Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ini merupakan dewa baru di alaf ini. Hampir semua negara yang termampu sibuk untuk menerapkan budaya ICT dalam masyarakatnya. ICT bagaikan tidak boleh dielakkan lagi kerana tanpanya, sesebuah negara itu pasti akan dikira ketinggalan zaman.

Zaman agraria, era perindustrian dan pasca moden telah berlalu dan kini zaman ICT yang berasaskan pengetahuan pula akan menjadi piawaian ikutan jika sesebuah negara itu ingin bersama dengan arus perdana kemajuan global.

Justeru itu semua negara, jika boleh, harus membudayakan unsur-unsur ICT di kalangan warga negara mereka. Pendedahan ICT dilaksanakan dalam keadaan negara yang masih terbagi kepada negara berada ( negara maju dan kaya ) dan tidak berada (negara miskin dan sedang membangun).

Gejala itu digelar sebagai jurang digital. Umumnya negara Asia dan di benua Afrika masih dirundung kesenjangan sosioekonomi. Cuma terdapat beberapa kerat negara sahaja yang boleh dikatakan egalitarian, seperti Singapura dan Jepun dari segi pemilikan Internet.

Bayangkan 75 peratus penduduk Asia mendapat purata RM3.8 saja sehari. Di Eropah dan Amerika Syarikat, di mana kedua-duanya dikategorikan sebagai kawasan maju, ICT mula merubah landskap ekonomi mereka.

Banyak transaksi dagangan dan komunikasi mereka dibuat melalui bantuan ICT. Negara maju sudah mempunyai asas-asas kukuh untuk mengembangkan dan memanfaatkan sepenuhnya potensi ICT. ICT mempercepatkan proses transaksi dan dengan itu, banyak menyelamatkan masa, sekaligus meningkatkan produktivi.

Kedaifan rakyat

Dalam konteks pembangunan, informasi atau maklumat itu dikira sebagai 'kuasa'. Maknanya, maklumat, setelah diproses, boleh menjadi antara senjata kuat untuk sesuatu agenda, seperti meruntuhkan sebuah regim kerana maklumat boleh mencelikkan rakyat atau memberi kesedaran sosial.

Rejim autoritarian atau separa autoritarian pasca penjajahan, faham potensi informasi yang tepat dan kritikal kepada rakyatnya, yang boleh menjejaskan masa depan mereka. Mereka sedar akan hubungan antara penguasaan ke atas informasi dan kuasa politik.

Pendeknya, jika masyarakat dalam sesebuah negara itu telah sedar setelah memperolehi maklumat atau informasi, maka wajarnya mereka akan meminta perubahan sosiopolitik. Jadi sesebuah regim yang bersandarkan kuasanya kepada kedhaifan masyarakatnya - yakni masyarakatnya tidak mempunyai banyak maklumat mengenai kepincangan pentadbiran - tidak boleh memandang remeh ledakan maklumat maya.

Internet boleh menjadi cabaran utama bagi setiap kerajaan di Asia atau dunia sedang membangun yang lain. Penguasaan informasi menjadi kunci pertama dalam penerusan kuasa politik bagi sesebuah kerajaan atau pemerintah.

Jika tidak adanya kawalan terhadap pengaliran maklumat, khasnya yang berbentuk analisis dan kritikal, maka kealpaan itu boleh memungkinkan terjejasnya kestabilan politik kuasa elit yang memerintah. Lambat laun, negara yang mempunyai kecenderungan pemerintahan autokratik atau kuku besi, akan tergugat kerana rakyatnya akan mendesak pembaharuan.

Sebagai contoh, tatkala Suharto mengambil kuasa pada pertengahan 1960-an, beliau menyumbatkan tidak kurang 100,000 karyawan, termasuk penulis, penggiat sosial, seniman dan ahli kesatuan ke sebuah pulau bernama Buru selama kira-kira satu dekad, semata-mata untuk menafikan mereka daripada menghasilkan sebarang idea kepada masyarakat Indonesia.

