Bhg 11 Suatu lagi pertubuhan yang dikatakan oleh The Nation sebagai tidak dapat dipisahkan atau dibezakan daripada JINSA ialah Pusat bagi Polisi Keselamatan (CSP). Perle juga ahli lembaga penasihatnya.

Suatu ketika, CSP telah membeli ruang iklan dalam televisyen dan akhbar menyatakan Palestin sepatutnya menjadi 'Musuh Nombor Satu' dalam perang antikeganasan.

Sebelum berpindah ke Pentagon, Douglas Feith adalah pengerusi CSP. Manakala presiden dan pengasasnya ialah Frank Gaffney, yang merupakan orang kepercayaan Perle semasa mereka bertugas dengan Senator Henry Jackson, yang dikenali gemarkan peperangan.

Gaffney juga adalah salah seorang penama dalam Penyata Prinsip PNAC. Gaffney kemudian bersama Perle berpindah ke Pentagon sebelum dia di arah keluar pada 1987 oleh Setiausaha Pertahanan ketika itu, Frank Carlucci.

Pada Gaffney, ancaman terbesar terhadap AS bukan sahaja Iraq, tetapi juga China. Bagi Gaffney lagi, tidak harus diberi sebarang ruang kepada rakyat Palestin.

Seperti JINSA, pertalian CSP dengan industri perang amat ketara. Bekas pegawai Boeing diwakili tiga orang - Stanley Abner, Andrew Ellis, dan Carl Smith, yang merupakan penal guaman syarikat Boeing. Smith juga adalah bekas pengarah staf bagi Jawatankuasa Perkhidmatan Ketenteraan Senat.

Peranan Boeing

Boeing telah mewujudkan kerjasama dengan Industri Kapalterbang Israel (IAI) sejak 30 tahun lalu. Syarikat itu turut membekal jet pejuang F-15. Dan bersama Lockheed Martin, Boeing juga membekal helikopter tempur Apache kepada Israel. Apache sering digunakan dalam operasi terhadap rakyat Palestin.

Dalam CSP, Lockheed Martin diwakili Charles Kupperman (naib presiden untuk Peluru Berpandu Strategik dan Angkasa Lepas) dan Douglas Graham (pengarah sistem pertahanan).

Manakala bekas Setiausaha Tentera Laut, John Lehman, pula mewakili Ball Aerospace and Technologies, yang membina satelit bagi Pentagon. Pembuat sistem komputer bagi peluru berpandu, Hewlett-Packard, di wakili oleh George Keyworth.

CSP dibiayai oleh dana dari kontraktor industri pertahanan serta puak zionis ekstremis, seperti "Raja Bingo California" Irving Moskowitz. Dia juga turut menderma kepada JINSA (dan juga seorang pengarah JINSA) dan kepada puak pendudukan haram ektremis di Tebing Barat, Palestin, iaitu Ateret Cohanim.

Seorang lagi penderma CSP, Lawrence Kadish, juga merupakan penaung bagi Jawatankuasa Nasional Parti Republikan dan bagi George Bush sendiri.

Suatu badan yang boleh dianggap sebagai penaung bagi pelbagai pertubuhan dan "think-tank" neo-konservatif dan pro-Israel adalah Institut Enterpris Amerika (American Enterprise Institute, AEI).

Perisikan Israel

Naib-pengerusinya adalah Lee Raymond, pengerusi dan ketua eksekutif Exxon-Mobil. Profesor Samuel Huntington (penulis The Clash of Civilisations) antara penasihat akademiknya.

Di AEI wujud, sekali lagi, Richard Perle. Kali ini sebagai "Resident fellow" pula. Rakan rapat Perle di sini adalah David Wurmser yang mengetuai seksyen Timur Tengah.

Isterinya, Meyrav Wurmser, adalah pengasas bersama Institut Penyelidekan Media Timur Tengah (Middle East Media Research Institute, MEMRI), dengan bekas Perisikan Militeri Israel, Kolonel Yigal Carmon.

Mengikut Brian Whitaker, yang mengkaji dengan terperinci peranan AEI serta pertubuhan neo-konservatif AS yang lain dan disiarkan akhbar British The Guardian, MEMRI "mengkhusus dalam menterjemah dan menyebar artikel yang menunjukkan orang Arab dalam keadaan yang buruk".

