bahagian 1 Menurut Presiden George W Bush, mereka yang cemburukan nilai-nilai murni Amerika Syarikat (AS) yang terhasil dari kebebasan dan demokrasi tulen, telah menyerang simbol kebebasan dan demokrasi itu Pusat Perdagangan Dunia (WTC) dan Pentagon.

Amerika Syarikat (AS) tidak disenangi kerana nilai-nilai murninya terhasil dari kebebasan dan demokrasi tulen. Lalu mereka yang cemburukan kebebasan dan nilai-nilai murni ini, menurut Presiden George W Bush, telah menyerang simbol kebebasan dan demokrasi itu Pusat Perdagangan Dunia (WTC) dan Pentagon.

Perhatikan, cuma AS sahaja yang boleh mengaku sesuatu institusinya sebagai layak diberi pengiktirafan "dunia." Lihat saja liga baseball yang mereka namakan "Siri Dunia", walaupun cuma didumba di AS sahaja. Tak apalah.

Tetapi, adakah AS semata-mata pemain yang teraniaya, yang bersih tetapi dinodai kesuciannya pada pagi Sept 11? Banyak pihak yang mengkaji peristiwa 911 tidak mempercayai versi rasmi yang dikeluarkan oleh pentadbiran Bush yang diterima media arus perdana tanpa menyoal secara mendalam.

Dalam cerita yang dikemukakan oleh Bush dan rakan-rakan, banyak perkara pelik yang mencacatkan cerita mereka. Antaranya, perlakuan Bush sendiri pada hari itu.

Mereka yang menyoal versi rasmi itu, percaya ada penglibatan pihak tertentu dalam pentadbiran dan tentera sekurang-kurangnya membiarkan peristiwa 911 berlaku, walaupun mereka mengetahui lebih awal ianya akan berlaku, demi agenda mereka tersendiri. Kita akan kaji faktor-faktor yang menyebabkan versi rasmi ini tidak dipercayai.

FAA lewat diberitahu

Kita lihat dahulu kelakuan Penguasa Penerbangan Persekutuan (FAA) dan pihak tentera AS. Pada jam 8:13 pagi, menara kawalan mula mengesyaki sesuatu telah berlaku kepada penerbangan 11 milik American Airlines apabila arahan kawalan tidak diendahkan dan komunikasi radio juga ditutup.

Pihak NORAD pasukan tentera yang mengawal ruang udara AS memerlukan kes sebegini dilaporkan serta-merta kepada mereka. Tetapi laporan cuma dibuat pada jam 8:40 pagi iaitu 27 minit kemudian.

Bagaimanapun, mengikut cerita rasmi pihak menara kawalan, cuma pada jam 8:20 pagi, mereka mengesyaki penerbangan 11 (P11) mungkin dirampas apabila ia melencong jauh secara mendadak dari laluan yang telah ditentukan.

Walaupun jam 8:20 pagi, ianya masih 20 minit sebelum laporan dibuat kepada NORAD tempoh masa yang amat lama dalam sebarang kes kecemasan. Dan pada jam 8:25 pagi, kecuali NORAD, menara kawalan memberi tahu beberapa pusat kawalan lain bahawa P11 telah dirampas. Kenapa NORAD tidak diberitahu sama? ( Guardian , Okt 10, 2001).

Dan punca kenapa P11 ke Utara dahulu sebelum ke Selatan tidak diketahui. Mengikut prosidur FAAs, kecemasan penerbangan dianggap wujud apabila pesawat hilang dari radar dan tiada komunikasi radio. Dan lagi, jika anda tidak pasti sesuatu itu boleh dianggap kecemasan atau berpotensi kecemasan, maka kendalikanlah keadaan itu seolah-olah ianya suatu kecemasan.

Menurut laporan MSNBC (Sept 12, 2001):"Jika sesuatu pesawat melencong lebih dari 3.2 km dari laluan yang ditentukan, menara kawalan akan menekan butang panik."

Sebagai contohnya, laporan itu memetik keadaan ketika pesawat Learjet pemain golf, Payne Stewart, rosak dan terpesong ke utara dan bukannya barat ke arah Texas, pesawat pejuang F-16 serta-merta dihantar untuk menyiasatnya.

Tiga versi kejadian

Dan mengikut laporan agensi berita AP (Ogos 13, 2002), pada tahun sebelumnya, pesawat pejuang telah 67 kali dikerahkan untuk menyiasat situasi yang serupa. Jadi, tindakan FAA dan NORAD untuk menyiasat situati seumpama itu, adalah satu kemestian. Tetapi mereka cuai pada saat genting Sept 11.

Pada jam 8:46 pagi, penerbangan 11 merempoh menara utara WTC1. Ada tiga cerita yang bercanggah tentang reaksi pihak tentera tentang bilakah kerahan pesawat pejuang dibuat. Mengikut versi pertama, ianya dibuat cuma selepas Pentagon dirempuh pada jam 9:41 pagi. Oleh kerana reaksi ini terlalu lambat, maka ceritanya ditukar kepada versi kedua. Kita lihat versi kedua dahulu. (Versi pertama dan ketiga di bahagian 2.)

