Tanggal 1 Ogos adalah hari ulangtahun penggubalan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dan ia merupakan satu-satunya hari yang tidak mungkin disambut dengan jambangan bunga, belon penyeri majlis atau jamuan makan yang enak-enak kerana ia membuka semula lipatan memori pahit dan pedih bagi tahanan, bekas tahanan dan ahli keluarga mereka.

Sempena hari berkenaan, kami keluarga tahanan politik ISA memperjelaskan kepada kerajaan dan masyarakat Malaysia dan juga dunia bahawa ISA telah digunakan untuk menyekat hak kebebasan bersuara rakyat dalam negara demokrasi.

Perkara ini jugalah yang dibangkitkan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Colin Powell dalam pertemuan singkatnya dengan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar. Kami menuntut tahanan politik dibebaskan segera demi menjaga nama baik Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi di mata dunia.

Dan kami juga bersama aktivis hak asasi manusia Malaysia, para peguam yang berjuang menentang ISA, ahli-ahli GMI (Gerakan Mansuh ISA), badan bukan kerajaan (NGO) dan barisan parti pembangkang menegaskan pendirian rakyat Malaysia yang inginkan keadilan ditegakkan agar ISA dimansuhkan oleh kerajaan.

Janganlah berselindung di sebalik "Perang Antarabangsa terhadap Keganasan" untuk mengesahkan tindakan kerajaan yang terus-menerus menahan enam orang tahanan politik sejak 10 April 2001, kerana ketika itu, tiada siapapun tahu yang tragedi 11 September 2001 akan berlaku.

Pada hari berkenaan juga GMI menghantar lebih kurang 10,000 poskad bantahan kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Poskad ini telah pun cuba dihantar tahun lalu tetapi dihalang oleh pihak polis.

Pelancaran buku

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bertanggungjawab menahan tahanan ISA, sepatutnya bersikap terbuka untuk menerima kritikan dan luahan perasaan rakyat jika beliau mahu benar-benar menjadi pemimpin negara yang dihormati.

Kami keluarga keenam-enam tahanan Mohd Ezam Mohd Noor, Tian Chua, Saari Sungib, Lokman Noor Adam, Dr Badrulamin Bahron dan Hishamuddin Rais ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan bantuan dalam apa jua bentuk sekalipun, material mahupun moral yang tidak terkira besar mahupun kecil, sedikit ataupun banyak, terutama doa yang dipohonkan kepada Ilahi, untuk kami keluarga yang dianiaya ataupun para tahanan yang dikurung secara kejam dan zalim.

Sementara itu, buku Bumi dipijak tulisan kolumnis malaysiakini Lee Ban Chen, yang juga bekas tahanan ISA, telah dilancarkan oleh Saudara Dr Rajkumar (tahanan ISA 1965-67). Manakala buku kompilasi tulisan Hishamuddin Rais dalam malaysiakini pula dilancarkan oleh Saudara MGG Pillai pada malam 42 tahun ISA.

Hishamuddin diwakili bapanya dan ahli keluarga terdekat beliau. Nota pendek beliau dijadikan sebagai pengganti diri. Beliau mahu kita renungkan bersama adakah usaha yang kita lakukan untuk menentang kezaliman ini berkesan? Walaupun begitu, menurut beliau, tulisan-tulisannya adalah "pandangan yang boleh dihujah, dipersoalkan, disanggah, diketawakan ataupun digunapakai".

"Tetapi saya akan mempertahankan tesis Pilihanraya/Jalanraya yang menjadi tajuk buku ini. Untuk saya inilah tesis baru dalam era pascamoden dan globalisasi. Garis tesis ini sedang dipraktik dan dipertajamkan oleh anak-anak muda dari Seattle, ke Washington, ke Paris, ke Rome dan pasti akan terus merebak.

"Anak-anak muda akan terus mengumpulkan pengalaman. Anak-anak muda telah membuat pilihan agar mereka dapat membidani kelahiran sebuah masyarakat sivil yang demokratik. Justeru, persoalan kembali kepada kita sendiri memaksa kita membuat pilihan: Pilihanraya atau Pilihan jalanraya? Terima kasih untuk semua. Salam ingatan dari kami di Kamunting." Begitulah Hisham mengakhiri nota pendek beliau.

Pengalaman tahanan ISA

Forum Suaram bertajuk "42 years of torture" membariskan lima ahli panel terdiri daripada Lee Ban Chen (tahanan ISA 1960-an), Koh Swe Yong (tahanan 1970-an), Lim Guan Eng (tahanan 1980-an), Malek Hussain (tahanan 1990-an) dan saya sendiri sebagai ahli panel yang agak ganjil kerana bukanlah bekas tahanan tetapi sebagai isteri tahanan di Kamunting. Forum ini dipengerusikan oleh Saudara Fan Yew Teng.

Forum ini banyak menyingkap penderitaan yang dialami sendiri oleh tahanan ISA. Saudara Koh tidak mungkin dapat melupakan bagaimana dikurung bersendirian beberapa tahun dan tidak dibenarkan berjumpa dengan sesiapa.

Ini kerana menurut pihak berkuasa Koh akan terus berdegil tidak mahu mengaku bersalah jika beliau dapat bertemu orang lain. Malah, mereka cuba memaksa beliau membuat pengakuan di dalam televisyen.

Bagi Malek, yang ditahan pada 1998 ketika meledaknya Gerakan Reformasi yang dicetuskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mungkin lupa bagaimana pada malam pertama ditahan, beliau digari, mata ditutup dengan kain dengan begitu kuat sekali dan kemudian ditelanjangkan dan dibelasah oleh hampir lapan pegawai tidak beruniform.

