Industri pelancongan menguris Pulau Redang
Tema mengenai perlunya kelestarian alam sekitar terus menjadi isu popular. Gejalanya sudah berlaku di depan mata - hutan mengundul, kekerapan berlakunya banjir kilat, hujan asid, lapisan ozon semakin menipis, tanah runtuh dan banyak lagi yang boleh menjejaskan kehidupan kita.
Ada beberapa punca berlakunya pencemaran alam sekitar, antaranya ialah proses pembangunan, pembandaran, perindustrian dan juga pelancongan yang berlebihan. Dalam aktiviti pelancongan pula, terdapat industri itu boleh membawa kemudaratan.
Begitu jugalah yang berlaku kepada Pulau Redang, yang merupakan salah sebuah pulau yang memiliki terumbu karang yang terindah di dunia. Terletak di Laut China Selatan, kehadiran terumbu karang bermutu tinggi itu bermakna kawasan itu dipenuhi kehidupan maritim yang mantap seperti ikan, penyu, udang dan ketam.
Terumbu karang adalah satu sistem ekologi yang sensitif, yang telah terbentuk beribu-ribu tahun lalu. Sekali sistem itu dinoda - sama ada oleh kegiatan manusia atau unsur asing - ia akan memerlukan satu tempoh yang lama untuk pulih ke keadaan asalnya.
Di Pulai Redang, kita bagaikan berdepan dengan dua pilihan sahaja -- Kekalkan keasliannya atau membangunkannya? Mana satu harus dipilih? Mungkin jawapannya adalah kedua- duanya sekali. Keindahan alam semula jadi pulau itu yang mempersonakan, penting sebagai daya tarikan pelancong manakala pembangunannya boleh menghasilkan perekonomian kepada Terengganu khususnya dan Malaysia amnya.
Industri pelancongan kini menjadi industri penting negara kerana ia membawa masuk pertukaran asing. Industri pelancongan, sama ada berbentuk perniagaan mahupun bercorak keseronokan menerokai keindahan alam, telah menjadi satu industri yang semakin pesat berkembang.

Kebanjiran pelancong
Tahun Melawat Malaysia 1990 telah meletakkan industri pelancongan sebagai sumber pendapatan ketiga terbesar selepas sektor perkilangan dan petroleum, berbanding kedudukannya di tangga keenam pada tahun 1980-an. Jumlah kedatangan pelancong juga kian meningkat setiap tahun.
Mengikut Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir semasa melancar satu acara pelancongan di Sarawak awal tahun ini, jumlah pelancong ke Malaysia pada tahun lalu, meningkatkan kepada 12.7 juta.
Jika tiada tragedi 11 September, jumlah pelancong mungkin meningkat kepada 14 juta. Justeru, perkembangan pesat sektor pelancongan membuka ruang yang luas dan lebih terbuka kepada pertumbuhan industri lain yang berkaitan, terutama di sektor perkhidmatan.
Industri pelancongan bukanlah suatu industri yang berdiri sendiri, tetapi memerlukan serangkaian industri sokongan lain yang menghasilkan perkhidmatan dan pengeluaran yang berbeza antara satu sama lain.
Tetapi jika diteliti, yang mana lebih tinggi risikonya jika salah satu di antaranya ditiadakan, jawapannya ialah seandainya Pulau Redang kehilangan keindahannya. Tanpa pembangunan yang berkemungkinan besar boleh memusnahkan persekitarannya, ia akan kekal sebagai sebuah pulau yang berdaya menarik pelancong.
Di samping itu, masyarakat umum tidak begitu sedar kesan negatif yang akan ditimbulkan oleh pengusaha projek pembangunan di pulau itu. Kesedaran dan emosi masyarakat secara keseluruhan, misalnya, lebih tersentak kepada persoalan dramatis dan sensasi walaupun semua itu tidak sangat menjejaskan kehidupan kita, jika dibandingkan dengan isu persekitaran.
Penyu sukar ditemui
Para aktivis mungkin terlalu memusatkan perhatian kepada masalah kesan kegiatan pembangunan terhadap ekosistem alam, manakala para pembuat dasar atau keputusan sesuatu pembangunan, lebih melihat sesebuah projek itu dari segi bagaimana mengeksploitasi sumber alam itu bagi mendukung sektor perekonomian.
Amat jarang kedua- dua pihak terbabit cuba menyelami dasar yang menjadi landasan kegiatan pembangunan. Sebuah laporan akhbar lewat tahun 1980-an pernah mengangkat isu yang melanda Pulau Redang dan menyatakan sistem ekologi hutan bakau dan terumbu karang di situ sedang mengalami proses kemusnahan.
Pemaju projek pulau itu tidak peka terhadap kesan kerja-kerja yang menyebabkan hakisan dan pemendapan ke atas 70 peratus daripada hutan bakau di sana. Sebuah rencana dalam The New Straits Times bertarikh 24 Disember 2002, telah merakamkan betapa Pulau Redang "sedang sarat menderita".