Mengikut laporan NORAD pada Sept 18, 2001, kerahan pesawat pejuang dibuat pada jam 8:46 pagi, iaitu bersamaan masa rempuhan pertama (6 minit selepas menerima laporan FAA, 26 minit selepas pengesahan penculikan P11, 33 minit selepas kawalan mula mengesyaki berlakunya rampasan pesawat).

Pesawat pejuang itu dikerahkan dari pangkalan Otis yang terletak 240 km dari WTC, walaupun ada pangkalan lain yang lebih dekat. Walaupun dikerah pada jam 8:46 pagi, mereka cuma ke udara 6 minit kemudian, pada jam 8:52 pagi. Tetapi mengikut lamanweb Tentera Udara AS sendiri, masa sepatutnya cumalah 2.5 minit. Dua pesawat pejuang dari Otis itu adalah jenis F-15, dengan kelajuan maksimum 3,000 km sejam.

Jika ia terbang pada kelajuan 2,560 km pun mereka cuma mengambil masa 7 minit untuk sampai, iaitu sebelum berlakunya rempuhan kedua, pada jam 9:03 pagi ke atas menara selatan WTC (WTC2). Tetapi, mengikut carta aliran masa NORAD, mereka mengambil masa 19 minit, dengan kelajuan penerbangan 760 km; dan tiba 8 minit selepas rempuhan kedua.

Kenapa begitu perlahan? Tetapi, cerita ini bercanggah dengan cerita juruterbang F-15 itu kepada majalah Aviation Week and Space Technology bertarikh Jun 3, 2002 bahawa dia memecut semaksimumnya menuju ke New York, kerana katanya, dia mengesyaki sesuatu yang buruk akan berlaku.

Pesawat F-15 berlengah

Kemungkinannya, pihak tentera cuba mengada-adakan cerita tetapi, sama ada mereka sedari atau pun tidak, dua cerita ini tidak selari. Tambahan pula, dalam kemelut ini, pada jam 8:42 pagi, penerbangan 175 pula telah memesong dari laluan asal dan memutuskan hubungan dengan menara kawalan.

Dalam kes ini, FAA lebih efisien; mereka melaporkan kepada NORAD dalam masa seminit. Pada jam 8:46 pagi, P77 pula telah memesong sejauh 15 batu (selama 5 minit). Jadi, dalam suasana kemelut ini, kenapa NORAD dan pesawat-pesawatnya masih bersenang-lenang?

Menurut laporan USA Today , suasana senang-lenang ini tidak berakhir di situ sahaja. P77, yang akan merempuh Pentagon, memesong pada jam 8:46 pagi (yang sepatutnya mendatangkan syak berlakunya rampasan), dan memutuskan hubungan dengan menara kawalan pada jam 8:56 pagi. Tetapi, kenapa FAA melaporkan kepada NORAD hampir setengah jam kemudiannya (jam 9:24 pagi ) yang pesawat itu dirampas dan menghala ke Washington?

Bagaimanapun, NORAD dipercayai telah mengetahui lebih awal mengenai pesawat P77, melalui sumber lain dari FAA. Berdasarkan laporan laporan New York Times (Sept 15, 2001) di Pentagon, sepanjang hampir sejam mulai P77 dirampas dan sehinggalah merempuh Pentagon pada jam 9:41 pagi pihak tentera di Pentagon (maka NORAD juga) sentiasa berbincang dengan menara kawalan tentang apa yang harus dilakukan.

(Nampaknya pasukan ketenteraan tercanggih di dunia ini, lembab juga pemikiran mereka satu jam berfikir sehingga pesawat 77 merempuh Pentagon, tetapi masih belum memperolehi jawapannya.)

Tetapi NORAD cuma mengerah dua pesawat F-16, kali ini dari pangkalan Langley, untuk memintasnya pesawat P77 pada jam 9:27 pagi lebih 41 minit selepas P77 mula memesongkan perjalanannya dan 41 minit juga selepas WTC1 dirempoh.

Tiada tergesa-gesa

Pesawat pejuang F-16 dari Langley ini pula mengambil masa enak mereka untuk menuju ke Washington DC, di mana terletaknya Pentagon (dan Rumah Putih, Kongress dan lain-lain pusat pentadbiran yang penting).

Langley terletak 272 km dari DC. F-16 pula mempunyai kelajuan maksimum 2,400 km sejam. Jadi, pada kelajuan ini, mereka boleh sampai dalam masa 5 minit, iaitu pada jam 9.35 pagi, selepas berlepas pada jam 9:30 pagi. Tetapi mengikut NORAD, pada masa Pentagon dirempuh, pesawat itu masih berada 168 km dari sasaran. Ini bermakna, mereka terbang cuma pada kelajuan 209 km sejam. Mereka tiba 15 minit selepas rempuhan. Mengapa begitu bersahaja?