Selepas itu, mulut beliau dibuka secara paksa dalam keadaan mendongak dan dua kali beliau dipaksa minum air kencing polis. Apakah jenis manusia yang melakukan perbuatan terkutuk ini? Apakah beliau akan memaafkan orang yang telah memperlakukan demikian kepadanya?

Inilah kekejaman dan kezaliman yang terlepas daripada pengadilan, hanya semata-mata adanya undang-undang ISA yang melindungi pihak yang melakukannya di atas nama keselamatan negara.

Tahan tanpa bicara

Saya tidak rela sesiapapun dari kalangan rakyat Malaysia ditahan lagi di bawah ISA hatta pihak yang berkuasa sekalipun kerana ia jelas menyalahi hak asasi manusia. Tidak ada satupun agama, budaya dan peradaban manusia yang membenarkan seseorang ditahan tanpa dibicarakan, apatah lagi disiksa di tangan pihak yang berkuasa.

Rakyat Malaysia mahu mereka yang didakwa melakukan penganiayaan dan menyalahguna kuasa, dibicarakan dengan adil, dibenarkan membela diri dan jika sabit kesalahan barulah dihukum dengan hukuman yang setimpalnya. Itulah "Malaysia Yang Adil" yang kita laung-laungkan.

Pengalaman suami saya pula telah beliau tuliskan. Antaranya ialah beliau pernah disoal-siasat berjam-jam tanpa tidur dan rehat. Dan ketika sampai waktu ingin menunaikan solat sunat witir yang sudah bertahun-tahun menjadi amalan hariannya, beliau meminta izin daripada seorang pegawai SB yang beragama Islam tetapi telah tidak didiizinkan!

Beliau mengingatkan kembali di zaman Rasulullah s.a.w, ketika seorang sahabat bernama Khubaib bin 'Adi hendak dibunuh oleh orang musyrikin Quraish, Khubaib meminta izin untuk menunaikan solat sunat dua rakaat terlebih dahulu, lalu kaum musyrikin membenarkannya.

Beliau menyatakan di dalam surat terkininya kepada saya bahawa jika diizinkan Allah kelak, insya-Allah pada hari Hisab nanti, dia akan meminta Allah mempertemukan Khubaib, beliau dan pegawai SB tersebut. Keadilan Allah pasti akan berlaku.

Zumrah melawat Sabah

Sedang kita di Kuala Lumpur terus menyuarakan bantahan terhadap ISA, tetapi jauh di Lahad Datu, Sabah, satu perhimpunan dalam sebuah rumah telah dihalang oleh seorang ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan (JKKK) kampung tersebut.

Menurut Zumrah, isteri Ustaz Badrulamin yang dijemput memberi ceramah di program tersebut, ianya terpaksa dibatalkan kerana ahli JKK berkenaan mengugut akan memanggil polis jika ia diteruskan. Oleh kerana takutkan ugutan tersebut, majlis itu terpaksa dibatalkan dan orang kampung yang telah berkumpul, terpaksa pulang ke rumah.

Sungguh pelik cerita ini tetapi ianya benar-benar berlaku apabila hanya seorang ahli JKKK mempunyai kuasa penuh menghalang hak rakyat berhimpun secara aman di dalam sebuah rumah hanya kerana yang akan memberi ceramah adalah isteri tahanan ISA.

Jika pihak polis bertanggungjawab menegakkan keadilan dan demokrasi, mereka perlu siasat kejadian yang telah berlaku ini dan tindakan mestilah diambil untuk membersihkan nama baik pasukan keselamatan.

Oleh kerana Zumrah telah datang dari jauh, maka dengan inisiatif Setiausaha Keadilan Lahad Datu, mereka telah melawat 16 kanak-kanak yang dirawat di Hospital Lahad Datu dan memberi sedikit hadiah sebagai buah tangan.

Orang tersayang

Walaupun begitu, program di Tawau yang meraikan Zumrah telah berjalan dengan baik. Zumrah pulang ke Sabah menggantikan suaminya yang merupakan anak kelahiran Sabah untuk memberi penerangan kepada rakyat Sabah tentang keadaan semasa negara kita.

Saya ingin memetik antara Kenyataan Akhbar GMI sempena 42 Tahun ISA: "ISA turut menghukum ibubapa, isteri, anak-anak dan rakan taulan mangsa tahanan. ISA merampas kebahagiaan keluarga mereka dan membawa penderitaan yang perit.

"GMI amat bangga dan kagum dengan ketabahan dan kegigihan keluarga tahanan ISA dalam menuntut keadilan. Sempena terlancarnya Program Utamakan Keluarga: Semakin Hari Semakin Sayang semalam, wajarlah kehidupan dikembalikan kepada semua keluarga tahanan ISA"

Saya bagi pihak semua keluarga tahanan ISA mendesak agar Menteri Dalam Negeri membebaskan suami dan ahli keluarga kami yang tersayang dan kembalikan mereka ke pangkuan kami.

Jangan tunggu satu ketika nanti Allah mengambil orang tersayang anda kerana mungkin ada di kalangan keluarga tahanan yang mendoakan agar perkara itu berlaku! Dan ia akan berlaku kerana doa mereka akan pasti dimakbulkan Allah, insya-Allah.


ALIZA JAFFAR ialah isteri bekas presiden Jemaah Islah Malaysia, Saari Sungib, yang ditahan di bawah ISA sejak 10 April, 2001.