Ulasan Kucing Sesat dalam ruangan surat pembaca sebenarnya adalah rumusan kepada faktor penting kekalahan PAS di luar jangkaan dalam pilihanraya lalu. Namun masih ada persoalan yang lebih penting, iaitu masih relevankah perjuangan parti agama dalam realiti politik Malaysia pada hari ini.

Untuk bertanyakan soalan di atas, terlebih dahulu kita perlu membezakan antara agama dan parti agama. Kalau hal itu tidak dilakukan, sudah pasti pembacaan kita akan menimbulkan banyak kekeliruan dan kesalahfahaman.

Pandangan Kelab Penyelidikan Politik Melayu (KPPM) bukan bermaksud untuk berkempen melemahkan parti agama kerana pilihanraya telah pun berlalu, tetapi ia ada kaitan dengan masa hadapan suasana berpolitik di negara kita.

Islam sebagaimana yang difahami umum adalah agama suci yang turun dari langit kepada nabi-nabi dari Adam sehingga nabi Muhamad SAW. Manakala parti agama adalah perkara baru, yang muncul setelah Empayar Islam terakhir, Dinasti Uthmaniah dipecahkan kepada negara-negara berasaskan bangsa oleh para penjajah.

Parti Islam itu sendiri lebih merupakan reaksi kekalahan umat Islam dalam berhadapan dengan kenyatan hidup dan realiti perkembangan semasa sehingga perlunya umat Islam dilindungkan ke dalam sesuatu perkumpulan ekslusif.

Penamaan parti Islam sama sahaja dengan penamaan lain-lain perkara dengan Islam. Kita menamakan bank Islam, universiti Islam, baju Islam, busana Muslim dan sebagainya dalam usaha kita menakrifkan semula identiti kelompok kita.

Ghairah

Ianya juga untuk membezakan antara kelompok Islam dan kelompok bukan Islam. Berbanding dengan kelompok lain, kelompok Islamlah yang paling kelihatan ghairah dalam mengemukakan identiti yang sangat berbeza ini.

Sesetengah perkara berkaitan identiti memang boleh diterima atas alasan 'ajaran agama' dan kebijakan atau strategi tertentu, tetapi yang lain kelihatan dibuat tanpa mengambil kira sebarang kebijakan pun, melainkan menurut tafsiran agama secara membabi buta.

Perkataan lebih sedap, disebut menafsir agama secara literal atau harfiah, iaitu menafsir ayat atau hadis tanpa sebarang pengubahsuaian dari segi makna. Kita sudah hampir menerima wujudnya Bank Islam, yang telah membuktikan keupayaannya bersaing dengan perkhidmatan bank konvensional.

Walaupun tidak dianggap sebagai pesaing kepada sistem bank sedia mapan, sekurang-kurangnya bank berjenama Islam ini berusaha untuk memenuhi kriteria sistem perbankan mengikut garis panduan dan berdasarkan nilai ajaran Quran.

Begitu juga dengan penggunaan sistem yang bernuansa Islam yang lain, seperti penggunaan dinar sebagai alat pertukaran dalam perdagangan antara bangsa. Dalam hal sebeginilah saya menilai pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Islam pada jenama sangat menarik.

Antaranya, apabila disoal apakah keinginan menggunakan dinar ada kaitan dengan penggunaan dinar sebagai mata wang antarabangsa Islam, beliau menjawab nama dinar tidak penting, yang penting emas yang terkandung di dalam setiap keeping dinar itu.

Slogan dan retorik

Beliau turut menegaskan bahawa letaklah nama lain sekali pun untuk menggantikan nama dinar, itu tidak mengapa kerana nama apa pun tak penting. Kenyataan sebegini menunjukkan Tun Mahathir sangat faham perbezaan antara Islam kulit dengan Islam isi.

Beliau sangat menekankan Islam isi berbanding dengan Islam kulit semata-mata. Manakala di era Pak Lah diperkenalkan Islam Hadhari yang juga mementingkan pengisian keislaman berbanding slogan dan retorik.

Prof Azyumardi Azrai menyimpulkan makna Islam Hadhari anjuran Pak Lah sebagai Islam yang berorientasi pada kemajuan, toleran, inklusif, Islam yang sesuai dengan kemajuan modernitas, menghargai ilmu pengetahuan dan teknologi, kompatibel dengan demokrasi, dan menghargai pluralitas dan kaum perempuan, dan lain-lain.

Perbincangan mengenai penggunaan nama Islam sebagai jenama tidak sah kalau tidak kita kaitkan dengan Islam sebagai nama parti. Di Malaysia, hanya terdapat sebuah parti agama, iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Tidak ada parti Kristian, ataupun parti Hindu di negara ini. Saya membayangkan sekiranya wujud parti seumpama itu, walaupun diizinkan perlembagaan, keadaannya pastilah lebih berkecamuk apabila kumpulan agama kaum lain meletakkan tafsiran agama merekalah sebagai paling benar seumpama tafsiran Islam oleh parti Islam itu.

