Petanda kemenangan reformasi
Detik waktu di antara pengumuman perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad yang penuh dengan tangisan Jun lalu, dan peralihan kuasa rasmi kepada Abdullah Ahmad Badawi pada 31 Oktober, dilihat sebagai waktu yang gelap-gelita untuk gerakan reformasi.
Umno dan Barisan Nasional (BN) mengucapkan selamat tinggal kepada pemimpin agung mereka dan selamat datang kepada pemimpin baru. ketika barisan pembangkang dalam keadaan kucar-kacir. Ketika tokoh terbaik dari barisan pembangkang untuk menjadi perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi di belakang kekisi penjara dan menderita sakit yang teruk.
Kemuraman dalam kem pembangkang ini tergambar meskipun dapat meraikan sekejap berita pembebasan tahanan ISA dan wira-wira reformasi seperti Ezam Mohd Noor, Tian Chua, Saari Sungib, Dr Badrul Amin, kerana ia berlatarbelakangkan satu mood kekecewaan di kalangan rakyat mengenai halatuju Barisan Alternatif (BA).
Detik waktu di antara pengumuman perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad yang penuh dengan tangisan Jun lalu, dan peralihan kuasa rasmi kepada Abdullah Ahmad Badawi pada 31 Oktober, dilihat sebagai waktu yang gelap-gelita untuk gerakan reformasi.
Umno dan Barisan Nasional (BN) mengucapkan selamat tinggal kepada pemimpin agung mereka dan selamat datang kepada pemimpin baru. ketika barisan pembangkang dalam keadaan kucar-kacir. Ketika tokoh terbaik dari barisan pembangkang untuk menjadi perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi di belakang kekisi penjara dan menderita sakit yang teruk.
Kemuraman dalam kem pembangkang ini tergambar meskipun dapat meraikan sekejap berita pembebasan tahanan ISA dan wira-wira reformasi seperti Ezam Mohd Noor, Tian Chua, Saari Sungib, Dr Badrul Amin, kerana ia berlatarbelakangkan satu mood kekecewaan di kalangan rakyat mengenai halatuju Barisan Alternatif (BA).
Tetapi ia tidak seharusnya begitu. Adakah kita terlupa saat Anwar mula-mula dipecat dan kita beramai-ramai berarak di jalan raya menuntut keadilan buat Anwar di tengah-tengah laungan "Undur Mahathir Undur"?
Gegak gempita tersebut, yang pastinya waktu itu benar-benar menimbulkan kebencian Mahathir, terkeluar sendiri dari mulutnya di Perhimpunan Agung Umno, dengan penuh tangisan dan satu drama surreal yang cukup menakjubkan. Mahathir akhirnya akur dengan ketidakpopularan dirinya, dan beban beliau kepada Umno.
Ketidakadilan
Bagaimanapun, dalam kekalahan itu dan tindakannya akur kepada permintaan rakyat - watak seperti Mahathir - tidak akan membiarkan egonya merana. Maka beliau menjual perletakan jawatannya sebagai rancangan peribadinya, dihiasi dengan pujian melangit dan ditambah pula dengan 'trademark' ucapan Mahathir: mengherdik Yahudi, untuk menimbulkan satu kekaguman terhadap dirinya. Itu kebijaksanaan percaturan politik Mahathir.
Kita harus selangkah ke hadapan. Di sebalik segala kenduri yang mengiringi pemergian Mahathir, ia timbul daripada gerakan reformasi yang telah berjaya mengsinonimkan Mahathir dengan kebobrokan sistem yang diwakili dengan ketidakadilan ke atas Anwar.
Ahli Majlis Tertinggi Umno yang menjadi suara kritis, Datuk Shahrir Samad pernah menyuarakan penggunaan poster Mahathir sebagai punca kekalahan BN di Lunas. Mahathir menjadi defensif orang Melayu yang sudah meninggalkan Umno dikutuk-kutuknya. Yang paling lucu sekali ialah kenyataannya mengenai Anwar yang selama ini dihinanya - kalau dia ada kuasa, dia akan ampunkan Anwar.