Meyrav Wurmser juga mengepalai seksyen Timur Tengah di Insitiut Hudson. Di sini juga Perle bermain peranan - dia menjadi ahli Lembaga Pemegang Amanahnya. M Wurmser juga terlibat dengan Forum Timur Tengah (MEF) yang lantang menyuarakan kepentingan Israel.

Antara penulis AEI yang paling produktif adalah Michael Rubin. Dia dikatakan pakar bagi Iran, Iraq, dan Afghanistan. Rubin pernah menyifatkan bekas pesuruhjaya bagi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mary Robinson, sebagai "pembantu keganasan".

Di AEI, Rubin membantu Perle dan M Wurmser.

Institut Washington

Akhbar The Nation melaporkan bahawa dia akan mengetuai seksyen Iran-Iraq di Pentagon. Selepas Iraq, Iranlah nampaknya yang akan menjadi mangsanya berikutnya.

Sebelum ke AEI, Rubin bertempat di Institut Washington bagi Polisi Timur Tengah, yang dianggap Whitaker sebagai badan pemikir pro-Israel yang paling berpengaruh (Mungkin ini semasa Clinton, tetapi di zaman Bush, mungkin JINSA yang lebih berpengaruh.)

Pengarahnya adalah Dennis Ross, seorang zionis dan bekas diplomat Clinton ke Israel dan Palestin, kononnya untuk bertindak sebagai pengadil yang adil bagi kedua-dua belah pihak.

Sebelum Ross, institut ini diketuai Martin Indyk, seorang rakyat Israel yang berpindah ke Australia sebelum menawarkan khidmatnya kepada Clinton.

Dia tergesa-gesa diberi kerakyatan Amerika beberapa hari sebelum Clinton menjadi presiden dan terus dilantik menduduki Majlis Keselamatan Negara (NSC) menjaga seksyen Timur Tengah. Indyk hilang status keselamatan apabila dia dipercayai memberikan maklumat rahsia kepada Israel.

Laman webnya menamakan ahli lembaga penasihat dari kalangan para pentadbir Clinton seperti Warren Christopher (Setiausaha Negara) dan Lawrence Eagleburger. Nama-nama lain ialah Alexander Haig (Setiausaha Pertahanan di bawah Reagan), George Shultz (Setiausaha Negara dibawah Reagan), Wolfowitz (sebelum ke Pentagon), dan Richard Perle.

Hubungan Amerika-Israel

Setiap empat tahun, sempena perlantikan Presiden Amerika, institut ini akan membentangkan "blueprint" untuk polisi Timur Tengah.

Pada tahun 2001, WINEP berjaya menghasilkan 90 artikel, kebanyakannya dalam bentuk pojok di akhbar-akhbar berpengaruh - 14 di Los Angeles Times , New Republic (9), Wall Street Journal (8), Jerusalem Post (8), National Review o­nline (7), Daily Telegraph (6), Washington Post (6), New York Times (4) dan Baltimore Sun (4). Lima puluh daripada 90 artikel itu ditulis oleh Michael Rubin.

Institut Washington juga bekerja rapat dengan Jawatankuasa Akaun Awam Amerika-Israel (AIPAC). Jawatankuasa itu disifatkan oleh New York Times sebagai "organisasi terpenting yang melibatkan hubungan Amerika-Israel".

Satu faktor terbesar yang mendorong Amerika menyerang Iraq tentulah faktor minyak. Simpanan minyak Iraq adalah 112 bilion tong - yang kedua terbesar selepas Arab Saudi. Amerika, yang pada masa ini, mengimport 10 juta tong minyak sehari, hanya mempunyai 2 peratus simpanan minyak dunia.

Pada tahun 2020, mengikut laporan Cheney, keadaan ini akan tambah meruncing apabila Amerika perlu mengimport 17 juta tong sehari. Tambah merisaukan lagi ialah keadaan politik yang semakin tidak stabil di negara pembekalnya seperti Venezuela dan Arab Saudi.

Di Venezuela, Presiden Hugo Chavez yang berhaluan kiri tidak disenangi Amerika. Usaha sedang dibuat untuk menggulingkannya, walaupun agak liat untuk menjatuhkannya.

Tabung lobi

Lagi pula, kata Ralph Nader, calon ketika, selain Al Gore, dalam perebutan jawatan presiden AS yang lalu, 41 ahli pentadbiran Bush adalah dari industri minyak.

