Banyak kali isu-isu remeh dibesar-besarkan, bukannya polisi awam. Media arus perdana misalnya tidak akan mendedahkan KKN Kelantan dan Terengganu kerana amalan buruk ini lebih besar dan mendalam dalam BN. "Pakatan senyap", yakni kesediaan untuk tidak membocorkan dosa masing-masing, seumpama ini sangat besar risikonya kepada rakyat.

Sementara media arus sisi, selain beberapa daripadanya ditaja oleh parti pembangkang sendiri, tidak bersedia menentang BA kerana pembaca mereka penyokong pembangkang yang tidak suka dengan pendedahan seumpama itu. Pembaca jenis ini seolah-olah mengalami penyakit yang sama dengan Dr Mahathir, sindrom sangkalan atau denial syndrome .

Inilah reaksi penyokong BA terhadap tulisan-tulisan saya yang mendedahkan kelemahan pembangkang, misalnya tulisan KKN Kelantan, Terengganu macam Umno

. Masih ramai yang beranggapan BA sebuah parti yang boleh diharapkan untuk perubahan atau PAS sebuah "parti suci" kerana retorik Islamnya. Lalu, media arus sisi atau media independen sebagai satu wahana utama yang seharusnya mewakili kepentingan rakyat tidak boleh diharapkan untuk menjanakan kelahiran massa politik tanpa parti (Masparti).

Kegagalan ini adalah antara faktor penting yang mengukuhkan kepercayaan orang ramai terhadap ahli dan parti politik serta sistem pilihanraya. Sekarang belum wujud gejala media bebas yang berwibawa menyampaikan berita, analisa dan pandangan politik yang mendidik rakyat untuk membentuk Masparti.

Bagaimanapun, seperti disebut tadi, keadaan media yang berpihak ini, tidak mematikan sama sekali cerita-cerita benar di belakang tabir. Khabar angin atau surat layang tentang politik BN misalnya, sering dipercayai daripada kenyataan pemimpin-pemimpin parti itu.

Tekanan parti politik

Lagi dekat seseorang dengan politik BN atau BA, lagi banyak serta mendalam dia mengetahui sesuatu berita benar yang tidak dapat dibaca melalui media. Tetapi rakyat umumnya tidak ada akses ini, ia untuk beberapa orang yang beruntung sahaja.

Rakyat menerima tempias khabar-khabar angin ini tetapi kualitinya sungguh diragukan. Kita akan mendengar versi-versi pelik, serta melampau, dan ditambah-tambah apabila semakin banyak peringkat komunikasi lisan serta kurang tanggungjawab dijadikan wahana menyampaikan maklumat politik.

Peranan menyalurkan maklumat tepat serta debat, sepatutnya diambil oleh media, tetapi media sendiri turut dikooptasi dalam perang BA-BN.

Media gagal menjadi komponen penting Masparti kerana berat sebelah selain sengaja berpihak dan kualiti laporan yang bersifat propaganda sebelah pihak media juga "mesti" menjadi begini kerana tekanan parti-parti politik BA-BN yang melayan media sebagai alat promosi.

Media bebas, misalnya Malaysiakini.com, tidak disukai BA atau DAP apabila mendedahkan kelemahan mereka, sementara BN pula menganggap akhbar web ini sebagai "musuh" (pengkhianat, kata Perdana Menteri). Akhbar parti masing-masing sebagai "organ parti", kita sama-sama maklum.

Sebab itu saya sungguh ragu-ragu keupayaan BA meluaskan skop kebebasan akhbar jika mereka berkuasa. Bagi saya, jiwa raga PAS tidak lain dan tidak bukan kecuali Umno (Melayu) versi agama. Sementara Umno pula PAS versi bukan agama. Tetapi bagaimana pula peranan NGO?

Dalam masyarakat Melayu-Islam, organisasi mereka terpaksa memihak kepada dua parti utama, sama ada Umno atau PAS. Malah, kewujudan NGO ada kaitan dengan percaturan politik dalaman masing-masing, sama ada untuk mempromosi tokoh tertentu atau kumpulan. Lihat gejala ini ketika Team A lawan Team B wujud dalam Umno pada 1987.

