Sistem kuota digunapakai sebagai suatu mekanisme untuk memilih pelajar ke universiti tempatan mulai tahun 1970. Kali terakhir sistem kuota digunakan ialah dua tahun lalu.

Sistem kuota ini adalah sebahagian daripada inti Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan oleh kerajaan untuk menyusun semula masyarakat dengan cara merapatkan jurang sosio-ekonomi di antara kaum.

Di bawah sistem kuota ini pembahagian tempat ke universiti tempatan dibuat berdasarkan kepada pemberian kuota 55 peratus bagi bumiputera, 35 peratus kaum Cina dan 10 peratus kaum India.

Perlaksanaan sistem kuota ini berkait rapat dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang antara lainnya memberikan hak dan kedudukan istimewa buat orang Melayu dan Bumiputera berhubung dengan pembahagian biasiswa dan kemudahan pendidikan.

Di sepanjang tempoh 30 tahun sistem kuota ini digunakan, ianya tidak sunyi daripada kritikan yang membangkang dan juga tidak lekang dari pandangan yang menyokong. Di sepanjang tempoh perlaksanaannya perdebatan tentang sistem kuota ini sering dilihat di dalam kerangka perkauman.

Sistem kuota ini dihujahkan sebagai suatu sistem yang tidak adil dan bersifat diskriminasi terhadap bukan bumiputera. Mereka berhujah mewakili kepentingan kaum masing-masing sehingga akhirnya sistem kuota ini menjadi salah satu penyebab lahirnya bibit-bibit rasa tidak puas hati di antara kaum, terutamanya kaum Cina dan India terhadap kaum Melayu.

Dan rasa tidak puas hati ini tidak pula dibincangkan secara terbuka dan jujur oleh masyarakat kita. Ianya umpama sampah-sarap yang bertaburan di lantai yang kemudiannya disapu ke bawah tikar.

Sistem kuota

Lantai nampak bersih tetapi apabila tikar diangkat akan terserlah segala sampah-sarap yang terkumpul sejak sekian lama. Rasa tidak puas hati yang tumbuh hasil perlaksanaan sistem kuota yang dianggap bersifat diskriminasi ini berkembang menjadi seakan-akan dendam dan prejudis yang akhirnya semakin menjarakkan hubungan antara kaum di negara kita ini.

Setelah 30 tahun masyarakat dan mahasiswa kita mengusung barah sistem kuota ini, ia akhirnya dipotong dan dikuburkan oleh kerajaan pada 2002 apabila Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad mengumumkan bahawa sistem kuota digantikan dengan sistem meritokrasi.

Penghapusan sistem kuota ini ini dilakukan setelah ianya mendapat banyak kritikan, terutamanya daripada pemimpin-pemimpin parti pembangkang kaum Cina dan desakan pemimpin-pemimpin parti komponen kerajaan Barisan Nasional.

Maka, pada tahun lalu, bermulalah era baru di mana kemasukan pelajar ke universiti tempatan ditentukan melalui usaha, kebolehan, keupayaan, kecerdasan dan kepintarannya sendiri.

Atau dalam erti kata lainnya - seseorang pelajar itu dinilai kelayakannya untuk memasuki universiti melalui keputusan peperiksaannya tanpa mengira warna kulit, kaum, budaya dan agama.

Sekali pandang, ia merupakan suatu sistem yang paling ideal, demokratik dan adil. Walaubagaimanapun apabila diteliti dengan lebih mendalam, ternyata sistem meritokrasi ala kerajaan Malaysia ini ada cacat-celanya. Barah sistem kuota yang baru sahaja dipotong dua tahun lalu, kini tumbuh semula dengan bertopengkan meritokrasi yang tiada bezanya dengan barah lama.

Golongan miskin

Kedua-duanya sama tidak adil, sama berat sebelah dan sama bersifat diskriminasi. Secara kasarnya terdapat dua bentuk diskriminasi yang terhasil daripada perlaksanaan sistem meritokrasi ala kerajaan Malaysia ini.

Yang pertamanya, diskriminasi terhadap bukan bumiputera dan yang keduanya, diskriminasi yang melangkaui batas kaum, agama dan budaya; iaitu diskriminasi kepada orang miskin dan golongan berpendapatan rendah serta orang cacat.

Diskriminasi kaum boleh ditinjau dari sudut jenis peperiksaan yang digunakan sebagai kayu pengukur untuk menilai kelayakan seseorang pelajar itu. Ternyata di dalam perlaksanaan sistem meritokrasi ini, pemilihan pelajar untuk program ijazah pertama di universiti-universiti tempatan dibuat berdasarkan peperiksaan yang berbeza-beza.

