Menjana politik tidak perkauman
Pada 3 haribulan Ogos baru lalu, sebuah wadah baru telah dilancarkan dalam arena politik tanahair. Parti Keadilan Rakyat meneroka tradisi politik baru dengan menawarkan diri sebagai parti politik tidak perkauman kepada rakyat.
Bukan saja anggota dan pimpinannya terdiri daripada pelbagai kaum, bahkan dasar perjuangannya berlandaskan cita-cita yang merintasi garis kaum. Cita-cita parti ini ialah untuk memperjuangkan nasib semua rakyat, terutama sekali golongan majoriti yang masih terpinggir, hidup susah, ataupun tertindas dalam pelbagai cara.
Ada pihak mengatakan para pemimpin parti baru ini mengambil satu langkah yang berani akan tetapi berbahaya, dengan mencorakkan parti ini sedemikin rupa. Dalam perbincangan awal, sekumpulan minoriti berpendapat penubuhan sebuah parti terbatas kepada hanya satu kaum Melayu lebih baik.
Mereka mengatakan tradisi dan proses politik negara masih kuat dipengaruhi faktor kaum. Mereka berkata sebuah parti Melayu boleh dikemukakan dengan lebih mudah dan jelas sebagai pilihan ganti kepada Umno untuk pengundi Melayu. Lagi pula, mereka berpendapat parti tidak perkauman mungkin susah hendak mendapat sokongan dari mana-mana kaum pun.
Namun demikian majoriti yakin bahawa pilihan terbaik ialah untuk memilih jalan membentuk sebuah parti pelbagai kaum. Ini lebih bijak kerana kedua-dua parti yang dicantumkan untuk menjadi parti baru ini Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Keadilan - memang sudah bercorak pelbagai kaum. Jikalau mereka mengambil jalan membentuk parti satu kaum, maka ini akan merupakan tindakan susut ke belakang.
Parti ini bertujuan untuk berusaha mendapatkan sokongan semua kaum, bukan satu kaum saja. Lagi pula ia bercita-cita untuk mengemukakan dasar yang boleh menyatukan dan bukan memecahbelahkan kaum di negara ini.

Peristiwa berdarah
Perjuangan politik melalui parti tidak perkauman lebih sesuai, kerana dalam jangka panjang, ini sahaja cara terbaik untuk menggalak perpaduan serta integrasi, dan mengelak perpecahan rakyat dan negara.
Malaysia sudah lama merdeka. Tetapi perpaduan kaum dan integrasi nasional masih belum lagi tercapai. Selepas peristiwa berdarah khusus di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969, dua langkah penting telah diambil oleh pemerintah.
Pertama, mengisytiharkan Dasar Ekonomi Baru untuk meggalakkan perpaduan nasional dengan menghapuskan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Kedua, meluaskan lagi Perikatan untuk menerima lebih banyak parti (termasuk parti pembangkang) bagi membentuk Barisan Nasional, yang mahu dikemukakan sebagai barisan tidak perkauman.
Namun begitu, kedua-dua langkah ini gagal mengasaskan perpaduan kaum dan integrasi nasional, walaupun Malaysia sudah merdeka 46 tahun dan peristiwa 13 Mei (
kanan
) sudah 34 tahun berlalu.
Ada tanda-tanda jelas menunjukkan perpisahan atau pengasingan kaum semakin serius sekarang, walaupun belum lagi menimbulkan suasana ketegangan yang boleh mencetuskan konflik kaum.
Kita mengharapkan peristiwa 13 Mei tidak akan berulang. Kita yakin rakyat sendiri tidak mahu ia berulang, kerana banyak sekali kepentingan serta kesenangan hidup yang akan hilang melayang. Lagi pula mereka melihat betapa susah dan bahayanya keadaan apabila konflik atau perang berlaku.
Mencanai perpaduan
Akan tetapi, berapa lamakah keadaan aman dan tenang dapat dipertahankan? Kita bimbang jikalau keadaan ekonomi semakin merosot, hubungan kaum dalam negara akan bertambah meruncing. Selepas itu, lebih susah hendak mengawal suasana.
Dasar-dasar yang dijalankan oleh pemerintah Umno-BN tidak membantu untuk mencanai perpaduan dan integrasi. Rancangan-rancangan melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan.
Akan tetapi, teras kemiskinan masih wujud dalam masyarakat kampung, ladang dan 'setinggan'. Pimpinan pemerintah lebih mengutamakan usaha membentuk segelintir orang kaya baru di kalangan suku-sakat mereka daripada menegakkan kebajikan di kalangan rakyat ramai.
Mereka ini berjaya mengkayakan diri sendiri, tetapi merugikan syarikat-syarikat besar yang diamanahkan kepada mereka. Kemunculan orang kaya baru melebarkan lagi jurang perbezaan sosio-ekonomi di kalangan masyarakat Melayu sendiri.
Tambahan pula ia merangsangkan perasaan tidak puas hati di kalangan sesetengah orang bukan-Melayu, yang merasakan peluang mereka semakin terbatas, walaupun ada segelintir di kalangan mereka turut menjadi mahakaya sebagai kroni terpilih.