Menurut laporan itu, jika pada era 1970-an anda dapat melihat penyu singgah pada waktu tertentu untuk bertelur di pulau itu, kini anda mungkin bernasib baik jika ternampak bayangnya sahaja.
Pada tahun 1980-an, Pulau Redang 'diserang' peminat skuba kerana ia mempunyai terumbu karang bermutu tinggi. Lewat tahun 1996 pula, industri pelancongan mula menapak secara konkrit. Pada tahun 2001, nama PR terus terkenal kerana adanya penggambaran filem Hong Kong Summer Holiday yang dibintangi Riche Ren dan Sammi Cheng yang beraksi dalam adegan cinta di pulau itu.
Kajian UPM
Rumah peranginan untuk menampung kehadiran para pelancong secara beramai-ramai telah dibina. Sebuah lapangan terbang turut dibina. Beberapa kawasan bukit, hutan paya harus dikorbankan, dan susulan daripada tindakan itu, bermulalah proses melukai alam sekitar Pulau Redang.
Alam sekitar di pulau itu terdedah pada proses penghakisan dan pengelodakan. Flora dan fauna berkurangan. Burung kelicap yang pernah kelihatan menari-nari di antara kelompok bunga sudah tidak kelihatan lagi di pulau itu.
Meskipun kajian Universiti Putra Malaysia ( UPM ) pada tahun 1986 mendapati Pulau Redang boleh menerima 350 pengunjung pada satu masa, namun kawalan terhadap peraturan itu tidak diendahkan. Seramai 87,000 pelancong tiba di Pulau Redang pada tahun 2001 - jumlahnya hampir dua kali ganda daripada yang mampu diterima oleh pulau itu, tanpa menjejaskan alam sekitarnya.
Bilangan pelancong terus meningkat kerana dunia sudah mengetahui bahawa Pulau Redang mempunyai terumbu karang bermutu tinggi dan pemandangan yang amat indah. Kehadiran ramai pelancong itu, memerlukan satu sistem pembuangan air, makanan dan bungkusan yang teratur. Perkara ini nampaknya tidak diberi perhatian serius.
Kadar pemendapan sudah meningkat. Kerosakan alam sekitarnya sudah menjadi kenyataan Alam dan persekitarannya dipandang dari segi kepentingan ekonomi, bukan untuk dikenali dan diakrabi. Kita tidak sanggup melihat lagi pencemaran alam sekitar seolah-olah sesuatu yang wajar demi mengaut hasil-hasil pelancongan.
Maka, dengan itu, kita mendengar suara prihatin daripada pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Sahabat Alam, Persatuan Pecinta Alam dan juga parti pembangkang.
Status Taman Laut
Mereka mendakwa projek pelancongan oleh pihak swasta bernilai kira-kira RM342.3 juta di pulau seluas 265.7 hektar itu, akan lebih memudratkan lagi alam sekitarnya, daripada menguntungkan negara, sedangkan ia sudah berstatus Taman Laut sejak 1985, yang harus dihormati.
Ada hujah mengatakan jika alam semulajadi sekadar dipeliharakan tanpa diolah faedahnya untuk negara, akan terbiar begitu sahaja. Kerana itulah manusia mengolah alam sekitar dan dibudibudayakan demi menambah nilai, pekerjaan, produktiviti. Dalam lain perkataan, menjalanakan pembangunan untuk kemakmuran rakyat.
Hujah di atas tidak ditolak oleh para pencinta alam sekiranya diwujudkan keseimbangan di antara ekologi dan pembangunan. Tetapi kita sudah mendengar banyak keluhan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah yang selalu menderita kerana pembangunan yang tidak akur kepada syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Alam Sekitar.
Misalnya, pencemaran air menyebabkan hilang mata pencarian petani atau nelayan di kolam, tambak sungai dan laut. Pencemaran udara, air dan tanah juga boleh menyebabkan hilangnya mata pencarian petani kerana padi, sayur dan buah yang mereka tanam, tidak mendatangkan hasil kerana pencemaran. Ia juga menyebabkan gangguan kesihatan.
Secara keseluruhannya, masyarakat masih bersikap acuh tak acuh dan ianya menjejaskan usaha pencegahan dan pencemaran alam sekitar. Hanya mereka yang sudah mengalami akibat pencemaran itu yang merasai dan menyedari masalah ini.
Oleh itu, perlu direnung semula dan ditanya - industri pelancongan itu untuk siapa sebenarnya? Untuk masyarakat tempatan atau pengusaha swasta? Para pelancong mendapat segala yang memuaskan di tempat peranginan seperti Pulau Redang.
Mereka melepaskan diri daripada kegiatan seharian yang melelahkan di sebuah pulau yang dianggap antara yang tercantik di dunia. Tetapi, sambil menikmatinya, pulau itu turut dilanda kesan-kesan negatif. Jika dalam tempoh satu dasawarsa ini Pulau Redang dilanda perubahan, ketika itu siapa harus dipersalahkan?
RAMLI ABDUL SAMAD adalah seorang pustakawan di sebuah universiti tempatan. Beliau mengisi masa lapangnya untuk menulis mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan isu-isu sosial.