Mereka pencetus perang Iraq
Bhgn I Ramai para penganalisis perang bertanya mengapa perang menentang Saddam Hussein kali kedua mahu dilancarkan sekarang, lebih 12 tahun selepas Perang Teluk pertama.
Sebenarnya para pencetus perang ini sudah lama mahukannya, tetapi peluang itu cuma diperolehi sekarang apabila George W Bush menjadi presiden ke-43 Amerika Syarikat.
Siapakah para pencetus yang menunggu sekian lama itu? Mereka terdiri daripada neo-konservatif, kompleks militeri-industri, puak zionis, industri minyak, dan juga puak "Kristian fundamentalis".
Ramai daripada neo-konservatif ini adalah mereka yang nampak bahawa kepentingan AS dan Israel adalah sama. Hubungan mereka dengan Israel lebih berpihak kepada parti Likud pimpinan Ariel Sharon yang ekstrimis daripada parti Buruh.
Para pencetus perang ini saling berkait rapat dalam beberapa pertubuhan dan "think-tank".
Bhgn I Ramai para penganalisis perang bertanya mengapa perang menentang Saddam Hussein kali kedua mahu dilancarkan sekarang, lebih 12 tahun selepas Perang Teluk pertama.
Sebenarnya para pencetus perang ini sudah lama mahukannya, tetapi peluang itu cuma diperolehi sekarang apabila George W Bush menjadi presiden ke-43 Amerika Syarikat.
Siapakah para pencetus yang menunggu sekian lama itu? Mereka terdiri daripada neo-konservatif, kompleks militeri-industri, puak zionis, industri minyak, dan juga puak "Kristian fundamentalis".
Ramai daripada neo-konservatif ini adalah mereka yang nampak bahawa kepentingan AS dan Israel adalah sama. Hubungan mereka dengan Israel lebih berpihak kepada parti Likud pimpinan Ariel Sharon yang ekstrimis daripada parti Buruh.
Para pencetus perang ini saling berkait rapat dalam beberapa pertubuhan dan "think-tank".
Projek untuk abad baru Amerika (PNAC)
Antara pertubuhan terpenting adalah Projek untuk abad baru Amerika (PNAC). Pada asasnya, PNAC menyarankan hegemoni global secara militeri oleh AS. Pengerusinya ialah William Kristol, editor The Weekly Standard, yang dibiayai oleh Rupert Murdoch.
Ramai pengasas PNAC adalah pegawai di bawah pentadbiran Reagan yang terkenal dengan sifat agresifnya. Antaranya Donald Rumsfeld (sekarang selaku Setiausaha Pertahanan AS), penolongnya, Paul Wolfowitz, Dick Cheney (naib president), Zalmay Khalilzad (Duta Bush ke Afghanistan), dan Richard Perle, pengerusi Lembaga Penasihat Pertahanan di Pentagon.
Nama-nama lain ialah Dan Quayle (naib presiden di bawah Bush Sr), Francis Fukuyama (penulis The End of History), dan Jeb Bush (adik George Bush, yang juga gabenor Florida).
Suatu kertas kerja PNAC yang terpenting diterbitkan tiga tahun lalu, bertajuk "Pembinaan semula pertahanan Amerika: strategi, kekuatan dan sumber-sumber untuk abad baru", yang merupakan asas untuk polisi luar AS.
Antara lain ia menyarankan perbelanjaan tentera ditambah AS$48 bilion supaya AS boleh "berperang dan pada masa yang sama menang dalam beberapa peperangan". Ini sudahpun berlaku. Juga, apabila Bush menjadi presiden, Iraq mesti dijadikan sasaran.
Senjata pemusnah
Ini sedang berlaku. Apa yang dikatakan senjata pemusnah besar-besaran Iraq cuma akan dijadikan sebagai alasan. Matlamat yang lebih besar daripada menggantikan Saddam Hussein ialah "keperluan untuk penempatan pasukan tentera AS yang besar di Teluk".
Pada pagi 12 Sept 2001 - sehari selepas serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia, WTC - walaupun masih tidak ada petunjuk siapa penyerangnya, namun Rumsfeld telah meminta supaya Iraq diserang.
Beliau memberitahu mesyuarat kabinet bahawa Iraq mesti menjadi "sasaran utama di pusingan pertama peperangan menentang keganasan".
Bagaimanapun, Colin Powell menasihati Bush tentang penting dibentuk pendapat umum mengenainya terlebih dahulu, sebelum menyerang Iraq. Ini tidak berlaku. Sebaliknya Afghanistan dipilih sebagai sasaran yang lebih sesuai. Dan akhirnya, kini tiba pula giliran Iraq.
Seorang lagi penama PNAC dan seorang zionis, Richard Perl, adalah penasihat kepada pertubuhan yang bernama Institut Yahudi bagi Hal-ehwal Keselamatan Nasional (JINSA).
Sebagai pengerusi Lembaga Penasihat Pertahanan Pentagon, Perl juga menjadi penasihat pertahanan kepada Rumsfield. Beliau juga menganggotai lembaga akhbar The Jurusalem Post, Israel. Syarikatnya, Hollinger Digital, juga adalah penerbit harian paling konservatif di Britain, The Daily Telegraph .
Kepentingan Israel
Menurut laman-web JINSA, peranannya, antara lain, ialah "menyarankan kepada komuniti pertahanan Amerika dan hal-ehwal luar, mengenai betapa pentingnya peranan Israel dalam menguatkan kepentingan demokratik di Mediterranean dan Timur tengah".
