Dari segi politik, kenapa kita terbelah dua satu kerajaan Barisan Nasional dan satu lagi pembangkang dengan badan bukan kerajaan (NGO)? Apakah cukup kita semua, sebagai rakyat, bergantung kepada dua pakatan besar ini?

Kepada mereka yang inginkan perubahan demokratik, apakah memadai hanya berharap kepada Barisan Alternatif (BA)? Tidakkah wajar rakyat terbabit dalam politik tanpa menerjunkan diri bersama parti-parti politik apa yang saya akan namakan selepas ini sebagai 'massa politik tanpa parti' (Masparti)? Apakah mungkin diwujudkan di sini, dan bagaimanakah kita ingin melahirkannya?

Saya kurang senang dengan kewujudan perang besar BA-BN dengan rakyat terpaksa membuat pilihan antara salah satunya, atau mengabaikan kedua-duanya. Perang ini perang dua ekor gajah, sedang pelanduk terpijak di tengah-tengah.

Sejak 1999, sejak mengenali politik negara ini dengan agak dekat, saya berasa rakyat sering digula-gulakan oleh parti-parti yang bertanding. Dalam masyarakat Melayu, rasa terbelah ini makin kuat selepas insiden pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998, telah menambah kesan belahan sedia ada antara Umno-PAS sebelumnya.

Penginstitusian politik (maksudnya politik parti) ke akar umbi masyarakat Melayu sering melemaskan saya sejak pertengahan 1980-an lagi. Paradoks dalam diri ini ialah saya mempunyai kecenderungan berpolitik, waktu itu sebagai aktivis pelajar, tetapi "benci" pada gelagat politik berparti dan ahli politik.

Tetapi saya "tidak mempunyai pilihan," akhirnya saya tersangkut dengan aktivis pembangkang dan parti pembangkang itupun kerana politik di negara kita harus diikuti dengan begitu dekat sebab banyak "cerita benar di belakang tabir" tidak bertulis.

Tanpa menghimpit aktivis pembangkang, atau bergantung kepada media massa sahaja, kita akan kehilangan perspektif yang baik dalam sesuatu isu. Media massa hanya ruang propaganda atau promosi, bukan wahana untuk mendapat perspektif politik yang agak mendalam, objektif atau berimbang.

Perebutan kuasa

Selain berkenalan dengan Mingguan Bumi (diharamkan) untuk mengikuti politik nasional ketika masih di sekolah menengah, saya sungguh suka membaca akhbar Watan (juga diharamkan) kerana relatifnya lebih berimbang.

Kemudiannya politik mendorong saya mengikuti Harakah , selain tentunya akhbar-akhbar harian. Walau rapat dengan aktivis pelajar yang pro-PAS dan juga aktivis parti itu di luar kampus, hingga sekarang saya kurang senang dengan parti politik antaranya sifat mereka yang terlalu berpihak, dogmatik dan kurang daya penghujahan ilmiah.

Penyertaan NGO dan aktivisnya bersama parti-parti pembangkang (kemudian BA) bersama kempen anti-ISA pada lewat 1998 sedikit sebanyak memberi harapan tetapi perebutan kerusi dan persaingan antara komponen BA menjelang pilihanraya umum 1999 membangkitkan semula igauan ngeri saya tentang ahli politik dan parti.

Rupa-rupanya mereka hanya mempedulikan kepentingan untuk merebut kuasa dengan memperalatkan kegilaan rakyat yang menolak BN atas sifat hodoh kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Setiap kali pilihanraya kecil, sungguh jelek kita melihat bagaimana "mesranya" parti-parti bertanding mendekati rakyat untuk meraih undi tetapi selepas itu kesakitan rakyat jarang mendapat perhatian.

Kemenangan besar BA, khususnya PAS, pada 1999 menimbulkan implikasi yang sama, dan perkara ini pernah dibawa dalam perbincangan khas tertinggi parti itu. Parti ini bimbang prestasi "buruk" wakil rakyat mereka yang kurang prihatin nasib rakyat, malah nampaknya Umno lebih "mesra" dengan masyarakat akar umbi, lalu sebilangan pemimpin PAS mengemukakan "teori gelombang."

Maksudnya, jika rakyat sudah terlalu kuat menolak gaya politik BN, seperti 1999, kelemahan prestasi wakil rakyat pembangkang tidak menggugat kutipan undi. Oleh itu, hujah kelompok ini lagi, kesedaran rakyat mesti dibangkitkan dalam gelombang penentangan yang meluas terhadap BN menjelang pilihanraya umum akan datang.

Tidak responsif

Sama ada perspektif "prestasi individu" wakil rakyat atau perspektif "teori gelombang", kedua-duanya sama sahaja rakyat sebagai alat untuk kuasa. Rakyat bukan medan penyertaan untuk polisi awam, seperti yang terjadi di Terengganu dan Kelantan selepas dimenangi PAS.

Undi adalah peluang mengaut kuasa dan "kita boleh berbuat apa sahaja" selepas itu, sama sahaja tanggapan Umno atau BN terhadap rakyat. Parti memerintah tidak lagi responsif terhadap permintaan atau kritikan rakyat. Tunggulah lima tahun berikutnya. Yang digunakan kuasa dan puak sendiri, bukannya nilai demokrasi atau hujah bantahan yang dihormati.