Sehingga pilihanraya 1999, parti tersebut masih lagi mempunyai kekuatan apabila berjaya mentadbir dua negeri di Pantai Timur. Namun, sebaik sahaja selesai pilihanraya kesebelas, peranan parti Islam itu mula dipersoalkan rakyat, sehingga mereka tidak lagi memberi sokongan yang signifikan.

Berbeza fahaman

Walaupun begitu, kesan-kesan ajaran parti agama itu masih berterusan. Sebaik sahaja selepas pilihanraya, mula kedengaran kisah ibu tidak merestui anak dan menantu apabila mereka membuat pilihan yang berbeza dalam pengundian. Terdapat juga kisah seorang imam yang dilarang membaca khutbah kerana anaknya menjadi calon parti yang melawan parti Islam.

Sebabnya jelas kerana seseorang yang tidak menjadi ahli atau menyokong parti Islam akan dianggap bukan dari kalangan Islam.

Kepada sesetengah orang, mereka berpandangan inilah masanya untuk mengharamkan parti agama, kerana ternyata mereka masih mengekalkan kaedah-kaedah lama dalam meluaskan pengaruh parti mereka, sepertimana kisah-kisah dalam masyarakat Melayu luar bandar suatu ketika dulu: sembahyang dua imam, kenduri berasingan, bapa tak mengaku anak, kisah nikah dua kali dan sebagainya. Begitulah kisah perpecahan masyarakat Melayu Islam di kampung-kampung.

Kepada pihak satu lagi, walaupun sedar sepenuhnya bahawa tuduhan-tuduhan itu sangat pedih dan melukakan hati, namun sepanjang ingatan saya, tidak pernah pihak Umno membalas tuduhan kafir oleh PAS.

Tidak dapat dibayangkan sekiranya di pihak Umno juga mengambil tindakan sama. Mungkin boleh menimbulkan sikap perseteruan yang sangat tajam. Pangalaman perseteruan sesama Islam yang melibatkan akidah seumpama antara kumpulan Sunni dan Syiah di Pakistan atau Iraq terbukti membawa kepada pertumpahan darah.

Parti agama sekiranya mendapat kekuasaan meluas, ada tendensi mereka untuk menguatkuasakan kepercayaan agama dan pegangan ke atas sistem bernegara. Sistem kepercayaan agama yang masih kabur dalam banyak aspek dan mempunyai pelbagai sudut yang boleh ditafsirkan cuba diambil oleh kumpulan parti agama ini, untuk menafsirkan satu sudut tertentu sahaja.

Taliban

Malangnya, dalam banyak keadaan, kumpulan ini mengambil sudut ajaran dan tafsiran agama yang paling ekstrem dan konservatif dan menolak pandangan kumpulan lain. Hal inilah yang telah cuba dilakukan di Kelantan dan Terengganu yang dipancarkan melalui tindakan seperti merobohkan patung yang dianggap haram, atau memisahkan kaunter di pasaraya mengikut jantina. Apa beza PAS dengan Taliban?

Terbukti juga di Iran bahawa dengan penguasaan kumpulan Islam konservatif, mereka telahpun menghalang berlakunya proses demokrasi. Apabila kumpulan parti agama terasa kebangkitan dan terancam pengaruh mereka oleh parti propembaharuan maka, dengan cepatnya mereka merangka satu undang-undang baru yang menghalang kumpulan berpendidikan sekular daripada menjadi calon pilihanraya.

Kesannya, kumpulan sekular terpinggir dan kedudukan kumpulan agama terselamat. Siapakah yang berani memberi satu jaminan bahawa hal ini tidak akan dilakukan oleh mana-mana parti agama sekali pun.

Terbukti, dalam perkembangan semasa, parti agama telah menjadi begitu terpencil di mana-mana negara, termasuklah negara-negara Islam sekali pun. Di Indonesia, Bangladesh dan Pakistan yang mempunyai penduduk Islam hampir seratus peratus, tidak pernah parti agama diberi kedudukan yang baik untuk bernafas seumpama di Malaysia.

Di negara Turki, parti Keadilan (AKP) yang dianggap parti agama, langsung tidak meletakkan nama agama kepada partinya, AKP. Menurut Presidennya, yang juga Perdana Menteri Turki, Tayeb Erdogan tujuannya adalah supaya kita tidak mengelirukan rakyat. Apabila nama parti tercemar, Islam juga akan turut tercemar sekiranya nama Islam dibubuh pada parti, katanya.

Kita juga wajar mengikut jejak langkah Turki. Kita wajar mengharamkan nama agama menjadi nama parti supaya kisah-kisah sedih perpecahan masyarakat masa lalu kita tidak berulang.


ARIFF ABD WAHAB adalah Setiausaha Agung, Kelab Penyelidikan Politik Melayu (KPPM)