Secara asasnya, terdapat tiga jenis peperiksaan - Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) selepas dua tahun belajar di Tingkatan 6 yang membabitkan Pemeriksa Luar dari Lembaga Peperiksaan Universiti Cambridge, England.

Keduanya ialah kursus Matrikulasi yang hanya memerlukan tempoh setahun pengajian dengan sistem peperiksaan dalaman mengikut semester; manakala yang ketiganya ialah kursus Asasi yang juga memerlukan tempoh setahun pengajian dengan sistem peperiksaan dalaman mengikut semester juga.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini, jumlah pengambilan pelajar bumiputera untuk program ijazah pertama bagi sesi June 2003 ialah 23,182 orang, yang majoritinya dipilih daripada calon peperiksaan Matrikulasi dan Asasi. Manakala jumlah pelajar Cina pula ialah 11,921 orang dan 1,931 lagi pelajar India yang majoritinya dipilih dari calon peperiksaan STPM.

Bukan bumiputera

Secara kasarnya majoriti pelajar bukan bumiputera (terutamanya Cina dan India) perlu melanjutkan pelajaran selama dua tahun ke tingkat 6 sebelum menduduki peperiksaan STPM yang sememangnya lebih sukar, berbanding pelajar bumiputera yang hanya perlu bergelut setahun sebelum mengambil peperiksaan dalaman Matrikulasi atau Asasi yang secara relatifnya lebih mudah dan senang.

Justeru, tidak hairanlah jika jumlah pelajar bumiputera yang berjaya ke universiti tahun ini meningkat daripada 22,557 tahun lalu kepada 23,182 tahun ini. Dan pertambahan 60 peratus ini telah melangkaui kadar 55 peratus yang ditetapkan mengikut sistem kuota.

Pertambahan kemasukan pelajar bumiputera ke universiti tempatan pada lalu dan tahun ini, bukanlah kerana merit mereka sahaja tetapi kerana mereka dipilih melalui suatu sistem peperiksaan yang lebih senang dan mudah serta tempoh singkat tempoh pengajiannya berbanding dengan STPM.

Dan mahu tidak mahu kita harus mengakui dengan jujur bahawa sekali lagi pelajar bukan bumiputera didiskriminasikan melalui sistem meritokrasi ala kerajaan Malaysia ini.

Adakah cara pemilihan kemasukan pelajar ke universiti dengan menggunakan sistem dan jenis peperiksaan yang berbeza-beza ini adil dan saksama?

Diskriminasi kedua pula ialah diskriminasi terhadap orang miskin dan golongan berpendapatan rendah serta orang-orang cacat.

Mereka yang menyokong sistem meritokrasi ini biasanya akan meletakkan persaingan sebagai sebab mengapa mereka menyokong sistem meritokrasi. Persaingan akan menggalakkan pelajar untuk berusaha dengan lebih keras, berlumba dengan lebih maju dan belajar dengan lebih rajin lagi.

Tahap kepintaran

Dengan kata lain, sistem meritokrasi menggalakkan persaingan positif dalam menghasilkan pelajar yang benar-benar berkualiti. Siapa yang lebih berusaha dan lebih rajin mempunyai yang lebih cerah untuk mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.

Dengan itu sistem meritokrasi diangkat sebagai sistem yang tidak bersifat diskriminasi kerana pemilihan dibuat benar-benar berdasarkan kepada usaha, kerajinan dan kepintaran seseorang itu tanpa mengira warna kulit, kaum, agama dan budaya seseorang pelajar itu.

Dilihat dari satu sisi, sistem meritokrasi ini seakan-akan suatu sistem yang sangat adil kerana seseorang individu itu diberi ganjaran berdasarkan kepada usahanya. Akan tetapi jika diteliti dengan lebih mendalam, kita akan mendapati sistem meritokrasi ini juga tidak adil dan berat sebelah.

Ini kerana persaingan yang dijadikan asas kepada sistem meritokrasi ini hanya boleh berlaku dengan adil jika persaingan itu dijalankan di atas padang yang rata. Bagaimanapun realiti yang ada dalam masyarakat Malaysia, mahupun dunia sekarang, tidak memungkinkan persaingan itu dijalankan di atas padang yang rata.

