Hishamudin Rais atau lebih dikenali sebagai Sham sudah terkenal sejak awal tahun 1970an lagi. Liku-liku hidup anak kelahiran Negeri Sembilan ini secara bandingannya, amat berwarna-warni, termasuk yang manis dan yang pahit. Purata hidupnya banyak membujang dan teguh pada pegangan politiknya.

Kisah hidupnya sedikit sebanyak telah dirakam oleh Sheryll Stohard di akhbar talian malaysiakini sebanyak lima bahagian - setiap bahagian jika dicetak akan mengambil lebih kurang tujuh muka surat bersaiz A4.

Sham bagaikan sinonim dengan bekas pemimpin pelajar peringkat pengajian tinggi Malaysia. Hampir semua pelajar pada era 1970an pasti tidak dapat tidak mengenal Isham, apa lagi pihak berkuasa dalam bahagian Cawangan Khas atau Kementerian Dalam Negeri.

Sekarang Sham sudah berusia lebih daripada setengah abad dan baru sahaja keluar tahanan dari Kem Kamunting 'Gulag' versi Malaysia, Taiping selepas ditahan di bawah Akta ISA. Emosinya ketika itu disayat pilu sementara rohaniahnya melawan semua tekanan yang dikenakan.

Semasa remajanya beliau begitu aktif dalam gelanggang politik gerakan pelajar yang menuntut keadilan sosial untuk golongan tertindas, baik para petani, peneroka bandar mahupun menyelar imperialisme Amerika Syarikat.

Perspektif beliau mengenai sesuatu isu sosial itu lebih mirip universal. Beliau faham, dalam sesebuah negara, apatah lagi sebuah negara yang baru merdeka, mempunyai struktur sosial yang mana adanya segelintir elit yang akan menindas terhadap golongan terbesar.

Elit penindas

Elit ini akan mempertahankan golongan yang mempunyai pelaburan dan golongan pelabur pula akan sentiasa menindas golongan pekerja.

Di mana sahaja di dunia ini, khususnya di negara-negara sedang membangun, struktur segelintir elit ini menindas golongan majoriti tetap wujud, cuma dalam bentuk yang mempunyai ciri-ciri yang sama atau yang berbeza antara satu dengan yang lain.

Namun, pada hakikatnya, struktur menindas itu tetap wujud. Dengan kesedaran itu, Sham memilih aktif di kandang universiti melalui pertubuhan mahasiswa untuk memberi kesedaran politik kepada para siswa.

Prestasinya dalam melaksanakan tugas itu begitu cocok sekali. Beliau mempunyai karisma tersendiri, antaranya boleh berpidato di khalayak awam, membangkitkan semangat dan memberi contoh yang baik.

Kita boleh menilai sumbanganya amat besar. Beliau sentiasa diburu oleh pihak berkuasa tetapi dalam banyak saat kritikal beliau dapat membolosi diri daripada tangkapan dan merantau jauh di beberapa negara luar selama 20 tahun sebelum kembali semula ke tanah air yang dicintai.

Dalam tempoh 20 tahun semasa dalam "buangan", banyak perkembangan baik di tanah air mahupun di peringkat dunia telah berlaku. Semasa di luar negara, beliau masih dapat mengikuti perkembangan sosial politik Malaysia walaupun tidak secara menyeluruh.

Sekatan kebebasan

Zaman itu belum ada ICT atau Internet seperti sekarang yang mana maklumat tentang perkembangan baru boleh dikirim di mana sahaja dengan begitu pantas. Tempoh dua dekad boleh dikira lama juga kerana banyak pemimpin pelajar lain telah berubah dengan maksud kurang berminat meneruskan idealisme perjuangan politik yang pernah dianuti dahulu.

Mengikut banyak pandangan, sementara Sham di perantauan, beliau lambat laun turut akan berubah kerana keadaan politik di Malaysia amat melelahkan. Suasana politik negara tidak memberi laluan kepada gerakan menentang kerajaan yang dianggap zalim, korup dan kuat membazir melalui cara yang sah.

Malaysia pun mempunyai terlalu banyak akta yang tidak mengizinkan kebebasan demokratik dalam banyak hal dan sesiapa yang sudi mencabar kerajaan, harus bersiap menerima risiko yang tinggi seperti yang dialami oleh Anwar Ibrahim dan banyak lagi penentang penindasan.

Rata-rata, dalam banyak hal, ramai yang tidak berani melawan arus perdana secara terbuka tetapi dalam pada itu, masih ada segelintir yang berani meneruskan perjuangan demi membawa negara kepada landasan yang demokratik dan adil.

Parti gabungan Barisan Alternatif (BA) adalah satu contoh di mana terdapat banyak pemimpinnya yang masih berterusan mencabar Barisan Nasional (BN) setiap hari, tanpa jemu.

Sham, sekembalinya dari London, tempat terakhir beliau menetap semasa era buangannya, tidak memperlihatkan semangat perjuangannya dengan segera. Beliau sibuk mencebur diri dalam bidang seni filem.

Analisis kritikal

Kemudian muncul fenomena "reformasi" pada akhir tahun 1998 yang menjadi cabaran politik terbesar bagi kerajaan setakat ini. Beliau terus berkecimpung dalam politik walaupun dengan berkonsepkan NGI (Non-government Individual).

