Mahasiswa sekarang dilayan bagai pelajar sekolah - dari program pelajar hingga kepada cara berpakaian - semuanya kelihatan cuba diatur oleh pentadbir universiti.

Universiti secara asasnya tempat untuk melahirkan manusia yang berilmu. Tetapi, pentadbir universiti sekarang lebih gemar menguatkuasakan perkara yang remeh-temeh, peraturan yang membawa perubahan luaran sahaja. Malah peraturan yang dibuat itu, telah menyulitkan mahasiswa untuk mendalami ilmu.

Lihat siri perubahan terbaru di Universiti Putra Malaysia (UPM) sekarang, seperti yang dilaporkan oleh Tribunputra (1 Jun), akhbar rasmi universiti ini. Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa (HEM) menguatkuasakan etika pakaian.

Pihak HEM telah melancarkan kempen besar-besaran. Poster, sepanduk dan gesaan berulang kali oleh fasilitator dalam sesi suaikenal pelajar baru. Dalam akhbar tersebut, peraturan pakaian diperkenalkan untuk memastikan mahasiswa tidak berpakaian "menjolok mata" dan dapat menunjukkan "identiti kemahasiswaan".

Dalam poster itu, ditunjukkan contoh pakaian mahasiswa yang dianggap sopan dan beridentitikan mahasiswa, antaranya, baju berkolar, berkasut, dan seluar bukan jeans yang dianggap wajar dipakai. Manakala pakaian lain, seperti kasut selipar, baju tidak berkolar dan seluar jeans dianggap tidak bersopan dan tiada beridentiti mahasiswa.

Imej keilmuan

Penguatkuasaan seumpama ini pernah dilaksanakan oleh beberapa universiti tempatan. Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan antara kampus terawal yang memperkenalkan etika pakaian kepada pelajarnya.

Hasilnya, jika berkunjung ke kampus ini, kita akan berasa seperti dalam "kem tentera". Pelajar lelaki semuanya ke kuliah dengan berkemeja, berseluar panjang (bukan jeans) dan bertali leher (dengan lambang universiti). Begitu juga di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di mana pelajarnya diwajibkan memakai tali leher pada setiap hari Rabu.

Saya tidak bermaksud untuk mengatakan orang yang berpakaian kemas dengan bertali leher seperti pegawai, tidak baik. Tetapi, sepanjang perlaksanaan peraturan tersebut, tidak pernah pula universiti-universiti tersebut berjaya menaikkan imej keilmuan mahasiswanya. Tidak pernah keluar karya agung yang mampu mencorak dan mengubah masyarakat ke arah yang lebih bermakna.

Sedangkan pada zaman 70-an dan 80-an, universiti tetap dapat melahirkan mahasiswa, yang menjawat tempat penting dalam kerajaan sekarang, walaupun tidak ada etika pakaian ketika itu. Mahasiswa ketika itu mampu menunjukkan sesuatu yang bermakna kepada masyarakat.

Bekas Timbalan Perdama Menteri Anwar Ibarahim, contohnya, dengan idea Islam, berjaya membentuk ruang perbahasan Islam yang besar di Malaysia. Malahan mereka yang menguatkuasakan peraturan itu pula, tidak pernah dibebankan dengan etika pakaian ketika belajar dahulu, tetapi tetap berjaya menjadi profesor dan timbalan naib censelor universiti.

'Perisa' tambahan

Inilah penyakitnya. Kita lebih gemar menilai luaran daripada perkara yang menjadi tunjang kehidupan. Gerakan Islam pula lebih minat menunjuk jubah dan serban, tanpa menanamkan terlebih dahulu aspek asas dalam beragama.

Universiti, nampaknya terbentuk dengan pengaruh persekitaranya. Inilah kebimbangan yang disuarakan Zaini Ujang dalam bukunya Universiti: MendukungTradisi Intelektual Satu Pengalaman sedasawarsa lalu.

Pakaian secara konsepnya adalah untuk menutup bahagian yang dirasakan perlu, yang dibentuk oleh agama, budaya dan persekitaran. Anggota beruniform sahaja yang diwajibkan mematuhi peraturan pakaian sebagai lambang kegagahan.

Tetapi yang perlu kita sedari ialah anggota pasukan uniform tidak hanya wujud dengan pakaian seragam mereka, sebaliknya penuh dengan latihan jasmanim mahupun mental, untuk berhadapan dengan musuh. Imej dalaman sebenarnya, membentuk penampilan segak anggota beruniform.

Kita seharusnya sedar bahawa membentuk manusia berilmu dan matang, tidak akan berjaya hanya dengan menempelkan sesuatu yang kelihatan agung seperti pakaian. Peningkatan ilmu dan pemikiran, harus terlebih dahulu diutamakan, berbanding 'perisa tambahan' yang kurang memberi makna.