Sungguhpun para pemimpin Umno-BN berbangga dengan barisan yang mereka dakwa sebagai bercorak tidak perkauman, namun mereka sentiasa dihantui oleh faktor kaum yang sempit. Umno berpura-pura memperjuangkan ketuanan Melayu untuk mendapat sokongan orang Melayu, MCA dan MIC pula berlakon memperjuangkan hak kaum Cina dan India.
Dasar pecah dan perintah
Akan tetapi, yang berkuasa sebagai tuan, yang menjadi kaya raya dan yang mempunyai lebih banyak hak daripada rakyat biasa adalah terdiri dari sebilangan kecil di atas. Untuk terus berkuasa dan berpengaruh, golongan atasan politik dan ekonomi ini menjalankan dasar pecah dan perintah warisan dari penjajah.
Lihat saja apa yang berlaku dalam setiap pilihanraya. Gertakan perkauman dan ugutan tumpah darah sentiasa digunakan untuk mendapat sokongan dan meraih kemenangan. Media dan alat-alat pemerintah digunakan sepenuhnya untuk menjayakan stategi ini.
Di luar pilihanraya pula mereka membuat pelbagai rancangan yang bertujuan untuk meluaskan pengaruh di kalangan kaum sendiri. Lihat saja, sebagai contoh, usaha MCA dan MIC mendirikan universiti sendiri.
Pemerintah semacam menggalakkan perkembangan ini, tanpa mengambil kira apa akibatnya ke atas sistem pendidikan dan pembentukan negara-bangsa, semata-mata kerana ia menguntungkan dari segi politik.
Manifesto Rakyat
Ia tidak dapat disekat oleh pucuk pemimpin Umno kerana terlebih dulu daripada itu mereka telah mengumumkan kenaikan taraf sebuah institusi pendidikan untuk orang Melayu saja, iaitu MARA, ke taraf universiti sebagai satu langkah menarik sokongan orang Melayu. Tetapi bukankah semua ini akan mengakibatkan jurang pemisahan kaum yang tambah melebar?
Dalam sejarah politik negara yang agak singkat ini, kita telah melihat beberapa usaha untuk menegakkan kerjasama antara kaum bagi membentuk negara-bangsa yang bersatu padu. Semasa penjajahan dulu, terbentuk PUTRA-AMCJA, yang menggabungkan pertubuhan dan individu yang mahu bersatu menentang penjajahan Inggeris. Mereka mengemukakan sebuah Manifesto Rakyat sebagai asas membentuk sebuah negara yang merdeka, bebas dan adil.
Akan tetapi, usaha murni ini berjaya dipatahkan oleh penjajah dengan tekanan undang-undang serta tindakan politik. Dalam kekosongan politik ketika itu, penjajah British menggalakkan penubuhan Umno dan Perikatan, kerana mereka lebih senang dengan parti-parti pro-British yang bakal menganggotainya.
Kepada Umno-Perikatan, British telah menyerahkan kemerdekaan separuh masak, yang mengekalkan negara ini sebagai sebuah neo-koloni, terus dikuasai atau dipengaruhi penjajah dari segi ekonomi, politik, undang-undang serta keselamatan.
Selepas berlaku perpecahan dalam Umno pada 1987, sebuah Gagasan Rakyat ditubuhkan untuk menentang pemerintahan BN. Pada waktu itu, ada harapan untuk melihat persaingan politik di antara dua gabungan yang sekurang-kurang pada bentuk dan juga dasar, bersifat tidak perkauman. Tetapi akhirnya Gagasan berpecah akibat politik perkauman yang dibawa oleh parti-parti komponen utamanya.
Gabungan pembangkang
Sepuluh tahun kemudian, selepas perpecahan Umno, berikutan pemecatan Anwar Ibrahim, satu lagi percubaan dibuat untuk menubuhkan gabungan pembangkang yang baru untuk menyaingi BN, yang dinamakan Barisan Alternatif.
Gabungan ini dilemahkan oleh dasar dan sikap yang berlainan terhadap isu agama, yang diketengahkan untuk meraih sokongan kaum tertentu. Kelemahan yang ditunjukkan oleh parti pembangkang sempat dieksploitasi penuh oleh Umno-BN melalui media yang mereka miliki.
Berlatarkan senario sejarah politik ini, PRM dan Keadilan membuat keputusan bergabung tenaga serta pengalaman untuk menguatkan gerakan tidak perkauman bagi memperjuangkan keadilan, demokrasi, perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
Kita menganggap parti perkauman dan dasar pecah-belah yang diteruskan oleh parti-parti pemerintah adalah salah satu faktor yang menghalang perpaduan kaum dan integrasi nasional. Lebih bahaya lagi ia boleh mengakibatkan konflik bahkan perang kaum dan purak-peranda berpanjangan.
Perlu ditegakkan ialah parti tidak perkauman yang progresif. Langkah berani telah diambil untuk melancarkan Parti Keadilan Rakyat. Semoga parti ini boleh memberikan pimpinan berkesan untuk menjana politik baru di negara kita yang tercinta ini.
Dr Syed Husin Ali adalah timbalan presiden (peralihan) Parti Keadilan Rakyat and presiden Parti Rakyat Malaysia. Artikel ini diterbitkan sebelum ini dalam Suara PRM .

Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.