Anak seorang peniaga ahli korporat di kawasan perumahan elit Bukit Damansara Kuala Lumpur tentulah mempunyai ruang, peluang, persekitaran dan kemudahan pendidikan yang lebih baik, sempurna dan maju berbanding dengan anak seorang pemotong getah di di ulu Kuala Nerang Kedah.

Begitulah juga anak seorang doktor yang belajar di sebuah sekolah di bandaraya Georgetown, di Pulau Pinang tentulah mempunyai guru, kemudahan persekolahan, kelengkapan pendidikan dan alat bantuan pengajaran yang lebih baik berbanding anak seorang nelayan di kawasan Ulu Tembeling di Pahang.

Penduduk setinggan

Perbezaan ruang, peluang, kemudahan pendidikan dan persekitaran sekolah serta tempat tinggal yang kondusif ini, bukan sahaja berlaku di antara kawasan bandar dan kawasan kampung, tetapi juga di antara kawasan miskin dan kawasan kaya di sebuah bandar yang sama.

Misalnya, pelajar dari keluarga kaya yang tinggal di Bukit Pantai Kuala Lumpur tentunya mempunyai kemudahan pendidikan dan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa daripada pelajar dari keluarga miskin yang tinggal di kawasan setinggan Kampung Kerinci Kuala Lumpur.

Keluarga berada boleh membelanjakan wang untuk kepentingan pendidikan anak-anak mereka seperti menempatkan mereka di pusat-pusat tusyen yang terbaik, mendapatkan khidmat tutor, membeli lebih banyak buku rujukan, alat bantu pembelajaran seperti komputer, CD-ROM pendidikan, audio-visual dan semacamnya, bagi mendapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan.

Tetapi bagaimana pula dengan anak keluarga miskin yang tinggal di perkampungan Orang Asli di Ulu Sungai Woh di Tapah, Perak? Bagaimana dengan anak nelayan miskin di Kuala Kemaman, Terengganu? Atau anak-anak orang Asal di kawasan pedalaman di Belaga, Sarawak? Bagaimana pula dengan anak pemandu teksi yang tinggal di kampung setinggan di Kuala Lumpur?

Bagaimana mungkin anak orang miskin dan golongan berpendapatan rendah ini bersaing di padang yang tidak rata? Ianya seperti meletakkan pasukan bola Manchester United melawan pasukan bola daerah Gombak. Siapa yang akan menang?

Jelasnya, sistem meritokrasi hanya akan memenangkan mereka yang kaya kerana ruang, peluang, persekitaran dan kemudahan pendidikan anak-anak mereka jauh lebih baik dan sempurna daripada pelajar daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

Golongan cacat

Begitulah juga dengan pelajar cacat fizikal. Kenapa mereka juga dimasukkan ke dalam sistem meritokrasi sedangkan secara logiknya, keupayaan mereka di dalam proses pembelajaran lebih sukar dan terbatas, berbanding dengan orang yang sempurna fizikalnya?

Jelasnya, sistem meritokrasi hanya akan memenangkan mereka yang kaya kerana ruang, peluang, persekitaran dan kemudahan pendidikan anak-anak mereka jauh lebih baik dan sempurna daripada pelajar daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

Begitulah juga dengan pelajar cacat fizikal. Kenapa mereka juga dimasukkan ke dalam sistem meritokrasi sedangkan secara logiknya, keupayaan mereka di dalam proses pembelajaran lebih sukar dan terbatas, berbanding dengan orang yang sempurna fizikalnya?

Bayangkan seorang pelajar buta atau pekak atau bisu atau kudung tangannya atau kudung kakinya atau cacat fizikal yang lainnya, terpaksa bersaing dalam satu peperiksaan dengan pelajar yang sempurna fizikalnya - adakah persaingan ini adil dan saksama? Di dalam hal ini, adakah sistem meritokrasi sesuai dijadikan asas kepada pemilihan bagi kemasukan ke universiti?

Kesemua soalan ini penting bagi kita sama-sama memikirkan dan mencari jawapannya supaya barah diskriminasi kaum dan barah diskriminasi terhadap orang miskin dan golongan berpendapatan rendah serta orang cacat tidak terus merebak ke dalam masyarakat kita.

Kalau barah yang terhasil dari sistem meritokrasi yang berat sebelah dan tidak adil ini diteruskan, maka tidak hairanlah jika proses integrasi kaum menjadi bertambah sukar manakala jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin semakin melebar.


Nota: Tuju Malbaru merupakan seorang anak muda yang lahir hasil daripada gerakan demontrasi jalanraya pada tahun 1998. Dia boleh dihubungi melalui alamat email: tujumalbaru@hotmail.com