Alat pembangkang

Daripada persatuan penjaja kecil hingga persatuan pelajar, semuanya wujud dalam rangkaian ini. Malah kelas tuisyen, gelanggang sepak takraw, gerai berniaga, balairaya dan surau kecil di sudut pejabat juga menjadi bayang-bayang Umno dan PAS.

Dalam konteks persaingan sesama kumpulan Islam misalnya, semua institusi agama ini boleh jadi dalang PAS, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) atau Kusda (Abim Perlis). Orang Melayu memang gila berpolitik!

Sementara NGO hak asasi, selain mempunyai ideologi tertentu yang rapat dengan parti pembangkang tertentu, sejak terlalu rapat dengan BA, tidak lagi mempunyai pendirian jelas serta berani dalam isu-isu yang menyentuh pembangkang. Benar juga tuduhan BN bahawa NGO ini telah menjadi sebahagian rangkaian kuasa, atau lebih buruk "alat"pembangkang.

NGO tidak lagi bebas dan merdeka. Melalui kerjasama yang rapat dalam isu-isu nasional yang diperjuangkan bersama, misalnya Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), NGO "takut" bersuara lantang menentang parti-parti politik secara terbuka.

Secara tertutup barangkali wujud. NGO yang prokerajaan atau membawa isu-isu yang disenangi kerajaan seperti Sisters in Islam (SIS) atau Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) yang mempunyai dinamika tersendiri pula.

Dalam isu hudud misalnya, NGO yang mesra dengan BA lebih suka menyertai dialog tertutup dengan Kerajaan Terengganu, khususnya atas jemputan kerajaan negeri itu. Tidakkah mereka sedar langkah kerajaan PAS itu sejenis kooptasi, sama seperti majlis-majlis perundingan yang dikelolakan oleh pemerintah BN?

Langkah PAS ini termasuk dalam strategi menutup perbahasan terbuka di kalangan rakan sekutu, sama sahaja layanan parti politik itu terhadap ahli-ahlinya. PAS dalam konteks Terengganu dan Kelantan bukan lagi parti pembangkang. Ia sebuah kerajaan, NGO harus belajar menjarakkan diri dan merdeka untuk mewakili kepentingan besar proses demokrasi dan suara tulen rakyat.

Kemelut politik

Koopsi parti politik terhadap NGO melemahkan kuasa tawar-menawar dalam isu-isu awam dan juga memburukkan imej badan-badan itu sendiri, khususnya jika parti politik melakukan penyelewengan kuasa, misalnya KKN, sebagaimana imej buruk Abim ketika mencampuri urusan politik negara semasa Anwar masih dalam kerajaan. Organisasi belia ini dilihat sanggup bersekongkol dengan penghakisan demokrasi Dr Mahathir.

Hubungan NGO dengan kerajaan PAS, dan juga BN, sebenarnya kemelut besar yang harus difikirkan semula sejauh mana kerjasama ini membawa keuntungan proses pembukaan ruang demokrasi?

Dulu memang wujud "alasan wajar" aktivis NGO untuk bekerjasama erat dengan BA, atas keyakinan untuk perubahan demokratik tertentu. Malah sebilangan tokoh utamanya menjadi pemimpin penting komponen parti BA. Tetapi bagaimana sekarang?

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak menyertai pakatan pembangkang dalam isu-isu nasional bersama kerana bimbang hubungannya dengan sekolah-sekolah terganggu. NGO wanita pula selesa dengan "layanan baik" kerajaan dalam isu-isu wanita, maka ia sering bermesra dengan isu-isu prokerajaan.

Sikap ini mendorong mereka dituduh "alat" kerajaan, khususnya mereka juga menerima dana rasmi daripada kementerian tertentu. CAP membisu dalam isu-isu menentang pembangkang tetapi NGO wanita tertentu lebih sibuk menentang pembangkang sambil mendiamkan diri terhadap isu-isu penghakisan demokrasi di tangan BN.

