Perwaja: Sebuah pelaburan yang lebur
Pada 16 Julai lalu akhbar
Utusan Malaysia
menyiarkan sebuah berita yang Badan Pencegah Rasuah (BPR) memberi jaminan tidak akan menutup siasatan terhadap kes rasuah lama, walaupun mengambil masa panjang untuk diselesaikan, termasuk kes Perwaja Steel Sdn Bhd.
Rakyat mahukan penyelesaian bagi kew Perwaja - salah satu projek mega di Terengganu, untuk menghasilkan bahan olahan daripada besi menjadi keluli. Mungkin Dr Mahathir Mohamad ketika itu tidak menyedari sepenuhnya faktor-faktor sebenar yang boleh membangunkan sebuah industri berskala seperti Perwaja untuk terus berdaya saing dan hidup aktif.
Pada 16 Julai lalu akhbar
Utusan Malaysia
menyiarkan sebuah berita yang Badan Pencegah Rasuah (BPR) memberi jaminan tidak akan menutup siasatan terhadap kes rasuah lama, walaupun mengambil masa panjang untuk diselesaikan, termasuk kes Perwaja Steel Sdn Bhd.
Rakyat mahukan penyelesaian bagi kew Perwaja - salah satu projek mega di Terengganu, untuk menghasilkan bahan olahan daripada besi menjadi keluli. Mungkin Dr Mahathir Mohamad ketika itu tidak menyedari sepenuhnya faktor-faktor sebenar yang boleh membangunkan sebuah industri berskala seperti Perwaja untuk terus berdaya saing dan hidup aktif.
Jika kita mempunyai sekumpulan pakar industri berat dan tiadanya gejala rasuah menggoda para pengurus ataupun adanya sekumpulan juruaudit yang tanggungjawab, mungkin projek seperti Perwaja tidak akan gagal.
Semangat yang berkobar-kobar untuk memperkenalkan negara pada industri berat sahaja tidak memadai. Perwaja dibangunkan pada awal 1980-an tetapi enam tahun lalu, Perwaja sudah tidak mampu membayar hutang-hutangnya. Ketika itu, kerajaan berkata Perwaja kerugian kira-kira RM9.9 bilion dan akan berbuat sesuatu untuk menyelamatkannya. Siapa yang akan membayar kerugian ini? Sudah tentunya rakyat Malaysia.
Perwaja ditubuhkan pada 1982 sebagai sebuah projek usahasama Hicom dan Nippon Steel Corp dengan modal sekitar RM1,700 juta. Di bawah kontrak 'turnkey', Nippon Steel membina kilang membakar besi untuk menjadikan besi jenis baru. Malangnya projek itu mengalami masalah kerugian pada pertengahan 1980-an. Pada tahun 1987, salah sebuah loji membakar besi milik Nippon Steel terpaksa ditutup.
Selain Perwaja, projek mega lain juga diinisiatifkan oleh Dr Mahathir, umpamanya projek kereta nasional, Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton) - sebuah projek yang dilindungi kerajaan. Kereta import bersama komponennya dikenakan tarif sehingga 200 peratus. Dengan itu, Proton dapat menguasai kira-kira 60 peratus pasaran tempatan.
Pelaksanaan Afta
Bagaimanapun, penguasaan Proton ini akan tercabar apabila tarif import dihapuskan mulai tahun 2005 di mana pesaing luar, diberi akses lebih luas melalui pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta). Terdapat tidak kurang sepuluh pembuat kereta di peringkat dunia.
Sama juga dengan perusahaan keluli yang dilaksanakan oleh Perwaja. la akan mengalami persaingan dari segi penurunan tarif (tarif boleh dikenakan tidak melebihi lima peratus) pada 2002 ke atas sejumlah produk pertanian dan pembuatan. Proton, di bawah perlindungan ketat kerajaan, dapat meraih keuntungan tetapi tidak pula Perwaja.
Proton dapat bertahan selagi dilindungi kerajaan. Dalam keadaan pasaran yang lebih bebas, maka adalah sulit untuk Proton bertahan dan Dr Mahathir telahpun menyuarakan kebimbangannya di majlis pelancaran kereta jenis Kenari tidak lama dulu.
Walaupun tindakan memulih Perwaja dibuat, namun laporan Akauntan Negara menunjukkan ia masih mengalami tanggungan atau liabiliti lebih RM9.1 bilion pada akhir 1998, termasuk RM5.1 bilion pinjaman dari bank tempatan dan luar negara.
Apa yang tidak berjalan betul di Perwaja? Pengurusan atau ada gejala rasuah? Pihak BPR yang memulakan siasatannya pada April 1996 mengenai dakwaan salahguna kuasa dan pengurusan di Perwaja, tiada memberi apa-apa erti signifikan.
Tiada seorang pun kakitangan Perwaja, sama ada yang telah bersara atau masih bekerja, dikenakan sebarang tindakan walaupun berita buruk mengenai Perwaja kian diketahui kalangan cerdik pandai kita.
Tidak pernah untung
Gemanya akan berterusan dan Dr Mahathir masih yakin Perwaja boleh diselamatkan. Mungkin beliau ada terapi ajaib untuk Perwaja. Dr Mahathir bercadang menjual aset keluli kepada syarikat Maju Holdings Sdn Bhd, tetapi syarikat itu tidak mempunyai pengaruh kewangan, manakala permintaan untuk keluli masih rendah.
