Usaha PM tangani gejala rasuah: Jangan hangat-hangat tahi ayam!
Sememangnya amat tinggi harapan rakyat untuk melihat perubahan yang akan dibawa oleh perdana menteri kita yang kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Umum mengetahui negara ditadbir oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun satu jangka waktu yang agak lama bagi sesebuah negara yang sedang membangun.
Mahathir memerintah setidak-tidaknya secara separa 'authoritarian'. Landskap sosioekonomi negara telah berubah dan tiada siapa boleh menyangkalnya, meskipun orientasi dan hasil pembangunan lebih banyak menguntungkan segmen tertentu kerana sebahagian besar rakyat masih bergelut untuk hidup selesa di bawah kepimpinan Mahathir.
Semasa pentadbiran Mahathir, telah terwujud banyak akta yang melelahkan, kebanyakannya tidak membuka ruang untuk meluaskan aktiviti demokrasi dalam banyak bidang yang paling terkenalnya ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Malahan, akta ini menjadi senjata berkesan untuk mematahkan sebarang cabaran terhadap pentadbirannya.
Bagaimanapun, Mahathir membina banyak simbol kejayaan, antaranya Putrajaya, Koridor Multimedia (MSC), Lebuhraya Utara Selatan, Formula I, Lapangan Terbang KLIA dan Menara Berkembar Petronas, yang diakui oleh banyak pihak termasuk di luar Negara sebagai tanda bahawa negara telah membangun yakni moden dan aman.
Sememangnya amat tinggi harapan rakyat untuk melihat perubahan yang akan dibawa oleh perdana menteri kita yang kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Umum mengetahui negara ditadbir oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun satu jangka waktu yang agak lama bagi sesebuah negara yang sedang membangun.
Mahathir memerintah setidak-tidaknya secara separa 'authoritarian'. Landskap sosioekonomi negara telah berubah dan tiada siapa boleh menyangkalnya, meskipun orientasi dan hasil pembangunan lebih banyak menguntungkan segmen tertentu kerana sebahagian besar rakyat masih bergelut untuk hidup selesa di bawah kepimpinan Mahathir.
Semasa pentadbiran Mahathir, telah terwujud banyak akta yang melelahkan, kebanyakannya tidak membuka ruang untuk meluaskan aktiviti demokrasi dalam banyak bidang yang paling terkenalnya ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Malahan, akta ini menjadi senjata berkesan untuk mematahkan sebarang cabaran terhadap pentadbirannya.
Bagaimanapun, Mahathir membina banyak simbol kejayaan, antaranya Putrajaya, Koridor Multimedia (MSC), Lebuhraya Utara Selatan, Formula I, Lapangan Terbang KLIA dan Menara Berkembar Petronas, yang diakui oleh banyak pihak termasuk di luar Negara sebagai tanda bahawa negara telah membangun yakni moden dan aman.
Beliau berjaya membina prasarana kelas satu. Namun beliau tidak memberi yang terbaik kepada negara kerana terdapat banyak lagi aspek lain yang turut diukur sebagai petanda negara maju, tidak diatasi seperti masalah rasuah, pengurusan hutang negara dan keruntuhan tiang seri institusi demokrasi seperti kehakiman, polis, parlimen dan juga hubungan etnik.
Mahathir tidak memberi fokus terhadap isu-isu ini untuk membereskan masalah bersama dengan membangunkan ekonomi dan infrastruktur mega. Masalah-masalah di atas adalah masalah besar dan sulit untuk diatasi dalam tempoh jangka pendek.
Tindakan berani
Bagi kalangan yang berpendirian kritikal dan condong ke kiri, masalah seumpama ini cuma boleh diatasi secara radikal, sedangkan rakyat kita tidak pernah mengalami pentadbiran radikal selama 46 tahun yang lalu.
Jadi bagaimana? Namun ramai percaya bahawa perdana menteri mempunyai kuasa untuk membawa perubahan yang memberi faedah kepada rakyat dan perdana menteri harus mempunyai 'team' yang sehaluan dengannya.
Ramai anggota kabinet beliau dari kalangan yang tidak menunjukkan semangat yang dikehendaki. Malahan, kabinet Pak Lah diwarisi dari pentadbiran lama. Anggota kabinet Pak Lah berada dalam kandang yang sama tetapi tidak semestinya sebau. Namun, setakat ini Pak Lah tampaknya bersungguh-sungguh mahu membawa perubahan dalam satu keadaan yang masih belum menjanjikan satu perubahan signifikan.
Dan jika Pak Lah terus mengambil tindakan berani yang dikira radikal, ia boleh mengundang tentangan. Orang-orang 'besar' yang terlibat dalam rasuah bukan sedikit jumlahnya. Dan mampukah Pak Lah mengheret setiap satunya ke muka keadilan? Orang-orang besar juga mempunyai pautan kuasa dan pengaruh.
Pada era perdana menteri sebelum ini, orang-orang besar yang dibawa ke mahkamahpun tidak begitu ramai. Yang ramai ialah mereka yang tergolong dalam kategori 'ikan bilis', tetapi 'bapak jerung' pula boleh dibilang dengan jari. Sebab itu kalangan tertentu menganggap tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya bersifat simbolik saja, bukan untuk membanteras habis-habisan gejala rasuah atau mencuci bersih sampai ke akar umbinya.