Terlalu mudah menggubal polisi awam, atau menolak agenda kepada umum, dengan mengatas-namakan "rakyat". Aktivis pelajar, penulis dan NGO turut menggunakan nama "rakyat" untuk menghalalkan idea perjuangan masing-masing walau pun kumpulan ini kecil sahaja, tidak merundingi kelompok-kelompok awam, dan malah tidak dekat mesra dengan masyarakat akar umbi.

Cara nama "rakyat" diperalatkan dengan mudah untuk mendapat kerusi, liputan media dan kemudiannya kuasa tidak menyenangkan saya. Ia satu sandiwara yang sangat nyata dan tidak menarik untuk didekati.

Benarkah rakyat bersama mereka? Kenapa banyak lagi isu rakyat yang bergelut dengan hidup tidak mendapat pembelaan, misalnya peneroka, nelayan dan juga penganggur, tidak tersiar dalam media dan juga tidak disuarakan apatah lagi diperjuangkan oleh sesiapa?

Apakah rakyat tidak harus bersuara dalam banyak isu nasional, rakyat hanya alat untuk mengabsahkan kuasa melalui peti undi? Atau, sudah cukupkah parti politik dan NGO dianggap mewakili kepentingan "rakyat"?

Sektor rakyat yang bagaimana dan di mana yang diwakili itu? Siapa wakil mereka (rakyat) yang benar-benar tulen, di luar lingkungan parti dan NGO? Berbanding pembangkang, kerajaan lebih konkrit menunjukkan ia telah "merundingi" wakil-wakil rakyat dalam sektor-sektor tertentu dalam beberapa isu.

Proganda manis

Tetapi kita harus bertanya lagi, siapa "wakil" sektor rakyat itu kerana hegemoni yang meluas parti-parti politik khususnya Umno, PAS, MCA dan MIC boleh jadi sahaja wakil itu sebenarnya ahli akar umbi parti-parti itu sendiri, bukannya wakil tulen sesuatu kelompok rakyat. Ahli akar umbi sesebuah parti tentunya mewakili pandangan parti, dan jika partinya memerintah dia akan memberikan sokongan bulat.

Dalam proses politik (termasuk organisasi bukan politik), kecenderungan untuk bersatu atau tunduk (conformist) kepada norma organisasi dan proses mengambil keputusan yang kurang demokratik sering menghalang perbezaan idea dan juga perdebatan sihat. Kepimpinan tertentu atau subbudaya dominan dalam organisasi sering menghasilkan kesan-kesan buruk untuk mengambil keputusan dengan demokratik.

Apa yang digelar muafakat sebagai ciri Melayu atau consensus-building sebagai "nilai Asia" sering dihujahkan, khususnya oleh pemimpin BN. Sementara BA pula menggunakan alasan "padang permainan tidak rata" atau "jangan kita membantu musuh (BN)" untuk mematikan kritikan terbuka atau pandangan berlainan.

Ini semua propaganda manis tetapi inilah alasan untuk mengukuhkan kepimpinan tertentu dan juga menutup mulut pengkritik. Tiada suara kebenaran atau bangkangan akan keluar daripada parti kecuali apabila kepentingan puak (factionalism) sedang bersaing.

Kita tidak mungkin mendengar KKN (korupsi, kronisme dan nepotisme) dan "reformasi" selagi Anwar setia menjadi team player dalam Umno. Begitu juga kebusukan presiden-presiden MCA atau MIC jika tidak meledak persaingan antara kumpulan ketika perebutan kuasa dalam sesebuah parti.

Satu lagi keadaan, apabila pemimpin atau aktivis utama serta berpengaruh melompat kepada parti lawan. Kita akan mendengar kebusukan parti yang baru ditinggalkannya, walau kemudian dia akan menyembunyikan penyelewengan parti barunya pula.

Sebab itu saya sering bergembira, dan malah berdoa, agak factionalism seperti ini atau kegiatan melompat parti sentiasa rancak, khususnya di kalangan parti memerintah. Inilah peluang rakyat mencuri dengar kebusukan pemimpin tertentu atau penyelewengan kuasa yang melibatkan kepentingan wang rakyat.

Takut menegur

Keburukan pembangkang tidak banyak membantu tetapi cukuplah memberi panduan betapa buruknya ahli politik dan parti masing-masing, seperti ulasan Dr Chandra Muzaffar selepas meninggalkan Keadilan dan BA.

Kita jangan berharap Mahfuz Omar atau Dr Hatta Ramli mendedahkan kelemahan PAS. Menegur kepimpinan parti itu di Kelantan dan Terengganu pun mereka tidak sanggup!

Inilah bahaya paling besar apabila rakyat terlalu menyerahkan kepercayaan kepada parti dan ahli politik. Parti tidak bercakap benar dan tidak jujur. Mereka terlalu banyak kepentingan untuk dijaga, banyak pihak untuk diraikan. Malah tidak cukup dengan melemahkan perdebatan dalam parti, mereka ada kecenderungan untuk mematikan kritikan rakyat, misalnya daripada penulis bebas atau media independen.

Parti pembangkang hanya berguna untuk mendedahkan keburukan kerajaan. Begitulah sebaliknya, misalnya siri pendedahan yang dibuat RTM, walau gambarannya tidak lengkap. Bagaimanapun, kritik-mengkritik antara BA-BN dalam media arus perdana tidak banyak isinya, sama juga dengan ceramah-ceramah umum BA.

Bersambung esok


FATHI ARIS OMAR menulis kolum 'Tiada Noktah' dalam Malaysiakini.com, minat berbincang isu-isu media, penerbitan buku, wacana awam dan kelesuan berfikir dalam konteks sosio-politik negara ini.