Kesudahannya sejak Perwaja ditubuh 21 tahun dulu. tidak pernah membuat keuntungan walaupun seringgit pun! Pada tahun 2000, Perwaja beroperasi satu syif sahaja, mulai jam 10 malam sehingga 8 pagi untuk mengurangkan kos operasi.
Pada tahun yang sama, Perwaja menghasilkan 40,000 tan metrik keluli setiap bulan untuk pasaran tempatan. Jumlah ini merupakan 37 peratus daripada keupayaan sepenuhnya kilang itu yang mampu menghasilkan 1.3 juta metrik tan setahun.
Walaupun berusaha membendung kos, Perwaja tetap mengalami kerugian sejumlah RM35 juta sebulan kerana kos operasi yang tinggi. Bayangkan betapa kerugian itu terus ditanggung Perwaja dan betapa wang rakyat meleleh setiap tahun dari kilang besi keluli bernama Perwaja itu.
Pada satu tahap Dr Mahathir kecewa dengan kemajuan Perwaja, lalu mengambil Tan Sri Eric Chia bagi menyuntik dinamika ke dalam Perwaja. Eric Chia membuat pinjaman yang amat besar untuk memulihkan Perwaja. Di bawah pengurusan Eric Chia, Perwaja seakan-akan menikmati keuntungan tetapi sangkaan itu meleset.
Sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan dan parti Umno, beliau selaku timbalan perdana menteri, ada membawa usul di Parlimen mendesak agar kerajaan menyiasat Eric Chia. Bagaimanapun, kes itu tenggelam sepertimana tenggelamnya nasib malang Perwaja.
Roh Perwaja
Dr Mahathir masih tidak berganjak untuk meneruskan cita-cita meganya meskipun faktor-faktor positif tidak memihak kepada pemulihan Perwaja melainkan siasatan menyeluruh dijalankankan. Sanggupkah Dr Mahathir berbuat demikian? Dr Mahathir pun akan bersara tidak lama lagi.
Perwaja diswastakan pula melalui syarikat Equal Concept Sdn Bhd yang menguasai 51 peratus sementara kerajaan menguasai 49 peratus. Pentadbiran Dr Mahathir masih tidak dapat menyembuhkan roh Perwaja kerana syarikat Maju Holdings yang bernaung di bawah syarikat Equal Concept tidak mempunyai apa-apa "ummph" dalam alam perniagaan.
Apatah lagi dengan pukulan krisis kewangan pada pertengahan 1997, keadaan mesti bertambah parah kerana nilai wang kita jatuh teruk sebanyak 34 peratus. Kepentingan 51 peratus Hicom dalam dalam Perwaja ditarik balik. Nippon Steel tidak lagi berminat dan meninggalkan Perwaja dan akhirnya 80 peratus ekuiti Perwaja dikuasai kerajaan pusat sementara 19 peratus lagi dikuasai kerajaan Terengganu.
Kerajaan Terengganu telah melabur sebanyak RM1 bilion dan tidak berniat menanam sesen pun lagi dalam projek yang kian tenggelam itu. Malah, kerajaan Terengganu di bawah pimpinan PAS, berura-ura untuk menjalankan siasatan terhadap kerugian Perwaja dan mengumumkan hasilnya secara terbuka.
Soalnya sekarang kenapa Dr Mahathir begitu ghairah dengan projek mega yang menelan berbilion ringgit? Lainlah jika projek itu boleh menghasilkan kegiatan ekonomi. Sebaliknya, kajian hendaklah dijalankan terlebih dahulu mengenai peluang projek berkenaan menghasilkan pulangan. Ini harus menjadi asas membuat keputusan untuk terjun dalam industri berat seperti Perwaja.
Jangan asyik berani mengambil risiko semata-mata atau mempercayai bahawa wang panas akan mengalir masuk ke negara kita buat selama-lamanya. Jika kita bertindak sedemikian, kita boleh membazir wang rakyat dan membuang masa menyelesaikan masalah, daripada meraih keuntungan.
Keadilan ditegakkan
Contohnya, Perwaja kini sedang nazak dan berdiri sugul berdepan dengan kilauan Laut China Selatan. Meskipun setakat ini, Dr Mahathir dapat membendung isu daripada pengetahuan sepenuhnya rakyat, namun ia akhirnya akan diketahuinya.
Dr Mahathir tidak akan merasa lapang dada untuk mengakui kegagalannya projek mega ini. Ilusi kejayaan dan kemajuan industri tidak selama-lamanya boleh dirahsiakan. Sehingga ini, institusi penegak hukum nampaknyanya masih sulit menyeret mereka yang terlibat dalam skandal Perwaja ke muka pengadilan.
Rakyat sudah sekian lama bersabar menanti langkah pemerintah mengejar mereka yang terlibat kerana negara dirugikan sampai berbilion ringgit. Bila hukum berjalan baik, sudah pastinya kredibiliti pemerintah akan meningkat, baik di dalam atau di luar negara.
Pecinta keadilan pula mengharapkan agar penegak hukum bekerja keras, secara profesional dan secara adil, menjatuhkan hukuman ke atas pihak yang bersalah. Jika tidak, kewibawaan dan kredibilitinya akan terus merosot.
RAMLI ABDUL SAMAD adalah seorang pustakawan di sebuah universiti tempatan. Beliau mengisi masa lapangnya untuk menulis mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan isu-isu sosial.