Penapisan Singapura

Begitu lama warga Indonesia dinafikan informasi yang tepat dan hidup dalam genggaman kuku besi Suharto selama lebih tiga dekad. Kehadiran ICT telah sedikit sebanyak membantu para penentang Suharto menjatuhkannya pada akhir abad lalu.

Di Singapura pula, kerajaan mengenakan penapisan ketat sekali, selain menggubal pelbagai akta yang tidak sama sekali menggalakkan penyebaran informasi alternatif atau yang bersifat kritikal terhadap kerajaannya.

Meskipun Singapura sekarang dikira sebuah negara maju di segi pemilikan komputer, namun pihak pemerintah masih bertindak mematahkan sebarang informasi alternatif yang berlawanan dengan informasi arus perdana, daripada sampai kepada rakyatnya.

Sebanyak 42 peratus isi keluarganya dihubungkan dengan Internet di mana 59 peratus daripada mereka memiliki komputer. Mengikut laporan akhbar Sydney Morning Herald , isu 29 April 2000, kerajaan Singapura pernah menyemak fail 200,000 komputer peribadi untuk mengesan informasi yang tidak direstuinya.

Tindakan yang melanggar etika itu akhirnya diketahui. Bagi mengelak rasa bersalah serta malu, kerajaan Singapura memberi alasan berbuat demikian untuk mengesan sejenis virus! Namun, pada umumnya, rakyat Singapura masih belum menikmati udara bebas demokratik daripada pemerintahnya, walaupun Singapura dengan Singapore ONEnya ( One Network for Everyone ) merupakan salah satu jaringan komunikasinya yang tercanggih di rantau ini.

Bagaimana pula dengan negara kita? Malaysia ada MSC atau Koridor Raya Multimedia yang menelan belanja lebih kurang RM33.6 bilion di sebuah kawasan seluas 750 kilometer persegi yang merangkumi Menara Berkembar Petronas, KLCC dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Lamanweb

Pihak kerajaan masih binggung bagaimana hendak menangani pelbagai maklumat yang bersumber daripada Internet. Beberapa lamanweb seperti Freemalaysia atau malaysiakini kian merungsingkan kerajaan. Portal malaysiakini , misalnya, telah berjaya menarik hampir 150,000 pengunjung setiap hari.

Portal ini bagaikan sumber alternatif kepada informasi kepada media massa bercetak, mahupun elektronik arus perdana. Selain itu, tidak kurang 30 lagi lamanweb, turut menjanakan informasi alternatif selain dari pihak kerajaan.

Malaysia mempunyai 23 juta penduduk di mana kira-kira dua juta daripadanya mempunyai akses kepada Internet, kebanyakan di kawasan bandar dan daripada golongan kelas menengah.Terdapat 9 juta pekerja di Malaysia yang kebanyakannya masih tidak memiliki komputer.

Komputer masih merupakan satu barang mewah di kalangan kelas menengah. Negara Burma dan Korea Utara mengambil jalan paling mudah sahaja - dengan mengharamkan sama sekali penggunaan Internet.

Amat sukar sekali bagi rakyat Burma mahupun Korea Utara untuk mengikuti perkembangan semasa dunia dan mereka akan terus terpaksa hidup seperti katak di bawah tempurung untuk sekian lama lagi.

Negara China pula mahu semua lamanweb didaftarkan terlebih dahulu dan kerajaan tidak teragak-agak mengguna undang-undang jenayah untuk mengawal akses maklumat yang dikira mengancam ketenteramam negara komunis itu.

Kuasa rakyat

Filipina dijangka mengikuti langkah perlaksanaan pembangunan infrastruktur informasi tingkat tinggi bersama Singapura. Filipina terkenal dengan 'kuasa rakyatnya' dan ruang kebebasan bersuara yang lebih tinggi berbanding dengan negara-negara jirannya.