Ruang terbuka

Mereka yang ditempelkan tanpa diberikan asas pengetahuan yang kukuh, hanyalah membentuk manusia yang mengalami krisis identiti. Penilaian keilmuan seseorang tidak pernah hanya tertakluk kepada pakaian dan penampilan tetapi sejauhmana seseorang itu memahami sesuatu disiplin keilmuan, kebenaran sejagat dan berguna kepada kemanusiaan.

Pihak universiti seharusnya mengutamakan aktiviti yang menajam pengetahuan mahasiswa. Program ilmu seperti forum, debat dan pembentangan kertas kerja, harus disuburkan tanpa sekatan yang melampau. Ruang yang lebih terbuka mesti dibuka dalam program keilmuan, kerana universiti bukan tempat indoktrinasi, sebaliknya tempat menjadikan manusia yang faham dunia ini.

Universiti bukan hanya membicarakan sesuatu arah ilmu sahaja. Ia sepatutnya membincangkan kesejagatan, kepelbagaian dunia dan kedalaman ilmu. Melalui kaedah keterbukaan, pelbagai perkara dapat dilihat dari sudut yang berbeza, mahasiswa lebih terbuka dan mampu membuat pilihan atas faktor ilmu dan pandangan yang sesuai.

Mereka tidak mudah terikut-ikut dan bermusim-musim menjalani kehidupan. Manusia berilmu akan lebih matang menilai kehidupan. Sebaliknya manusia yang terlatih dengan peraturan hanya menjadi boneka yang tidak punya keanjalan. Tetapi universiti kelihatan cuba mengawal tindakan pelajar termasuk aktiviti bukan akademik mereka.

Perkara remeh

Selaras dengan itu, setiap program yang ingin dibuat mesti memenuhi takwim yang telah disedia dan dipantau oleh pihak pentadbiran, dengan alasan, untuk mengelakkan penyimpangan program dari segi masa dan matlamat.

Langkah ini lebih menekan pelajar, berbanding peraturan lama yang sudah cukup merumitkan. Sebelum ini aktiviti pelajar perlu mendapatkan kelulusan pihak HEM dengan pelbagai karenah birokrasi. Mereka perlu menyiapkan kertas kerja, berjumpa pegawai dan barulah pihak timbalan naib canselor meluluskan, mengikut nasihat pegawai.

Bagi yang rapat dengan pegawai, maka mudahlah untuk menjalankan aktiviti tanpa berdepan dengan perkara-perkara yang remeh dan membosankan. Malahan, mereka juga akan memperolehi kemudahan seperti kenderaan, alatan dan kewangan. Perkara ini berlaku di semua universiti awam.

Berbeza pula bagi mereka yang cuba membincangkan perkara yang agak kontroversi. Mereka sering berdepan dengan halangan untuk menjalankan aktiviti. Panel yang dijemput sering dipilih-pilih supaya tidak kritikal kepada kerajaan. Keadaan yang sedia tidak sihat ini, lebih parah dengan usaha pemantauan yang oleh pihak universiti.

Langkah yang diambil oleh universiti tersebut kelihatan seperti menutup ruang pelajar untuk memikirkan aktiviti mereka sendiri. Memang benar MPP dan persatuan turut mengaris aktiviti mereka untuk dimasukkan dalam senarai takwim.

Berdaya saing

Tetapi jika sesuatu perkara, seperti harga kelapa sawit jatuh, pergolakan politik atau sosial dan penemuan baru sains, apakah masih ada ruang menganjurkan aktiviti untuk membincangkan perkara ini?

Tidak wajar untuk mengatakan penyusunan awal aktiviti pelajar untuk mengelakkan pertindihan, kerana tidak semua pelajar dapat menyertai sesuatu aktiviti pada satu masa. Oleh itu, adalah wajar mereka terpecah-pecah dengan menyertai aktiviti berdasarkan kegemaran masing-masing.

Tidak salah untuk berbicara mengenai perkara yang sama dengan orang yang berlainan. Ruang kebebasan ini lebih mengalakkan budaya berdaya saing yang sihat di kalangan pelajar.

Langkah menghadkan aktiviti ini juga dibimbangi akan menutup ruang pelajar lain untuk beraktiviti apabila ianya hanya dikuasai oleh sebahagian kecil pelajar yang aktif. Sedangkan matlamat universiti adalah untuk memberi ruang kepada semua pelajar untuk membina pengalaman dan menunjukkan kebolehan.

Langkah dan penekanan yang kurang tepat ini dibimbangi akan merosakkan harapan universiti membangunkan manusia yang berilmu, bijak dan berdaya saing. Rumah yang terbina tanpa asas yang kukuh tetapi dengan cat yang mahal, tidak akan tahan lama, runtuh dan tidak berguna. Apa akan jadi dengan universiti kita?


Amir Sari, wartawan sebuah radio-web, adalah bekas aktivis mahasiswa yang memperjuang gerakan pelajar di universiti tempatan. Beliau sering menulis mengenai aspek pergerakan pelajar dan kemahasiswaan. Sebarang komen hantar ke email penulis : amirsari2003@yahoo.com