Memang sukar untuk dilihat "independen" di negara kita kerana media massa ingin menarik NGO ini bersama parti masing-masing. Harakah misalnya menutup berita daripada DAP atau NGO yang mengkritiknya.

Media arus perdana pula menunggu untuk mengeksploitasi peluang ini, selalunya DAP yang mendapat liputan meluas, misalnya ketika ia mengkritik negara Islam PAS. Media perdana ini juga bagaimanapun tidak menyiarkan kritikan DAP yang menolak hujah negara Islam Dr Mahathir.

Politik tanpa parti

Tekanan parti-parti BA-BN untuk memaksa kita semua NGO, media, penulis, ahli akademik, sasterawan, budayawan, belia, peniaga, pelajar atau pemikir independen agar tunduk merayakan agenda sempit masing-masing, harus dipecahkan. Jawapannya, kita harus berkumpul menguatkan sektor rakyat, massa politik tanpa parti (Masparti).

Isu hudud mengajar kita semua bahawa sesebuah parti dominan dalam pakatan politik akan melemahkan kuasa tawar-menawar rakan-rakan sekutu, apatah lagi rakyat. PAS kepada BA, sama dengan Umno kepada BN.

Cara PAS menolak agenda ini dalam konteks pakatan BA, Gerakan Reformasi dan proses demokrasi yang lebih mendasar khususnya berdepan dengan kejahatan sistem ciptaan BN selama empat dekad bolehlah dianggap satu tindakan "tikam belakang" terhadap sekutu-sekutunya. Gaya ini tidak ubah kooptasi Umno terhadap BN.

Tindakan PAS itu meletakkan semua sekutunya, baik parti politik atau NGO, dalam keadaan janggal dan berhempas-pulas berdepan dengan kawasan yang diwakili masing-masing. Tindakannya ini menangguhkan agenda pembinaan ruang besar demokrasi, institusi semak dan imbang untuk memastikan kebebasan individu terjamin, selain melahirkan sistem pentadbiran negara yang telus dan bertanggungjawab.

BA pula asyik khayal dengan slogan dan retorik politik, tetapi tiada wacana konkrit terhadap masa depan negara. Orang ramai hari ini lebih dihantui isu hudud berbanding tema-tema besar BA pada 1999.

Percaturan politik

Kewujudan potfolio ahli-ahli Parlimen BA bagi memantau kementerian-kementerian seperti digembar-gemburkan pada awal 2000 dulu, mati entah ke mana. Soal perincian manifesto BA 1999 pula tidak wujud. Semua orang menyebut hak asasi dan demokrasi tetapi semuanya bersifat luaran serta tidak meyakinkan.

Kita berasa ganjil sikap BA terhadap isu kebebasan media misalnya, sama sahaja sikapnya terhadap kempen anti-Akta Rahsia Rasmi (OSA) serta Akta Kebebasan Maklumat (FOIA) sebagai instrumen undang-undang. Kita tidak tahu sejauh mana sikap BA, yang tulang belakangnya PAS, terhadap kebebasan akademik, sastera serta seni budaya. Melihat dasar di dua negeri PAS itu, kita berhak untuk merasa ragu-ragu.

Kita tidak akan beranjak ke mana-mana dalam percaturan politik hari ini jika rakyat lemah seperti sekarang. Saya tidak meletakkan harapan lagi kepada BA tetapi kita terlalu lemah hendak berdepan dengan kejahatan BN. Sektor-sektor rakyat terpaksa mengemis di kaki hegemoni kuasa BA-BN, menunjukkan betapa mustahaknya kita mengurus kelahiran Masparti.

Kita tidak harus lagi percaya pada ideologi dan slogan politik. Sudah banyak diktator dilahirkan atas nama Islam, demokrasi dan juga komunisme. PAS dengan Islamnya atau Keadilan dengan slogan keadilan sosialnya, benda apa itu semua?


FATHI ARIS OMAR menulis kolum 'Tiada Noktah' dalam Malaysiakini.com, minat berbincang isu-isu media, penerbitan buku, wacana awam dan kelesuan berfikir dalam konteks sosio-politik negara ini.