukan tunjuk ajar daripada 'orang lama' dalam Umno, khususnya dari kalangan kepimpinan Wanita Umno.

Semoga pilihanraya kecil Pendang dan Anak Bukit menjadi pengajaran kepada semua!


Nash Rahman adalah pengarang berita malaysiakini .