Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) melihat 'permusuhan politik' di antara penyokong PAS dan Umno semakin meruncing dan usaha-usaha segera perlu diambil untuk mengendurkan ketegangan di antara penyokong dua parti Melayu terbesar di negara ini.

Dan menurut Abim, ianya berpunca daripada sistem pilihanraya di Malaysia sekarang yang membolehkan parti yang menang, walaupun dengan majoriti yang kecil, menjadi pemerintah atau kerajaan.

Abim adalah merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dianggap cukup rapat dengan pucuk pimpinan Umno dan PAS. Malah, atas initiatif Abim Presiden Umno Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Nor muncul memberi ucapan perdana di pentas sama, pada malam mengenang rakyat Palestin, baru-baru ini.

Menurut Presiden Abim, Ahmad Azam Abdul Rahman, bunga-bunga ke arah ketegangan yang lebih serius sudah dapat dilihat dalam beberapa pilihanraya kecil seperti di Lunas, Kedah, Indera Kayangan di Perlis dan yang terbaru di Anak Bukit dan Pendang di Kedah.

Antaranya ialah perbuatan menyelak kain untuk menakut-nakutnya penceramah parti lawan, mengepung ahli parti lawan sehingga berlaku pergaduhan, dan tindakan nekad menahan bas-bas yang mereka dakwa membawa pengundi "hantu" dan 'penahanan' beberapa 'pengundi hantu.

Azam berkata, sebelum ini, pergolakan politik Melayu, khususnya yang membabitkan pemilihan parti, banyak tertumpu kepada Umno yang merupakan parti Melayu terbesar sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Bagaimanapun, katanya, apabila PAS muncul sebagai parti pembangkang Melayu yang terbesar, selepas kejayaannya merampas Kelantan (1990) dan Terengganu (1999), ia menyebabkan 'gelora' politik orang Melayu tidak lagi tertumpu kepada masalah dalaman Umno sahaja.

Sokongan kepada pembangkang

Berikutan itu, kata Azam, 'gelora' politik orang Melayu itu kini membabitkan dua parti utama orang Melayu/Islam PAS dan Umno dan jalan penyelesaian tidak semudah yang biasanya dilakukan pemimpin Umno dalam menyelesai sebarang masalah dalaman parti.

Berdasarkan keputusan pilihanraya umum 1999, secara kasarnya, jumlah undi yang diperolehi oleh BN ialah 3.8 juta(51 peratus) untuk memenangi 148 kerusi Parlimen di mana 72 kerusi dimenangi Umno. Manakala PAS pula mendapat 1.1 juta undi (16.1%) dan Keadilan 750,000 undi (11.2%).

Peratus yang diperolehi BN dalam pilihanraya umum lalu, merosot berbanding dengan 65 peratus pada 1995. Malah pada pilihanraya umum 1999, peratus undi bagi kawasan Parlimen yang diperolehi BN ialah 52 peratus sahaja.

Ini berikutan cabaran hebat barisan pembangkang, yang diketahui oleh parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang turut disertai PAS dan Gagasan Rakyat yang disokong oleh DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Pengundi Melayu jelas dilihat memberi sokongan kepada Barisan Alternatif (BA) di Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu), Kedah dan Perlis (Utara) dan di kawasan bandar di Selangor. Dalam pilihanraya 1999, BA dianggotai oleh PAS, Keadilan, Parti Rakyat Malaysia (PRM), dan DAP.

Bagaimanapun DAP meninggalkan BA tahun lalu, sebelum berlangsungnya pilihanraya negeri Sarawak, kerana tidak sehaluan dengan usaha PAS untuk menubuhkan negara Islam jikamemenangi pilihanraya umum.

Perubahan sistem pilihanraya

Barisan Nasional (BN) pula mendapat sokongan kuat di selatan iaitu, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan di mana terdapatnya peratusan agak besar pengundi Cina dan India, yang majoritinya menyokong BN.

Sokongan kuat pengundi Melayu di utara dan pantai timur kepada BA jelas mencerminkan mereka mahu kepada perubahan. Manakala pengundi di pantai barat dan selatan pula, walaupun memprotes terhadap kepimpinan Umno, tetapi tidak sampai kepada membawa perubahan parti dan kerajaan.

Di peringkat negeri pula, undi untuk PAS (Barisan Alternatif) di Kelantan ialah 61 peratus dan 58 peratus lagi di Terengganu. Manakala di negeri lain, undi yang diperolehi BA ialah 49 peratus di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang (48%), Selangor (46%), Perak (44%), Kedah (44%), Perlis (43%), Melaka (43%), Pahang (43 %), Negeri Sembilan (40%) dan Johor (27%).