Filipina masih dihimpit masalah ekonomi dan perkembangan ICT di sana masih pada tahap memantapkan prasarana. Namun, kerajaan Filipina seperti India atau Thailand masih tidak mempunyai cadangan untuk mengawal atau menapis isi kandungan yang tidak mirip kepada garisan rasmi negara itu.

Jepun pula mempunyai rencana Japan Information Highway yang akan menghubungkan tidak kurang 80 juta pelanggan di kawasan perumahan dan pejabat, melalui talian optik sepenuhnya menjelang 2010. Jika dibanding dengan negara lain di Asia, Jepun nampaknya agak liberal di segi mengenakan sekatan atau penapisan aliran Internet.

Jepun, negara termaju dan kesenjangan sosioekonominya tidaklah begitu ketara seperti negara-negara lain di Asia. Mengikut Laporan Sans Frontieres ( 2001 ) terdapat 20 negara di Asia yang tidak memberi laluan maklumat bebas melalui Internet.

Regim di negara-negara berkenaan, sama ada menapis secara total atau mengenakan penapisan dengan kadar yang tinggi, terhadap pengaliran maklumat. Negara-negara berkenaan termasuk Kirghizia, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan, Belarus, Burma, China, Cuba, Iran, Iraq, Libya, Korea Utara, Saudi Arabia, Sierra, Sudan, Syria, Tunisia dan Vietnam.

Negara-negara di atas sering menggunakan alasan bahawa maklumat yang menyentuh prestasi regimnya dikira sebagai " idea-idea subversif "' dan harus dikawal untuk menjaga "keharmonian dan keselamatan negara" walaupun pada hakikatnya ia sebenarnya bertujuan untuk menjaga status quo elit yang memerintah.

Simbol kemodenan

Perkembangan terkini mungkin tidak banyak beza dengan keadaan dua tahun yang lalu.

Sekatan awal dibuat dengan meminta semua akses ke Internet harus melalui Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) yang dikendalikan oleh pihak kerajaan. Hampir kesemua ISP adalah milik kerajaan di negara-negara yang disebut di atas.

Sekatan ketat atau mengharamkan sama sekali akses maklumat tertentu, khususnya maklumat di Internet yang tidak sebulu dengan kehendak elit berkuasa, adalah untuk menghalang rakyat memperolehi informasi yang mungkin boleh diguna untuk menentang kerajaan yang berciri kuku besi.

Internet memberi maklumat dengan cepat dan terus, tanpa melalui parti pemerintah terlebih dahulu dan pengguna Internet boleh berhubung terus dan ini memberi mereka kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara secara meluas lazimnya tidak direstui mana-mana pemerintah yang bersifat autoritarian di mana sahaja di atas bumi ini.

Semua pemerintah mahukan teknologi terbaru dalam komunikasi tetapi pada masa yang sama, tidak rela pula menerima hakikat yang rakyatnya harus mengalami perubahan minda. Padahal hukum sosial ialah rakyat seharusnya ada pilihan bagi kerajaan alternatif, sekiranya pemerintah tidak lagi upaya memenuhi hasrat rakyat.

Lazimnya pemerintah autoritarian mahukan simbol moden seperti adanya lebuhraya komunikasi di satu pihak , tetapi rakyat harus setia pula kepadanya dan menerima tanpa soal, sama ada pemerintahanya korap atau lebih mementingkan segelintir elit daripada majoriti rakyat.

Kehadiran ICT di Asia masih tidak menyeluruh. Negara-negara miskin yang lain masih tidak mengenal apa itu Internet. Yang berpeluang memiliki komputer, masih lagi golongan tertentu. ICT masih milik orang yang berada.


RAMLI ABDUL SAMAD adalah seorang pustakawan di sebuah universiti tempatan. Beliau mengisi masa lapangnya untuk menulis mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan isu-isu sosial.