Perhatikan, pesawat dari pangkalan Andrews, yang berada cuma 24 km dari Washington DC, tidak dikerah ke sana ( CNN , Sept 17, 2001). Pangkalan Andrews sepatutnya menyediakan pesawat yang sentiasa bersedia dikerah kerana dari sinilah "Air Force One", pesawat Presiden Amerika, berpangkalan. Mengikut NBC News (Sept 11, 2001), pesawat dari pangkalan Andrews cuma dikerahkan selepas Pentagon dirempuh. Kenapa tidak dari awal lagi?

Kembali semula kepada dua F-15 dari Otis yang tiba di WTC pada jam 9:11 pagi (mengikut cerita NORAD), terlewat 8 minit selepas menara itu dirempuh. Kerana sudah terlambat, dua pesawat ini boleh dikerahkan pula ke Washington kerana jarak di antara New York dan Washington hanya kira-kira 320 km. Pada kelajuan 2,560 km sejam, mereka boleh tiba di sana dalam masa tidak sampai 8 minit, dan sempat bersarapan sementara, menunggu ketibaan P77.

Masa sebenarnya Pentagon dirempuh berbeza-beza: dari jam 9:37 pagi (mengikut NORAD), kepada jam 9:45 pagi (mengikut Boston Globe ). Mungkinkah NORAD memberi masa yang lebih awal, bagi menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai masa untuk bertindak? Tetapi jika pesawat pejuang F-15 tadi digunakan, mereka masih mempunyai banyak masa.

Berbalik kepada cerita P11 yang merempuh WTC1. Sudahlah pesawat pejuang lambat dikerah, Robert Marr, seorang komander NORAD, melaporkan pula yang NORAD tidak dapat menentukan kedudukan P11, walaupun sentiasa berhubung dengan FAA dan syarikat penerbangan (mengikut laporan AWST bertarikh Jun 3, 2002).

Dakwaan kecuaian

Tetapi ini bertentangan dengan laporan bahawa FAA telah menandakan kedudukan P11 di radar untuk senang diawasi. Begitu juga, mengikut laporan Wall Street Journal (Okt 15, 2001), bahawa American Airlines dapat mengikuti pergerakan P11 diradar dengan jelas (cuma mereka tidak tahu ketinggian kerana alat "transponder" di pesawat itu ditutup).

Mengikut Paul Thomson, yang menghasilkan carta aliran masa yang digunakan di sini, tidak ada sebab kenapa FAA dan American Airlines untuk berbohong tetapi bagi NORAD, ia mempunyai sebab yang kuat untuk berbuat demikian.

Jawapan yang sering diberikan berhubung sikap bersahaja FAA dan pihak tentera ialah kecuaian. Tetapi terlalu banyak kes kecuaian. Jika satu dua mungkin, tetapi ini berlarutan satu persatu. Dan jika berlaku kecuaian sekalipun, Barry Zwicker, seorang penganalisa media dari Kanada, menegaskan melalui siaran CBC-TV nya:

"Walau apa pun penjelasan berhubung kegagalan-kegagalan yang amat besar ini, tetapi setahu saya, tiada apa-apa laporan mengenai hukuman yang dikenakan. Ini melemahkan lagi 'Teori Kecuaian'. Kecuaian biasanya akan mendatangkan hukuman. Ini membuat saya bertanya, sama ada ada arahan "jangan bertindak" dikeluarkan'. (Di petik dari buku Nafeez Ahmad. Lihat juga http://emperors-clothes.com/indict/deception.htm dan http://globalresearch.ca/articles/ZWI202A.html )

Nota:

Carta aliran masa kejadian diambil dari beberapa sumber, tetapi yang utama ialah dari Paul Thompson yang menjalankan penyelidikan terperinci, dengan meyemak masa kejadian dari pelbagai sumber. Http://www.cooperativeresearch.org/completetimeline/

Suatu lagi sumber ialah buku tulisan Nafeez Mosaddeq Ahmed, The War on Freedom: How and why America was attacked, (2002) diterbitkan oleh Tree of Life Publications, AS. Di Malaysia ia diterbitkan dibawah tajuk The Great Deception: How and why America was attacked oleh Thinker's Library. Buku ini di puji oleh banyak pihak termasuk oleh Gore Vidal, yang mana artikelnya dalam The Observer , London, "The Enemy Within", Okt 27, 2002, juga menjadi sumber yang baik.


Dr Rosli Omar, seorang akademik yang paranoid, terbayang konspirasi dimana-mana. Di sebahagian kecil otaknya yang masih agak waras, dia berminat tentang isu-isu alam sekitar dan keadaan dunia, sama ada keadaan setempat mahu pun antarabangsa.