Peraturan haram dalam pilihanraya kampus
Pilihanraya kampus tidak lebih umpama sambutan hari Merdeka bagi kanak-kanak. Sambutan kemerdekaan tahun ini seolah-olah menjadi trend kanak-kanak mengusung jalur gemilang dengan basikal, baik di kota mahupun di desa.
Pilihanraya kampus tidak lebih umpama sambutan hari Merdeka bagi kanak-kanak. Sambutan kemerdekaan tahun ini seolah-olah menjadi trend kanak-kanak mengusung jalur gemilang dengan basikal, baik di kota mahupun di desa.
Ibu-bapa tiada halangan walaupun tindak-tanduk anak-anak ini dalam 'menghargai kemerdekaan' walaupun ianya kadang-kadang merbahaya dan menganggu lalulintas.
Dalam pilihanraya kampus di Malaysia, calon, pencadang, pengempen, penyokong dan pendokong, semuanya macam anak-anak ini. Mereka akan merasa keghairahan, keseronokan dan diakhiri dengan keletihan.
Setiap tahun Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengadakan pilihanraya bagi memilih anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Di atas kertas, MPP akan menjadi badan tertinggi pelajar. Dalam strata persatuan pelajar, MPP juga akan menjadi wakil rasmi universiti di kalangan pelajar, untuk menghadiri sebarang program luar.
Dan pilihanraya itu diadakan pada 4 September lalu di hampir semua kampus awam. Pilihanraya itu akan melalui proses rukun pilihanraya, iaitu mendaftar, berkempen, mengundi dan keputusannya.
Empat perkara teknikal ini wajib dilalui, barulah dinamakan pilihanraya. Kesemuanya harus dijiwai dengan semangat demokrasi.
Alasan akademik
Bagaimanapun, pilihanraya kampus sering diganggu dengan peraturan yang mengguris demokrasi. Ia boleh diukur dengan kelemasan ruang demokrasi dalam aspek-aspek yang disebutkan dalam proses pilihanraya.
Semenjak dua tahun lalu, pilihanraya kampus diperkenalkan dengan beberapa peraturan dan langkah yang menjurus ke arah melalaikan demokrasi.
Dalam aspek pendaftaran, beberapa universiti telah menghadkan pencalonan hanya kepada pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang tinggi.
Universiti Putra Malaysia (UPM) umpamanya, hanya membenarkan mereka yang mempunyai CGPA 2.75, menjadi calon. Beberapa universiti lain, dimaklumkan, akan turut mewartakan peraturan yan hampir sama.
Jika alasan akademik menjadi asas kepada tindakan itu, mengapa pula dibenarkan mereka yang mempunyai pencapaian yang tinggi terlibat dalam pilihanraya kampus? Tidakkah ia akan terganggu prestasi akademik mereka.
Sebenarnya, faktor pembabitan dalam aktiviti kampus, termasuk dalam politik pelajar, tidak pernah dibuktikan secara sah menganggu proses pembelajaran mereka. Memang ada pelajar yang aktif berpesatuan, gagal dan rendah prestasi akademik mereka.
Tetapi hakikatnya ialah perkara itu tidak hanya berlaku kepada pelajar yang aktif berpesatuan. Pelajar yang tidak terlibat dalam sebarang persatuan pun, ramai yang rendah prestasi akademik mereka.
'Undilah saya, ingat buah Bali'
Jika keadaan ini berterusan, MPP akan tidak bermaya kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai kemahuan sebenar untuk bertanding, sebaliknya dipujuk oleh kumpulan-kumpulan tertentu, bagi merebut kerusi MPP. Perkara ini akan melemahkan lagi institusi persatuan pelajar.itu sendiri.
Keadaan ini diberatkan lagi dengan keadaan masa berkempen untuk pilihanraya kampus. Sejak tahun 2002, tempohnya telah dipendekkan kepada tiga hari, termasuk hari mengundi.
Dalam tempoh masa tersebut, agak mustahil bagi calon memperkenalkan diri mereka kepada pengundi yang mencecah puluhan ribu dalam sesebuah universiti, apatah lagi untuk menerangkan secara terperinci wawasan dan halatuju mereka, jika terpilih menganggotai MPP.
Memang benar, calon diberikan ruang untuk berucap kepada umum dengan diuruskan oleh universiti, tetapi mereka sentiasa ditekan dengan pelbagai peraturan yang melelahkan. Setiap calon sentiasa dingatkan jangan menimbulkan perkara `sensitif` seperti mengkritik pentadbiran universiti, kerajaan atau badan luar kampus.
Ini amat tidak logik. Seseorang yang ingin membela pelajar, harus melihat segenap kelemahan untuk diperbaiki, tetapi semua itu tidak boleh dijadi bahan kempen. Perkara seperti keselesaan pembelajaran, mutu penempatan, peraturan yang diperkenalkan kepada pelajar semuanya menyentuh badan di dalam dan luar kampus.
Ironinya, pemimpin kerajaan sering melaungkan yang pelajar boleh mengkritik kerajaan asalkan ianya dibuat melalui saluran yang betul. Jadi di manakah saluran yang betul itu?
Akhirnya, calon yang bertanding akan berucap seperti: "Saya Ali bin Ahmad, pelajar tahun tiga, undilah saya, ingat buah Bali, ingatlah saya". Itulah antara kata-kata yang saya dengar dalam satu sesi kempen yang pernah saya hadiri.
Tiada nikmat
Sebenarnya, terlalu banyak halangan untuk berkempen sehingga sampai ke tahap tidak logik - seperti gambar tidak boleh berwarna, tidak boleh memakai kopiah dan tidak boleh menggunakan gambar yang diambil sendiri.
Dalam satu kes di UPM tahun lalu, seorang calon telah digugurkan kelayakannya untuk bertanding setelah adanya aduan bahawa beliau menggunakan gambar yang telah diambil sendiri. Peraturan ini jelas melanggar asas demokrasi yang sepatutnya menjadi nadi dalam pilihanraya.
Perkara ini juga sebenarnya yang mengundang kehadiran parti dan organ politik luar - baik kerajaan ataupun pembangkang - yang sentiasa mahu mencengkam kegiatan politik kampus.
Apabila institusi pelajar lemah, maka mereka perlukan sesuatu untuk menumpang kelemahan mereka. Dan ini telah membuka ruang kepada organ politik luar masuk ke kampus secara senyap atau terang-terangan.
Akhirnya politik pelajar terjerut dengan tiga perkara - peraturan, kerajaan dan pembangkang. Pemimpin pelajar begitu ghairah dan seronok sewaktu pilihanraya kampus, tetapi hasilnya hanyalah keletihan yang tidak dapat membantu nasib pelajar. Ibarat main kahwin-kahwin, dapat duduk bersanding tetapi nikmatnya tidak dapat dirasai.
Amir Sari, wartawan sebuah radio-web, adalah bekas aktivis mahasiswa yang memperjuang gerakan pelajar di universiti tempatan. Beliau sering menulis mengenai aspek pergerakan pelajar dan kemahasiswaan. Sebarang komen hantar ke email penulis: amirsari2003@yahoo.com