Ahli lembaga JINSA termasuklah Cheney, John Bolton dan Douglas Feith. Bolton adalah Setiausaha Rendah Jabatan Negara untuk Kawalan Senjata. Tugasnya ialah berusaha memusnahkan perjanjian strategik terdahulu dengan bekas Soviet Union mengenai peluru berpandu.
Feith adalah orang ketiga terpenting dalam Pentagon, di bawah Paul Wolfowitz dan Rumsfeld. Di Pentagon, Wolfowitz, yang juga seorang zionis, adalah pemikir dasar yang ekstrim dan sangat pro-Israel. Rumsfeld dan dua orang bawahannya adalah sama-sama fanatik menyokong Israel.
Seorang lagi dalam lembaga JINSA adalah James Woolsey, bekas pengarah Agensi Perisikan Pusat, CIA. Perle dan Woolsey adalah antara dua orang yang paling kuat mahukan Iraq diserang. Yang lainnya termasuklah Jeanne Kirkpatrick, pegawai di bawah bekas Presiden Reagan.
Suatu kajian terperinci mengenai JINSA telah dilakukan oleh Jason Vest dari majalah The Nation , AS. Menurutnya, antara ahli JINSA yang paling berpengaruh adalah Michael Ledeen, yang menggunakan konsep "peperangan total".
Pertukaran rejim
Bagi Ledeen, Perle dan neo-konservatif yang lain, peperangan bukan sahaja terhadap Iraq, tetapi konsep "peperangan total" bersama dengan "pertukaran regim" yang kemudiannya akan mensasar, dengan apa cara sekalipun, terhadap Iran, Syria, Saudi Arabia dan Palestin.
Inilah yang sedang berlaku di Iraq. Tuntutan AS dan Israel supaya presiden Yasir Arafat melantik seorang perdana menteri sudahpun berhasil. Tujuannya ialah untuk melemahkan kuasa Arafat.
Kemungkinanya, calon perdana menteri ini mestilah orang yang dipersetujui terlebih dahulu oleh AS dan Israel. (Permintaan seorang perdana menteri pun dituntut ramai rakyat Palestin untuk mengambil alih perjalanan seharian Palestin dari Arafat.)
Menurut The Nation lagi, JINSA berusaha"mencari cara-cara baru untuk melemahkan semangat orang Palestin". Misalannya, JINSA menuduh "[Arafat] mengarahkan keganasan untuk 'melindung Saddam'". Bagi JINSA, "tidak wujud pendudukan Israel" di Tebing Barat atau Gaza.
Pada tahun 1996, Perle dan Feith serta enam orang lagi, telah menulis satu kertas kerja untuk Benjamin Natanyahu yang kemudianya menjadi perdana menteri Israel. Kertas-kerja bertajuk "Satu pendekatan baru: strategi untuk menang" melihatkan pemikiran neo-konservatif mengenai hubungan AS-Israel.
Pertalian JINSA dengan militeri
Antara lain, mereka menyarankan penggunaan tentera proksi untuk "pertukaran rejim", merosakkan kestabilan negara lain di Timur Tengah dan cara untuk menguatkan Zionisme haluan-kanan.
Terdapat ramai pesara jeneral dan laksamana laut dalam JINSA. Ia akan membawa mereka (dan juga para kadet yang sedang bertugas) melawat Israel dan bertemu dengan pegawai-pegawai di sana. Sekembalinya dari Israel, mereka akan menulis artikel yang menyokong Israel di dalam akhbar dan majalah.
Antara pesara tentera yang berpengaruh adalah Laksamana (B) Leon Edney, Laksamana (B) David Jeremiah, dan Left-Jen (B) Charles May dan mereka mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan pembekal kelengkapan perang. Misalannya, mereka bertiga sama ada menjadi juru perunding atau menduduki lembaga pengarah syarikat gergasi Northrop Grumman atau anak syarikatnya.
Northrop Grumman membekal kapal untuk Israel serta peralatan avionik untuk F-16, pesawat E-2C Hawkeye dan sistem radar Longbow untuk Israel. Grumman juga bekerjasama dengan Tamam, anak syarikat Industri Kapalterbang Israel (IAI).
Left-Jen (B) May, Left-Jen (B) Paul Cerjan, Laksamana (B) Carlisle Trost, pula bertugas dengan sebuah lagi syarikat gergasi kelengkapan perang, Lockheed Martin. Trost juga ada kaitan dengan General Dynamics. Lockheed Martin membekal pejuang F-16 bernilai AS$2 bilion kepada Israel.
Bagaimanapun, yang paling aktif di antara mereka adalah Laksamana (B) David Jeremiah. Beliau merupakan presiden Technology Strategies and Alliance Corp. Jeremiah juga adalah ahli lembaga anak syarikat Northrop Grumman.
Beliau juga menduduki lembaga pengarah syarikat Alliant Techsystem. Syarikat ini bekerjasama dengan syarikat Israel TAAS untuk menghasilkan peluru getah yang digunakan untuk menembak rakyat Palestin.
Kaitan Jeremiah dengan Perle bukan sahaja di JINSA. Beliau juga merupakan ahli lembaga Dasar Pertahanan Pentagon yang dipengerusikan Perle.
Catatan:
Sumber utama untuk artikel ini adalah:
1) Artikel John Pilger dalam majalah British, The New Statesman, bertajuk "America's Bid For Global Dominance", 12 December, 2002, dipetik di laman web Znet,
2) Artikel Jason Vest dalam majalah progresif, The Nation, bertajuk "The Men From JINSA and CSP", September 2, 2002,
3) Artikel Brian Whitaker dalam harian Britain, The Guardian bertajuk, "US thinktanks give lessons in foreign policy" 19 Ogos, 2002
4) Laman web PNAC
5) JINSA

