Hampir satu abad lalu, pujangga Inggeris, Rudyard Kipling menungkapkan sikap manusia Barat mengenai paradaban Timur dan Barat yang mustahil dapat dipertemukan.

Manakala diamati, ia tidak merujuk kepada tahap budaya yang sama agung, malah ia tercerna daripada keangkuhan penjajah Inggeris yang ketika itu gagah perkasa menakluki hampir setengah dunia.

Kekejaman penjajah dan faham budaya yang mencemuh budaya lainnya hanya menambah kebencian rakyat terjajah dan memperkuat tekad mereka berjuang menentang penjajahan.

Perjuangan yang luhur ialah menolak kezaliman dan kekejaman penjajah dengan menuntut kebebasan serta kemerdekaan. Namun, sejak awal lagi terdapat kekeliruan di antara penentangan terhadap penjajah dan dan kebencian terhadap bangsa kulit putih.

Kalangan nasionalis progresif, gerakan Islam, golongan sosialis dan kiri umpamanya menekankan mengenai perjuangan menuntut kebebasan serta keadilan dan bukannya percaturan politik perkauman sama ada isu kaum-kaum dalam Malaysia atau Eropah.

Yang ditentang bukannya wajah bangsa atau kaum tetapi tindakan zalim yang menindas, sama ada kuasa asing atau tempatan termasuk pemerintah pribumi negara merdeka.

Pergelutan

Pejuang nasionalis terkemuka di tahap awal termasuk Sukarno, Nkrumah, Nehru dan Chou En Lai mempelopori gagasan 'paksi ' negara-negara membangun, mereka berhasrat memperkukuh sistem dan ekonomi negara membangun yang terpaksa menghadapi imperilisma Barat yang bercita-cita untuk terus mempertahan kekuasaan melalui konsep neo-kolonisma.

Maka Presiden Sukarno mengambil inisiatif utama dengan menjayakan sidang Afro-Asia di Bandung pada tahun 1955. Malangnya tindakan susulan dan rencana konkrit tidak dapat dihasilkan; di antara lain kerana pergelutan berlarutan di negara-negara baru merdeka dan kekuatan ketenteraan serta ekonomi dunia yang diketuai negara-negara Barat.

Masa berlalu dan negara-negara membangun dengan berbagai pendekatan menyertai wadah baru NAM (Negara-Negara Berkecuali) yang lebih kendur dalam sikap terhadap imperialisma.

Beberapa negara utama terpalit dengan kotoran jenayah pembunuhan dan penindasan terhadap rakyat sendiri termasuk China, Yugoslavia, Ghana dan Indonesia. Idealisma yang dicetuskan dengan gema menentang kezaliman kembali pudar dan menjadi slogan omokan yang kurang bermakna.

Keangkuhan kuasa besar diakui sementara rasuah dan kezaliman di kebanyakan negara membangun membiak dan melebar bagaikan barah yang parah. Rakyat di negara Islam dan membangun masih terbelenggu dan mengidamkan negara bebas serta adil yang dilaungkan dahulu!

Wajar disentuh di sini bahawa ketika sidang Asia-Afrika 1955 berlangsung, dasar Umno dan Perikatan umumnya dianggap sekutu barat. Sebab itulah maka wakil PAS, Dr Burhanuddin Al Helmy adalah diantara tokoh nasionalis Tanah Melayu yang diundang.

Kuasa asing

Golongan nasionalis progresif ketika itu termasuk PAS, PRM serta Parti Buruh, bahkan Dato' Onn Jaafar sendiri kemudiannya telah tersisih daripada semua rundingan kemerdekaan dengan pihak Inggeris.

Satu dasawarsa berikutnya, Sukarno menggemparkan rantau Asia tenggara dengan melancarkan konfrontasi terhadap gagasan pembentukan Malaysia. Beliau mendakwa negara baru ini adalah agenda Inggeris untuk meneruskan neo-kolonisma di Asia tenggara, terutama dengan meluaskan pangkalan tentera asing - Inggeris, Australia dan New Zealand di Malaysia.

Pastinya rakyat Malaysia menentang konfrontasi yang dilancarkan, kerana kita meyakini bahawa mungkin saja terdapat mulihat lain Sukarno. Namun secara objektif, tidak dapat dipertikai kenyataan bahawa ketika itu sikap keras anti-komunis kerajaan Umno-Perikatan bergerak seiring dengan agenda kuasa Barat.

Kalangan nasionalisma progresif mula menerima tekanan kejam kerajaan yang yang disokong oleh kuasa barat termasuk undang-undang keras warisan penjajah Inggeris seperti ISA.

Walhal yang ditentang keras oleh pembangkang dan mahasiswa di tahun-tahun 60'an dan 70'an adalah pencabulan hak dan demokrasi; pangkalan tentera asing; penguasaan asing terhadap ekonomi negara iaitu hampir keseluruhan sektor perladangan, dan penubuhan industri yang menjurus kepada pemerasan tenaga buruh dengan upah rendah tanpa latihan dan pemindahan teknologi.

Pemimpin-pemimpin kerajaan dilihat sebagai pengamal budaya asing dan hanya mendewakan bahasa Inggeris dengan mengabaikan dasar bahasa dan pelajaran kebangsaan serta keperluan bahasa ibunda.

Berani bersuara

Kita akui sesungguhnya terdapat peralihan perlahan sejak akhir tahun 70'an dan lebih ketara di tahun-tahun 70'an, meskipun tidak dalam semua bidang. Malaysia kini kelihatan lebih bebas dan berani menyuarakan pandangan.

Tetapi isu pencabulan hak rakyat dan rasuah yang merebak masih di tahap lama. Maknanya, kegigihan perjuangan rakyat sejak dulu dengan pengorbanan ramai termasuk menghadapi penahanan dan tekanan hidup, telah membuahkan hasil.

Meski pun Umno umunya lebih konservatif dengan amalan feudal, ia tidak dapat selamanya menolak bahang panas tuntutan pembaharuan oleh rakyat. Walhal apa yang selalu diungkapkan dengan panjang lebar oleh Dr Mahathir Mohamad, selaku presiden, telah dihuraikan sebahagiannya oleh bapa-bapa pejuang nasionalis progresif lebih setengah abad lalu.

Hanya kita harus berwaspada dengan kekeliruan di antara nada perkauman atau rasis yang menentang bangsa Eropah atau perjuangan menentang kezaliman. Kita tetap mencabar keangkuhan kuasa besar, terutamanya Amerika Syarikat sepertimana kita harus dengan konsisten menuntut kebebasan rakyat dan menetang kezaliman di negara membangun.

Sebagai rumusan, perlu kita simpulkan bahawa melanjutkan gagasan pertembungan Timur dan Barat; bangsa kulit putih dan kulit berwarna; atau pertembungan peradaban seperti mana yang ditekan oleh Samuel Huntington adalah fahaman jumud dan merugikan manusia.

Saya masih ingat ketenangan ulama, Sheikh Abul Hasan Ali Nadwi tatkala mengulas hujah Rudyard Kipling menegaskan prinsip keadilan dan kesejagatan Islam.

Allah SWT menjadikan bangsa dan budaya yang berbeza untuk saling mengenai dan menghormati. Dan sesungguhnya, Timur dan barat adalah kepunyaan Allah. Yang dituntut ialah supaya kita menegakkan keadilan dan kebenaran.


Anwar Ibrahim adalah bekas timbalan perdana menteri Malaysia yang kini menjalani 15 tahun hukuman penjara atas kesalahan meliwat dan salahguna kuasa - hukuman yang mendapat bantahan masyarakat dunia.