Bush sendiri dari Arbusto dan Harken; Cheney bekas ketua eksekutif Halliburton (yang baru-baru ini disiasat akaunnya); Condoleeza Rice, penasihat Bush bagi Keselamatan Nasional adalah bekas ahli lembaga Chevron; Don Evans, Setiausaha Perdagangan adalah bekas pengerusi syarikat minyak dan gas Tom Brown Inc; dan Gale Norton, Setiausaha Dalam Negara (Interior), yang menjaga tentang alam sekitar ditentang perlantikannya oleh para pencinta alam kerana peranannya sebagai peguam bagi Delta Petroleum.

Menurut Nader lagi, Bush menerima AS$1.8 milion sumbangan industri petroleum semasa kempen presiden tahun 2000. Syarikat besar mempunyai tabung khas untuk tujuan melobi. Misalnya, Exxon-Mobil mengkhaskan AS$12 milion untuk mempengaruhi arah tujuan politik dan ekonomi.

Halliburton telahpun mendapat habuan awal dari sengketa dengan Iraq. Ia telah ditawarkan kontrak untuk membaiki infrastruktur minyak Iraq selepas perang. Dan wang untuk membaiki infrastruktur yang akan mereka musnahkan itu, akan datang dari jualan minyak Iraq. Bijak sungguh otak orang Amerika ini.

Ada pihak yang cuba menyatakan tujuan AS bukan kerana minyak tetapi kerana hendak membebaskan rakyat Iraq dari belenggu Saddam Hussein dan membawa demokrasi ke negara itu. Misalnya, David Frum, bekas penulis Bush, bertanya, kenapa kerajaan mahukan "peperangan yang dijangka menelan belanja AS$100 bilion untuk mendapatkan kontrak bernilai AS$40 bilion?".

Milan Rai, dalam majalah "online" Znet menjawabnya dengan menjelaskan bahawa kos peperangan adalah kos sosial, iaitu yang dibebankan kepada semua, tetapi keuntungan cuma terbahagi kepada beberapa pihak tertentu sahaja, iaitu mereka yang rapat dengan pentadbiran Bush.

Lagipun, presiden Ameria yang mana yang mempertimbangkan untung-rugi dalam usaha hegemoni mereka. Lihat saja kos peperangan Vietnam atau Korea. Mana ada untungnya.

Fundamentalis Kristian

Frum adalah bekas editor Wall Street Journal . Tentulah dia orang yang pandai. Tetapi agaknya, dalam cubaan untuk mempertahankan bekas bosnya, dia menjadi bodoh sekejap. Dia terpaksa meninggalkan Rumah Putih kerana dia memberitahu isterinya bahawa dialah yang mencipta sebutan "Axis of Evil" yang digunakan oleh Bush.

Dan isterinya mengheboh kepada kawan-kawanya...dan akhirnya sampai ke pengetahuan orang Bush. Bush mahukan dia dilihat sebaga orang yang menentukan hala tuju dasar kerajaannya, walaupun semua orang tahu sebaliknya.

Sekarang Frum merupakan "Resident Fellow" di AEI, bersama dengan Richard Perle dan kawan-kawan lain.

George Bush menyifatkan dirinya sebagai orang yang diselamatkan dari gejala alkohol oleh agama Kristian. Penyokongnya, selain dari industri minyak, ketenteraan, dan perniagaan yang secara amnya lebih rapat dengan parti Republikan, sebahagian besarnya adalah apa yang disifatkan sebagai golongan konservatif "fundamentalis Kristian".

Menurut Justin Webb yang melaporkan dari Washington untuk BBC o­nline pada 14 Mac lalu, pentadbiran menegaskan kehidupan Bush sentiasa diselubungi dengan doa dan agama. Siang dan malam terdapat perjumpaan agama. Adalah menjadi kebiasaan bertembung dengan orang di Rumah Putih yang membawa kitab Injil ke sana-sini.

David Frum menulis bahawa semasa dia di Rumah Putih, ayat pertama yang didengarnya ketika melaporkan diri ialah: "Tidak nampak pun kamu di perjumpaan agama kita pagi ini?". Pertanyaan itu bukan ditujukan kepada Frum yang merupakan seorang Yahudi, tetapi kepada orang yang berdiri dekatnya.

Bantahan ketua gereja

Golongan Kristian fundamentalis ini amat kuat menyokong Israel. Bagi mereka "kedatangan kedua" al-Maseh Jesus Christ cuma akan berlaku apabila orang Yahudi berkumpul semula di Israel.

Maka Israel adalah sebuah negara yang mesti disokong. Apa yang mereka tidak beritahu orang Yahudi ialah mereka semua akan binasa jika tidak menerima agama Kristian. Orang Yahudi berpura-pura tidak tahu tentang perkara ini.