Anwar yang didakwa menjadi agen asing, pengkhianat negara, hamba IMF dan terbabit dalam keganasan, mahu diampunkan oleh Mahathir si wira dunia ketiga dan Muslim moderat? Begitu besar semangat kemaafan Mahathir atau beliau ada sedikit kecewa yang kuasa akan berpindah tangan.
Yang pastinya, Mahathir sudah nyanyuk. Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat perdana menteri. Itu semua orang tahu. Lebih-lebih lagi Mahathirlah yang begitu gah menentang kuasa Raja-Raja suatu ketika dahulu. Dan Anwar terus menghantuinya.
Sentimen rakyat
Maka kini Barisan Alternatif dan gerakan reformasi harus menjual perletakan jawatan Mahathir sebagai satu kejayaan buat reformasi, dan bukannya terus tunduk mendung menilai nasib. PAS sudah memulai langkah dengan menjual kenyataan Nik Aziz bahawa pengumuman Mahathir hanya sandiwara maka perletakan jawatan ini satu kejayaan kerana Mahathir takut digelar hanya pelakon sandiwara murahan.
Itu naluri politik Nik Aziz yang cukup hebat. Tunku Abdul Rahman melepas jawatan berikutan tekanan selepas peristiwa 13 Mei 1969, Tun Razak meninggal dunia, dan Tun Hussein Onn bersara atas sebab-sebab kesihatan. Tiada Perdana Menteri Malaysia melepaskan jawatan kerana suka-suka, melainkan sama ada kerana ajal atau atas sentimen rakyat. Persaraan Mahathir pastinya atas sentimen rakyat.
Penggantinya, Pak Lah, juga tiada mandat demokratik dilantik ke jawatan timbalan presiden Umno tanpa sebarang pertandingan dan kemudian juga diberi jawatan perdana menteri di atas pinggan bersulam emas.
Polemik Negara Islam telah benar-benar menghilangkan fokus Barisan Alternatif dan PAS harus bijaksana menanganinya dengan matang dan ke hadapan. Ofensif politik yang bersandarkan ketokohan Anwar sebagai prospek perdana menteri, kelemahan Pak Lah sebagai perdana menteri, kebobrokan dasar-dasar BN dan juga dasar-dasar BA yang kreatif dan menarik harus menjadi perhatian dan fokus utama.
Kita letak Pak Lah di satu sudut di mana beliau sukar bertindak tanpa menimbulkan kesan negatif pada dirinya. Kini cukup baik beliau masih belum dapat memutuskan siapakah hendak dilantik sebagai timbalan perdana menterinya.
Penanda kemenangan
Pak Lah ada dua pilihan mahu melaksanakan reformasi yang sudah tentu akan menghancurkan asas-kuasanya di dalam Umno atau melaksanakan tekanan politik yang hanya akan melemahkannya lagi, sekiranya BA mengambil peluang bersungguh-sungguh untuk mendapat manfaat daripadanya.
Pilihan kedua paling mudah buat seorang pemimpin yang lemah dan mempunyai jentera kerajaan di tangannya. Reformasi perlukan kepimpinan yang tidak ada pada Pak Lah.
Tiadanya TPM juga menimbulkan perpecahan yang begitu mendalam buat Umno. Kem Najib (dengan Dollah Kok Lanas yang hari-hari merayu-rayu Najib diberi jawatan tersebut) dan kem Pak Lah semakin ketara tiap hari yang mendatang. Menjual idea Pak Lah tiada kepimpinan akan meluaskan lagi perpecahan ini.
Yang pastinya pembangkang tidak boleh berdiam diri dan bertindak reaksionari. Rakyat menuntut lebih banyak daripada mereka. Pembangkang harus pandai menjual idea. Petanda kemenangan Reformasi sudah ada. Jangan biarkan ia berlalu.
Penulis adalah seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di sebuah universiti di United Kingdom.