Sehubungan itu, Azam berpendapat, ketegangan di antara PAS dan Umno hanya boleh dikurangkan, kalaupun tidak dapat diselesaikan sepenuhnya, melalui perubahan sistem pilihanraya di negara ini.

"Kita kena lihat punca perpecahan ini adalah untuk memenangi orang Melayu. Itulah puncanya. Yang keduanya ia berkaitan dengan kuasa. Malangnya di negara kita sistem politik berparti di negara kita, yang ada kaitan dengan kuasa, yang menang memerintah.

"Inilah ia (perpecahan) menjadi bertambah meruncing. Siapa menang dalam pilihanraya walaupun dengan satu undi, menjadi kerajaan, dan menafikan hak 40 peratus lagi rakyat yang menyokong parti yang kalah," tegasnya.

Majoriti dua pertiga

Oleh itu, Abim berpendapat isu perpaduan Melayu dapat diatasi sekiranya sistem pilihanraya sekarang ditukar kepada sistem politik representasi di mana parti-parti yang bertanding berpeluang menagnggotai kerajaan berdasarkan jumlah undi yang diperolehi.

"Melalui sistem politik representasi ini, parti yang menang 49 peratus undi, walaupun kalah, masih berpeluang untuk diwakili dalam kerajaan. Maka sudah sampai masanya untuk negara kita menilai semula sistem pilihanraya sekarang.

"Kita kena kaji bagaimana ia diamalkan di Australia dan di beberapa negara Eropah di mana parti yang menang 49 peratus, walaupun kalah, masih mempunyai wakil dalam kerajaan. Sekarang ini, yang kalah jadi pembangkang. Akhirnya, kita akan mempunyai kerajaan yang lemah, contohnya Kedah diperintah Barisan Nasional (BN) tanpa majoriti dua pertiga," tegasnya.

Dalam lain perkataan, katanya, melalui sistem politik representasi ini, yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua dengan diwujudkan formula supaya parti-parti yang mendapat peratus undi tertentu diberi hak turut menganggotai kerajaan.

"Kalau tidak, pertarungan untuk merebut undi orang Melayu akan jadi semakin meruncing di antara PAS dan Umno. Apa yang berlaku sekarang, kerana tidak boleh memenangi hati orang Kelantan dan Terengganu, maka dilancarkan propaganda yang memberi gambaran buruk terhadap kepimpinan PAS serta menyiarkan ucapan di luar kontak sebenarnya.

"Banyak tenaga digunakan untuk menjatuhkan kerajaan. Manakala kerajaan sedia ada pula menggunakan semua tenaga untuk mempertahankan kuasa mereka. Ini semua membabitkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit.

Perkongsian kuasa

Kerana itulah, katanya, Abim merasakan sudah tiba masanya sistem pilihanraya di negara ini dikaji semula dan pertubuhan itu lebih cenderung kepada politik representasi.

"Abim percaya sistem politik representasi ini akan dapat mengendurkan'permusuhan politik' di antara PAS dan Umno yang semakin meruncing. Mahu tidak mahu, hakikatnya, Umno tidak mendapat semua undi orang Melayu, dan PAS juga tidak dapat semua undi orang Melayu.

"Dengan cara yang berlaku sekarang, tindakan menggambarkan atau menghitamkan PAS sehitam-hitamnya, bukanlah satu cara yang baik. Bagi saya itu adalah satu strategi yang salah," tambahnya

Sebaliknya, kata Azam, perlu diadakan muzakarah di antara kedua-dua pihak untuk mengkaji puncanya, iaitu sistem pilihanraya yang diamalkan di negara ini sekarang di mana pemenang akan menjadi pemerintah, walaupun dengan hanya memperolehi 60 peratus undi, manakala 40 peratus pengundi lagi menyokong parti yang tewas.

"Cadangan ini saya tujukan kepada kedua-duanya, Umno dan PAS, untuk mempertimbangkan sistem perkongsian kuasa ini melalui sistem politik representasi. Atau ianya boleh dijadikan sebagai asas untuk kita merangka formula baru ke arah itu. Saya rasa inilah satu jalan keluar bagi mengendurkan pertelangahan antara penyokong kedua-dua parti itu," tegas Azam.

"Kalau kita mahukan pusat (BN) melakukannya, makan Kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu juga kena mencerminkan hasrat ini, dengan bersedia melantik ahli exco daripada Umno, mengikut peratusan undi yang diperolehi dalam pilihanraya," tegasnya.

Azam juga percaya, sekiranya kepimpinan PAS dan Umno dapat mencari titik pertemuan untuk bekerjasama pada tahun 1974, kepimpinan tertinggi kedua-dua parti itu sekarang juga boleh berusaha ke arah yang sama.