Tanggal 1 Mei adalah hari menyambut perayaan Hari Buruh. Dan pada tanggal berkenaan juga dapat disaksikan demonstrasi-demonstrasi raksasa hampir di setiap kota besar di seluruh dunia yang dibanjiri ribuan manusia.

Malah di Berlin, Jerman, ia sudah menjadi satu tradisi di mana perayaan Hari Buruh disambut dengan demonstrasi yang berakhir dengan pertempuran dengan pihak berkuasa.

Walau apapun cara sambutannya, ia bertujuan untuk merayakan kemenangan bagi kaum buruh sedunia. Tetapi satu perkara yang menarik telah berlaku di Malaysia sempena tarikh keramat ini.

Tanggal 1 Mei 2004 adalah tarikh yang malang bagi rakyat Malaysia kerana kegembiraan menyambut Hari Buruh telah diselitkan dengan kenaikan harga minyak petrol dan diesel sebanyak 2 sen seliter. Apa yang lebih menarik lagi ialah harga bahan bakar berkenaan dinaikan tanpa ada bantahan daripada rakyat Malaysia.

Begitu mudah bagi kerajaan menaikkan harga minyak tanpa ada bantahan daripada mana-mana pihak walaupun kita semua tahu Malaysia adalah antara pengeluar minyak terbesar di dunia.

Dan kenaikan harga minyak ini berlaku pada Hari Buruh dan pada saya, ia adalah satu penghinaan terhadap kaum buruh di Malaysia. Parti-parti pembangkang juga tidak kedengaran membantah tindakan kerajaan menaikkan harga bahan bakar tersebut.

Hadiah

Apa sudah jadi dengan rakyat Malaysia? Walaupun kenaikkan harga minyak ini sudah tentu akan membebankan majoriti rakyat yang rata-ratanya menggunakan kenderaan seperti motosikal dan kereta, namun hakikatnya ia berlaku dengan begitu mudah sekali.

Mungkin inilah hadiah yang di berikan oleh kerajaan Barisan Nasional kepada rakyat yang memberi kemenangan besar kepada mereka dalam pilihanraya umum kesebelas baru-baru ini. Sepertimana Datuk Shahrizat Jalil menghadiahkan kepada penduduk Bangsar Utama dengan meter letak kereta, sebaik sahaja menang besar di Parlimen Lembah Pantai baru-baru ini.

Ini adalah persoalan penting yang harus dibincangkan secara terbuka kerana ia menyentuh soal ekonomi rakyat. Kenaikan harga minyak tidak selari dengan kenaikan gaji yang sudah tentu mereka, terutama majoriti rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

Yang lebih menyedihkan lagi ialah apabila badan-badan yang seharusnya mengambil berat tentang masalah ini, seperti parti pembangkang dan badan bukan kerajaan tidak berbuat apa-apa berhubung perkara tersebut.

Jadi mereka (baca : parti pembangkang) tidak harus menyalahkan rakyat Malaysia yang menolak mereka dalam pilihanraya umum baru-baru ini. Parti-parti pembangkanglah yang seharusnya lantang dalam menyuarakan masalah kenaikan harga barang dan bukannya hanya menabur janji kepada rakyat dua minggu sebelum pilihanraya umum.

Maka, tidak hairanlah jika rakyat Malaysia akan terus ditindas dan mengalami proses perbodohan yang panjang jika situasi seperti ini berterusan berlaku. Apakah pandangan Ulama PAS dalam menghadapi isu kenaikan harga minyak ini? Bagaimanakah para Ulama PAS mahu menjelaskan kepada rakyat Malaysia tentang isu ini dari sudut pandangan Islam?

Sifar pembangkang

Jika parti-parti pembangkang tidak melakukan "reformasi dalaman", jangan terkejut jika pada pilihanraya umum akan datang, Malaysia akan mengalami sindrom "sifar pembangkang". Parti Keadilan Rakyat yang dianggap sebuah parti yang progressif, juga tidak menunjukkan satu tindakan yang serius dalam isu kenaikan harga petrol dan diesel ini.

Penggabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia yang melahirkan Parti Keadilan Rakyat, tidak menampakkan kesan positif kerana walaupun urusan pendaftaran telah selesai, tidak nampak apakah kebaikannya kepada rakyat Malaysia.

Seharusnya mereka ini sedar jika permasalahan rakyat tidak dibela, tidak mungkin sokongan akan datang. Contohilah Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang terus bekerja untuk rakyat walaupun pendaftaran parti tersebut masih lagi belum selesai.

Dr Nasir Hashim dan ahli PSM tidak pernah menjadikan alasan parti mereka tidak mendaftar untuk tidak membuat kerja. Walaupun tidak memenangi apa-apa kerusi dalam pilihanraya umum lalu, sokongan rakyat kepada perjuangan sosialisme mereka semakin bertambah.

Selain itu, keberanian PSM untuk terus mempertahankan perjuangan sosialisme harus dipuji untuk mengimbangi sistem kapitalisme di Malaysia. Ramai pihak yang kecewa dengan Dr Syed Husin Ali yang tidak mempertahankan sosialisme ketika diserang oleh Datuk Nik Aziz Nik Mat, ketika kempen pilihanraya yang lalu.

Kebanyakan tokoh politik pembangkang masih lagi takut kepada momokan antikomunis ciptaan kerajaan. Walaupun mereka (baca : tokoh politik pembangkang) tahu momokan ini hanyalah ciptaan kerajaan dan tidak perlu takut, tetapi kerana kononnya mahu menjaga pengundi, mereka telah menafikannya.

Sudah sampai masanya bagi pejuang-pejuang reformasi dan hak asasi di Malaysia berbincang untuk melakukan reformasi jika mahu meneruskan gerakan ini.Jika tidak, jangan terkejut jika gerakan reformasi akan tenggelam di dalam tong sampah sejarah.


Amin Iskandar adalah penulis bebas yang merupakan seorang aktivis UBU. Beliau kini aktif dalam kegiatan kesenian dan kebudayaan di UBU.