Itu adalah golongan fundamentalis Kristian Amerika. Tetapi Gereja Anglican dan Katholik di Britain dengan lantang membantah peperangan. Mereka menyatakan tidak ada kes moral untuk menyerang Iraq. Ini bertentangan dengan dakwaan Blair bahawa kesnya dengan Saddam Hussein adalah kes moral. Bantahan ini diutarakan oleh ketua gereja masing-masing.

Kaitan antara beberapa pertubuhan dan puak-puak di atas merupakan antara faktor untuk memerangi Iraq. Pertama, kemunculan Bush sebagai presiden, yang amat memihak kepada industri minyak dan industri ketenteraaan.

PNAC, dengan polisi neo-konservatifnya amat secucuk dengan pentadbiran Bush. Pandangan bahawa kepentingan Amerika dan Israel adalah seiring, diutarakan oleh kumpulan zionis dan neo-konservatif yang berpengaruh di beberapa pertubuhan dan badan pemikir, seperti JINSA/CSP, AEI, MEF, WINEP dan AIPAC.

Jurucakap Bush sendiri, Ari Fleisher, dipercayai adalah seorang warga Israel.

Para "pemikir" neo-konservatif dan zionis akan dijemput untuk memberi pandangan "pakar" mereka di akhbar, majalah dan televisyen. Bagi mereka, Iraq bukan sahaja menjadi ancaman kepada Israel tetapi begitu juga dengan Iran, Syria dan Saudi Arabia juga.

Fakta bahawa mereka mempunyai minyak adalah suatu bonus besar. Sebab itu cara mereka (tidak) bertindak kepada Korea Utara amat berbeza dengan tindakan mereka terhadap Iraq.

Demokrasi sebagai alasan

Lupakan soal hendak membawa demokrasi ke negara-negara berkenaan. Rakyat kemungkinan besar memilih pemimpin yang anti-Israel dan anti-AS. Di Iraq, 60 peratus penduduknya adalah puak Shiah yang lebih rapat kepada Iran, seteru Israel dan Amerika.

Dalam demokrasi, jika pemimpin Shiah yang dipilih, ianya tentu tidak disenangi Amerika dan Israel. Jadi, lupakan soal demokrasi.

Sebuah lagi firma yang sangat berpengaruh ialah The Carlyle Group. Mereka melabur dalam industri ketenteraan. Ramai orang berpengaruh berkhidmat di sana, termasuklah bapa George Bush, iaitu President Amerika ke-41 (Nota: Bush Senior tidak bersetuju dengan niat anaknya hendak menyerang Iraq).

Yang lainya, seperti James Baker, bekas setiausaha Negara dan Frank Carlucci, bekas Setiausaha Pertahanan dan bekas Perdana Menteri Britain, John Major juga berkhidmat dengan mereka. Begitu juga dengan bekas presiden Filipina Fidel Ramos.

Peperangan tentulah menguntung firma seperti Carlyle ini. Firma perang yang lain seperti Boeing dan Lockheed Martin juga mempunyai ramai 'orangnya' di PNAC, JINSA dan sebagainya. oleh itu, kepentingan mereka kepada Israel, keuntungan perang, minyak, dan kekuasaan terhadap negara lain, saling berkait rapat.

Media massa terpenting AS dikuasai sebahagian besarnya oleh puak zionis dan industri, terutama industri ketenteraan, seperti Boeing dan General Electric. Lihat sahaja New York Times, Washington Post, CBS dan sebagainya.

Maka media biasanya akan memihak kepada kepentingan Amerika yang juga sama dengan kepentingan mereka sendiri. Suara anti-perang tidak diberi ruang yang mencukupi untuk memberi hujah mereka. Maka Iraq menjadi mangsanya.


Cacatan:

Sumber utama untuk artikel ini adalah,

1) artikel oleh John Pilger dalam majalah British, The New Statesman , bertajuk "America's Bid For Global Dominance", 12 December, 2002, dipetik di laman web Znet ,

2) artikel oleh Jason Vest dalam majalah progresif, The Nation , bertajuk "The Men From JINSA and CSP", September 2, 2002.

3) artikel oleh Brian Whitaker dalam harian Britain, The Guardian , bertajuk, "US thinktanks give lessons in foreign policy" 19 Ogos, 2002

4) Laman web PNAC

5) JINSA

6) Laman web Washington Institute for Near East Policy

7) AIPAC