Beliau tidak terikat dengan mana-mana badan politik. Beliau aktif menulis perihal politik tanah air dalam akhbar elektronik malaysiakini . Tulisannya mengandungi analisis dan bersifat amat kritikal.

Jika kita menganalisis tulisan-tulisan beliau - pandangan dan huraian serta hujah-hujah yang disertainya - maka kita akan lihat bahawa beliau tidak lari daripada mengkritik tidak lain lagi regim Mahathir Mohamad termasuk mana-mana sistem penindasan yang wujud di luar negara.

Di samping itu juga, beliau menyertai banyak gerakan demonstrasi reformasi. Oleh kerana regim Mahathir melihat pengaruh Sham begitu positif kepada gerakan reformasi, maka itulah sebabnya beliau disumbat di Kem Kamunting bersama beberapa aktivis politik yang lain.

Setakat ini, tiada siapa boleh menyangkal yang Sham memang belum lagi meninggalkan pegangan politik dan terus memperjuangkannya melalui wadah media elektronik, seni mahupun secara terus turun ke padang.

Pendek kata semangat dan idealismenya masih kuat membara dan belum lagi luntur. Sememangnya kita harus tabik kerana dia merupakan salah seorang bekas pemimpin pelajar yang tidak terserap lagi dalam dunia birokrasi atau dagangan.

Sokongan merosot

Setakat ini, beliau masih tidak mempunyai apa-apa harta benda, malahan sewa biliknya turut tidak terbayar selepas di tahan di bawah ISA. Kalau Malaysia mempunyai dua tiga sosok manusia seperti Sham agaknya, pening betul pihak polis dan kerajaan Malaysia, dibuatnya.

Perjuangan Sham, seperti perjuangan lain yang menentang regim Mahathir yang sedang berada dalam keadaan yang penuh debaran. Adakalanya gerakan reformasi sedang dalam bahaya dan adakalanya dalam keadaan yang masa depannya amat positif.

Ada pendapat mengatakan yang Mahathir, oleh kerana terlalu sibuk mengejar pertumbuhan ekonomi dan membentuk golongan bilioner bumiputera, entah macam mana telah terperosok ke dalam suatu sudut dan amat sulit pula untuk keluar daripada obsesi itu.

Sokongan orang Melayu terhadap Mahathir sudah berkurangan, projek pembentukan orang kaya-raya Bumiputranya agak gagal, hutang-piutang kroni-kroninya begitu mencemaskan manakala penunjuk ekonomi tidak memberangsangkan. Bagaimana beliau hendak menyelesaikan masalah besar itu tanpa reformasi dari segi politik dan ekonomi yang hakiki?

Balik kita kepada sosok manusia Sham ini dan kita mendapati satu gambaran bahawasanya di kalangan ramai pemimpin pelajar, ada juga segelintir yang muncul berterusan memperjuangan hak-hak demokrasi di tanahair dalam pelbagai bidang.

Sama juga di saat-saat kita memperjuangkan hak, tiada seorang hakim negara selepas pemecatan Tun Salleh Abbas, yang berani membuat keputusan yang melawan arus perdana, khusus yang berkaitan dengan kerajaan. Maka muncul seorang susuk manusia seperti Hakim Mohd Hishamudin Mohd Yunus.

Risiko

Hakim Mohd Hishamudin mentafsir undang-undang ISA secara kreatif dan cerdik, berpandukan semangat Perlembagaan Negara. Di bidang sastera pula, di antara ramai sasterawan negara, muncul seorang hamba sasterawan Shahnon Ahmad yang membelasah Mahathir secara satira dalam bukunya yang penuh kontroversi 'SHIT'.

Dalam kumpulan Ahli Lembaga Pengarah Utusan pun ada susuk manusia yang bersimpati dengan perjuangan reformasi. Raja Ahmad Aminnullah Raja Abdullah yang telah mengambil inisiatif menyokong dan meminta dipertimbangkan hak rawatan Anwar Ibrahim di luar negara bersama 108 tokoh lain, telah diminta melepaskan jawatan atau memohon maaf kepada Mahathir.

Beliau memilih untuk meletak jawatan. Tidak lama dahulu, ada sekumpulan wanita telah menunjuk perasaan menentang Akta ISA. Perkara begini memang belum pernah berlaku di tanahair kita. Ada ramai lagi yang berani mempamerkan keberanian menunjuk prinsip yang tidak mengiakan sahaja kehendak kerajaan dan menerima pelbagai bentuk risiko.

Sham semasa di Kem Tahanan di Kamunting tidak sedikit melunturkan prinsip politiknya. Dia tidak menjual jiwanya dan mengaku kalah kerana beliau tahu yang perjuangannya turut sama diteruskan dalam banyak bentuk oleh individu-individu lain pada saat ini.

Sham mungkin yakin yang gerakan reformasi sedang menuju ke ambang kejayaan. Sham sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada gerakan reformasi dan gerakan pelajar kini. Sebaik sahaja bebas, beliau terus memperjuangkan supaya ISA dihapuskan kerana itu suatu undang-undang yang palin zalim pernah wujud di atas bumi ini.


RAMLI ABDUL SAMAD adalah seorang pustakawan di sebuah universiti tempatan. Beliau mengisi masa lapangnya untuk menulis mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan isu-isu sosial.