Tetapi banyak pihak melihat tindakan simbolik seperti itu adalah lebih baik daripada tiada tindakan langsung. Tindakan simbolik mendapat liputan meluas di media massa, satu tanda betapa rakyat dahaga sangat dengan tindakan ke atas mereka yang berprofil tinggi. Tindakan simbolik juga boleh memuaskan hati sebahagian pihak tetapi ia tidak bermakna masalah sosial negara, iaitu rasuah, sudah dituntaskan.
Jalan pintas
Apakah Pak Lah boleh melaksanakan tugas besar ini? Harapan pihak pembangkang amat tinggi menggunung. Bagaimana pula daripada pihak parti pemerintah?
Masalah gejala rasuah dalam masyarakat kita disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya ialah tiadanya iman untuk menolaknya. Dalam konteks ini, ia bermaksud tiadanya lagi rasa bersalah menerima rasuah. Iman mengalah kepada tuntutan syaitan. Kekalahan ini mungkin dirasionalkan dengan tuntutan survival atau tuntutan gayahidup gemerlapan.
Bayangkan seorang yang berpendapatan kecil dengan lima orang anak yang sedang mengharung hidup di kota di mana kos hidup sering melebihi pendapatan halal yang diterimanya. Untuk hidup lega - belum lagi hidup selesa - menjadi sulit kerana kos membiayai lima orang anak yang sedang bersekolah adalah tinggi.
Bagaimana untuk menampung kesulitan itu? Jika tiada bakat lain, menerima rasuah menjadi jalan pintas untuk menampung keperluan keluarga untuk hidup seadanya sahaja. Jika dia tidak menerima rasuah dan imannya masih kuat, keluarganya akan hidup susah. Suasana yang mendorong kepada gejala rasuah ditimbulkan oleh perkembangan sosiekonomi.
Semua percaya bahawa isu rasuah menjadi-jadi tatkala perkembangan ekonomi mencatat pertumbuhan ekonomi yang pesat. Di saat itu juga, gejala konsumerisme dan kebendaan bermaharajalela. Kapitalisme muncul dan membiak. Kebendaan menjadi ukuran penting dalam kehidupan, baik bagi masyarakat yang beragama mahupun yang tidak beragama.
Dalam negara yang terdapat banyak wang dan pengagihan ekonomi tidak seimbang, maka wujudnya golongan kecil yang menikmati kemewahan yang secara nisbi. Ada lagi di dalam golongan kecil ini yang masih tidak puas dengan kemewahan sedia ada, cuba berusaha mencari lebih lagi, khasnya dalan bidang perniagaan.
Amalan rasuah
Ada banyak projek kecil mahupun yang mega dilaksanakan dalam proses negara membangun, di samping peluang gejala rasuah hidup segar, apatah lagi undang-undang untuk mencegahnya tidak dikuatkuasakan secara berkesan. Lama kelamaan ia menjadi darah daging masyarakat, menjadi barah yang merosakkan sistem nilai kita.
Indeks rasuah bagi negara kita dikira tinggi jika dibanding dengan banyak negara lain. Negara Dunia Ke-3 mencatat rekod sebagai negara yang kuat amalan rasuah. Ini kerana wang yang ada dalam simpanan, tidak pernah cukup dan tidak pula mententeramkan jiwa mereka. Manusia yang kurang iman ini akan sentiasa merasakan bahawa wang, berapa banyak mana sekalipun, masih tidak mencukupi.
Pendek kata, ada jurang pendapatan di antara yang berada dan tidak berada. Manakala ketidakseimbangan ini wujud, kos hidup pun meningkat saban tahun dan golongan terbanyak merasa bahangnya. Ada yang masih dapat mengawal dan ramai juga yang tidak tahan dengan suasana ini.
Dalam senario itu juga, pihak pemerintah tidak begitu mengambil berat terhadap masalah rasuah sehinggalah gejala ini bagaikan sebati dan tampaknya amat sulit untuk dibanteras. Ada cendekiawan yang cuba mengutarakan isu rasuah tetapi dengan pantas dipadamkan. Seorang mantan menteri kabinet pernah menimbulkan isu ini tetapi sekarang beliau sedang merengkok dalam penjara.
Di peringkat tinggi, rasuah melibatkan berbilion ringgit manakala di peringkat rendah, jumlahnya melibatkan beratus ringgit sahaja. Kita tabik kepada Pak Lah yang berani mengambil inisiatif secara sendirian dalam menangani isu rasuah. Pada awalnya kita rasa Pak Lah hanya beretorik tetapi selepas 100 hari, sekurang-kurangnya dua tokoh yang dikira besar, sudah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah dan rasuah.
Warga yang sedar dan prihatin percaya masih ada deretan orang besar yang masih 'kebal' di sisi undang-undang Akta Rasuah. Apakah Pak Lah berani mengheret mereka ke mahkamah?
Keberanian Pak Lah agak menghairankan juga kerana dari segi pengucapannya, beliau tidak kelihatan beriya-iya sangat, kerana nadanya yang kurang inspirasi.
Tetapi setakat ini, tampaknya beliau agak berani mengkotakan sebahagian janji-janji besarnya. Cakap berkokok-kokok oleh sesetengah pemimpin mengenai rasuah tidak bermakna satu senpun jika tidak disusuli dengan tindakan konkrit.
Walau apapun, harapan rakyat, khususnya dari kalangan yang mahukan satu perubahan adalah terlalu tinggi. Golongan ini tetap memberi sokongan, namun soalnya apakah Pak Lah tidak akan berhenti dalam urusan ini ?
RAMLI ABDUL SAMAD adalah seorang pustakawan di sebuah universiti tempatan. Beliau mengisi masa lapangnya untuk menulis mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan isu-isu sosial.

